15November2019

Agenda Daily

Perak negeri pertama rizabkan tanah untuk Orang Asli

Perak adalah negeri yang ada wawasan dalam konteks membantu masyarakat orang asli hidup dan menikmati tahap  kehidupan yang lebih baik.

Justeru masyarakat pribumi ini diberi pembelaan oleh kerajaan negeri melalui pelbagai program. Ia tidak digendang sebagai satu publisiti murahan.

Namun hakikatnya musuh politik kerajaan mengambil kesempatan untuk mempelbagaikan dakwaan kosong.

Konon masyarakat orang asli di Perak terpinggir. Menteri Besar didakwa tidak mengambil berat akan permasalahan mereka. Inilah lagu-lagu lapuk yang didendang pembangkang bagi menjustifikasi mereka sangat prihatin.

Tetapi semua orang tahu tuduhan itu tidak benar. Masyarakat pribumi ini tidak dibiar sendirian atau dipinggirkan sebaliknya kerajaan negeri dibawah pimpinan Menteri Besar Dato Seri Dr.Zambry Abd Kadir memberikan perhatian khas.

Jika dilihat dari dekat program kerja dibuat Menteri Besar ke kampong-kampung mereka sejak 5 tahun lalu terbukti tuduhan pembangkang bahawa mereka dipinggirkan tidak lebih hanya sebagai helah politik.

Pada masa lalu pembangkang kurang meminati untuk mendekati pengundi masyarakat orang asli yang secara relatifnya kecil berbanding sekarang. Kalau satu dua undi tidak berbaloi. Habis duit minyak sahaja.

Itu cerita dua puluh tahun lalu tetapi sekarang di beberapa kawasan di Perak, Kelantan dan Pahang, sebagai contoh, pengundi orang asli dilihat faktor membantu kemenangan calon-calon bertanding.

Terdapat kalangan mereka menjadi aktivis masyarakat dan ada yang aktif dalam dunia politik. Tujuan tidak lain untuk membantu masyarakat mereka mengharungi kehidupan jauh lebih baik. Hari ini ramai generasi muda berkelulusan tinggi berkhidmat di dalam kerajaan atau di sektor swasta. Ramai menjadi doctor, professor, lawyer dan sebagainya.

Secara tradisinya masyarakat orang asli mengundi calon-calon BN atau dengan lain perkataan menyokong kerajaan BN. Tetapi itupun senario dulu sekarang sudah ada yang secara terang-terangan menyokong pembangkang.

Kita tentu masih ingat  Senator Muhammad Olian Abdullah dari Umno iaitu satu-satunya kalangan masyarakat orang asli di Parlimen. Ramai lagi tidak menyertai UMNO tetapi merupakan penyokong tegar parti itu.

Di kawasan Gerik terdapat cawangan UMNO yang ahlinya terdiri dari kesemuanya masyarakat orang asli. Ketuanyapun terdiri anak jati masyarakat mereka.

Maka tidak hairan hari ini setiap kenyataan dikeluarkan mereka mendapat perhatian. Sebagai contoh timbul ura-ura pembangkang akan mencalonkan tokoh dari masyarakat orang asli bertanding di parlimen Tapah dan di DUN Chenderiang dan Air Kuning dalam PRU ke13 lalu.

Tokoh yang diramalkan oleh sebuah portal pembangkang Malaysiakini sebagai calon mewakili pembangkang ialah Amani Williams-Hunt @ Bah Tony, juga seorang peguam. Untuk rekod, hal ini tidak menjadi kenyataan.

Usaha pembangkang menarik sokongan masyarakat asli disahkan seorang pemimpin mereka. Ketika ditanya media,beliau berkata ”Saya ini nak kata (sokong) Umno ke parti mana tak tahu. Tapi  Anwar Ibrahim datang ke rumah saya di Port Dickson di Kampung Sunggala."

Tetapi sejak selesai PRU ke13 dan kebanyakan masyarakat orang asli mengundi calon-calon BN seperti di Tapah, pembangkang tidak duduk diam. Mereka terus menjadikan pelbagai isu dihadapi masyarakat orang asli sebagai isu politik.

Mereka mahu memperlihatkan kepada masyarakat orang asli bahawa mereka memperjuangkan nasib masyarakat berkenaan.

Tetapi di Perak keadaan cukup berbedza. “Gula-gula” pembangkang sukar menembusi pemikiran mereka seperti wujud dinding yang teguh. Seperti disebutkan tadi masyarakat orang asli di Perak adalah penyokong tegar UMNO.  

Ini mungkin kerana dasar-dasar kerajaan negeri lebih menampakkan kesungguhan membela nasib mereka dari sekadar membuat janji kosong. (Untuk rekod mereka tidak suka ditipu dan jika berlaku mereka akan hilang kepercayaan sama sekali.

Masyarakat orang asli di Perak bukan bodoh menilai antara kaca dengan permata.
Sebagai contoh Perak merupakan negeri pertama merizabkan tanah kepada suku-suku orang asli. Ia bukan retorik politik sebaliknya fakta yang kini menjadi bualan masyarakat orang asli.

Perkara ini disahkan Dr.Zambry ketika berucap (Isnin) dalam  Program Peningkatan Profesionalisme Batin-Batin Orang Asli Negeri Perak 2015 di Pusat Konvensyen Amanjaya, Bandar Meru Raya, Ipoh.

Menteri Besar juga mengumumkan  seluas 12,883 hektar tanah dirizabkan oleh kerajaan negeri sebagai penempatan Orang Asli di negeri ini.Maknanya mereka kini mempunyai tanah secara rasmi.

Bagi tujuan rekod,  Kelantan belum ada tanah-tanah  dirizabkan untuk masyarakat orang asli. Pernah berlaku beberapa tahun lalu (sebelum PRU ke13) tanah orang asli dirampas untuk tujuan lain oleh kerajaan negeri.

Ahli parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah ketika mengulas isu sama pada masa itu mencadangkan perbincangan antara kerajaan negeri Kelantan dengan masyarakat orang asli bagi mencari jalan penyelesaian terbaik.

Jika tidak katanya, ia akan terus membebankan masyarakat pribumi itu berikutan berlaku semakin banyak tanah yang mereka tanam dengan pelbagai tanaman diambil balik.

“Oleh itu, jabatan terbabit tidak sewajarnya berdiam diri dan perlu berdepan untuk berbincang dengan kerajaan negeri supaya ia (maslah ini) tidak terus berpanjangan,” katanya.

Itu adalah komen dari Tengku Razaleigh mengenai nasib masyarakat orang asli di negeri Kelantan.
Bagi Perak, seperti disebut tadi kerajaan negeri awal-awal lagi memberi perhatian dengan melibatkan masyarakat orang asli secara inklusif dalam perbincangan dalam program-program  motivasi dan siri seminar.

Dalam konteks merizabkan tanah-tanah untuk masyarakat asli, kerajaan bukan melakukan menjelang pilihanraya. Sebagai contoh pada 2012,kerajaan negeri merizabkan 11,600 hektar sebagai penempatan mereka. Ia melibatkan  250 kampung Orang Asli di seluruh negeri ini.

 Siang tadi angka itu bertambah. Menteri Besar berkata kerajaan negeri  merizabkan seluas 12,883 hektar tanah sebagai penempatan mereka. Ia bertujuan bagi menjamin kesejahteraan hidup masyarakat itu.

“Hanya kerajaan negeri Perak merupakan kerajaan negeri yang pertama yang menyediakan kawasan-kawasan penempatan Orang Asli,” katanya.

Dalam nada sama, beliau mengingatkan tok-tok batin supaya tidak mudah termakan hasutan pihak tertentu yang cuba mempertikaikan usaha murni kerajaan mengenai isu status tanah rizab penempatan Orang Asli kononnya kerajaan negeri zalim, tidak adil dan sebagainya.

Di Perak, sebanyak 164 perkampungan Orang Asli mempunyai bekalan elektrik yang dibekalkan oleh TNB, 23 lagi mempunyai generator dan 52 lagi menggunakan kuasa solar.

 Lembaga Air Perak (LAP) membekalkan air kepada 35 buah kampung Orang Asli di negeri ini.
Sebanyak 163 buah kampung mempunyai kemudahan jalan premix, 35 masih menggunakan tanah merah, lapan buah kampung mempunyai jalan `crusher run’.

Sehingga Mei lalu  bilangan pelajar Orang Asli yang menuntut di sekolah menengah seramai 2,037 orang, sekolah rendah seramai 5,037, IPTA seramai 159 orang dan IPTS seramai 29 orang.

Sudah ramai  belajar di luar negara-- di peringkat ijazah 13 orang, peringkat ijazah sarjana (Masters) enam orang di United Kingdom manakala dua lagi peringkat Doktor Falsafah (PhD) di Australia.

Sementara itu kerajaan pusat juga tidak duduk diam  sebaliknya mempunyai rancangan bagi menambahkan lagi pendapatan mereka melalui aktiviti pembangunan di kawasan masing-masing.

Ini disahkan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), Datuk Hasnan Hassan ketika memaklumkan bahawa purata pendapatan isi rumah Orang Asli pada masa ini adalah sebanyak RM1,300. Ia adalah hasil dari dividen-dividen  daripada  FELCRA dan juga RISDA. Mereka juga memperoleh dividen antara RM450 hingga RM1,000 sebulan.

Katanya  dalam jangka masa panjang  pendapatan mereka boleh mencecah antara RM1,300 kepada RM2,500.“Katakan mereka berkeupayaan untuk mengutip buah sawit, bekerja sebagai penyelenggara ladang, menanam sawit dan sebagainya, ini dapat menambah pendapatan lebih kurang RM1,200 sebulan.”

Mengenai perlaksanaan program pagi tadi, beliau berkata ia bertujuan membentuk pemikiran tok-tok batin sebagai pemimpin masyarakat Orang Asli untuk turut terbabit dalam projek pembangunan di bawa kerajaan di kawasan mereka.

“Tujuan kita mengadakan program tranformasi profesionalisma ini untukmem buka minda mereka bahawa mereka bukan sahaja menyaksikan pembangunan malah turut menyertai projek-projek ekonomi di tempat mereka,”katanya.

Kita berharap penjelasan dan pengumuman Menteri Besar serta penerangan Ketua Pengarah JHEOA itu tidak terus dipolitikkan. Berilah peluang mereka menikmati pula kehidupan jauh lebih baik seperti mana yang dinikmati rakyat Malaysia yang lain.-6/10/2015 OLEH YUSOF HARUN

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 240  tetamu dalam talian