19November2019

Agenda Daily

Adi Putra teraju utama filem pahlawan Melayu Mat Kilau

Pengarah muda, Syamsul Yusof mempunyai alasan tersendiri apabila memilih pelakon dari Singapura, Datuk Adi Putra sebagai teraju utama filem kisah hidup pahlawan Melayu, Mat Kilau.

Walaupun Adi  berasal dari Singapura, ia tidak menjadi masalah buat Syamsul memandangkan Adi Putra sudah mempunyai taraf penduduk tetap di negara ini.

“Saya faham mungkin ada yang tertanya-tanya kenapa kami pilih Adi dan bukan pelakon asal negeri tersebut sendiri untuk bawa watak Mat Kilau.

“Saya telah mengambil kira beberapa faktor dan saya rasa beliau sangat sesuai membawakan watak Mat Kilau.

“Naluri saya mengatakan pilihan ini tepat dan saya percaya watak Mat Kilau ini akan diterjemahkan dengan baik oleh Adi,” katanya.

Selain Adi, filem Mat Kilau akan turut dibintangi Fattah Amin, Beto Kusyairy, Johan As’ari, Farid Amirul, A.Galak, Yayan Ruhiyan dan Nadiya Nisaa.

Filem yang menelan belanja RM5 juta ini telah memulakan penggambarannya pada 1 April lalu di beberapa negeri seperti Perak, Pahang dan Kuala Lumpur.

Filem sejarah ini diterbitkan oleh Studio Kembara dengan kerjasama Skop Production Sdn. Bhd. dan ujar Syamsul, ia akan menjadi filem terbesar yang diarahkannya sepanjang karier sebagai pengarah.

“Alhamdulillah kami mendapat geran bantuan bernilai RM1.5 juta dari Finas dan baki RM3.5 juta dikeluarkan oleh Studio Kembara.

“Kita jangka penggambaran ambil masa selama dua bulan melibatkan hampir 500 pelakon tambahan dan saya boleh katakan filem ini merupakan karya terbesar yang akan saya arahkan,” katanya.

Tambah Syamsul, pada awalnya, dia diminta untuk menyambung penggambaran filem Mat Kilau yang sudah disiapkan kira-kira 50 peratus.

Bagaimanapun setelah meneliti dan mengambil kira banyak faktor, dia bersetuju untuk mengarahkan filem itu dengan syarat penggambaran dapat dimulakan semula daripada awal.

“Saya tak mahu buat kerja tangkap muat sahaja.  Ini melibatkan portfolio dan kepercayaan penonton juga pada saya. Jadi saya bersetuju dengan syarat filem ini dilakukan penggambaran semula.

“Saya turut membuat kajian dan membantu mengolah skrip agar lebih kuat. Semoga penonton berpuas hati dengan hasilnya nanti,” jelasnya.-5/4/2018

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 255  tetamu dalam talian