16November2019

Agenda Daily

Pokai ide, pembangkang jadikan sidang DUN Perak terakhir sebelum PRU ke13 pentas balas dendam

ikon-yusofharun150xxBARU : Sidang Dewan Undangan Negeri Perak mungkin terakhir sebelum PRU ke13, berakhir Jumaat 21 Disember dengan memberi gambaran bahawa pembangkang dah pokai ide.

Tidak habis di dalam, di luar dewan juga, mereka masih menuduh kerajaan BN yang diterajui Dato’  Seri Dr.Zambry Abd Kadir gagal menjawab soalan mereka.

Nampaknya lima hari yang dikhaskan bersidang sejak Isnin dalam sidang Bajet 2013  masih belum mencukupi.

Kalangan wartawan mendapati EXCO-EXCO kerajaan yang dipertanggungjawabkan dengan portfolio masing-masing menyediakan jawapan secara  teks.

Boleh dikatakan semua soalan ada jawapan. Menteri Besar dan EXCOnya menjawab soalan sebaik mungkin.

Ada pertanyaan dijawab seperti “sedang dikaji” manakala bagi yang tidak memuaskan hati, pihak kerajaan berjanji memberikan jawapan kemudian.

Menteri Besar menjawab hampir semua soalan (Jumaat)  tetapi ada yang tak puas hati—DS Nizar Jamaluddin mendakwa soalannya tidak berjawab.

Pelek kerana setiap kali cuba memberikan jawapan, Dr.Zambry diganggu oleh Nizar sendiri. Bagi media, pertanyaan Nizar dijawab kerana berita yang dihantar disiarkan dalam media masing-masing.

Sama ada semua media mengguna pakai ataupun tidak bergantung kepada budibicara “boss” masing-masing.

Seperti biasa walau apapun yang dibuat, Nizar sentiasa tak pernah berpuas hati.

Inilah gambaran serba ringkas sidang DUN Perak yang berakhir Jumaat. Rumusannya mudah: cerita lama dipanas semula ibarat macam restoren mamak yang suka memanas kuah kari yang berbaki.

Memang sedap benda-benda begini dipanas semula. Cerita kecil cuba digambarkan seolah-olah kerajaan zalim dan rasuah serta mengutamakan kroni.

Bila kerajaan membuat penjelasan, seperti biasa mereka bukan nak terima. Sebaliknya disusuli dengan tuduhan lain untuk mengalih perhatian.

Namun kita dapati rakyat mulai meyakini BN. Justeru sebagai langkah terakhir puak-puak opposisi menggunakan fitnah sebagai cara menjatuhkan BN dan juga MB.

Tuduhan melulu selain dicetus wakil-wakil rakyat pembangkang serta para pemimpin mereka, bloggers merekapun ikut berperang. Tak percaya onlinelah blog-blog ini, bacalah pemikiran mereka.

Tuduhan mereka termasuklah BN mereka-reka cerita, memfitnah dan mengamalkan rasuah serta amalan kronisme . ..  .akhirnya terbukti bahawa mereka (pembangkang) kena telan air ludah sendiri.

Pembangkang datang ke dewan dengan niat berkempen. Sebagai contoh semasa berbahas belanjawan 2013, ADUN Pantai Remis(DAP)  memulakan dengan mengucap “salam reformasi . . .”

Mana dia selamat pagi? . . .

Berbanding dengan Nga, Ngeh Koo Ham(DAP-Sitiawan), DS Nizar Jamaluddin (Pas_Pasir Panjang)  dan semua adun pembangkang memulakan sama ada “datuk speaker atau assalamualaikum atau pun selamat pagi/petang”

Jeritan serta amalan kurang professional suatu yang lazim. Masih kedengaran teriakan pembangkang bahawa kerajaan BN adalah sebuah kerajaan haram . . . merujuk kepada dakwaan mereka kerajaan BN kembali berkuasa dengan cara merampas kuasa.

Perkataan seperti takut, kroni, rasuah . . . .konon membazir wang rakyat dan beraneka perkataan yang pernah dipopularan DS Anwar Ibrahim iaitu  ikon mereka diulang dan beruang-ulang.

Selain Menteri Besar, Datuk Hamidah Osman merupakan EXCO dan wakil rakyat BN yang sering mendapat perhatian pembangkang sama ada di luar atau di dalam dewan.

Sering diganggu setiap kali memberikan jawapan. Sebagai Ketua Penerangan Wanita UMNO Malaysia, beliau tidak gentar dengan serangan pembangkang. Ini asam garam politik,katanya kemudian.

Boleh dikatakan dalam setiap sidang DUN, Hamidah menjadi mangsa kritikan pembangakang.Portfolionya iaitu pelancongan diberi perhatian luar biasa.

 Selain dituduh gagal meningkat jumlah kemasukan pelancung, tidak ada ide menjadikan Perak sebagai destinasi popular dan juga tempat-tempat pelancungan terbiar. Namun Hamidah seperti kata pepatah tak menyerah kalah tanpa berjuang terlebih dulu.

Ketika ADUN Slim Datuk Khushairi Talib mendedahkan tentang Ngeh dan Nga memiliki tanah seluas lebih 10,526 di Kelantan (mukim Chiku,Gua Musang) menerusi pembelian sebuah syarikat, Hamidah bangun membantu.

Beliau bukan saja mengemukakan fakta yang disokong dengan dokumen, beliau juga membuat “search” (penyemakan) di SSN mengenai status syarikat iaitu Upaya Padu Plantation sdn bhd  yang dimiliki wakil-wakil rakyat Dap.

Didesak oleh Nga agar membuat dakwaan diluar dewan jika berani, Hamidah dan Khushairi tampil dalam sidang media di bilik media. Dakwaan diulangi.

Waktu makan tengah hari di Dewan Makan DUN Perak Khamis, Hamidah mendakwa dia dihampiri Nga  menuding jari dengan berkata “You dedah (revealed) you watch out I will go after you.”

Beliau mendakwa ia satu bentuk ugutan serta bimbang keselamatan diri dan keluarganya. Kebimbangan itu mendorongnya membuat satu laporan polis (Sabtu) mengenai ugutan berkenaan.

Isu pemilikan tanah oleh kedua-dua wakil rakyat Dap itu kini terdedah kepada orang ramai untuk menilai. Siapa berbohong?

Di dalam serta di luar dewan, dikedai-kedai kopi serta di pejabat-pejabat, kebanyakan tumpuan kepada perbincangan isu ini.

Lebih-lebih lagi setelah Ngeh mengesahkan bahawa syarikat Upaya Padu dibeli dan menjadi miliknya kini. Persoalan yang timbul mengapa kerajaan Kelantan membenarkan Ngeh dan Nga, bukan orang  Kelantan membelinya. Mengapa tidak ditawarkan terlebih dulu kepada usahawan Melayu tempatan kalau benar-benar mereka berjuang untuk Islam?

Sebelum itu cerita tindakan undang-undang bakal dibuat juga menyemarakkan dunia kewartawanan tempatan. Konon Ngeh nak saman media yang bertanggungjawab “konon menfitnahnya.”

Bukankah Menteri Besar Kelantan Nik Aziz Nik Mat mendakwa “isu ini satu fitnah serta mahu tindakan undang-undang dibuat.”?

Tak hairan di bilik media hari Jumaat, Ngeh yang mengadakan sidang media lewat petang masih bercakap mengenai “nak saman.”

Tetapi apa yang penting pemberitaan sesetengah wartawan menjurus kepada isu yang agak teknikal maka  beritanya boleh disalah tafsir. Pokoknya Ngeh dalam sidang media mengesahkan bahawa beliau adalah pemilik syarikat yang memiliki 10,526 ekar tanah itu.

Bagi media yang penting sama ada  betul ataupun tidak tanah itu kini dimiliki Ngeh dan Nga . . . .sama ada pembelian itu satu bentuk perniagaan seperti didakwa pemilik ataupun sebagainya adalah soal kedua.

Rakyat Kelantanpun nak tahu apa istimewanya Ngeh dan Nga sehingga sebuah syarikat yang memiliki tanah yang sebegitu luas berjaya dibeli. Tak bolehkah mana-mana rakyat Kelantan membeli syarikat berkenaan?

Seperti kelaziman giliran Menteri Besar mengulung pada hari terakhir iaitu pada sebelah petang.  Dr.Zambry agak slow serta pertuturanpun dikawal dengan tidak “menghentam pembangkang terlebih dulu.”

Puji wakil-wakil pembangkang yang mengemukakan pendapat serta soalan yang baik untuk rakyat . . . . .”kerana ini boleh membantu kerajaan mempertingkatkan lagi tadbir urus.”

Setelah setengah jam, Nizar yang sejak awal merenung tajam kearah Dr.Zambry bangun mencelah. Mantan MB itu keciwa penggantinya itu berdolakdalih dengan tidak menjawab soalan asal.

Beliau nak tahu mengapa Menteri Besar meluluskan kompatmen balak kepada tiga syarikat  sama yang mempunyai alamat yang sama.

Nizar menyebut nama “seorang cina anak datuk” dari kawasan Lumut sebagai pemilik syarikat berkenaan.

Dr.Zambry dengan tenang menjawab tapi Nizar masih belum berpuas hati. Dr.Zambry kemudian mengeluarkan beberapa dokumen bagi membuktikan Nizar turut “meluluskan kawasan balak” semasa menjadi MB.

Belum sempat sidang DUN habis sepenuhnya, Nizar dan Ngeh sudahpun menemui media untuk memberi versi mereka serta menuntut MB tidak bermain politik.

“You write esok, biar orang ramai baca . … ia akan jadi berita panas”kata Ngeh kepada seorang wartawan.

Manakala Nizar seperti biasa mengulangi kekeciwaan kerana soalannya tidak dijawab,  Ngeh (Nga tak ada ketika itu) pula mempertahankan diri mengenai pemilikan syarikat Upaya Padu sdn bhd.

Kepada media , Nizar dan Ngeh macam  meraih simpati agar versi mereka dapat dimuatkan. Kepada media berbahasa Cina, Ngeh bercakap dalam bahasa difahami mereka. Wartawan melayu “ternganga” saja.

Nizar kelihatan mencabar Dr.Zambry yang didakwa menghabiskan satu jam setengah berpusing-pusing (kita kenal dia, suka berbelit-belit cakap, kata Nizar) tapi tak jawab soalan sepenuhnya.

Satu ketika Nizar kata konon MB teriak hidup melayu, tapi mengapa beri kawasan balak kepada orang bukan Melayu.

Ngeh sekadar mendengar serta memerhati lagak Nizar petang itu. Apa perasaan Ngeh mengenai dakwaan Nizar tanah balak diberi kepada seorang pengusaha Cina?)

Seperti umum ketahui media berbahasa cina adalah difahami bangsa itu saja. Berapa keratkah orang Melayu boleh baca  serta faham akhbar-akhbar berbahasa Cina?

Nga sendiri ketika berbahas di dewan menunjukan laporan sebuah akhbar Cina.

Tapi Datuk Hamdi Abu Bakar, ADUN  Pengkalan Baru (BN) ada pengalaman menyedihkan mengenai laporan akhbar berbahasa Cina yang didakwanya  “satu pembohongan”.

Semasa mencelah sewaktu Khushairy berucap, Hamdi yang juga Pengarah Penerangan negeri keciwa kerana Dap menggunakan fitnah sebagai usaha menarik sokongan rakyat.

Hamdi  mendedahkan  akhbar China  press (edisi khamis) menyiarkan dia didakwa oleh Nga mengkritik ibunya, seorang guru.

Hamdi yang kelihatan emosional menafikan sekeras-kerasnya malah selain bersumpah dalam dewan, beliau  meminta pembangkang membuktikan tuduhan itu.

“Saya tak pernah kritik ibu Nga…..saya tahu dia seorang guru . . .sayapun seorang guru . . .tak pernah(kritik). Saya sanggup bersumpah . . .”

Nasib baik katanya jirannya menterjemah berita disiarkan akhbar berkenaaan setidak-tidaknya dia tahu apa yang dilaporkan.”Ini pembohongan terbesar”.

Bagi saya tiga adun pembangkang—Nga, Ngeh dan Nizar—atau dikenali 3N di Perak yang sering menyimpang dari isu-isu membabitkan masalah rakyat. Dewan cuba dijadikan pentas politik.

Mereka cuba mengalih perhatian agar kerajaan BN dilihat mengamalkan rasuah, kronisma dan sebagainya.

Semasa mengulung, Dr.Zambry menjawab tweet Ngeh yang konon menyebut dia dengar “Dr. Zambry tak akan jadi MB lagi.”

MB ketika mengulung tidak mengia atau menafi kerana beliau sedar soal siapa saja jadi Menteri Besar iaitu  sama ada dia dikekalkan  atau dibawa ke pusat, ia adalah keputusan Perdana Menteri..

Dr.Zambry yang terlebih dulu disindir oleh Pakatan Rakyat agar BN tidak melakukan demonstrasi jika mereka menang dalam PRU ke13 berkata “BN tak macam Pakatan Rakyat, berdemonstrasi . . .sebagainya.”

Dr.Zambry juga menyindir balik pembangkang agar mereka tidak mencetuskan sebarang insiden seperti berbaring atas jalan, sidang bawah pokok sebagainya.

“Saya nak dimasukkan dalam hansard ( catatan dewan) bahawa sepertimana BN telah membuktikan sekian lama bahawa kita tidak pernah langsung mengwujudkan suasana kacau bilau,tegang sekalipun sewaktu berlaku peralihan kuasa dari BN ke Pakatan rakyat.

“Tetapi apa yang dilakukan pembangkang lain. Catit dalam hansard . . . .saya mahu komitmen pembangakng sekiranya BN menang (dalam PRU ke13) kita minta mereka menghormati keputusan yang dibuat oleh rakyat,jangan mereka turun membuat demonstrasi besar-besaran,turun di Ipoh, turun di Kuala Kangsar menunjukan mereka lebih besar dari kuasa demokrasi. Kita minta mereka berjanji . . . .jangan lagi ulangi peristiwa 2009.”

Sementara itu dalam sidang media di akhir sidang DUN, Dr.Zambry menjawab tentang tuduhan Nizar bahawa tiga syarikat pembalakan mempunyai “tuanpunya” sama serta alamat sama dilulusnya.

Menteri Besar berkata  tuduhan Nizar memburukkan dan memperlekehkan BN kerana mahu menggambarkan seolah-olah zaman pemerintahan mereka terlalu suci daripada sebarang dosa dan kesalahan.

Katanya  mereka lupa  mereka juga pernah melakukan dosa dan kesalahan, malah pemerintahan 11 bulan itu lebih teruk lagi.

``Kalau mereka berniat jahat, ia akan terpelanting kepada mereka balik. Mereka lupa apa yang mereka buat tetapi kita tidak lupa,’’ katanya.

``Saya telah menjelaskan tetapi Nizar tetap tidak sabar, tapi dia tetap dengan kegelojohannya,’’  sambil menambah syarikat pembalakan dan syarikat-syarikat lain juga mengunakan pakai kaedah ini.

Menteri Besar menegaskan walaupun tuduhan melulu dibuat, kerajaan mengikut prosedur biasa seperti ditetapkan  Pejabat Perhutanan Negeri.  Terlebih dulu satu senarai pemohonan  dibentangkan kepada mesyuarat Jawatankuasa Perhutanan Negeri sebelum keputusan dicapai.

Tetapi apa yhang memeranjatkan katanya apa yang dilakukan Nizar masa jadi MB lebih teruk kerana meluluskan pembalakan di kawasan hutan simpan yang dibuat tanpa dibawa ke mesyuarat Jawatankuasa Perhutanan Negeri.

 Menteri Besar kata Dr.Zambry tidak boleh mengunakan kuasanya untuk meluluskan pembalakan di kawasan hutan simpan, sebaliknya perlu melalui proses mesyuarat jawatankuasa perhutanan.

Menjawab soalan sama ada akan membawa perkara ini kepada  Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Menteri Besar berkata, ia adalah prinsip dan beliau tidak boleh berbohong di dalam Dewan.-23/12/2012 - OLEH YUSOF HARUN

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 722  tetamu dalam talian