21November2019

Agenda Daily

Tikus Putih, Ngeh & Nga

ikon-yusofharun150xx“Mampukah Wakil Rakyat mengatakan sesuatu yang lebih bersifat intelektual dan bermanfaat untuk negara dan rakyat?” tanya seorang sahabat penulis.  Sementara banyak tulisannya di akhbar pembangkang mengkritik UMNO secara konstruktif, dia belum pernah lagi memuji apatah lagi mengidola sebarang pemimpin dari mana-mana parti Pakatan Rakyat.  Kepadanya, “Pemimpin pembangkang satu sen pun tak guna.  Sudahlah mentadbir tak pandai, cakap pun tak pandai.”

Mengulas perbahasan tokoh-tambah Wakil Rakyat DAP di luar DUN Perak sebelum perbahasan rasmi Bajet Negeri 2012 yang antara lainnya berkenaan cemuhan ‘Black Metallic” yang dirujukkan kepada Menteri Besar Dato’ Seri Dr. Zambry Abd Kadir, sebagaimana yang didedahkan oleh ADUN Slim, Dato’ Khusairi Abdul Talib, penulis berkenaan berkata, “Nelson Mandela lagi hitam, tapi British yang menjajah negaranya tak pula mengatakan dia black metallic.  Yelah, British memang bijak, tak gunakan kenyataan atau remark yang bodoh-bodoh macam ini.  Otak macam inilah yang membolehkan British menjajah banyak negara di dunia ketika itu.”

Betul juga kata sahabat penulis ini. Kalau otak sekadar macam otak budak-budak, setakat pandai nyanyi ‘Lagu Budak Hitam’ atau label itu metallic black dan sebagainya, macam mana mahu menjadi seorang pemimpin yang berdigniti, dan jauh sekali untuk menjadi pemimpin yang boleh melindungi semua kaum.

Tapi nak marah pada ADUN Pantai Remis  Nga Kor Ming, tak patutlah. Lagipun itu bukannya cara kita.  Kita kena ingat, pertama, tentang tahap keintelektualan politiknya yang bak kata pepatah Melayu masih lagi ‘hingus meleleh’.  Kalau dia dewasa sedikit, sudah dewasa sedikit, mungkin dia menjaga digniti diri dari mengeluarkan kenyataan kebudak-budakkan seperti itu.  Kalau mahu menyerang MB sekalipun, dia mungkin akan membentangkan fakta mengapa Bajet Negeri Perak 2012 tidak begitu baik untuk rakyat.

Kedua, ADUN pembangkang di mana-mana sekalipun sama sahaja.  Mereka tak tahu fakta dan tak tahu bagaimana menggunakan fakta untuk membidas pemimpin kerajaan.

Namun, soal ada otak atau tidak, tahu atau tak tahu fakta, bukanlah alasan untuk membuat kenyataan atau melabelkan seseorang dengan unsur perkauman.  Kalau kita kata ada seorang pemimpin DAP yang datuknya dulu adalah apek penghisap candu di Mambang Di Awan ketika zaman harga timah mewah, tentu mereka melenting. 

Tapi seorang pemimpin tidak akan berbuat demikian. Bagaimana mahu menjadi pemimpin di Malaysia sekiranya tahap otak masih rasis.

Nasib baik di Malaysia, jika ada yang berani menggunakan istilah begini merujuk kepada pemimpin (seperti Presiden) berkulit hitam, bukan sahaja political lifenya pendek tetapi tak mustahil juga usianya dipendekkan oleh pihak tertentu.

Malaysia lebih demokratik kerana kata-kata begini khusus di kalangan pembangkang dilihat gurauan tak kelakar yang tidak harus diambil hati. Menurut ceritanya ADUN berkenaan melabelkan MB seperti itu ketika berucap di Kamunting di hadapan, Mat Sabu.  Yang peliknya Mat Sabu tak merasa apa-apa pula.  Mungkin bagi Timbalan Presiden PAS ini, semua pemimpin PAS berkulit putih ataupun terdiri dari mualaf justeru penghinaan seperti ini tidak terkena pada batang hidung mereka sendiri.

Apapun cerita dalam DUN kaya dengan unsur-unsur jeritan serta pemakaian nama atau gelaran oleh pembangkang ( sebenarnya terdiri dari dua wakil DAP saja) terhadap kerajaan BN.

Salah seorang ADUN BN yang sering diserang bertubi-tubi ialah Dato’ Hamidah Osman, anggota EXCO yang mewakili  Sungai Rapat.  ADUN  Pantai Remis kian menjadikan dirinya political clown apabila sering menyindir ADUN Sungai Rapat sebagai bakal Menteri Besar kerana Hamidah adalah wakil rakyat yang provokatif bila berdepan dengan pihak pembangkang.

Ada cerita disebalik Hamidah sering menjadi sasaran mereka sama ada dalam dewan mahupun di pentas-pentas ceramah. Geram dan berdendam  kerana Hamidah dituduh terlibat dalam perancangan menjatuhkan kerajaan PR yang sempat berkuasa selama 11 bulan. Seperti kita maklum, dengan tiga wakil rakyat dari PR keluar meninggalkan gabungan itu, kerajaan mereka tumbang. Mereka sukar menerima hakikat bahawa mereka ditinggalkan wakil-wakil mereka untuk mengalihkan sokongan kepada BN. Tepuk dada tanya sebab mengapa tiga ADUN dari kem mereka berbuat demikian dari menuduhkan BN merancang “rampasan kuasa” menyebabkan kerajaan PR tumbang.,

Bagi dua wakil rakyat DAP (Ngeh dan Nga) mereka sering terbabit dalam provokasi serta ucapan yang menaikan kemarahan dalam beberapa siri sidang. Tidak terkecuali, dalam sidang DUN Perak ke12 ini sepatutnya mereka fokus kepada bajet tetapi mereka lebih tertarik memperkatakan tentang UMNO per se.

Sebagai contoh,Ngeh dihari pertama membangkitkan tentang kawalan keselamatan yang didakwa memeriksa pas masuk ADUN ke dalam Dewan Undangan Negeri—ini satu penghinaan, katanya. Manakala Nga pula selain memanggil Timbalan Speaker, Dato Hee sebagai pelacur politik dan katak dan enggan memohon maaf bila diminta berbuat demikian juga didakwa memanggil atau mengelar Menteri Besar sebagai “black metalik.”

Bajet kali ini dilihat oleh pembangkang sebagai bajet biasa, bajet gula-gula serta bajet pilihanraya  namun bagi rakyat kebanyakan, mereka diberi keutamaan dalam soal meneruskan kehidupan di tengah-tengah kemelut ekonomi dunia.

Setidak-tidaknya kakitangan awam di Perak tidak dianaktirikan seperti di Selangor. Bajet negeri itu memberi bonus 10 bulan kepada kakitangan GLC negeri (seperti PKNS) manakala kakitangan kerajaan tidak layak menerima gaji minima rm1,500.

Pembangkang mempermodalkan langkah kerajaan negeri Perak menstruktur semula hutang dengan kerajaan pusat melalui program migrasi asset. Kaedah ini dilihat win-win bagi kedua pihak dan melalui proses ini, Lembaga Air Perak (LAP) akan memetrai perjanjian dengan syarikat Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB). Hutang kerajaan negeri sebanyak rm 970.59 juta berkurangan kepada hampir 7% menjadi jumlah terkini rm78.66 juta kerana hutang itu  kini bakal dibebani PAAB. Pembangkang mendakwa kerajaan negeri menjual asset kepada keajaan pusat tapi mengapa langkah itu dibolehkan bagi Pulau Pinang, tapi Perak tak boleh. Sikap double standard pembangkang bukan saja mengenai hutang kerajaan negeri tapi juga  berhubung belanjawan defisit.

Kita tidak menafikan bajet defisit suatu yang tidak baik untuk ekonomi namun dari sudut apa sekalipun bajet defisit negeri yang mencecah RM50 juta ada justifikasi. Ekonomi dunia bukan saja belum pulih dan tanda-tanda memperlihatkan dunia bakal digelapkan dengan kegawatan ekonomi sekali lagi. Bagi negeri Perak, kerajaan memperuntukan hampir 50 peratus daripada keseluruhan bajet untuk perbelanjaan pembangunan.Ia mungkin defisit dari satu aspek namun peluang pekerajaan, kemasukan pelabur asing (FDI) serta lain-lain peluang yang rakyat nikmati secara “direct” Matlamatnya tentulah untuk mensejahterakan rakyat melalui pelbagai dasar dan dasar yang lama dilanjutkan serta dasar baru diperkenalkan.

Dalam pada itu, ada juga pihak tertentu yang menganggap keputusan membentangkan bajet desifit kali ini adalah berbangkit daripada pengurusan kewangan ala Santa Claus yang dilakukan oleh Pakatan Rakyat ketika memerintah Perak.  Menurut anggapan ini, kesannya berantai sehingga ke hari ini.  Mungkin hal ini benar.  Tapi kita tak perlu membincangkan perkara ini lagi.  Tak perlu jadi macam DAP yang bertindak macam musang dalam dongeng Aesop yang menyalahkan ketinggian pohon anggur kerana tak berjaya melompat untuk mencapainya.

Rakyat Perak lebih bernasib baik dari penduduk di Greece yang berdepan krisis ekonomi yang paling teruk sejak puluhan tahun. Kadar pengganguran di Eropah merupakan isu politik yang mampu menaik atau menurunkan parti memerintah atau pemimpinnya berbanding  Perak yang mana isu ini dilihat sebagai “non issue.” Dalam bajet ini selain peluang pekerjaan dilipatganda, kilang-kilang tumbuh macam cendawan. Setakat Ogos lalu rm1.7 billion pelaburan disektor pembuatan diluluskan dengan mewujudkan kira-kira 3,672 peluang pekerajaan.

Selain daripada itu kerajaan negeri meluluskan projek pembuatan tayar dari Jepun dengan nilai rm810 juta. Ini tentu tidak termasuk syarikat Vale dari Brazil melabur dalam syarikat pembuatan pellet besi (di Lumut), fasa pertama saja membabitkan pelaboran rmj4.41 billion. Manakala semua ini menjana ekonomi, Perak bakal mencatat beberapa siri kejayaan jika 33 bakal pelabur dalam proses perundingan bersetuju untuk jadikan negeri ini tapak perniagaan. Justeru bagi Menteri Besar, Perak tidak berdepan masalah pengangguran kerana kerajaan ada formula. Usaha Perak Amanjaya Job and Career Fair 2011 melalui PeKA  menempatkan 2,000 orang dibeberapa syarikat dalam sekelip mata adalah testimony janji ditunai.

Kita boleh faham senyuman diakhir siding DUN yang terkuntum diwajah Dr.Zambry ada isyaratnya. Hampir tiga tahun menjadi nakhoda, ia melalui pelbagai rintangan sehingga suatu ketika kapalnya hampir karam.Dulu rakyat melihatnya sebagai MB yang bersifat sementara atau MB satu penggal, kini mereka mahu ia dikekalkan. Manakala dulunya Perak agak sunyi sehingga pengail ikan termasuk sebahagian statistik “pelancung”, imej itu kian berubah. Sasaran kerajaan menarik 5 juta pelancung tahun depan dengan anggaran memperolehnilai tambah disektor ini sejumlah rm5 billion.

Justeru jangan terkejut jika limau tambun yang sangat terkenal di negeri ini harganya boleh naik mendadak  sebiji atau sekilo kepada rm 20. Aktiviti  mengail ikan bagi kaki pancing bukan setakat di lombong-lombong terbiar, kolam-kolam ikan juga tumbuh bercambah di merata tempat.  Royal Belum kira-kira 2 jam dari Ipoh bukan tempat memancing walaupun ikan-ikan eksotik seperti Kelah memang banyak. Pergilah untuk merawat jiwa anda yang memerlukan terapi setelah terperap dalam hutan batu begitu lama. Mulai awal tahun depan program Tahun Melawat Perak menjanji suatu yang menarik bukan saja bagi pelancung malah bagi sesiapa yang mengemari natural beauty.

Nampaknya pembangkang bukan sahaja mati akal tetapi terpaksa akur hakikat bahawa sementara pakej ekonomi ketika mereka berkuasa lebih untuk mengkayakan pihak tertentu, maklumlah tikus tiba-tiba jatuh ke dalam beras, pakej kerajaan BN pula, seperti biasa adalah untuk rakyat keseluruhan.   Mungkin inilah agaknya ada wakil DAP yang masih berkicau tentang kehilangan kuasa ini.  Kita faham, tikus belum kenyang makan beras tuan punya beras sudah halau tikus. Bukan sebarang tikus. Bukan juga tikus gerit yang diberi penghormatan menamakan sebuah pekan di Perak sebagai Grik.  Tetapi ini Tikus Putih.-4/12/2011

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 1070  tetamu dalam talian