13Ogos2020

Agenda Daily

Soalan pada Azwan, benarkah Pemuda UMNO lesu?

Bagi sesetengah, jawatan Naib Ketua sayap UMNO adalah tidak lebih sebagai ‘penghias jendela’ atau lebih tepat sebagaimana ungkapan pepatah Inggeris, ‘second fiddler’ bermaksud ‘pemain biola kedua’

Moral ceritanya, jendela adalah jauh lebih penting dari penghiasnya dan gesekan biola kedua lazimnya ditenggelamkan oleh alunan biola pertama.

Namun tanggapan seperti ini tidak selalunya benar dan tepat.  Walaupun dalam tradisi UMNO, nasib kadang-kala memainkan peranan di mana Ketua Pemuda, Naib Ketua atau juga Ketua Puteri diberikan jawatan dalam kerajaan. Ada juga berlaku ketua sayap berjawatan pengerusi agensi kerajaan sahaja.

Hakikatnya mereka yang tidak berjawatan kerajaan sebenarnya turut penting kerana keputusan pucuk pimpinan tidak memberikan jawatan tersebut adalah berdasarkan merit. Juga kadangkala quota dan sebagainya.

Lihat sahaja Allahyarham Tun Ghafar Baba. Berbelas tahun menjadi Naib Presiden dan Setiausaha Agung BN tanpa sebarang jawatan dalam kabinet.  Tugas utama Pak Ghafar ialah mengukuhkan UMNO di semua peringkat kerana beliau dianggap memiliki kebolehan luar biasa sebagai seorang pemimpin parti.

Dalam isu Khairul Azwan Dato Harun dan barangkali juga Ketua Puteri nasional, media seolah-olah terlepas pandang. Sehingga minggu ini jika dikira harinya  Azwan sudah lebih setahun  menjadi Naib Ketua Pemuda yang berboskan KJ.

Namun ini tidak bererti Azwan tidak berfungsi semata-mata kerana tiada jawatan dalam kerajaan.  Sebagai orang parti bertaraf pemimpin dia kerap sibuk berforum dengan ahli-ahli Pemuda dari bahagian-bahagian, juga rakan-rakan dari kawasan (Pasir Salak) atau dari Perak.

Ini termasuk bersarapan dengan  bermenukan politik—sesuatu tugas bagi mempekasakan pergerakan pemuda UMNO. Ia sebahagian “workshop” latihan membimbing serta memberi motivasi. Ini tentu tidak termasuk program “turun padang” menemui ahli-ahli diperingkat akar umbi.

Selain itu juga kerap menyertai mesyuarat pemuda sama ada EXCO atau biro-biro serta pelbagai progam parti yang lain  yang cukup padat.

Misalannya ketika pilihanraya kecil di Pengkalan Kubor, Kelantan , Azwan selaku pengarah pilihanraya pemuda membukti bakat kepimpinan. Kejayaan calon BN mengalahkan  PAS di kubu mereka membuktikan beliau memiliki bakat semula jadi. Strategi yang digunapakai Azwan ialah mendepani para pengundi khusus golongan muda.

Berasaskan peranan selaku pengarah pilihanraya pergerakan pemuda dalam PRK atau pilihanraya kecil, Azwan tak ubah macam panglima perang. Selain semangat, lebih-lebih lagi sebagai seorang intelek kerana berkelulusan  dari seberang laut, Azwan tidak ada masalah memahami nadi rakyat.

Sama ada pilihanraya kecil atau apa sekalipun, dia membuktikan dirinya sebagai tokoh muda yang diperhatikan. Dalam pilihanraya kecil parlimen Teluk Intan, yang dimenangi BN, Azwan lulus lagi. Jentera Pemuda  BN kembali dengan strategi yang berimpak tinggi. Hasilnya, seperti diketahui, calon BN, berjaya merampas semula parlimen Teluk Intan dari DAP.

Berlainan dengan KJ, sebagai tokoh berprofil tinggi, yang dikira tak perlu lagi diperkenalkan. Jawatan menteri belia dan sukan meletakan tokoh dari Rembau ini jauh lebih popular dari saingan dalam kabinet. Malah tak salah jika kita katakan KJ jauh lebih popular dari beberapa orang Naib Presiden.

Jangan pandang sebelah mata jawatan menteri ‘sukan” yang dikira bertaraf “junior” nampaknya memberikan kelebihan. Publisiti yang dijana turut menengelamkan Anwar Ibrahim, yang pernah menjadi mentornya, yang ketika ini berdepan isu mahkamah.

KJ beruntung kerana gen Y serta rata-rata rakyat Malaysia dari golongan belia meminati sukan sama ada bolasepak ataupun badminton dan hoki.

Disinilah daya penarik KJ dalam konteks sukan. Selaku menteri, kenyataannya diulang tayang, disiar dan diulas malah media elektronik sangat mengemari komen-komen menteri muda ini.

Barangkali UMNO atau kerajaan-kerajaan negeri terlepas pandang  program “townhall” anjuran Pemuda UMNO. Ia mendedahkan Pemuda kepada rakyat. Siapa saja boleh hadir bagi mendapatkan maklum balas serta maklumat baru.

Dalam konteks ini, kadangkala suara NGO jauh lebih releven serta berimpak pada masyarakat .Ini kerana media elektronik memberi mereka ruang menjawab serta mengketengahkan pelbagai isu termasuk mendedahkan keburukan pembangkang.

Peranan NGO sama seperti Pemuda UMNO cuma pemuda kurang memperoleh publisiti. Jika layanan sama, rakyat pasti yakin dengan peranan pemuda.Tidaklah kelak pemuda kekal dengan stigma sebagai sayap dimana ahli-ahli dilihat  lebih busines oriented dari memperjuangkan nasib rakyat.

Menjelang PRU ke14, tugas penting sudahpun menunggu. Di bahu Pemuda UMNOlah tugas mengekalkan imej parti sebagai parti pro kaum muda dipertanggungjawabkan. Ingat dalam pilihanraya kali ini, 40% atau lebih pengundi terdiri kaum muda. Rasionalnya, dalam hal ini Pemuda memerlukan sentuhan magik.

Migrasi belia desa ke bandar-bandar membimbangkan. Dasar parti terhadap kaum muda juga begitu seperti diulas Muhyiddin Yassin ketika merasmikan perhimpunan agong tiga sayap UMNO minggu lepas. Jika diterjemahkan cakap-cakap ini persepsinya ialah UMNO sebagai  sebuah parti dilihat bukan lagi “youth friendly”.

Benar bahawa, Azwan bukanlah keseorangan dalam mendepani isu-isu ini. Jentera pemuda tidak pernah tidor atau bercuti.Lihat mereka mendepani media sosial yang  rata-rata anti kerajaan.  Masalahnya seperti disebut tadi ialah mengenai persepsi. Bagi menanganinya mereka memerlukan bukan saja sokongan pihak atasan lebih-lebih lagi pihak media.Tanpa sokongan media, suara mereka takkan ke mana.

Selain itu, Pemuda berdepan persepsi bahawa mereka sebagai satu ancaman kepada status quo. Maklumlah jika populariti KJ diambil kira, dia bakal berada ditempat jauh lebih penting. Setidak-tidaknya sebagai salah seorang Naib Presiden yang dipilih. Keadaan ini sudah pasti membimbangkan ramai pihak.

Bagi Azwan, Pemuda bukanlah satu ancaman kepada sesiapa. Jika ada pihak menganggap mereka ancaman kepada status quo serta ancaman pada golongan tertentu maka ini bererti usaha meremajakan UMNO gagal malah parti bakal binasa.

Maksudnya, Pemuda adalah produk dari kilang sama dalam perjalanan menjadi dewasa. Jika tanpa diberi peluang, peranan mereka bukan saja tumpul, malah di luar parti kelak bakal lahir ramai lagi puak anti-establishmen.

Ini tentu mengundang kemerosotan pengaruh UMNO lebih-lebih lagi dalam piliharaya akan datang. Inilah ancaman besar UMNO bukan sayapnya sendiri.-3/12/2014

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 312  tetamu dalam talian