21November2019

Agenda Daily

Usaha siapa nak jatuhkan Nazri?

nazri70Bertepatan dengan budaya UMNO di musim pemilihan, gerakan menjatuhkan pemimpin tertentu yang sudah established kini telahpun bermula.  Jika ada sesuatu faktor yang mampu merosakkan perpaduan dalam UMNO malah melemahkan parti itu sendiri, maka inilah di antara faktor utamanya.

Lazimnya ia dimula dan diusahakan oleh orang tertentu sama ada di luar atau di dalam parti atas sebab yang hanya diketahui oleh mereka sendiri.  Dan lazimnya ia berpunca daripada dendam dan hasad oleh mereka yang menyertai UMNO kerana kepentingan peribadi.

Kali ini, di ambang pemilihan pucuk pimpinan UMNO  pada Oktober ini, tidaklah sukar untuk melihat betapa sasaran awal puak-puak ini ialah DS Nazri Aziz, menteri berpengalaman yang juga dikenali sebagai ‘chief’.   Usaha tidak-murni  ini dilihat dimulakan oleh orang di luar UMNO.  

Namun disebabkan usaha ini juga turut melibatkan bantuan gigih dari  sebuah stesen TV swasta yang memanipulasi perihal anak lelakinya yang didakwa kononnya dibayar gaji oleh kerajaan,  maka timbullah pula pelbagai spekulasi.

Tiga malam berturut-turut stesen TV itu “menyerang” Menteri Pelancungan dan Kebudayaan itu  habis-habisan. Lazimnya jika serangan begini mengenai tokoh lain selain Nazri, tokoh berkenaan sudahpun angkat bendera putih.

Serangan terhadap Nazri bukan mengenai isu kemerosotan kemasukan pelancung asing  ataupun mengenai kekecohan  mesyuarat  cawangan di  Padang Rengas, tetapi disandarkan oleh sebab yang cukup remeh.

Isu yang dipilih untuk mendedahkan Nazri pada kontroversi melibatkan perlantikan anak lelakinya, Muhamad Nedim, yang dilantik sebagai pegawai khasnya. Hal ini mula terdedah kerana nama Nedim dimuat dalam laman web kementerian berkenaan.

Mereka mendakwa anaknya dibayar gaji oleh kerajaan tetapi hal ini dinafikan Nazri.  Maknanya tak betullah fakta mereka. Pengkritiknya berpendapat  ianya conflict of interest yang tidak harus dibiarkan berlaku lebih-lebih lagi oleh orang macam Nazri. Menyedari isu ini ibarat lalang kering bakal  menghanguskan politik nasional jika tidak dikawal, Perdana Menteri tampil dengan kenyataan susulan.

Kalau ada sesiapa yang tak faham,  DS Najib Razak tampil dua kali mempertahankan anggota  kabinetnya. Najib berkata beliau berpuas hati penjelasan Nazri bahawa Nedim bertugas di kawasan parlimen Nazri bukan di pejabat menteri berkenaan serta gajinyapun Nazri yang bayar.

Justeru kenyataan Najib itu  tentu tidak disenangi musuh-musuh “Chief” kerana ia secara tidak langsung memadamkan api yang cuba dihidupkan bagi tujuan membakar politik Nazri.

Seperti yang kita maklum lazimnya orang politik bila dikritik serta didedahkan dalam media mengenai salah laku mereka akan bertindak melepaskan jawatan. Ianya akibat tekanan dari masyarakat. Namun hal ini tidak berlaku pada Nazri malah ironinya kedudukan beliau semakin kuat.

Pembangkang juga turut mempromosikan perihal bukan-isu ini dengan melabelnya sebagai satu amalan nepotisme  seolah-olah  dengan mewujudkan satu jawatan di kawasan Parlimennya untuk membantu beliau meraih sokongan golongan muda agar menyokong UMNO tergolong dalam kelas dan skala nepotisme yang diamalkan oleh PKR dan DAP.  

Sebagai nota,  Pembangkang terlupa walaupun dalam UMNO ada pemimpin tertentu yang memegang jawatan politik selepas bapa mereka berbuat demikian, namun semuanya melalui proses pemilihan yang sah.  Tidak ada berlakunya peristiwa sibapa menggunakan kuasa dan pengaruh supaya sianak menjadi Timbalan Presiden dan mengenepikan tokoh lebih berkelayakan seperti yang berlaku di dalam PKR dan tidak ada pula peristiwa di mana disebabkan sibapa mahukan anaknya menjadi Setiausaha Agung, maka penipuan digunakan dalam pemilihan sehingga mengakibatkan Pendaftar Pertubuhan menggunakan peruntukan undang-undang supaya pemilihan semula diadakan.

Jika perihal Nazri menggajikan anaknya dengan wang peribadinya sendiri untuk membantu tugasnya di kawasannya, itu nepotismekah namanya?.  Lainlah sekiranya Nazri memaksa Najib melantik anaknya Senator dan menjadikan  Nedim sebagai Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan.

Memang ada cerita atau cerita yang direka bagaimana dua NGO, satu daripadanya pernah bertelingkah dengan Nazir, dan seorang bekas Pembangkang terlibat dalam usaha menjatuhkan Nazri dengan alasan dangkal ini. Namun, penglibatan stesen TV swasta berkenaan dalam turut memainkan isu ini secara begitu bersungguh-sungguh menolak kemustahilan adanya tangan kotor dibelakannya.

Mari pula kita ulas pasal “serangan” terhadap Nazri kerana pemilihan UMNO akhir tahun ini. Kerana yang menghairankan Nazri dan tokoh-tokoh seperti MB Perak, Menteri Kewangan ke2,, MB Pahang,  Shahrir Samad dan lain-lain lagi tidak mempertahankan jawatan Majlis Tertinggi. Mereka mahu memberi peluang kepada tokoh-tokoh jauh lebih muda bertanding. Rumusannya jelas Nazri diserang bukan kerana  pemilihan parti.

Apa yang menghairankan ialah jika bukan kerana isu pemilihan isu apa lagi yang menyebabkan tiga malam berturut-turut Nazri diheret dalam isu anaknya? Sedang kita dan umum bertanya hal ini kita dapati Nazri yang berdepan situasi ini langsung tidak rasa takut mendepaninya. Bagi beliau  dan bagi sesiapa sahaja yang faham istilah ‘nepotisme’ dia tidak melakukan sebarang kesalahan.

Kontroversi yang menimpa Nazri macamlah dilalui Tun Dr.Mahathir dan ramai lagi tokoh-tokoh  politik sebelum ini. Bezanya ialah Dr.Mahathir disokong media berbanding Nazri . Tapi di sebalik serangan media berkenaan,  Nazri terus mendapat sokongan ahli-ahli UMNO diperingkat akar umbi, pengundi di kawasannya dan rakyat yang mengetahui apa yang dilakukan oleh Nazri sebagai Menteri.

Ketidak-tamakan Nazri terhadap jawatan dan kegigihannya bekerja dan menyelesaikan masalah rakyat menerusi kementerian-kementerian yang pernah diketuainya sudah menjadi pengetahuan umum.

Tidak syak lagi memang terdapat keperluan menyokong Nazri dan dalam waktu sama menghapuskan apa juga budaya yang boleh memporak-perandakan UMNO.-24/8/2013- OLEH YUSOF HARUN

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 248  tetamu dalam talian