24September2020

Agenda Daily

Risikonya ke Mogadishu

ikon-yusofBARU Mogadishu bukanlah macam New York ataupun Paris dan tidak pula lebih indah dari Bangkok atau Jakarta.  Somalia sekadar sebuah negara di benua Afrika dan hanya kaya dengan orang-orang miskin dan kebuluran berbanding kekayaan hasil mahsul.

Dari aspek pembangunan fisikal, Mogadishu jauh ketinggalan berbanding sekalipun  bandar seperti Kuching ataupun Johor Bharu. Selain daripada itu Somalia pula dikategorikan sebagai negara ketujuh di dunia paling merbahaya bagi para wartawan.

Maka tidak hairan jika sejak 1992 sehingga kini sudah 34 wartawan terbunuh di sana berbanding 28 wartawan terkorban sepanjang tahun ini diseluruh dunia. Mungkin  kita tidak mahu ke Tel Aviv kerana  menganggap bandarraya ini tidak selamat, namun  kita terkejut betapa Mesir dan Afghanistan jauh lebih selamat dari Mogadishu.

Untuk tahun ini, Libya, Pakistan dan Iraq disenarai negara-negara paling bahaya atau tidak selamat buat pihak media.

Berlainan dengan kita di sini, di sana bila tirai malam berlabuh penduduknya tidak tidur lena dan perasaan sering dicengkam  ketakutan kerana sesiapa saja  boleh menjadi mangsa penembak curi atau samseng yang diupah.

Pendek kata sesiapa yang hendak  melancung ke Mogadishu ataupun ke  Somalia, batalkan saja ataupun ubah saja destinasi lawatan. Mesir lebih selamat. Bagi mereka yang masih ingin ke sana, kita doakan keselamatan mereka.

Dan bagi mereka yang ke sana tentu saja ada sebabnya. Pengunjung ke negara yang digelar “the horn of Afrika”  ini seperti misi berani mati yang sepatut mendapat ruang di dalam buku rekod Guinness.

Justeru apabila misi  rombongan anjuran bersama  Kelab  Putera 1Malaysia  dan Bakti mengumumkan rancangan ke Mogadisu, banyak pihak menganggap ketua delegasi dan penganjurnya mahu mencari publisiti murahan. Apa tidaknya dengan membawa bersama krew TV (TV3, Bernama TV, RTM dan sebagainya) liputan berita dapat kita saksikan saban malam. Milagenya tentu saja tempias kepada penganjur.

Kita tidak terlebih dulu bertanya perihal Somalia serta status keselamatan. Yang kita buaikan ialah misi ini adalah misi mencari publisiti lebih-lebih lagi Pilihanraya ke-13 semakin diambang.

Tidak ada siapa menduga sindiran serta lawak bodoh yang dibuat rupa-rupanya bertukar dalam sekelip mata. Imej keranda wartawan jurukamera Bernama TV, Allahyarham Noramfaizul Mohd Nor, 39 tahun yang dibawa turun perlahan –lahan dari pesawat tentera yang dibawa secara “live” menusuk hingga ke lubuk kalbu. Rupa-rupanya misi ke Mogadishu ada risiko yang perlu dilalui.

Somalia terjebak didalam perang saudara sudah 20 tahun sebaik saja mantan presidennya Mohamed Said Barre digulingkan dalam satu rampasan kuasa.  Somalia seperti Sudan dan negara-negara lslam lain sering dijadikan pentas pihak Barat memperlekehkan lslam dan mencatur dasar negara berkenaan agar ia lebih Barat dari status quo.

Penubuhan kerajaan peralihan sementara (TGF) yang disokong PBB masih gagal mendamaikan puak bertelagah di Somalia dan hingga kini iaitu sejak 2004, TGF sudah ada dua presiden dan lima perdana menteri. Tanda-tanda 10 juta penduduk negara tersebut akan  menikmati kedamaian adalah sukar malah keadaan tegang masih dapat dilihat dengan kematian wartawan Malaysia baru-baru ini. Kerajaan Somalia kini disokong 9,000 tentera pengaman dari pelbagai negara yang membentuk Kesatuan Afrika (AMISON)

Minggu lalu dunia kewartawan negara tergagam apabila salah seorang “putera”mereka pulang ke rahmatullah di Mogadishu sewaktu bertugas untuk majikannya—Bernama TV.

Jurugambar bertaraf kanan itu, Allahyarham Noramfaizul Mohd Nor menemui ajal sewaktu menyambung misi ke Mogadishu. Misi lain yang pernah diikuti berjaya dijalankan dengan membawa pulang pengalaman serta bahan untuk tontonan rakyat Malaysia.

Selama ini namanya tidak langsung dipeduli oleh sesiapa meskipun dia bukanlah baru dan bukan juga baru mengikuti misi yang merbahaya seperti misi ke Somalia.

Kematian Noramfaizul dianggap sahid oleh Mufti Perak. Allah saja yang menentukan status  Allahyarham di akhirat kelak dan bagi kita seagama denganya, doalah yang mampu kita iringkan.

Namun dicelah-celah kematiannya, ada juga pihak yang mahu menggunakan tragedi tersebut  sebagai modal politik walhal Allahyarham bukanlah ahli mana-mana parti politik. 

Bagi DAP,misi kelab putera ke sana adalah mencari publisiti. Untuk rekod 173 orang mohon untuk pergi, bagaimanapun hanya 55 berpeluang, itupun 7 orang naik commercial flight.

DAP serta pihak pembangkang bimbang rakyat Malaysia jatuh hati dan bersimpati dengan wartawan arus perdana yang seringkali mempertaruhkan nyawa untuk menyertai misi ke beberapa benua yang merbahaya.

DAP harus faham misi ke negara yang ramai umat lslam itu dibuat kerana meringankan penanggungan penduduk sana yang diambang kematian kerana kekurangan makanan. Penduduk sana tidak boleh mengundi dan tidak boleh menentukan kemenangan BN tapi usaha dibuat boleh mencerahkan masa depan anak-anak yang memerlukan bantuan makanan.

Kita tidak menafikan sedikit sebanyak ketua misi dan penganjur mendapat tempias dari laporan berita/bergambar. Dan wartawan yang membuat laporan bukan kerana mereka dibeli tapi kerana ia sebahagian dari tugas. Selain berita ketua dan penganjur disebut dan dilapor berulang kali, penonton tv dapat melihat dari dekat tentang keadaan disana,.

Kita tidak perlu mengharapkan ihsan media Barat dalam hal ini. Bagi rakyat Malaysia, dengan tidak perlu ke sana, kita boleh turut menyaksikan penderitaan rakyat Somalia. Lantas terpanggil sebilangan besar dari kita  menghulurkan bantuan kewangan kepada penduduk Somalia.

Salahkah pihak media memberi sedikit publisiti kepada misi ke sana berbanding pembangkang yang mendapat liputan berita hampir setiap masa. Malah pihak pembangkang terlupa kadangkala pemimpin mereka mencipta isu untuk mengejar publisiti. Kes Mat Sabu disiasat kerana menuduh polis melanggarnya sewaktu menghadiri perhimpunan haram anjuran Bersih 2.0 tempoh hari adalah bukti.

Perangai pembangkang ibarat gajah sarkas yang menghiburkan orang ramai melalui kenyataan dan perbuatan di media termasuk senarai publisiti murahan. Apakah itu OK?

Bukan semua wartawan pro kerajaan. Salah seorang pemimpin kesatuan yang dikatakan pro pembangkang sudah kehilangan kerja. Tapi media pro pembangkang boleh mengajikan sesiapa saja yang tidak sebulu dengan kerajaan asal saja wartawan itu ada bakat.

Ada yang hilang kerja dan ada yang mendapat publisiti namun bagi Noramfaizul kehilangan nyawa. Ibu dan bapanya kehilangan satu-satunya anak yang menjadi lilin menerangi keluarga mereka. Allahyarham adalah pohon yang merendangkan kasih sayang kepada keluarganya.  Kesedihan bukanlah macam pelangi yang sekadar cantik tapi tidak boleh dipegang. Bagi keluarga ini, kehilangan putera mereka adalah kehendak Allah dan mereka meredainya. Apalah salah kalau kita juga menghargai peranan Allahyarham serta 55 orang wartawan ke Mogadishu tempoh hari.

Membaca komen pemimpin DAP, kita merasakan dia dan partinya tidak faham misi ke Mogadishu. Kita bukan meminta DAP menghantar bantuan tapi usahlah perlekehkan usaha termasuklah usaha Pemuda UMNO.

Kenyataan pemimpinnya jelas mencerminkan hakikat ini. Namun walau apa yang mereka anggap serta dalam kategori mana misi ke Somalia dilihat hakikat yang tidak boleh dinafikan ialah misi Kelab Putera 1Malaysia perlu dipuji. Keberanian mereka mendepani risiko ditembak atau sebagainya menempatkan Malaysia sebagai negara yang prihatin tentang nasib rakyat negara berkenaan.

Justeru misi mereka bukan saja menaikkan nama negara di kaca mata dunia, ahli-ahli parti pembangkang pun sebagai rakyat Malaysiapun juga dapat nama. Mungkin lain kali selain mana-mana misi sukarelawan dan wartawan ikut sama, pemimpin-pemimpin DAP, PKR dan PAS juga perlu menyertai rombongan tersebut supaya tidak lagi ada tuduhan ada pihak mahu mencari publisiti.-11/9/2011

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 370  tetamu dalam talian