14Ogos2020

Agenda Daily

Perak siap sedia menabalkan Sultan Nazrin 6 Mei ini

Menjelang hari pertabalan Sultan Perak ke35 Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan Raja Permaisuri Tuanku Zara Salim pada 6 Mei kelak, persiapan semakin menampakkan kesan. Dan sekaligus rakyat menunggunya dengan penuh debaran.

Berita baik buat penduduk di negeri ini apabila kerajaan negeri telah mengistiharkan tarikh berkenaan sebagai hari cuti umum.

Menteri Besar Dato Seri Dr.Zambry Abd Kadir yang membuat pengumuman itu berkata “Kerajaan negeri telah mewartakan bahawa tarikh tersebut yang jatuh pada hari Rabu sebagai cuti umum.”

Bandar diraja Kuala Kangsar pula selaku venue utama tempat berlangsung pertabalan sebagai contoh sudahpun kelihatan berbedza dari kelaziman apabila keadaan lanskap (seni taman)serta dengan sinaran lampu hiasan di sekitar bandar tertua ini memberi nilai tambah.la sudahpun menjadi satu daya tarikan.

Untuk rekod, bandar diraja ini yang terletak 48km dari Bandaraya Ipoh, mendapat nama bersempena pokok kangsar yang tumbuh meliar di tebing sungai.Terdapat cerita rakyat bagaimana bandar ini juga turut dikenali sebagai “kuala kurang sa” sempena dengan kiraan “peneroka” yang singgah di sini iaitu kurang satu kuala atau tebing menjadikan ia genap 100.

 Namun walau apapun, hari ini Kuala Kangsar selain merupakan bandar diraja tempat terletaknya Istana Iskandariah, ia merupakan satu kawasan sangat strategik dari segi kemudahan asas, pusat pendidikan bertaraf nasional,pusat pertanian juga popular sebagai “home of the MCKK atau Maktab Melayu Kuala Kangsar”—kolej tersohor dirantau ini.

Lebih-lebih lagi dengan adanya Istana Iskandariah dan Majid Ubudiah, di Bukit Chandan, tak hairan Kuala Kangsar adalah lokasi paling popular sekali. Hujung minggu sahaja, kawasan lembah dipenuhi pengunjung yang ingin melihat wajah Kuala Kangsar. Kelazatan Laksa dan cendolnya sudah menjadi sebutan umum.

Ramai juga antara kita masih ingat tentang pokok getah tertua yang terdapat diperkarangan Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Kangsar. Ia berusia lebih 100 tahun. Biji getah dari luar dibawa masuk pada 1877 dan ditanam di sini. Hari ini  dan sejarah menunjukkan Malaysia makmur dan hampir menjadi sebuah Negara “maju” seperti Singapura  adalah salah satu berasaskan dari sumber dan hasil getah.
        
Justeru kalau Kuala Kangsar hari ini jauh berbedza dari katakan 50 tahun lalu bukan sesuatu yang menakjubkan. Dan pemilihan  bandar ini sebagai Bandar diraja, yang terletak ditebing Sungai Perak, sebagai venue rasmi bersemayamnya sultan-sultan perak, sangat sesuai sekali.

Sempena hari pertabalan juga, kita dapat menyaksikan perubahan besar dari beberapa aspek. Bandar ini kini tidak lagi lesu. Walaupun aktiviti rakyat di sini tetap berjalan seperti sediakala kelainan yang wujud juga dapat disandarkan kepada usaha mengindahkan lanskap serta wajah bandar ini.

Waktu malam sebagai contoh jauh lebih ceria dan dihidupkan dengan keindahan pantulan cahaya dari lampu-lampu hiasan berwarna warni itu. Ia tidak sesekali menjemukan.

Sebelumnya pokok-pokok hiasan  yang mendereti jalan-jalan raya menuju ke Istana lskandariah sekadar berada pada tahap melepaskan batuk ditangga namun kini ia memberi makna kepada konsep lanskap itu sendiri—konsep seni taman benar-benar dijelmakan.

Pada waktu malam juga kelihatan lampu-lampu jalan menerangi kawasan lstana serta sekitar lstana di bukit chandan. Pintu gerbang diterangi dengan indah sekali menjadikan ia tarikan baru di waktu malam.  Ramai tidak melepaskan peluang membawa anak-anak bagi menjamu mata. Ia juga satu sejarah dalam pembikinan. Kita tidak harus lupa banyak  binaan seperti pintu gerbang ini sebagai contoh, yang menggambar Bandar KK (kuala kangsar) sudah bersedia menerima tetamu luar dan dalam.

Kemudian satu lagi ialah terdapatnya billboard mega yang didirikan di persimpangan masuk ke Jelapang/Taman Meru di Ipoh dari lebuhraya utara selatan sudahpun menunjukkan semakin hampir hari pertabalahan. Tertera gambar  Sultan Perak dan Raja Permaisuri Perak tersenyum dengan berpakaian rasmi. Potret baginda berdua kini dapat dilihat dimerata tempat diseluruh pelusuk Perak.

Beberapa batang jalanraya di sekitar bandar ini  juga diberi “face-lift” baru. Jalannya ditar serta diberi jagaan rapi agar pengunjung terutama para kenamaan tidak pulang dengan rasa keciwa.

Sementara majlis persiapan diatur dengan begitu teliti dan penuh istiadat kebesaran diraja, pihak lstana memaklumkan bahawa persiapan sudahpun memasuki tahap 90 peratus. Maknanya sedikit hari lagi,siaplah segala-galanya menunggu harinya sahaja.

Penduduk di bandar ini juga dapat melihat pembinaan Panca Persada berdekatan Istana Iskandariah bagi upacara Siram Tabal. Ia bakal digunakan pada malam 7 Mei. Ia   dibina berasaskan Panca Persada yang digunakan semasa pertabalan Almarhum Sultan Azlan. Ia berkonsepkan piramid  berukuran 64 kaki lebar dan 22 kaki tinggi dengan 11 tingkat. Setiap tingkat dihiasi  bendera negeri dengan turut dilimpahi lampu yang berwarna-warni. Dipercayai 35 orang tukang mahir terlibat dalam pembinaannya.

Bagi rakyat jelata pula apa yang menarik perhatian ialah istiadat pertabalan Sultan Perak sangat signifikan untuk disaksikan kerana ia sesuatu catatan sejarah yang paling bererti. Ingat kali terakhir pertabalan sultan di negeri ini kira-kira 30 tahun lalu.

Sultan Perak merupakan “direct decendent”atau berasal dari keturunan kesultanan Melayu Melaka, salasilah yang tidak terputus beratus tahun  lampau. Mengikut cerita sejarah Sultan Perak pertama iaitu Sultan Muzaffar Shah I merupakan putera Sultan Melaka yang kemudian dijemput dan dibawa ke Perak sebagai sultan pertama.

Oleh  sejak baginda menjejakkan kaki ke bumi Perak dipenuhi dengan pelbagai pengalaman misteri serta didepani halangan seperti terpaksa  mencampakkan mahkota ke laut dan membasahkan kaki (turun ke dalam air) ke beting beras basah maka istiadat lama itu perlu dikekalkan.  Ia adalah testimony betapa Perak masih kaya dengan sejarah lampau. Dan sejarah ini sebagai peringatan bahawa betapa susahnya Perak,yang ketika itu tidak beraja memperoleh seorang raja dari keturunan Sultan Melaka.

Mungkin agak keterlaluan untuk diungkap namun  cerita bagaimana wujud jin-jin selaku penjaga di kawasan beting beras basah semasa rombongan sultan perak pertama menjejakkan ke bumi Perak bukan cerita tahyul. Biarlah ada yang merasakan ceritanya seperti perasa ajinomoto ke dalam   sejarah pertabalan itu sendiri.

( Perlu disebut di sini dari sudut sejarah adat istiadat pertabalan Sultan Perak (seperti  dalam buku  Adat Istiadat DiRaja Negeri Perak ) disebut dengan jelas pertabalan Sultan Perak terdiri daripada tiga peringkat-- Tabal Kerajaan, Tabal Adat dan Tabal Pusaka. Tabal Pusaka ialah nama lain bagi upacara Tabal Jin sehari selepas Tabal Adat. Upacara ini berlangsung dimana Sultan dan Raja
Permaisuri  bersiram di Balai Persada dengan air yang diambil dari tujuh kuala Sungai Perak. )

Menurut cerita lisan, peranan jin-jin tidak dinafikan dalam banyak aspek berhubung sejarah Sultan Perak dan peristiwa berkaitan.

Sewaktu Almarhum Sultan Azlan ditabalkan pada 9 Disember,1985,majlis sama diadakan. Turut kelihatan Almarhum Tuanku menerima Pedang Cura Si Manjakini dari Pawang Diraja. Mastika Embun dipersembahkan dan Cap Halilintar dibisikkan ke telinga kanan baginda berhubung rahsia nasab keturunan Sultan Perak pertama .

Serentak dengan itu Bendahara ketika itu Tun Syed Zahiruddin Syed Hassan membacakan pemasyhuran pertabalan sultan mengikut pasal 6 perkara 2 Undang-Undang Kerajaan Negeri Perak. Kedengaran laungan 'Daulat Tuanku' sebanyak 3 kali , sebelum bergema paluan Nobat dan tembakan meriam 21 das.

 Bagi Setiausaha Dewan Negara Perak, Toh Amar Seri Diraja Datuk Ayop Hashim pertabalan Sultan Nazrin sangat signifikan kerana beliau turut terlibat pada ketika Almarhum Sultan Azlan ditabalkan pada 1985 dulu.

Beliau yang menemui pihak media dan mengulas mengenai pertabalan ini berkata:“Sudah 90 peratus persiapan siap cuma menunggu tarikh berlaku istiadat pertabalannya sahaja.”

Bagaimanapun katanya istiadat meletak kerja pertabalan  3 Mei kelak akan  dimulakan dengan bacaan doa terlebih dahulu sebelum dimainkan nobat sebagai menandakan bermulanuya istiadat meletak kerja serta tembakan meriam sebanyak 17 das.

“Turut diadakan majlis kesyukuran dan doa selamat pada malam hari berkenaan bertempat di Masjid Ubuddiah Kuala Kangsar dan beberapa masjid lain diseluruh negeri Perak.”

Selain dari itu istiadat sebenar pertabalan berlangsung pada 6 Mei 2015, manakala lstiadat lstiadat Bersiram Tabal dan Tabal Pusaka pula bakal berlangsung pada malam 7 Mei depan.

Manakala Istiadat pertabalan dan kebesaran Sultan Perak ke35 dalam proses
keberlangsungan, rakyat dijangka dapat menyaksikan elemen-elemen penting yang memaparkan keunikan dan kekayaan adat Kesultanan Melayu Perak yang diwarisi sejak tahun 1528. Untuk rekod pertabalan Sultan Perak adalah sesuatu yang sangat unik kerana ia mengambil kira adat yang digunapakai hampir 400 tahun sebelumnya.

Berbedza dengan pertabalan raja-raja lain, Perak, yang kaya dengan adat dan warisan lama bakal kehilangan sentuhan sejarah jika permodenan menjadi galang ganti. Hari ini banyak adat disesuai dengan agama berbanding pada ketika adat pertabalan itu digunapakai ratusan tahun dulu.   

Sebagai contoh asal usul nobat tentu sangat menarik untuk diketahui rakyat. Ini kerana bukan selalu kita melihat serta mendengar nobat dimainkan.Catatan  Sejarah Melayu berbunyi, Nobat (atau Naubat dalam bahasa parsi) berasal dari istana Bintan. Permaisurinya yang bernama, Wan Seri Beni menggunakan semasa menabalkan Seri Teri Buana sebagai seorang raja. Peralatan ini telah dibawa ke Temasik (kini Singapura) apabila Seri Teri Buana membuka negeri berkenaan sebelum dibawa pula ke Melaka. Nobat akhirnya dibawa pula ke Kedah, Perak dan Johor-Riau.

Kita tertarik dengan penjelasan Bendahara   Tan Sri Mohd Zahidi Zainuddin baru-baru ini, yang mana katanya pihak lstana memberi tumpuan kepada enam acara yang membabitkan adat istiadat pertabalan.

Satu jawatankuasa yang beliau pengerusikan  mengendalikannya turut berpandukan serta mengikut adat istiadat pertabalan Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah pada 1985.

"Perkara mustahak yang ditumpukan ialah Istiadat Meletak Kerja pada 3 Mei...paluan nobat akan dibunyikan bersama-sama dengan 17 das (tembakan) meriam oleh Angkatan Tentera Malaysia sebagai tanda bermulanya kerja-kerja untuk acara pertabalan," katanya.

 Istiadat 'Tabal Adat' pada 6 Mei akan menyaksikan dua perkara utama iaitu pengisytiharan pertabalan Paduka Seri Sultan Perak disusuli dengan pemasyhuran gelaran  Raja Permaisuri Perak yang bakal dilakukan Bendahara dengan lauangan Daulat Tuanku' bagi Sultan Nazrin dan 'Daulat' untuk Tuanku Zara sebanyak tiga kali.

(Dalam buku Adat Istiadat DiRaja Negeri Perak  susunan Dato’ Ayop Hashim (Toh Amar Seri DiRaja),  semasa upacara Tabal Adat, Toh Seri Nara DiRaja akan membisikkan “Rahsia Nasab Sultan I” ke telinga Sultan yang sedang ditabalkan , dalam hal ini ke telinga Sultan Nazrin )

Menurut Mohd Zaidi lagi kali ini istiadat perarakan membawa al-Quran semasa 'Tabal Adat' Sultan Nazrin, ialah al-Quran itu akan dibaca terlebih dahulu, sebelum diarak dan diserahkan kepada baginda."Sebelum ini Tuanku ada menitahkan bahawa dalam sesuatu majlis hendaklah diadakan bacaan al-Quran, jadi dalam majlis ini, al-Quran itu akan dibaca."Sultan Nazrin akan memegang dan mengucupnya terlebih dahulu sebelum meletakkan kitab suci itu di tempatnya selepas diarak."

Klimaks pada acara pertabalan itu nanti ialah Bendahara membacakan pengisytiharan pertabalan, dan menyerahkan Pedang Cura Si Manja Kini kepada Sultan Nazrin iaitu menandakan majlis secara rasmi menepati maksud pertabalan.

Katanya oleh kerana di Perak tidak mempunyai mahkota, “kami menggunakan pedang ini sebagai simbolik penyerahan kuasa raja kepada Tuanku dan Tuanku akan mencabut pedang itu serta dicium sebelum Bendahara melaungkan 'Daulat Tuanku'."Pada masa yang sama nobat akan dipalu disertai tembakan meriam sebanyak 21 das."

Satu lagi acara dianggap utama berlangsung pada sebelah pagi 7 Mei, iaitu istiadat mengambil air dari tujuh kuala sungai yang telah dinamakan, untuk 'Adat Bersiram Tabal'.

Ia disusuli acara keempat, istiadat 'Tabal Pusaka', iaitu upacara penyerahan 16 alat kebesaran seperti Pedang Cura Si Manja Kini dan Geliga Embun serta nobat kepada Sultan Nazrin, akan berlangsung pada sebelah malam.

"Yang kelima ialah istiadat menziarah makam. Ini adalah satu daripada adat yang memerlukan sultan yang dilantik, selepas ditabal adat dan juga ditabal pusaka, akan menziarahi makam Almarhum sultan-sultan terdahulu," katanya.

Sultan Nazrin dan Tuanku Zara serta rombongan kemudian pada  8 Mei akan melakukan  Istiadat menziarah makam seperti berangkat menziarahi Makam Tok Temong di Kati, Kuala Kangsar.

"Oleh kerana pembangunan di negeri Perak, sebahagian daripada makam ini boleh diziarahi dengan menggunakan pengangkutan darat. Oleh itu, jawatankuasa mengekalkan sebahagian daripada istiadat ini untuk menggunakan rakit dikenali sebagai 'Balai Gambang', yang menyaksikan Tuanku menziarah lima makam di sepanjang Sungai Perak semasa pergerakan Balai Gambang dari Pasir Salak ke Teluk Intan," katanya.

JKR Perak mengesahkan seni bina Balai Gambang berkenaan mengambil contoh yang digunakan oleh almarhum Sultan Azlan. Ia dihiasi  ukiran tradisi Melayu Perak.

“Signifikannya, penggunaannya bagi tujuan mengekalkan tradisi pertabalan  sebagai akses Tuanku ke makam-makam ini,” kata Pengarahnya.
Untuk rekod Balai Gambang, berupa rakit, merupakan alat pertabalan digunakan  menziarah makam-makam Almarhum Sultan Perak terdahulu  di tebing Sungai Perak. Ia seberat 4.5 tan boleh memuatkan antara 10 ke 15 orang.

Makam berkenaan ialah Makam Almarhum Sultan Mahmud Shah (Sultan Perak ke-16) di Kampung Pasir Pulai, Sultan Abdul Malik Mansur Shah (Sultan Perak ke-19) di Kampung Bandar Baru, Sultan Alauddin Mansur Shah Iskandar Muda (Sultan ke-17) di Kampung Teluk Memali, Sultan Shahabuddin Riayat Shah (Sultan ke-21) di Tanjung Penangguh dan Sultan Iskandar Dzulkarnain (Sultan ke-15) di Pulau Indera Sakti Pasir Panjang Ulu.

Pada 14 Mei pula, Sultan Nazrin akan melawat serta menjejak kaki di 'Beting Beras Basah' yang terletak di muara Sungai Perak (dekat Baggan Datoh)  sementara istiadat 'Menutup Kerja' akan berlangsung pada 17 Mei.Istiadat Tabal Pusaka ini, yang bermula pada pukul 9 malam dan berakhir pada tengah malam.

Untuk rekod Kaum wanita tidak digalakkan menyertai rombongan ke Beting Beras Basah ini.Ia dilakukan orang-orang lelaki sejak  turun-temurun.

Sedang progress pertabalan dijalankan, pihak Polis juga bersiap dengan program mereka.Ketua Polis negeri Datuk Osman Salleh berkata, orang ramai perlu mematuhi arahan dan panduan  ketika menyaksikan larian pertabalan dan pertunjukkan tattoo pada 16 Mei.Ia bagi mengelak permasalahan seperti kesesakan lalu lintas.

Katanya 1,550 anggota bakal terlibat sepanjang hari pertabalan. Serentak dengan itu beliau menasihat orang ramai  mematuhi peraturan untuk  menyaksikan raptai penuh larian Pertabalan dan Pertunjukan Tatoo pada 14 Mei.

“Mereka perlu mematuhi panduan dari  polis mengenai laluan, drop zone, pick up zone dan lokasi tempat letak kenderaan. Pengguna lebuh raya perlu menggunakan Jalan Persekutuan pada 6 dan 9 Mei nanti”katanya.

 “Pada 6 Mei, pengguna dinasihati tidak menggunakan lebuhraya pada jam 7 pagi hingga 9 pagi, manakala pada 9 Mei pula, pengguna dinasihati tidak memasuki lebuh raya dari jam 7 petang hingga 9 malam,”kata beliau lagi.-2/5/2015

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 409  tetamu dalam talian