12November2019

Agenda Daily

Nizar perlu pulangkan Dato Seri?

ikon-yusofharun150xxKalau masih ada yang marah-marahkan Dato Seri Nizar Jamaludin kerana perbuatannya, ia suatu yang tidak harus dihairankan.

Bagi mereka yang mencadangkan gelaran Dato’ Seri yang dianugerah Istana Perak pada tahun 2008 semasa dia menjadi Menteri Besar, kini  patut ditarik semula, ia juga tak harus dipertikaikan.

Kini terpulang kepada tuanpunya badan sama ada nak pulangkan darjah kebesaran itu sebagai menyatakan penyesalan kerana perbuatan tempoh hari iaitu mempertikai pembidaan nombor plet www1 oleh Sultan Johor.

Itu kita serah kepadanya. Dia orang bijaksana, ada pelajaran tinggi dari luar negara, dia boleh gunakan akal fikiran untuk pertimbangkan.

Jangan lupa Sultanah Johor adalah kerabat diraja Perak kerana ayahnda baginda iaitu Almarhum Sultan Idris adalah Sultan Perak sebelum ini.

Tapi sejak seminggu kebelakangan ini, Nizar berdepan kemarahan rakyat Johor yang luara biasa kerana merasa keciwa Nizar  mempersenda pembidaan Sultan Johor bagi mendapatkan nombor plet www1.

Selain dari laporan polis, pihak Pemuda UMNO Johor dan Ngo-Ngo di negeri itu  mengadakan “demonsrasi” besar-besaran membantah perbuatannya.

Dari reaksi umum, ada sebilangan kecil komen-komen yang dikutip  memihak kepada Nizar kerana mereka merasakan tidak salah bagi ex-Menteri Besar itu menegur walaupun membabitkan Sultan.

Namun bagi majoriti rakyat  Johor (juga di lain-lain negeri) mereka mempamerkan rasa keciwa serta sangat marah kerana perbuatan Nizar itu dilihat satu penghinaan kepada sultan mereka.

Sebagai orang Melayu,  Nizar tidak sepatut mengeluarkan kata-kata begitu lebih-lebih lagi Sultan Johor bukanlah orang politik.

Selain dianggap menghina, Nizar berbohong dengan mengatakan pembidaan itu membabitkan wang kerajaan.

Ini adalah fitnah yang sukar diterima akal macam lain-lain tuduhan yang pernah dibuat Nizar lebih-lebih lagi bagi orang yang pernah menjadi Menteri Besar.

Tegur tidak salah asalkan ia  berhemah serta kena pada tempat. Selain dari itu teguran Nizar itu bukan dibuat melalui sepucuk surat ataupun dalam pertemuan dengan tuanku.

Nizar memilih mentwitkan melalui twitternya sebanyak tiga twit.

Barangkali penyokong Nizar melihat perbuatan ahli parlimen Bukit Gantang itu tidak bertentangan dengan kebebasan yang diperjuanglan.

Bukankah hak bersuara serta hak asasi manusia diberi jaminan dalam undang-undang?

Sementara hal ini ada benar, Nizar mungkin terlupa bahawa pembidaan  bagi nombor www1 itu dibuat atas nama peribadi dengan menggunakan wang dari poket tuanku.

Kita tidak harus lupa RM520,000 bukanlah wang yang sedikit bagi sesiapa saja yang mahu membuat bidaan.

Setengah orang termasuklah Nizar sendiri merasakan wang sebanyak itu patut digunakan untuk tujuan kebaikan rakyat.

Sebab itu juga Nizar menganjurkan agar wang itu digunakan untuk pembinaan rumah pprt melibatkan rakyat miskin yang tidak berumah.

Kita tidak harus keliru dengan komen-komen seperti itu seperti juga komen yang dimulakan Nizar dan kemudian dikembangkan oleh puak-puaknya.

Apakah Nizar ada bukti menuduh Tuanku Sultan Ibrahim ibni Almarhum Sultan Iskandar menggunakan wang kerajaan untuk pembidaan nombor berkenaan.

Kita percaya Nizar tidak ada bukti dan tidak mempunyai maklumat yang cukup untuk membuat dakwaan seperti yang umum ketahui.

Sebab itu apabila Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Idris mengeluarkan kenyataan melalui twitter baginda menafikan pengunaan wang kerajaan walaupun sen, Nizar ternyata kantoi.

Dalam twitternya, Tunku Mahkota Johor menjelaskan kerabat diraja Johor yang memerintah negeri itu tidak pernah mengambil duit kerajaan dari era Almarhum Sultan Ibrahim ibni Sultan Abu  Bakar yang memerintah Johor dari 1895 hingga tahun 1959.

“Saya sendiri semasa menjadi Raja Muda tiak pernah mengambil satu senpun daripada kerajaan sehingga hari ini. Jadi sebelum anda membuka mulut, selidik dulu” titah baginda.

Ternyata Nizar bukan saja tidak ada maklumat serta tidak menyemaknya terlebih dulu, mantan Menteri Besar Perak itu memfitnah Sultan Johor dengan membuat andaian baginda menggunakan wang rakyat.

Ini dapat dilihat dengan permohonan maaf yang dibuat tetapi tidak merujuk secara khusus pada isu berkenaan.

Nizar dipetik oleh media (Sinar Harian) berkata “jika ada mana-mana pihak tergores hati dengan mesej Twitter itu, saya mohon maaf.

Katanya apa dinyatakan dalam laman twitternya tidak bermaksud mempertikai keputusan Sultan Johor yang menawarkan bidaan tertinggi sebanyak rm520,000.

Sebaliknya kenyataan itu dibuat secara umum. “Jika ada menuduh saya menghina sultan, itu sudah keterlaluan.”

Tidak keterlaluan jika kita katakan niat Nizar dalam hal ini semata-mata mahu mencemar nama baik Sultan Ibrahim dengan tidak mengambil kira reputasi baginda sebagai seorang sultan sebuah negeri seperti Johor.

Apakah ini cara seorang wakil rakyat memberikan jawapan bagi mempertahan diri? Maka tidak salahlah jika ada yang menganggap Nizar cuba menegak benang basah.

Nampaknya jika kita lihat sejarah Nizar,  beliau bukanlah pertama kali berkelakuan  biadap (meminjam perkataan yang digunakan Menteri Besar Perak) terhadap pihak Istana.

Siapa boleh lupa ketika mengetuai kerajaan Pakatan Rakyat di Perak, Nizar yang bergelut menyelamatkan kerajaan pimpinannya telah mempertikai keputusan dan arahan Sultan Perak.

Bahkan Nizar menggunakan perkataan sembah derhaka merujuk kepada keengganannya mengosongkan kerusi Menteri Besar seperti dititahkan tuanku.

Itu tiga tahun dulu, Ingatkan dia dah bertaubat tapi rupa-rupanya selepas Perak, Johor pula menjadi sasarannya.

Seperkara lagi Nizar memperoleh darjah kebesaran dari lstana yang membawa gelaran dato seri. Masa itu dia baru saja menjadi Menteri Besar Perak ke10 setelah kerajaan BN tumbang dalam PRU ke12.

Maknanya Nizar diberi gelaran itu kerana “discretion tuanku” bukan kerana kebijaksanaannya ataupun kerana dia Menteri Besar. Bukankah suatu masa dulu seorang sultan sebuah negeri menarik balik darjah kebesaran yang dikurniakan kepada seorang menteri besar?

Kita bukannya nak mendesak pihak lstana menarik darjah kebesaran yang diberi kepada Nizar tetapi sebagai seorang bekas Menteri Besar, memetik kata-kata budak nakal “lu fikirlah sendiri.”-9/6/2012

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 260  tetamu dalam talian