12November2019

Agenda Daily

Raja-raja Melayu di zaman Najib Razak

najib-raja2melayuDi Malaysia hubungan Istana dan Rakyat disemadikan menerusi persefahaman lisan:

“Adapun tuanku segala anak cucu patik akan jadi hamba ke bawah duli yang dipertuan, hendaklah ia diperbaiki oleh anak cucu duli Tuanku. Dan jika ia berdosa, sebesar-besar dosanya pun, jangan difadhilatkan, dinista dengan kata-kata yang jahat, jikalau besar dosanya dibunuh, itupun jikalau berlaku pada hokum syarak.”
 
“Hendaklah pada akhir zaman kelak anak cucu bapa hamba (rakyat) jangan durhaka pada anak cucu kita,ljikalau ia zalim dan jahat pekerti sekalipun.” Diakhir perjanjian, Demang yang bersetuju berpesan”Tetapi jikalau anak buah Tuanku dahulu mengubahkan dia,maka anak cucu patik pun mengubahkanlah.”
 
Dialog di atas (menurut susunan) adalah di antara Demang Lebar Daun dengan Sang Sapurba.  Walaupun ia tidak membawa sebarang implikasi undang-undang, perjanjian ini tetap merupakan kontrak moral di antara pihak istana dan rakyat – terdapat tawaran dan penerimaan yang menuntut kedua-dua pihak melaksanakan terma dan syarat perjanjian berkenaan.

Walaupun 600 tahun lalu persefahaman seperti ini tidak disebut sebagai perjanjian atau kontrak moral, ia tetap merupakan sesuatu yang penting.  Malah implikasinya jauh lebih mendalam kerana ia merupakah ‘sumpah’ dan  sejarah menunjukkan orang Melayu cukup pantang melanggar sumpah.

Tentulah sukar untuk dibuktikan sama ada semangat perjanjian ini yang memupuk budaya tembok pemisah sosial di antara istana dan rakyat.  Tetapi apa yang pasti agak sekian lamanya tembok ini terbina dengan kukuh sehinggakan generasi moden golongan istana seolah-olah terlupa atau mungkin terlepas pandang akan perjanjian klasik ini sehingga mencetuskan peristiwa yang memaksa kerajaan meminda Artikel 40 (1A)  Perlembagaan Persekutuan bagi menyemak kembali kuasa Raja-Raja Melayu.

Walaupun Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr. Mahathir mendapat cemuhan dan kritikan hebat dari pelbagai pihak, termasuk dari golongan istana dan sesetengah rakyat Melayu yang ketika itu dikuasai emosi kerana gagal memahami semangat sebenar pindaan berikut, namun hari ini terbukti, pindaan tersebut bukan sahaja mewujudkan keadaan menang-menang di antara Istana dan rakyat malah tanpa disedari oleh ramai, mengukuhkan persahaman asal yang tercapai di antara Sang Sapurba dengan Demang Lebar Daun enam abad silam.

Hari ini tembok yang terbina sekian lama seolah-olah sudah runtuh.  Raja-Raja Melayu lebih berjiwa rakyat dan turun padang untuk meniliti dan bergaul dengan rakyat.  Sultan Pahang menghabiskan hampir separuh usianya bergiat dalam badan sukan kegemaran rakyat.

Jika beliau selaku Presiden mendapat kritikan dari pihak tertentu, itu tidak ada kena mengena dengan kedudukannya sebagai seorang Sultan tetapi lebih menjurus kepada usaha peningkatan sukan bola sepak tanah air.

Jejak Sultan Ahmad Shah dicontohi dan diikuti pula oleh puteranya, Tengku Abdullah, Tengku Mahkota Pahang yang memegang jawatan Presiden Persatuan Hoki Malaysia (jawatan yang pernah satu ketika dulu disandang oleh Sultan Azlan Shah, Perak untuk sekian lamanya) dan juga merupakan Timbalan FAM.

Contoh istana Pahang ini diikuti pula oleh Johor apabila Tengku Mahkota Johor dengan begitu bersungguh-sungguh memimpin pasukan bola sepak Johor sehingga mendapat pujian oleh rakyat negeri itu yang mengharapkan pasukan bola sepak mereka dapat mengulangi sejarah 1985 dan 1991 ketika mana berjaya menjulang Piala Malayia.
Apa yang dilakukan oleh Tengku Ismail sebenarnya adalah sambungan kepada apa yang dimulakan oleh ayahandanya, Sultan Ibrahim, ketika baginda menjad Tengku Mahkota dengan memperkenalkan program  Kembara Mahkota Johor bermotosikal 2010, sejak 2001,  memakan masa tiga hari.

Sultan Ibrahim menunggang motosikal berkuasa tinggi menjelajah enam daerah, Pontian, Batu Pahat, Muar,Ledang,Mersing dan Kota Tinggi, dengan jarak 777 km. Baginda juga memandu lokomotif—mencatat rekod sebagai Raja pertama di Malaysia melakukannya. Baginda diberikan sijil The Malaysia Book of Records dengan tajuk pengiktirafan The First Sultan to Receive Locomotive Driving License Class 26.

Dalam dunia intelektual, Pemangku Raja Perak Raja Dr.Nazrin Shah menjadi perhatian media apabila teks ucapan baginda sering disiarkan media arus perdana secara sepenuhnya. 

Ucapan yang juga merupakan pemikiran beliau bukan sahaja mempunyai nilai akademik yang tinggi tetapi menyentuh secara langsung ke atas perihal hubungan di antara raja dan rakyat.

Sultan Kelantan yang menaiki takhta menggantikan ayahnda baginda beberapa tahun lalu memperlihatkan suatu yang jarang berlaku pada Raja-raja dinegara ini. Protokol penting tetapi baginda selesa dengan gayanya. Kadangkala baginda memakai jubah dan berketayap menghadiri majlis bersama rakyat atau menziarahi musibah yang menimpa rakyat di Kelantan. 

Kesederhanaan baginda sering dibuat perbandingan dengan dengan Raja-raja di negara ini atau di luar negara.

Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin adalah dianggap ikon jaguh kuda lasak negara. Masa baginda menjadi Yang diPertuan Agong lagi,minat ini sebahagian dari rutin. Dan baru-baru ini iaitu pada 6 0ktober lalu, baginda muncul juara buat kali pertama Kejohanan Kuda Lasak Terengganu Piala Sultan Mizan di Taman Endurance Antarabangsa Terengganu, Lembah Bidong. Baginda mencatat rekod dan sejarah terpantas iaitu  6 jam 36 minit 28 saat—sejauh 120 km bermula jam 2.30 pagi dengan kelajuan 23.25 km sejam.

Tidak ketinggalan juga  Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra ibni Syed SirajuddinJamalullail yang dikaitkan sebagai raja berjiwa rakyat. Macam Sulta Kelantan, Raja Muda Perlis juga tidak terikat kepada protocol sehingga kadangkala ia dliihat lebih “friendly” daripada kenamaan lain yang hadir dalam program baginda.

Banyak NGO khusus di Perlis menganggap baginda sebagai rakan .  Maka tak hairan jika baginda dipilih sebagai penaung Kelab Penyokong Manchester United Malaysia.

Kita juga tak harus lupa sewaktu bergelar Raja Muda Selangor, baginda Sultan Selangor belayar mengelilingi dunia mengambil masa 22 bulan. Kapal layar yang  membawa baginda meredah lautan bergelora dan berbahaya itu bernama SY Jugra. Selain dari itu Sultan Sharafuddin Idris Shah juga memandu sebuah kereta vintaj dari Beijing di China ke Paris, Peranchis pada jarak 16,000 km. Anak-anak raja Englandpun tak berani.

Kisah terbaru pula memperlihatkan, Tengku Puan Pahang Tunku Hajjah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah,mengenepikan protokol memasak untuk mangsa-mangsa banjir. Kemudian selain dari itu terdapat sekeping gambar baginda duduk berkerusikan kerusi biasa menjamu selera selepas penat memasak. Sebelum banjir melanda Kuantan dan kawasan sekitarnya, nama Tengku Puan Pahang bukan terlalu asing buat rakyat negeri itu. Cerita baginda turun padang menjengok nasib rakyat kini meniti dari mulut ke mulut menjadi sebahagian dari cerita rakyat.

Pada bulan Ogos lalu rakyat Pahang dikejutkan dengan berita bahawa Tunku Puan Pahang dimasukan ke HospitalTengku Ampuan Afzan (HTTA) kerana mengalami kekejangan otot pada bahagian atas badan selepas menunaikan solat magrib di Masjid Umar bin Abdul Aziz diKampung Seri Ketumbit,Kerdau. Ketika mengulas keadaan kesihatannya, baginda dipetik berkata” mungkin kerana terlalu sibuk dengan aktiviti menyebabkan saya tidak mempunyai masa untuk berehat.”

 Perlu dingat seperti sering disebut bukanlah rahsia baginda gemar menghabiskan lebih banyak masa menemui rakyat dalam program masakan, kemasyarakatan dan sebagainya malah baginda lebih dikenali melalui  “air tangan baginda.” Dengan lain erti  baginda sendiri terlibat didalam proses penyediaan juadah sama ada memasak lauk pauk tradisional, kueh mueh ataupun yang lebih bersifat kontemprori.

Jolokan master chef mengiringi ke setiap lawatan turun padang. Buku masak hasil karya baginda bertajuk Air Tangan Tengku Puan Pahang  juga terdapat di pasaran untuk dikongsi dengan para pembaca sama ada di Pahang ataupun di luar negeri berkenaan. Komen-komen seperti hati senipis kulit bawang bila rakyat dalam kesusahan dibuktikan baginda banyak kali.

Beberapa hari lalu gambar baginda memasak untuk mangsa banjir di Kuantan dimuatkan dalam youtube—apa lagi video berkenaan seperti “go viral” ditonton ribuan orang. Kalau kita ke Pahang melawat mangsa banjir, cerita popular ialah mengenai cerita bagaimanapun secara santai, mengenepikan protocol, Tengku Puan Pahang memasak untuk mangsa-mangsa banjir. Kemudian selain dari itu terdapat sekeping gambar baginda duduk berkerusikan kerusi biasa menjamu selera selepas penat memasak—bukanlah satu pos yang dibayangi umum .

 Kesederhanaan baginda ditambah dengan berhijab serta mengenepikan protocol menjadi buah mulut rakyat. Setengah terpanggil menyamakan baginda dengan Puteri Diana—dari aspek menitikberatkan aspek kesusahan rakyat serta watak semula jadi “humblenya itu.”

Atau dalam hal ini baginda dianggap jelmaan mendiang Puteri Wales itu. Walau apapun yang diperkatakan, Tengku Puan Pahang meletakan konsep lstana dan Rakyat berpisah tiada malah baginda adalah testimony ke arah itu. Kalaulah ada anugerah maka baginda selayaknya dinobatkan sebagai “Ratu Rakyat.”

Begitulah antara yang sempat dipetik dalam rencana ini.  Tentulah tidak dapat disenaraikan semuanya dalam ruang terhad ini.  Bagaimanapun golongan istana kini dilihat bukan lagi sekadar simbol yang berprospek untuk menjadi artifak museum, tetapi berperanan saling melengkapi kehidupan dan kesejahteraan rakyat. 

Sebagaimana rakyat, institusi raja di negara ini dilihat akan berkekalan selagi ada bulan dan matahari.-16/12/2013

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 287  tetamu dalam talian