21November2019

Agenda Daily

PM rasmi PIDD di Ipoh pada 19-21 Oktober

Setahun telah berlalu sejak program Dialog Pembangunan Antarabangsa Pangkor (PIDD) kini menjelang satu lagi persidangan yang sama bulan depan ada sesuatu yang menarik menunggu.

Persidangan atau juga dikenali dengan panggilan dialog  ini merupakan satu produk kerajaan dalam konteks membicarakan hal-hal pembangunan melibatkan semua pihak termasuk pihak dari luar negara.

Pun begitu tentulah PIDD tidak boleh disamakan dengan mana-mana persidangan bertaraf dunia kerana ia anjuran kerajaan negeri dan tentu sahaja perspektif persidangan jauh berbedza.

Memang dari banyak aspek jika dibuat perbandingan, sebagai satu contoh, PIDD  tidak boleh menyaingi kemashyuran LIMA di Langkawi namun sebagai “the new kid on the block”, ia harus berbangga. Setidak-tidaknya ia kini bukan lagi satu persidangan bertaraf local.

LIMA berjaya menjadikan Langkawi sebagai hub atau tapak pameran udara dan maritim tersohor. Di sinilah selain pertunjukan udara dan pameran senjata dan peralatan canggih, wakil negara-negara luar hadir untuk menjayakan pameran ini.

Namun apa yang unik mengenai PIDD ialah ia merupakan sebuah dialog melibatkan para pemikir. Mereka didatangkan khusus untuk membincangkan subjek pembangunan. Hasil  input mereka sangat berguna kepada mana-mana kerajaan sekalipun.

Ini kerana seperti kata penaungnya yang juga Menteri Besar Perak, soal pembangunan merentasi sebarang ideology politik dan  sebagainya. Malah kerajaan negeri turut menggunapakai input-input itu ketika merancang sebarang bentuk pembangunan.

 Seperti diumumkan format PIDD sama seperti tahun sebelum. Kali ini yang menarik tentulah  jalinan kerjasama  membabitkan penganjur utama iaitu Institut Darul Ridzuan (IDR) dengan Koridor Utara Malaysia, dan pihak Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Untuk rekod idea penubuhan PIDD dicetuskan Menteri Besar Perak Dato Seri Dr. Zambry Abd Kadir  sebaik dilantik MB pada 2009. Beliau berjaya mengumpul para pemikir untuk tujuan menyumbangkan idea dalam bidang pembangunan. Melaluinya kerajaan negeri dapat mengutip input-input yang positif.  

Seperti disebut diawal tadi, ada sesuatu menarik mengenai forum PIDD kali ini. Pertama sekali ia bukan sahaja diadakan di venue baru ia juga bakal dimeriahkan lagi dengan majlis perasmian yang akan dilakukan Perdana Menteri manakala dikuti penutup timbalannya.

Ramai melihat forum PIDD  kali ini  ada “value added” dengan para peserta dijangka dapat mendengar amanat Dato Seri Najib Razak dihari pembukaan manakala Dato Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi pada majlis penutup.

Penyertaan Najib dan Zahid julung-julung kali akan mengangkat program ini menjadi sebuah program kerajaan negeri yang bertaraf nasional. Maknanya ia bukan lagi program bertaraf lokal. Hasilnya boleh sama digunapakai pembuat dasar di Putrajaya.

 Pemilihan venue PIDD kali ini iaitu di hotel [email protected] yang terletak di Meru Raya, Ipoh juga ada kesannya. Kira-kira 600 peserta berpeluang melihat dari dekat kepesatan pembangunan di kawasan ini. Dengan itu ia memberi indication Ipoh tidaklah lekeh manakala Meru Raya pula tidaklah terlalu kecinaan seperti bandaraya Ipoh.

Untuk rekod kira-kira 30 tahun lalu Meru Raya hanya sebahagian kawasan Jelapang (dan barangkali Manjoi) dan pembangunannya sekadar deretan rumah, beberapa buah kampong Melayu, bengkel mekanik bawah pokok dan gerai nasi lemak. Kawasan ini juga kaya dengan estet sawit.

Sejak  Dr. Zambry  menjadi Menteri Besar (pada 2009) pembangunan di Meru Raya diberi priority. Kawasan seluas 800 ekar itu kini sudah tidak lagi sunyi serta pembangunan di Meru Raya sudah sampai ke tahap membanggakan. Lebih-lebih lagi terdapat taman tema bertaraf dunia yang sedang dibangunkan.

Untud rekod pembangunan di Meru Raya—bandar siber pertama di Perak-- membabitkan gedung Mydin,terminal bas, hotel, sekolah antarabangsa dan berbagai lagi. Beberapa pejabat kerajaan pusat sudahpun beroperasi. Lebih  10 bangunan (pejabat agensi kerajaan) pusat dibina termasuklah bangunan Kementerian Dalam Negeri (imigresen), bomba, Yayasan Perak, Jabatan Perhutanan, SPRM, Jabatgan Audit, Arkib dan sebagainya.

Lebih RM5.4 bilion itu dibelanjakan bagi  menjadikan Meru Raya sebagai mercu tanda  Ipoh atau jolokan 2nd Ipoh. Sejumlah RM2.4 bilion  dilabur Perak Corp. Bhd., iaitu anak syarikat Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk) selaku peneraju utama pembangunan di sini.

 Meru Raya terletak bersebelahan lebuhraya utara-selatan merupakan  kawasan komersial dengan kemudahan infrastruktur bertaraf lima bintang. Empat daripada 17 kompleks agensi kerajaan  siap dibina  13 lagi dalam pelaksanaan. Bandar ini mampu menampung 114,000 penduduk. Lebih 4,000 unit rumah siap dibina, manakala 8,000 unit rumah dalam proses.

 Itu sepintas lalu cerita Meru Raya yang tidak ada kaitan secara langsung dengan mauduk artikel. Namun hakikatnya bagi warga Ipoh (khusus penduduk Meru Raya), pemilihan hotel Casuarina di Meru Raya sebagai venue persidangan PIDD ini ada poin signifikan.

Selain bandar ini dilihat satu kawasan ikonik bagi orang-orang Melayu, mereka juga mahu Perdana Menteri dan timbalannya melihat kesan pembangunan di Meru Raya. Barangkali PM ada membawa “hadiah” untuk Meru Raya kelak.

Bila bercakap pasal Meru Raya kita terpanggil mengutip komen Dr.Zambry, yang pernah berkata bahawa:"Kalau kita perhatikan, projek di kawasan Meru Raya adalah pelan yang terancang. Ini adalah bukti perancangan pembangunan di Perak berjalan dengan sangat baik."

Berbalik mengenai PIDD kali ini, ia akan berlangsung selama  tiga hari bermula pada 19 - 21 Oktober ini. Ia juga merealisasi impian dan hasrat  Dr. Zambry yang mahu mengantarabangsakan Perak melalui pelbagai pendekatan sebahagiannnya termasuk melalui forum PIDD.

Jika inilah impiannya tidak syak lagi impian itu sudah dapat dilihat dalam tempoh terdekat. Tidak berapa lama dulu, Perak melalui YBU berjaya memenangi hadiah atau Anugerah Khas Kewangan Islam Global 2014. Anugerah itu menamakan Dr. Zambry sebagai pemimpin contoh atas sumbangannya menangani isu kemiskinan dengan mengilhamkan penubuhan YBU.

Perak juga bukanlah lekeh dari segi imej antarabangsa. Ia mengukir nama melalui institusi pengajian tinggi bertaraf dunia seperti Universiti Teknologi Petronas (UTP). Siapa tidak tahu  Royal Belum di Gerik dan warisan dunia Lembah Lenggong (lokasi Perak Man)  serta  Festival Puisi dan Lagu Rakyat Antarabangsa.

Dr.Zambry pernah berkata:"Dengan adanya pendekatan ini, kita sentiasa berusaha mengantarabangsakan Perak di seluruh dunia. Buat permulaan PIDD ini dimulakan secara sederhana dengan harapan ia dapat diteruskan di masa akan datang, dengan cara ini kita dapat perkenalkan Perak di peringkat dunia.

Sementara kita menunggu hasil dialog PIDD bulan depan kita ikuti komen Menteri Besar dalam majlis pra pelancaran program berkenaan baru-baru ini.

Bagi Dr.Zambry dialog PIDD tahun ini  “dalam usaha menjadikan negeri Perak sebagai pusat pecetusan dan perbincangan  idea selaras dengan gagasan negeri ini”. Tidak syak katanya lagi Perak akan menjadi lokasi perbicangan dalam hal yang berkaitan dengan pembangunan.

Ini kerana katanya  pembangunan itu sendiri  adalah merupakan bidang yang tidak akan terhenti, para pemikir dan golongan intelektual akan sentiasa memberikan idea baharu, gagasan baharu dalam usaha mengubah dan memperbaiki skop pemikiran masyarkat dunia.

 Perak tambahnya mengambil kesempatan meletakkan negeri ini diperingkat antarabangsa dalam membincangkan perkara yang berkaitan dengan pembangunan.

Bakal memeriahkan dialog ialah dengan kehadiran tokoh-tokoh  seperti Dr. Tommy Weir dan Profesor Matt  R. Andrews dari Harvard Kennedy School, USA.  Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Seri Abd Wahid Omar turut hadir dan akan membentangkan kertas kerja.-15/9/2015 OLEH YUSOF HARUN

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 253  tetamu dalam talian