18Mac2019

Bo-Peng filem terakhir Nabil

Filem Bo-Peng lakonan bersama Zulin Aziz dan Johan As’ari yang akan ditayangkan pada 22 Disember ini akan menjadi filem terakhir bekas Maharaja Lawak Nabil Ahmad.

Nabil yang kini berusi 33 tahun berkata beliau sudah menyusun strategi tersendiri selepas sudah puas untuk berlakon di bawah produksi orang lain.

“Bo-Peng akan menjadi filem terakhir saya. Itu bererti yang terakhir saya berlakon di bawah terbitan orang lain. Insya-Allah, sekiranya tiada halangan saya akan terbitkan filem sendiri yang akan membabitkan saya sebagai pelakon dan penulis skripnya sendiri,” ujarnya.

Menolak bahawa dia cuma mahu syok sendiri, kata Nabil, apa yang dilakukan adalah demi meneruskan hasratnya untuk mencuba sesuatu yang baru di luar zon selesanya selama ini.

“Sebenarnya,saya sedang dalam proses membina produksi sendiri, ia masih sangat-sangat baru dan minggu lepas saya sudah pun membuat pendaftaran di bawah Syarikat Suruhanjaya Malaysia (SSM).

“Memang saya berhajat nak kembangkan karier menjadi seorang penerbit pula dan kerana itu saya terpaksa katakan awal-awal yang saya mungkin tak akan ambil lah tawaran lakonan di bawah produksi orang lain.

“Dalam tempoh beberapa tahun ini memang orang tak dapat tengok saya terbabit dalam sebarang projek drama, filem atau telefilem sebab saya sedang rancang projek di bawah terbitan produksi saya sendiri iaitu Nabil Productions Sdn. Bhd.

“Melainkan untuk beberapa buah filem yang sudah pun menjalani penggambaran dan belum menemui penonton. Kalau tak silap saya, masih ada berbaki dua buah filem lagi yang belum menemui penonton,” katanya.

Menurut Nabil, sebenarnya sudah lebih kurang setahun dia tidak mengambil sebarang tawaran lakonan dan tidak ralat dengan keadaan itu memandangkan dia sudah pun berbincang dengan pihak pengurusan mengenai perancangan dan strategi kerjayanya.

“Saya dah bincang dan mahu betul-betul fokus kepada bidang pengacaraan. Bukan apa, ia lebih memudahkan sebab kerja pengacaraan tidak mengambil masa atau komitmen yang lama berbanding lakonan.

“Jadual saya memang dipenuhi dengan kerja pengacaraan dan saya okey dengan keadaan itu. Sebab tu saya tolak tawaran lain dan Alhamdulillah, setakat ini saya bersyukur kerana rezeki saya dalam bidang pengacaraan tak pernah putu.

“Ramai yang masih beri kepercayaan kepada saya dan itu sudah cukup untuk saya merasa yakin bahawa saya masih diperlukan dalam bidang ini,” katanya.

Mengakui bahawa dia sudah mula berani untuk melangkah lebih maju ke depan, kata Nabil sebelum ini dia sering merasa kurang yakin untuk meneruskan hasrat untuk membuka produksi sendiri kerana menganggap diri belum cukup ilmu dan matang.

Bagaimanapun, selepas membuat pertimbangan selain mendapat sokongan padu daripada pengurus, Nabil enggan lagi menoleh ke belakang dan mahu terus mencuba meski sedar pelbagai risiko mungkin ada kelak.

“Saya kena ambil peluang ini dan mencuba. Kalau tak cuba tak tahu. Jadi saya perlu memberanikan diri dan lakukannya sekarang. Sementara itu saya fokus saja pada pengacaraan,” tambahnya lagi.-12/12/2016

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 795  tetamu dalam talian