22November2019

Agenda Daily

Sultan Selangor dan isu murtad

ikon-yusofharun150xxBARU Bukanlah sesuatu yang aneh  isu sebiji peluru yang dihantar ke rumah seorang professor menjadi seperti isu sebuah gereja yang dikerumuni JAIS. Kecoh satu negara dibuatnya. Dan dengan tidak semena-mena isu liwat serta  proses mahkamah dan juga pita video perlakuan seks seorang tokoh pembangkang menjadi ibarat secebis kisah kecil  dari hikayat 1,001 malam.

Kerana sebiji peluru itu juga, ia sekaligus mendapat reaksi spontan dan meluas dalam blog serta laman sesawang lalu menjadikan professor berkenaan lebih popular dari sebelumnya, malah lebih popular dari Menteri Besar Selangor yang kini ibarat nyawa-nyawat ikan dalam arena politik  kerana popularitinya semakin merudum.

Dan bagi sesetengah pihak yang melihat isu ini cuba dijadikan isu politik, ia pada ketika ini berjaya menjadikan professor itu idola golongan muda. Lihat saja para pelajar di UIA tempoh hari serta belia-belia yang bersembang di alam maya mengenainya. Banyak yang merasa professor itu menjadi mangsa manipulasi UMNO serta menjadinya kambing hitam diperingkat universiti.

Kita bukannya menuduh peluru itu dihantar oleh pihak pembangkang bagi meraih kemarahan rakyat namun hakikatnya peluru itu sebagai satu lagi talian hayat buat beliau. Maka andaian yang mengatakan selepas bilik kuliah beliau akan ke kancah politik dan akan dicalonkan bertanding dalam PRU ke13 suatu yang semakin mendapat perhatian umum.

Barangkali ada baiknya beliau menjadi orang politik dari tenaga akademik supaya sumbangannya dalam mencorak pemikiran rakyat lebih terarah. Nampaknya beliau kini hanya  banyak bercakap bab politik seperti pernah mempertikai kepemimpinan Presiden PAS Ustaz Datuk Seri Hadi Awang satu ketika dulu.

Benarkah mereka yang membela profesor ini sayangkan Tuanku seperti didakwa atau menggunakan isu ini untuk merenggangkan hubungan Tuanku dengan UMNO sekaligus mencipta alasan mengkritik parti dan Istana?

Begitupun krisis di antara orang Melayu dengan Istana atau krisis tiga segi di antara rakyat, Istana dan parti politik, sama ada parti kerajaan ataupun pembangkang bukanlah baru.  Hal seperti ini tentulah tidak dapat dielakkan.  Namun ia tidak lebih dari krisis dalaman keluarga.  Raja-Raja Melayu telah wujud sejak zaman berzaman lagi dan lama sebelum wujudnya orang bukan Melayu, termasuk penjajah, di negara ini.  Dan selepas Merdeka, Raja-raja diperuntukkan kuasa sebagai Ketua Agama Islam. 

Oleh itu, mengenai isu seperti ini sepatutnya bukan Melayu tak perlulah nak sibuk-sibuk memberi komen dan ulasan kerana ia tidak ada mengena dengan mereka. Tapi nampaknya isu ini begitu meluas diulas oleh bukan Melayu sebagai menuding ke arah UMNO sebagai dalang dalam hal ini dengan tujuan mempengaruhi mood rakyat pada PRU-13.  Apa agenda tersembunyi mereka sebenarnya?

Mereka mahu menunjukkan kepada umum mereka adalah pencinta agama yang mahukan hidup aman dan bahagia.  Tapi mereka bukan nampaknya tak faham tentang Islam tetapi tak faham fungsi Sultan sebagai Ketua Agama Islam.  Oleh itu bagaimana untuk memberi ulasan sekiranya perkara paling asas ini pun tidak dapat difahami dengan sempurna.

Dalam kes DUMC, Sultan Selangor telah melaksanakan fungsi baginda selaku Ketua Agama Islam serta sebagai respon kepada mereka yang dilihat memperlekehkan isu murtad. Tapi  kalau ada pihak, termasuk mana-mana pakar Perlembagaan yang merasakan sebaliknya, itu hak mereka.  Namun fakta mengenai kuasa Sultan terhadap perjalanan dan pentadbiran agama Islam di negeri ini sebagai juga di negeri lain tetap tidak akan berubah.

Sepatutnya, kita harus bersikap lebih intelektual dengan tidak menganggap seseorang Sultan sekadar berfungsi merasmikan masjid atau turut sama dalam upacara solat Hari Raya.  Tetapi, apabila ada pihak yang mempolitikkan kenyataan Sultan Selangor mengenai isu DUMC dan membawanya selangkah lagi dengan menggunakan orang tertentu bagi menyangkal tindakan Tuanku membuat kenyataan rasmi mengenai perihal berkenaan, maka tampaklah dengan sejelas-jelasnya pihak pembangkang mahu mempermodalkan hal ini sehingga menjadi satu isu politik.

Tindakan JAIS sepatutnya tidak perlu dipertikaikan oleh sesiapa.  Tetapi MB Selangor seolah-olah cuba mengambil sikap lepas tangan apabila JAIS dikecam oleh pihak-pihak tertentu yang kebanyakannya adalah bukan Islam.  PAS yang kononnya mempertahankan Islam pula terpaksa membiarkan dirinya terperangkap dalam dilemma kerana terpaksa menjaga hati rakan sebantal, DAP.

Umum tahu dalam PAS, ada sesetengah pemimpin mereka yang menyokong tindakan JAIS dan kenyataan Sultan Selangor.  Tetapi tidak semua di antara mereka itu yang berani menentang arus sebagaimana Datuk Hassan Ali, Exco Agama Selangor.  Pemimpin PAS seperti Datuk Haji Hadi Awang dan Mursyidul Am mereka, Datuk Nik Aziz Nik Mat lagi tak boleh pakai dalam hal ini.  Setiap kali ada isu seperti ini, mereka sama ada berdiam diri atau mengeluarkan kenyataan yang berbelit-belit dan tidak jelas.  Nampaknya perihal menjaga keutuhan perpaduan PAS-DAP lebih utama dan lebih penting dari menjagi integriti ummah yang melepasi sempadan politik.

Tindakan Sultan Sharafuddin Idris Shah, Sultan Selangor ke-9 adalah tepat, bersesuaian dan menurut semua peruntukan Perlembagaan Persekutuan.  Tak payahlah ada sesiapa yang nak memutar-belitkan fakta ini.  

Keperihatinan baginda terhadap perjalanan dan pentadbiran bukan baru berlaku semalam atau hanya setahun lalu.  Malah masalah agama seringkali mendapat perhatian istimewa baginda seperti dalam satu kes melibatkan seorang wanita muslim bernama Aida Melly. Wanita ini terperangkap tujuh tahun  membabitkan mahkamah syariah  dalam prosiding perceraian sehingga akhirnya kes itu berjaya diselesaikan dengan campur tangan baginda.

Keprihatinan baginda dalam hal-hal agama dapat dilihat melalui kenyataan baginda lama dulu. Ketika mengulas kes berkenaan baginda pernah berkata, “Taking so long to grant a divorce is torturous.” Baginda juga dipetik berkata “lslam is simple. There’s no need to  be extremist. It’s moderate, simple to follow and its God’s law.

Rumusannya, sikap baginda dilihat dalam satu lagi kenyataan :” as long as you do not break Gods’s law, it’s fine. Procedures . . .humans created them”. We are born on earth to be good and to prepare for after death”.

Mengapakah dalam hal ini tidak ada pula mana-mana ahli akademik yang tampil kehadapan untuk mengulas atau memuji kenyataan Tuanku ini.  Kenapa ia tidak dipolitikkan sedangkan dalam sebutan politik Malaysia, pembangkang begitu kreatif menjadikan apa sahaja perkara dan permasalahan sebagai modal politik.

Kini lihat apa sudah jadi sekiranya hal seperti ini yang sudah termaktub sebagai kuasa dan tanggungjawab Raja-Raja Melayu dijadikan isu politik.  Kenyataan Sultan Selangor sepatutnya menjadi noktah dan penutup kepada segala rasa tidak puas hati dan kekeliruan pihak-pihak tertentu mengenai tindakan JAIS. 

Sepatutnya apabila baginda Sultan mengeluarkan titah, perkara itu tak perlu dipertikaikan lagi oleh sesiapa.  Tetapi apabila ada pula cerdik pandai yang hendak mengulas, maka, ibarat kata ungkapan Inggeris, ia menjadi “blown out of proportion”. Inilah yang berlaku apabila ibarat merasakan diri terlampau pandai dan mengambil sikap lebih sudu dari kuah.

Paling menyedihkan berpunca dari tindakan mengulas kenyataan Sultan Selangor ini ialah tiba-tiba ada pula bukan-Melayu dan orang luar yang bukan sahaja membidas, mengkritik, malah menghentam (seolah-olah mereka juga adalah pakar undang-undang dan pakar kesultanan Melayu) tetapi turut mempertikaikan asal-usul Sultan sedangkan dalam keghairahan ini mereka terlupa betapa Ratu Elizabeth II dan Prince William yang bakal menjadi Raja England mempunyai pertalian salah silah langsung dengan Ratu Elizabeth 1 yang diisytihar sebagai anak haram.   Tapi kita tak mahulah campur hal-hal seperti itu.

Justeru soal orang Melayu dengan raja-raja Melayu  adalah soal orang Melayu maka mereka tidak berhak membuat sebarang ulasan.  Cukuplah sekadar Raja-Raja Melayu menjadi payong yang melindungi mereka.  Sekiranya tidak mahu berterima kasih sekalipun, tak perlulah bertindak macam orang yang terlupa asal usulnya.

Oleh itu, dalam lain perkataan, yang tak berkenaan, tolong jangan menyibuk. Ini tentang orang Melayu dan lslam.  Mengapa pula orang lain perlu menyibuk.-5/11/2011

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 254  tetamu dalam talian