12November2019

Agenda Daily

Muallim julang nama bandar Tanjung Malim

Daerah Muallim terletak di selatan negeri Perak masih terlalu baru untuk dibanding dengan mana-mana daerah kerana ia hanya baru diistihar sebagai daerah ke11  oleh  Sultan Nazrin Muizzuddin Shah pada Isnin lepas.
 
Namun jika dilihat mana-mana daerah di Perak, Daerah Muallim juga menjanjikan sesuatu yang positif. Dengan terdapat sebuah universiti—Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI)—dan kilang proton, kawasan ini bakal mencabar lain-lain daerah di Perak.
 
Kalaulah daerah Hulu Perak terkenal dengan pertanian dan kayu kayan, Perak tengah dengan pengkalan TLDM di Lumutnya, daerah Muallim sebatgai pusat pendidikan dan automotif.
 
Lazimnya bila ada universiti tersohor dan sebuah kilang automotif disesebuah kawasan maka kawasan berkenaan dijangka cepat membangun dan maju dari pelbagai aspek. Peluang pekerjaan dan perumahan menjadi factor baru.
 
Bagi penduduk di kawasan ini mereka tentu teringat bagaimana kawasan Bangi menjadi maju dalam sekelip mata apabila Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) diwujudkan pada tahun 1970an..
 
Mereka berharap daerah Muallim dan Bandar Tanjung Malim dapat ikut seperti Bangi ataupun Lembah Pantai,dimana terdapat Universiti Malaya.  
 
Daerah ini juga bakal menjadi sebuah daerah jauh lebih popular manakala bandar Tanjung Malim,yang terletak di daerah ini akan menikmati pertumbuhan mendadak.
 
Dan yang pasti harga tanah dan kediaman di daerah ini akan naik berkali ganda mengambil kira potensinya. Kerana itu menyedari bahawa ada pihak bakal menangguk di air keruh, Sultan Perak dalam ucapan di majlis berkenaan memberikan peringatan.
 
Baginda mengingatkan pemaju agar lebih bertanggungjawab. Baginda menegur pemaju yang gemar membina rumah dengan harga mahal untuk dijual kepada bukan warganegara semata-mata bagi mengaut keuntungan besar.
 
Baginda mengingatkan mereka “kepentingan perniagaan jangan sampai ke peringkat mengakibatkan warga kehilangan hak di buminya sendiri, iaitu diibaratkan seperti berakhir dengan menerima nasib ayam kelaparan di kepuk – itik kehausan di air, disebabkan perbuatan dagang lalu ditanakkan.
 
“Bumi dan negeri ini wajiblah mengutamakan warganya sendiri. Negara wajib berhati-hati dan meletakkan kepentingan jangka panjang untuk melindungi daripada berlakunya sekali lagi penjajahan di bumi merdeka ini melalui instrument pemilikan hartanah dan pada akhirnya pribumi merintis sendiri kerana bumi dipijak milik orang,’’ titah baginda.
 
Manakan tidak daerah Muallim terletak bersebelahan dengan Negeri Selangor malah jauh lebih dekat dengan Kuala Lumpur dan Shah Alam dari Ipoh iaitu ibu negeri Perak. Pada masa   ini dengan adanya perkhidmatan ETS (keretapi elektrk) dan kenderaan awam yang lebih effisyen serta dihubungkan melaui lebuhraya utara selatan, daerah Muallim sudahpun menjadi “second home”bagi ramai penduduk yang bekerja di KL dan Selangor.
 
Sedang semua perkembangan ini memihak kepada rakyat Perak, Menteri Besar Dato’ Seri Dr Zambry Abd Kadir menganggap pembentukan daerah ini sebagai usaha gigih kerajaan untuk memastikan pembangunan  tidak tertumpu di kawasan tertentu, sebaliknya melibatkan segenap pelusuk negeri.
 
Perancangan yang teratur dijangka akan dilaksanakan, bagi memastikan Daerah Muallim yang merupakan daerah ke-11 di negeri ini, bukan sahaja mampu menampung pertambahan penduduk malah  dapat mewujudkan persekitaran yang seimbang.
`
`Diharapkan Daerah Muallim ini bukan hanya merangkumi pembangunan fizikal tetapi juga mempunyai roh keilmuan selaras kedudukkannya yang pernah menjadi tempat golongan bijak pandai melontarkan ilmu dan menanam semangat patriotik,’’ katanya  
 
Katanya kedudukan Daerah Muallim yang tidak jauh dari kawasan pertumbuhan Lembah Klang, mampu membentuk peluang untuk menjadikan daerah ini lebih rancak pembangunannya.
`
`Ini bermakna akan berlakunya peningkatan pergerakan orang ramai yang mungkin akan memilih tinggal di sekitar Daerah Muallim tetapi bekerja di Kuala Lumpur. Malah ini jugalah trend atau gaya hidup warga di kota-kota besar dunia,” katanya.
 
Untuk rekod Daerah Muallim yang berkeluasan 93,435 hektar mengambil sempena  sambutan ulang tahun keputeraan baginda.Ia merupakan daerah ke-11 terdiri daripada tiga mukim iaitu Slim, Ulu Bernam Barat dan Ulu Bernam Timur yang meliputi bandar Tanjung Malim, Slim dan Proton City.
 
Dalam titahnya, baginda  berkata  bahawa perkataan mualim berasal daripada perkataan Arab, perkataan yang berkaitan dengan ilmu dan ilmuwan, bermaksud orang yang ahli dalam agama.
“Negeri Perak Darul Ridzuan kini mempunyai daerah pentadbiran kesebelas yang telah Beta perkenan, dinamakan Daerah Muallim.
 
“Nama tersebut amat bertepatan diabadikan kepada daerah ini berdasarkan latar belakang tertentu sejarah. Di daerah inilah, Sultan Idris Training College atau SITC telah dirasmikan pembukaannya oleh Sir George Maxwell pada 29 November 1922.
 
“SITC ialah pusat ilmu, pusat pengajian tertinggi tempatan untuk anak Melayu pada era pra merdeka, dibangunkan untuk memberi latihan perguruan kepada anak-anak Melayu yang berlatar belakang persekolahan dalam bahasa Melayu,” titah baginda lagi.
 
Baginda berharap Daerah Muallim  menjadi salah sebuah daerah yang termaju dengan adanya pemimpin, pentadbir serta penduduknya untuk menjadikan negeri Perak, sebuah negeri yang aman dan berjaya.-15/1/2016

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 335  tetamu dalam talian