16November2019

Agenda Daily

Nizar enggan layan soalan, media pulang hampa

ikon-yusofharun150xxKalau ada sejarah yang mengeciwakan pihak media, hari ini (Jumaat) bakal masuk sebagai hari paling sukar dilupakan. Semuanya gara-gara sidang media (atau dikenali PC) mantan Menteri Besar Dato’ Seri Nizar Jamaluddin di pejabat PAS negeri di Ipoh yang dilihat tidak berbaloi.

Petang semalam kebanyakan media dihubungi bagi memaklumkan satu sidang media diadakan pagi ini membabitkan Nizar.

Biasanya sidang media pembangkang jarang mendapat sambutan luar biasa melainkan bloggers atau media pro mereka seperti Harakah, Suara Keadilan dan sebagainya.

Tetapi PC pagi ini lain kerana Nizar beberapa hari sebelumnya mencetuskan kontroversi dengan dakwaan Perdana Menteri menemui para pegawai tertinggi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) meminta sokongan PRU ke13.

Soalan mengenai dakwaan itu dikemukakan namun Nizar menepis dengan berkata akan mengadakan sidang media lain kali pula.

Itupun katanya “bila ada keperluan.”

Dipendekkan cerita, dia enggan jawab soalan tersebut.

Rupa-rupanya sidang media ini mengenai konvensyen parti itu minggu depan dan bukan mahu menjawab dakwaan yang dianggap umum sebagai “teramat penting.”

Seperti umum ketahui dakwaan Nizar membabitkan keselamatan negara serta dakwaan Najib meminta ATM melakukan rampasan kuasa bagi menghalang pembangkang berkuasa satu yang sangat serius.

Seorang wartawan memberitahu rakannya “berita tu(konvensyen) aku tak mahu . . .aku tunggu jawapan Nizar pasal statemennya dua hari lalu.”

Apakah Nizar terlupa kenyataannya itu bukan saja mendapat liputan di Malaysia bahkan media di luar seperti di Singapura dan Thailand turut menyiar dalam penerbitan masing-masing.

Malaysia bukan macam negara-negara “undemocratic” yang mana kuasa politik  berada di hujung muncung senapang. Dengan kata lain, militiri menentukan siapa yang  bakal berkuasa dan siapa bakal menjadi Perdana Menteri.

Banyak kerajaan tumbang kerana militiri campur tangan.

Sebab itu kenyataan Nizar  diberi perhatian oleh pihak luar kerana di Malaysia, belum pernah berlaku campurtangan tentera dalam proses demokrasi terutama membabitkan pilihanraya.

Pilihanraya di negara ini dilihat lebih baik dari banyak negara di rantau ini serta merupakan sistem paling effisyen bagi memilih sebuah kerajaan demokratik.

Dari cakap wartawan mereka tertanya, mengapa Nizar takut untuk jawab soalan itu hari ini?.

Mengapa masih mahu menunggu dan masih mahu mempermainkan perasaan orang ramai?

Mengapa Nizar mahu  melaga-lagakan Perdana Menteri dengan ATM?

Kalau Nizar ada bukti,ia harus dikemukakan segera supaya satu siasatan boleh dibuat.

Mereka juga tertanya-tanya sama ada Nizar berbohong seperti dalam kes kilang Vale di Teluk Rubiah sehingga memaksa Dr.Zambry membuat pendedahan.

Mereka juga hairan mengapa Nizar sanggup meletakan isu keselamatan negara sebagai isu politik sedangkan isu seperti ini boleh mencetuskan keadaan huru hara.

“Aku keciwa, kalau nak jadi pemimpin biar berani bertanggungjawab, bukannya baling batu sembunyi tangan . . .”kata seorang wartawan kepada rakan yang lain.

Walau apapun kesimpulannya, Nizar dilihat pemimpin sukakan publisiti murahan tapi tidak seberani seperti sering dipamerkan.

Bos di KL terkedu apabila diberitahu PC Nizar mengenai konvenyen bukan seperti yang dijangkakan.

Ada wartawan mengeluh kerana terlepas PC  Dato’ Seri Dr Zambry Abd Kadir yang melakukan lawatan ke Kg Baru Jeram, Bandar Baru Jeram, Kampar bagi menyampaikan sumbangan kepada mangsa banjir.

Media elektronik dilihat memikul peralatan “canggih” ke pejabat PAS manakala wartawan kanan media yang berpejabat di Ipoh bersiap sedia dengan pelbagai soalan.

Sementara semua ini menimbulkan rasa keciwa terhadap Nizar, Dr.Zambry dalam sidang media di Kampar menyifatkan dakwaan Nizar  terhadap PM dan ATM sebagai ‘mala fide’ (berniat jahat) dengan tujuan menghasut.

Menteri Besar berkata tindakan Nizar itu juga biadap dan tidak bertamadun kerana sikapnya yang gemar berceramah dengan mengutip sampah maklumat di tepi-tepi jalan tanpa menghiraukan sama ada fakta tersebut benar ataupun tidak.

Katanya mantan MB itu cenderung memainkan isu-isu berdasarkan fakta palsu asalkan dapat menanam kebencian rakyat terhadap pemimpin BN  termasuklah PM sendiri.

“Ceramahnya juga penuh dengan dendam kesumat, maki hamun dan menghina. Dia hanya lontarkan tuduhan dan suruh orang jawab. Macam itulah perangai dia sepertimana yang kita tengok setiap kali Dewan bersidang,” tambahnya.

Dr.Zambry berkata tuduhan Nizar  serius kerana ia mengambarkan seolah-olah wujud komplot sistematik untuk mengulingkan kerajaan pilihan rakyat.

“Saya tidak faham manusia jenis apa dia (Nizar) ini. Ada perkara yang boleh kita debatkan secara politik tetapi sesetengah perkara terutama yang berkaitan keselamatan negara tidak boleh sekali kita permainkan,” ujarnya lagi.

Nizar dalam ceramah di Taman Desa Pengkalan, Ipoh malam Selasa lalu sebelum membuat dakwaan itu terlebih dulu menggunakan ayat berbunyi, “saya dikhabarkan.”

Ia memberi andaian bahawa beliau mendapat maklumat dari pihak tertentu—soalnya siapa?

Beliau tidak pula menyebut sama ada maklumat itu diperolehi dari pihak tentera ataupun mana-mana agensi kerajaan.

Ceramah pada malam itu turut dihadiri beberapa pemimpin DAP, PKR serta juga Sasterawan Negara Datuk Samad Said.


TLDM Nafi Kenyataan Nizar
   
Laksamana Tan Sri Abdul Aziz Jaafar menafikan dakwaan bahawa Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Razak mengadakan pertemuan dengan pegawai tertinggi ATM berhubung PRU-13.
 
 Panglima Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) itu berkata kenyataan DS Nizar Jamaludin itu hanyalah satu fitnah yang sengaja dilemparkan  kerana kepentingan politik  pembangkang yang semakin ketandusan idea.
 
“Kita tidak pernah dipanggil PM untuk mengarahkan TLDM supaya menyokong Barisan Nasional, malah sebagai satu organisasi yang telus, kami tidak terikat dengan mana-mana parti politik,“ ujarnya.
 
---------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Biarbagaimanapun kita petik semula kenyataan Nizar seperti berikut: “Saya dikhabarkan baru-baru ini, Najib panggil semua kepimpinan angkatan tentera daripada darat dan udaranya .Najib tanya kepada mereka seandainya BN  tumbang, maka (mereka perlu) buat “sesuatu”.

“Apa kata ketua-ketua tentera? Mereka juga terbuka. Mereka belajar berkenaan dengan apa yang berlaku di Timur Tengah. Maka mereka beritahu Najib,  kami akan menyebelahi  rakyat.

“Maknanya, kalau rakyat menolak BN dan memilih Pakatan Rakyat ke Putrajaya, maka tentera akan bersama dengan rakyat. Ini telah menyebabkan Najib pucat  lesi, sepucat-pucatnya.

 “Najib ingat tentera ini boleh dimain, dia ingat pimpinan polis juga boleh dimain - tapi tak begitu.

“Rupanya  mereka juga berfikiran mendalam. Mereka juga berfikiran bersama-sama dengan rakyat. Soal-soal di timur tengah. Kerajaan yang zalim, seperti kata Lim Bo Chai, mereka hanya boleh menguasai  kepimpinan tentera sekelip mata sahaja,  lepas itu tentera semua menyebelahi rakyat.

“Tentera Malaysia juga belajar lebih daripada Timur Tengah. Mereka tidak sanggup menentang gelombang arus kebangkitan rakyat .

“Mereka beritahu Najib kami akan bersama dengan rakyat,”.demikian petikan dari ucapan Nizar itu.

Video mengenai ceramah Nizar kini dapat dilihat dalam blog-blog serta juga Utube.

Sebaik ditanya selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan EXCO di pejabatnya Rabu lalu, Dr.Zambry memandang serius dakwaan Nizar serta pada masa sama meminta Kementerian Dalam Negeri membuat siasatan.

Beliau menganggap  dakwaan Nizar itu “sangat melampau, keterlaluan dan bersifat hasutan”.

Dr. Zambry  berkata ia memberi gambaran seolah-olah Dato’ Seri Najib  meminta pemimpin tentera melakukan `sesuatu’ sehingga tercetus pertikaman lidah antara mereka.

“Nizar bukan sahaja celupar dan berbohong dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) tetapi juga mempraktikkan perkara sama di luar dengan mengeluarkan tuduhan yang tidak berasas”katanya.


Bagi penganalisis politik,mereka melihat Nizar sebagai “desperate” menjelang PRU ke13.

Ini bukanlah kali pertama Nizar membuat kejutan dengan kenyataan yang mengemparkan rakyat.

Semuanya gara-gara Nizar mahu memastikan Pakatan Rakyat kembali berkuasa walaupun beliau sedar rakyat sudah bosan dengan sikap para pemimpin pembangkang.

Untuk rekod, Nizar pernah melafazkan “sembah derhaka” sebagai menolak permintaan Sultan Perak beliau meletakan jawatan Menteri Besar tempoh hari kerana Pakatan Rakyat sudah tidak ada suara majoriti di DUN Perak.

Malah Nizar juga meminta perkenan Tuanku membubarkan DUN bagi membolehkan pilihanraya negeri diadakan.
 
Kemudian Nizar juga dilihat berada di barisan depan mengkritik kilang pengagihan bijeh besi milik syarikat Vale dari Brazil di Teluk Rubiah.

Selain mendakwa kilang bijeh besi itu memberi kesan kepada alam sekitar, beliau juga mendakwa tanah-tanah milik orang Melayu diambil bagi tujuan tersebut.

Bila Ngo-Ngo alam sekitar mengadakan tunjuk perasaan, Nizar dan rakan-rakan pembangkang lain juga hadir.

Dr.Zambry diberi gambaran bertanggungjawab memilih Teluk Rubiah dan akibatnya rakyat di kawasan berkenaan sengsara.

Menteri Besar mendiamkan diri hampir tiga tahun memberi peluang Nizar “bertaubat” serta kembali ke pangkal jalan.

Rupa-rupanya dia bukan saja semakin garang malah kritikannya semakin menjadi-jadi.

Ini memberi gambaran Dr.Zambrylah yang instrumental memilih Teluk Rubiah sebagai tapak kilang Vale dan bukannya Nizar seperti yang umum ketahui.

Pada sidang DUN Perak lalu, Menteri Besar mendedahkan sepucuk surat ditandatangani Nizar bertarikh 17 Disember, 2008 yang ditulis kepada Mr.Renato Neves, Marketing and Commercial Global Director.

Nizar dalam surat berbahasa inggeris itu berkata:’I am happy to know that your negotiation with Harta Makmur SB on your proposal to purchase their land is going very well. Please inform me of the outcome of this negotiation. The state will process the transfer of the said land to Vale and conversion of the land to industrial use once the appropriate application received by the Department of Land and Mines.”

Nizar sedar kredibilitinya semakin melalui detik kecemasan. Rakyat mula membuka mata bahawa pemimpin harapan mereka suatu masa dulu kini adalah “sang politikus.”

Bagi sesetengah penganalisis politik, Nizar terpaksa mencipta isu bagi memastikan dia “relevant” dalam konteks politik tempatan.

Sebagai Ketua Pembangkang kata mereka lagi,Nizar masih bercita-cita kembali menjadi Menteri Besar jika Pakatan Rakyat kembali  berkuasa.

Nizar sedar walaupun DAP nampak memberi sokongan agar beliau menjadi MB jika mereka menang, tapi pihak KL belum pasti.

Malah dengarnya “dah ada nama” lain bakal diangkat sebagai MB jika Pakatan Rakyat menang di Perak.

Itupun kalau depa menang.

Dengan meletakan dirinya sebagai pusat kontroversi, Nizar  memperjudikan masa depan—alang-alang seluk pekasam, biar sampai kepangkal lengan.-27/4/2012

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 268  tetamu dalam talian