19November2019

Agenda Daily

Syabas Zambry dan Husni

zambry-husniKetika kebanyakan ahli-ahli Majlis Tertinggi UMNO mengumumkan keputusan mempertahankan kedudukan mereka, Menteri Besar Perak Dato’ Seri Dr.Zambry Abd Kadir dan Menteri Kewangan kedua Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah mengambil pendirian sebaliknya.

Ia bukanlah suatu keputusan yang mengemparkan namun keputusan itu sedikit sebanyak akan mengubah peta politik serta sekaligus dilihat boleh menaikkan saham  mereka. Memang benar manusia suka merancang seperti rancangan menawan Putrajaya dan menjadi PM menggantikan DS Najib Razak, tapi berapa kerat yang berjaya dalam rancangan seperti ini?

Perak sejak 20 tahun kebelakangan ini gagal meletakan calon sebagai tokoh pelapis diperingkat pusat. Boleh dikatakan kebanyakan tokoh yang bertanding sama ada Naib Presiden ataupun sebagainya tewas dengan memperoleh undi yang agak mengecewakan.

Bagaimanapun dikalangan Wanita UMNO,Tan Sri Rafidah Aziz berjaya meletakan diri sebagai tokoh tersohor. Anak  kelahiran Kuala Kangsar ini dikait dengan imej Iron Lady. Beliau kemudian diikuti DS Dr.Ahmad Zahid Hamidi yang berjaya dinobat sebagai Ketua Pergerakan UMNO yang pertama dari Perak. Beliau juga merupakan tokoh pertama dipilih menjadi Naib Presiden UMNO setelah kegagalan mantan MB Tan Sri Ramli Ngah Talib yang pernah mencuba.

Begitupun, tanpa menyentuh tentang kedudukan dalam parti, tokoh UMNO Perak terus diberi kepercayaan memikul jawatan kabinet penting.  Zahid  dilantik Menteri di Jabatan Perdana Menteri oleh mantan PM, Pak Lah, turut disenaraikan dan dikekalkan ialah DS Nazri Aziz dan DS Ahmad Husni Hanadzlah diketengahkan Najib sebagai Menteri Kewangan kedua merangkap Bendahari UMNO.

Hari ini Zahid menjadi salah seorang menteri kanan. Dari kementerian pertahanan, PM DS Najib Razak merasakan tugasnya di Kementerian Dalam Negeri lebih diperlukan.  Nazri pula ibarat supersub dalam pasukan bola sepak yang boleh menyumbang secara berkesan dalam apa sahaja posisi.  Oleh itu tidak hairanlah sekiranya beliau dipindahkan dari Jabatan Perdana Menteri ke portfolio pelancongan – satu-satunya sektor yang menghasilkan sumbangan pendapatan dan tukaran wang asing terbesar negara.

Ketika tokoh-tokoh penting dari Perak melakar sejarah tersendiri, timbul pula soal pelapis yang mana tiba-tiba negeri ini sudah macam ketandusan. Perak hampir mempunyai Ketua Wanita diperingkat kebangsaan,sesudah zaman Rafidah jika tidak ada unsur politik dalaman yang beroperasi menidakkan kemaraan Datuk Kamelia.

Bagi ahli-ahli Pergerakan Pemuda UMNO di Perak, Zahid dan Nazri merupakan mentor yang berjaya meletakkan batu atas dan kini bertindak sebagai penyuluh laluan mereka.  Harapan agar bakal lahir seorang lagi Naib Ketua karismatik dari Perak seperti bunyi mercun di bulan syawal—dah semakin sah. Dengan 24 bahagian, Pemuda UMNO negeri  mengenalkan pasti seorang tokoh muda yang menjanjikan reformasi diperingkat pusat percubaan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO negeri Khairul Azuan Dato’ Harun menawar diri bertanding Naib Ketua dilihat kena pada masa dan tempat.

Nampaknya,dari segi ini, Perak dilihat telahpun memasang strategi yang lebih matang. Ketika rebutan berlaku di negeri lain, UMNO Perak mengambil laluan berlainan.  Husni, misalnya, walaupun senior dan cukup berpeluang berkorban dengan tidak bertanding kerana mahu memberi laluan pada tokoh-tokoh jauh lebih muda. Atau dengan lain kata beliau mengutamakan proses peralihan dari golongan veteran kepada golongan muda.

 Kita dapati Husni “walk the talk” atau secara falsafahnya tidak menanam tebu ditepi bibir dan jauh dari mementingkan diri sendiri.

Tidak mustahil, contoh ini dimulakan oleh MB Dr Zambry.  Dengan mengambil pendekatan tidak bertanding, Dr.Zambry menyerahkan nasib serta masa depan politiknya pada pucuk pimpinan serta ahli-ahli UMNO. Secara relative  beliau masih muda serta mempunyai masa depan yang jauh lebih baik. Ketika ditanya sama ada penarikan diri mengertikan dia takut, Dr.Zambry berkata beliau tidak menawarkan diri bertanding di peringkat MT sebaliknya memberi ruang kepada calon lain yang berkelayakan."Sebagai seorang Menteri Besar, saya menjadi anggota MT secara automatik.”

Terlihat pendekatan Dr. Zambry dalam soal pertandingan ini bukan sahaja membawa mesej baru untuk para MB dan Ketua Menteri yang memasang cita-cita mahu bertanding dan sekaligus meramaikan calon untuk kerusi Majlis Tertinggi,  tetapi ia seperti satu ‘wake-up call’ yang mengisyaratkan satu mental set baru dalam perlumbaan MB dan Ketua Menteri UMNO dalam merebut kerusi tersebut.

Alasan klasik mereka adalah masing-masing mengaku bertanding kerana mahu berkhidmat kepada parti.  Bagaimanapun alasan ini tidak selalunya dibeli oleh kebanyakan ahli dan penyokong UMNO yang merasakan seseorang tokoh UMNO dalam jawatan senior boleh berkhidmat dan menyumbang dalam parti tanpa perlu menjadi seorang ahli Majlis Tertinggi.  Lagipun tanpa bertanding dan memenangi kerusi MT sekalipun, seseorang MB sudah tergolong dalam Ahli MT yang dilantik.  Justeru tidak ada bezanya sumbangan yang diberikan oleh seorang Ahli yang dipilih mahupun dilantik.

Namun sudah tentu kritikan mengenai hal semacam ini adalah tidak wujud atau secara suam-suam kuku sahaja.  Mungkin tidak keterlaluan kalau dikatakan tokoh MB dan Ketua Menteri yang bertanding sebelum ini bertanding atas dasar  ‘self-endorsement’.  Dalam lain perkataan merestui diri sendiri untuk bertanding.

Mungkin Dr. Zambry selaku seorang yang berpendidikan tinggi dalam displin politik dan sebagai orang yang agak lama juga berkecimpong dalam arus perdana politik UMNO dan Malaysia menyedari betapa pertandingan dalam erti kata mengukuhkan kedudukan individualastik berbanding kekuatan parti adalah punca kemorosotan keutuhan dan ukhwah dalam parti.  

Sejarah juga telah membuktikan keutuhan ini acap kali tergugat ketika berlakunya pertandingan sehingga kekuatan parti yang satu ketika dulu menjadi sinonim kepada perpaduan Melayu, dipersamakan dengan tonggak politik Malaysia dan begitu disegani di seluruh dunia bertamadun kini kian terhakis dan semakin menjadi bahan momokan, terutamanya oleh media asing.  Tentulah memelikkan sebuah parti dengan antara keahlian terbesar di dunia tidak lagi berjaya mempertahankan keutuhannya sebagai sebuah organisasi.

Jika kenyataan dan tindakan Dr. Zambry dan Husni dimengertikan sebagai satu wake-up call kepada pemimpin UMNO lain, maka ia tidak boleh dianggap sebagai satu eksperimen.  Dalam menerajui kepimpinan  negeri Darul Ridwan yang dirundung  pelbagai kekeruhan politik yang mengancam kewujudan BN dan kepercayaan rakyat terhadap UMNO itu sendiri oleh orang Melayu dan umum, Dr. Zambry yang sering membelakangkan kepentingan peribadi demi kepentingan rakyat berjaya sedikit demi sedikit mengembalikan kekuatan UMNO-BN yang telah hampir pudar sehingga berjaya memenangi PRU-13 walaupun ramalan serta kebarangkalian untuk menang adalah amat tipis.

 Syabas.-14/8/2013 OLEH YUSOF HARUN

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 1102  tetamu dalam talian