19November2019

Agenda Daily

Sungai Limau: Lebih sekadar pilihanraya kecil

sglimauw3calontpmxxPetanda awal PAS  bakal kehilangan pengaruh di negeri Kedah kini bukan lagi satu spekulasi atau andaian politik.  Ia bagaikan tertulis pada setiap tembok di Negeri Jelapang Padi itu.  Maknanya dalam apa juga keadaanpun peluang Pas untuk bangkit semula di Kedah sangat tipis.

Selepas kematian Almarhum Ustaz Fadzil Noor, Pas Kedah mengalami kelemasan dalam bendang politik negeri sebelum diselamatkan dengan kemunculan Ustaz Azizan Abd Razak sebagai pemimpin mereka. Pulihnya Pas di era Azizan menyaksikan jawatan MB negeri tersebut julung-julung kalinya diisi pemimpin mereka.

Ketika itu PAS tidak memerlukan sokongan masyarakat Cina di Kedah seperti di Selangor atau di Perak untuk menguasai politik negeri berkenaan. Pendek kata suara Pas di Kedah begitu disegani kerana ia tidak tunduk pada Dap atau sokongan pengundi Cina. Pas Kedah sering dilihat menjuarai isu-isu agama berbanding pucuk pimpinan yang dilihat lebih bersifat kompromi.

Namun dengan ketiadaan pengganti yang ketokohannya boleh menyamai kedua-dua tokoh pemimpin PAS berkenaan, kekuatan parti itu di Kedah mula mengalami zaman kemorosotan dan berkemungkinan besar tidak mampu mengulangi sejarah singkat mereka selepas PRU-12 tahun 2008.

Ketokohan mereka dilihat sangat sukar dicari ganti. Kepada mereka yang mengikuti isu ini dari dekat, mereka bersetuju dengan pendapat bahawa pada ketika ini tidak ada calon yang berkarisma seperti dua tokoh berkenaan. Dengan demikian bererti Pas terpaksa menerima realiti bahawa Kedah tidak akan menjadi milik mereka macam Kelantan untuk satu waktu yang panjang. Malah telah ada yang beranggapan peluang BN untuk mengekalkan kerajaan negeri pada PRU-14 nanti amat cerah.

Pilihanraya kecil DUN Sungai Limau pada 4 Oktober lalu tidak menjanjikan laluan mudah dalam usaha menawan semula Kedah setelah parti itu gagal mengekalkan kuasa pada PRU ke13 yang lalu.

Kekalahan itu pada perkiraan setengah pihak sebagai kekalahan teknikal kerana ketika itu rakyat Kedah keliru melihat perbalahan sesama sendiri membabitkan puak yang menyokong   Menteri Besar dan dengan kumpulan yang menentangnya.

Harapan kumpulan yang menentang Almarhum Ustaz Azizan untuk kembali menguasai politik negeri bedepan senario rumit kerana mereka sudah tidak lagi kebal. Keputusan DUN Sungai Limau walau memihak pada PAS apabila calonnya Azam Abd Samad menang dengan mengalahkan Dr.Ahmad Sohaimi Lazim dengan majoriti 1,084, ia satu keputusan yang mengecewakan. Ia boleh diibaratkan menang dalam kekalahan. Dari segi peratus majoriti saja, Pas gagal menambahnya berbanding majoriti diperoleh  Azizan iaitu 2,774 undi. Justeru dengan sendiri 1,084 adalah undi simpati yang diperoleh kerana sentiment  pengundi kepada jasa dan keringat Azizan sepanjang 20 tahun menjadi wakil rakyat mereka.

Menjelang muktamar agong PAS  akhir bulan ini, keputusan pilihanraya kecil Sungai Limau bakal mewarnai pemilihan parti melibatkan pertandingan bagi beberapa jawatan penting seperti jawatan Timbalan Presiden. Pas kini dalam dilema sama ada memilih mengekalkan Mat Sabu atau memilih tokoh ulama yang dapat mengimbangi kumpulan yang dipimpin oleh Anwar Ibrahim. Bukanlah rahsia wujud dua puak dalam parti itu satu menyokong Hadi manakala satu lagi lebih mirip pada Anwar. Jika berlaku pertandingan bagi jawatan nombor satu melibatkan Hadi dan Anwar ada yang melihat peluang Anwar jauh lebih cerah.

Sejak Pas mencatat prestasi buruk  dalam PRU ke13 lalu perwakilan parti di peringkat akar umbi mulai rimas dengan keputusan PAS berbaik-baik dengan DAP serta menjadikan Anwar sebagai ketua mereka. Cadangan agar kajian dibuat mengenai kedudukan Pas dalam kerangka ini sudahpun dimulai dengan peratus yang menyokong membimbangkan pucuk pimpinan. Soal sama ada Pas sanggup kehilangan DAP atau Anwar dapat dilihat dalam muktamar ini nanti.

Sebelum itu kita dapati kedudukan Hadi Awang sebagai Presiden Pas juga mulai diperkatakan. Kebanyakan tulisan menyentoh calon yang bakal menggalas tugas sebagai pengganti Hadi jika pemimpin berasaldari Terengganu itu menjadikan penggal ini terma terakhir sebagai pemimpin utama parti.

UMNO dilihat melalui isu pengganti apabila Dr.Mahathir memilih Pak Lah dan kini Najib pula sebagai pemimpin utama parti. Gerakan dan MIC serta beberapa parti lain lain juga menyelesaikan isu pengganti melalui proses rundingan dan juga pemilihan.

Namun bagi Pas walaupun tidak ada tanda jelas Hadi nak bersara setahun dua ini isu seperti ini jika berlaku secara mendadak ia bukan suatu yang mengejutkan. Ada berpendapat Pas memerlukan tokoh jauh lebih muda dan karismatik untuk mendepani UMNO dalam PRU ke14 dan juga mengimbangi pengaruh Anwar dalam parti berkenaan. Atau dengan lain perkataan PAS secara tidak rasmi berdepan isu Anwarisme yang dilihat cuba melakukan rampasan kuasa. Jika hal ini tidak ditangani segera, Pas akan terus jadi ulam buat rakan-rakan dalam PR.  

Sementara kita menunggu episod selanjutnya drama PAS, apa yang pasti  keputusan pilihanraya kecil Sungai Limau mengukuhkan lagi imej Mukhriz sebagai pemimpin masa depan negeri dan negara. Walaupun Mukhriz gagal mencipta sejarah sebagai Naib Presiden mewakili Kedah seperti bapanya, ia berjaya menanam bibit-bibit kebimbangan di pihak Pas. Sejak sebelum dan sesudah hari penamaan calon lagi tumpuan meriam Pas adalah terhadap tokoh ini. Mereka membelasahnya dari semua aspek termasuk usaha  merenggangkan lagi hubungan Mukhriz dengan Presiden UMNO Najib Razak.Mereka mengandaikan kekalahan Mukhriz adalah rencana yang diatur Najib kerana kemenangan Mukhriz boleh mengukuhkan cengkaman Mahathir terhadap UMNO melalui anaknya. Teori konspirasi ini menarik tapi dari segi asasnya ia tak ubah satu lagi psywar pihak lawan.

Sungai Limau adalah satu permulaan buat UMNO Kedah untuk mengukuhkan semula pengaruh di Kedah. Manakala kita sedang menyaksikan Mukhriz juga melalui transformasi sebagai tokoh muda yang mempunyai masa depan cerah,kita juga melihat Pas peringkat pusat berdepan menabalkan tokoh pelapis sebagai persiapan menggantikan Hadi sebagai pemimpin utama suatu masa nanti.

Justeru pilihanraya kecil DUN Sungai Limau bukan sekadar pilihanraya kecil biasa, tetapi ia berserta dengan implikasi lebih jauh dari who’s who atau siapa siapa yang menang kerana yang menang tidak semestinya menang semuanya dan yang kalah tidak semesti kalah semuanya.-12/11/2013 - OLEH YUSOF HARUN

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 290  tetamu dalam talian