21September2020

Agenda Daily

Pemansuhan ISA: Lembu punya susu, sapi…

ikon-yusofharun150xxBARU Nampaknya begitu bersorak-sorai para pembangkang merai dan merayakan permansuhan ISA.  Rata-rata mereka merasakan keputusan kerajaan itu adalah disebabkan tekanan yang telah mereka berikan kepada kerajaan selama ini justeru sudah sedia untuk mempermodalkan peristiwa pemansuhannya sebagai bahan kempen Pilihanraya Umum ke-13.

Tapi realitinya, apakah pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri dibuat semata-mata kerana sebab sedemikian, atau apakah kerajaan mempunyai sebab lain yang tidak ada kena mengena dengan tekanan pembangkang?

Sebenarnya Akta Keselamatan Dalam Negeri atau ISA masih dianggap releven dalam usaha kerajaan memastikan keselamatan rakyat terjamin.  Tapi sebagaimana banyak undang-undang lama, terutama undang-undang yang digubal sewaktu negara belum Merdeka, dan malah sewaktu selepas Merdeka,  maka pemansuhan Akta KDN untuk digantikan dengan undang-undang lain bukanlah kes terpencil.  Pemansuhan dan penggubalan undang-undang baru adalah perkara biasa dan tidak ada kena mengena dengan sebarang tekanan.  Cuma oleh kerana selama ini pembangkang begitu sibuk menggunakan ISA sebagai modal menghentam kerajaan, maka tampak pemansuhan tersebut macam usaha mereka.

Langkah kerajaan memansuhkan ISA tentulah sudah lama difikirkan malah mengikut Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishamudidin Hussein prosesnya sejak dua tahun lalu. Atau dengan lain perkataan sebaik “team” Datuk Seri Najib Razak mengambil alih teraju dan tampuk pemerintahan negara.

Isu ISA sudah lama menjadi kudis kepada pemerintahan Barisan Nasional.
Kita boleh faham ISA yang asalnya digubal oleh pemerintah Inggeris pada tahun 1948 bertujuan memerangi komunis. Rakyat yang pro komunis tentu menentang rang undang-undang ini kerana mereka adalah seperti kata pepatah “baling batu sembunyi tangan.”

Dengan memperkenalkan undang-undang ini, Inggeris berjaya mematahkan sedikit sebanyak pengaruh komunis di  bandar-bandar dan juga di kampung-kampung baru Cina. Ketika itu pertubuhan sekerja atau union, di kampus-kampus dan juga di jabatan kerajaan serta parti-parti politik diresapi pengaruh komunis. Pendek kata komunis ada dimana-mana, cuma macam mana nak buktikan. ISAlah jawapan kerana mahkamah terlalu sukar dalam konteks mencegah jenayah ala mission impossible.

Di zaman Perikatan memerintah, ISA  dikekalkan kerana ia dilihat releven. Walaupun ancaman komunis mulai reda namun saki baki serta elemen-elemen yang dikaitkan dengan pertubuhan haram ini tidak tidur dan tidak juga berdiam diri. Sejarah memperlihatkan mereka tidak mengancam melalui senjata tapi melalui  propaganda ditabur menggunakan macam-macam strategi.

Dalam era perang dingin antara Amerika dan Russia serta Komunis Cina menyimpan simpati kepada Russia dan negara anti AS, komunis dilihat memakai berbagai uniform. Disatu pihak, mereka dilihat menyokong kerajaan manakala dipihak lain, agenda mereka terserlah. Untuk membawa mereka ke muka pengadilan bukan semudah membawa Chin Peng ke meja rundingan kerana mereka ternyata lebih bijak dari Chin Peng.

Ketika itu ISA adalah alat menyekat subversif komunis dari merebak dan mengancam pemikiran generasi muda. Itupun ada yang terlepas dari perangkap ISA kerana saki bakinya berjaya lari dan menyembunyi di luar negara. Kumpulan ini tidak tidur, mereka menunggu peluang seperti jugalah peluang jiran kita melihat perpecahan kita untuk membolehkan mereka memasang catur.

Di zaman Tun Mahathir Mohamed mengambil alih pemerintahan dari Tun Hussein Onn, ISA dilihat releven kerana ancaman kepada keselamatan negara sedikit sebanyak kelihatan.

Kini anasir subversif dan anti kerajaan menggunakan cara yang berbeza dengan cara komunis dalam konteks menghuru harakan keselamatan negara. Dadah, Dedah dan Rasuah diguna sebagai alat melihat kerajaan Melayu lemah dan merudum. Bukankah itu dibuat secara senyap-senyap. ISAlah yang boleh digunakan untuk bertindak ke atas kumpulan yang konon menggunakan sebuah negara jiran sebagai markas.

Walau polis atau PDRM mengunakan alat tercanggih serta strategi yang sebijak CIA atau FBIpun belum pasti mereka boleh memastikan penjahat tidak bertindak. Di Indonesia, ramai rakyat tidak berdosa menjadi korban kumpulan berani mati. Setakat ini di Malaysia tanda-tandanya belum nampak. Peristiwa al Ma’unnah pada tahun 2001 bukan kebetulan namun kehebatan kumpulan ini memperdaya pihak keselamatan hampir membuahkan hasil yang boleh membawa negara ke ambang petaka.

Dalam era Mahathir, kritikan terhadap pengunaan ISA bukan saja datang dari pembangkang, sesetengah NGO juga memihak kepada puak ini. Namun kerana rakyat ketika itu menyokong kerajaan BN, tidak seperti sekarang, maka tidak timbullah isu penentangan. Malah DS Anwar Ibrahim selaku timbalan kepada Mahathir dan dilihat bakal PM Malaysia, juga mempertahankan pengunaan ISA. Ia dibuat dikhalayak ramai, cuma hari ini apabila berada di luar, kedengaran kritikannya. Anwar patutnya, melalui pengaruhnya, mencadangkan pemansuhan ISA sewaktu berada dalam kerajaan. Bukankah cara itu lebih mudah dari membiarkan saja Najib akhirnya mendapat milagenya?.

ISA dilihat draconian, kejam dan zalim. Tapi berapa ramai yang pernah ditahan dibawah ISA.  Lihat saja rekod mereka yang ditahan, apakah mereka tidak bersalah dan ditahan kerana mereka tidak bersalah. Kebanyakan yang ditahan ada sebab ditahan dan polis sendiri ada bukti yang tidak boleh dibawa ke mahkamah. Kebanyakan tahanan di kem Guantanamo juga tidak dihadap ke mahkamah kerana pihak berkuasa sukar membuktikan tuduhan serta kes berprofil tinggi macam ini penyiasatannya perlu jangka masa lama. Kita bukannya menyokong langkah AS menahan mereka. Dalam hal ini AS yang sering menjerit tentang kebebasan kita dan seringkali memberi amaran tentang dasar kita, juga menggunakan hujah yang sama.

Langkah kerajaan memansuhkan ISA tentulah membuat pihak polis lebih tertekan. Menggunakan undang-undang sivil dan jenayah untuk membawa mereka ke muka pengadilan tidak mudah. AS yang canggih dari pelbagai peralatan dan prasaranapun akhirnya tewas dan terpaksa menggunakan undang-undang ala ISA untuk memerangi pengganas.

Namun Najib dilihat menerima kehendak rakyat yang mahukan ISA yang dilihat menyekat kebebasan rakyat ditamatkan. Ia satu keberanian di pihak Najib  berbanding pemimpin terdahulu darinya. Namun Najib berdepan dengan risiko dari ancaman pengganas yang selalu memakai berbagai topeng. Sejarah saja akan menjadi hakim tentang risiko yang Najib ambil, untuk tempoh kini, biar pembangkang berpesta.

Pembangkang boleh dihadapi melalui peti undi tapi sikap dan perangai mereka adalah hal yang sangat sukar diduga. Pembangkang akan mengunakan apa saja strategi untuk meraih sokongan. Sebagai contoh dalam mereka mengalu-alukan pemansuhan ISA,kita lihat kenyataan mereka yang mempertikai keikhlasan kerajaan. Dan mereka nak tengok dulu pemansuhan ISA serta pengubalan akta baru.

Hishamuddin juga terpaksa bersilat mempertahankan tindakan kerajaan. Kalau mengikut pembangkang, merekalah yang instrumental menyebabkan kerajaan memansuhkan ISA. Tapi realitinya, buah yang dijolok, sudah lama masak dan ia ranum dan gugur di zaman Najib. Biarlah kita matang menghadapi situasi ini dari menganggap semua kerajaan buat adalah kerana “penentangan kita”.

Najib tidak perlu apologetic kepada puak-puak ini. Zaid lbrahim, seorang peguam terkemuka dan tokoh politik yang “kaya dengan idealisme” memohon maaf kepada Najib kerana menganggap Perdana Menteri tidak berani. Najib kini bukan saja lebih berani malah lebih matang menilai keadaan.

Sehinggakan ada yang berpendapat, Najiblah satu-satunya tiang seri yang berdiri tegak mempertahankan UMNO. Dalam situasi sekarang, tanpa Najib, kata mereka, UMNO dan BN, menghadapi kesukaran untuk memenangi pilihanraya umum ke13. Pembangkang dan puak mereka menyedari hal ini, justeru usaha memastikan Najib jatuh dan tumbang adalah permulaan mereka untuk mara ke Putrajaya.19/9/2011

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 464  tetamu dalam talian