16November2019

Agenda Daily

Ngeh terkena wabak?

ikon-yusofharun150xxWalaupun rata-rata wakil rakyat parti pembangkang  sama ada keintelektuan politik yang cukup terbatas atau memiliki kebijaksaan politik  yang cukup  sederhana, tidak ada lebih terkebawah mutunya jika dibandingkan dengan wakil rakyat yang tidak tahu, tidak faham dan tidak peduli tentang sensitiviti agama dan menggunakan apa sahaja bersabit agama sebagai modal politik.  Dalam lain perkataan, darjahnya lebih bawah dari sekadar ‘bebal’.

Menteri Besar Perak Dato’ Seri Dr. Zambry Abd Kadir menggunakan istilah ‘Freudian slip’ untuk menekankan keboborokan minda wakil rakyat yang mengeluarkan kenyataan tanpa memperdulikan sensitiviti rakyat dan kemudian menarik balik dan memohon maaf.  Memanglah layak sangat bagi MB Perak menggunakan istilah ini kerana dia mengaji falsafah dan politik di peringkat ijazah lanjutan.

Sudah tentu Dr. Zambry melihat telatah komikal Pengerusi DAP Perak Ngeh Koo Ham sebagai menepati apa yang dikategorikan oleh Sigmund Freud.  Bagi Dr. Zambry ia adalah satu daripada konsep psikoanalisis mengenai seseorang yang pelik, kelihatan tidak penting, melakukan kesilapan mengarut dan terlajak tutur kata (sebagaimana yang mudah difahami menerusi buku  The Psychopathology of Everyday Life (1901), karya Freud.(Ringkasnya Freudian slip bermakna verbal atau memory mistake that is believed to be linked to the unconscious mind. Malah Freud dalam bukunya juga berkata, unacceptable thoughts or beliefs are withheld from conscious awareness and these slip help reveal what is hidden in the unconscious).
 
Namun bagi kebanyakan rakyat Malaysia, orang yang beriya-iya menulis dalam tweet, kemudian setelah dihentam kiri dan kanan, tampil memohon maaf dan membuat penjelasan kononnya dia menghormati Islam dan menggunakan pula nama-nama ulama tertentu untuk membubuh ajinomoto ke dalam rencah apologinya adalah manusia yang mereka namakan sebagai ‘psiko’.

 Apabila Pakatan Rakyat (PR) kehilangan kerajaan negeri pada Mei 2009 setelah 11 bulan berkelakuan seperti  ‘kaduk naik junjung’,  wakil rakyat mereka bukan sahaja kehilangan kuasa tetapi kehilangan arah dalam membawa diri atau mempersembahkan diri dalam politik.

Kita telah melihat mantan MB Nizar Jamaluddin mengeluarkan kenyataan yang pelik-pelik serta sejajar dengan Freudian slips.  Seolah-olah tak cukup dengan apa yang boleh dijadikan modal di Perak disebabkan penggantinya Dr. Zambry berjaya menangani isu rakyat yang diabaikan oleh Pakatan Rakyat, Nizar beralih pula ke negeri Johor dan membuat komen ke atas Sultan Johor (selepas itu meminta maaf pula).

Namun Nizar bukannya Lone Ranger, Tonto beliau sudah tentulah tidak lain dari  Ngeh yang pernah menjadi ala-ala Menteri Besar tidak rasmi Perak.  Apabila PR kehilangan kuasa, Ngeh serta-merta berubah menjadi seperti ‘sikodong kehilangan cincin’.  

Sebaik sahaja BN kembali berkuasa di Perak, Ngeh mengalami transformasi dari seorang peguam yang bercakap tentang Perlembagaan Negara, tentang peruntukan dalam Kanun Tanah Negara dan hal-hal lain mengenai undang-undang kepada seorang ahli politik murahan  yang  membuat komen-komen merapu ibarat orang baru belajar politik.

Nak dikatakan tak sekolah, Ngeh berkelulusan undang-undang.  Justeru, benarlah apa yang berlaku ialah beliau juga terkena sindrom Freudian slip sebagaimana yang dijelaskan oleh Dr. Zambry.

Hal ini begitu mudah dilihat.  Sesungguhnya ‘psiko’ dalam istilah harian rakyat Malaysia dan atau psikoanilisis bagi mereka yang lebih memahami dan mempelajarinya seperti Dr. Zambry sudah berlaku di kalangan pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat terutamanya di Perak.

Terbaru ialah apabila Ngeh menulis dalam tweetnya bercakap seolah-olah mendakwa umat Islam membuang masa membantah filem yang dibuat oleh Sam Bacile dan dalam pada itu menuduh Ketua Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin menggunakan isu untuk keuntungan politiknya.

Kenyataan seperti itu tentu sekali menghiris hati umat Islam.  Malah seorang kolumnis akhbar pembangkang sendiri hampir-hampir menulis dan menyifatkan Ngeh sebagai anti Islam tetapi membatalkan niatnya.

Dengarnya dia berfikir dua kali untuk menulis kerana teringat kepada ancaman tindakan mahkamah Karpal Singh ke atas mantan Timbalan Presiden PAS Nasharuddin Mat Isa kerana melabel Pengerusi DAP itu sebagai anti-Islam.

Penyakit saman menyaman ini nampaknya sudah menular secara ‘across-the-board’ dengan adanya Anwar Ibrahim selaku Ketua Pembangkang dan Ketua tidak rasmi PR.

Ramai yakin Ngeh akhirnya membuat kenyataan meminta maaf dan mengatakan kononnya menghormati pendapat ulama dan keperluan menghormati agama lain  setelah mendapat  menasihat rakan-rakan lain.

Bagi PAS, apa sahaja komen negatif terhadap Islam termasuk ura-ura pelaksanaan hukum Hudud, cita-cita mewujudkan negara Islam dan kini penghinaan ke atas Nabi Muhammad s.a.w. dan bahawa melakukan demonstrasi menyatakan bantahan sebagai membuang masa, sebagaimana dinyatakan oleh Ngeh adalah tidak mengapa dan ‘bersifat kenyataan peribadi’.  Justeru kenyataan Bendahari Pas Pusat Dr Hatta Ramli mengenainya adalah kenyataan klasik PAS apabila tersepit di antara perjuangan maruah Islam dengan rakan-rakan seperjuangan semata-mata kerana kerusi politik.

Mungkin pemimpin PAS boleh berlapang dada dengan kenyataan maaf Ngeh, tetapi sama ada sebahagian ahli dan penyokongnya boleh berkongsi rasa lega itu adalah cerita lain.

Dalam usahanya untuk menjadi hero politik dan hero DAP dan sekaligus cuba menunjukkan kepada penganut agama Kristian (yang rata-ratanya bukan-Melayu)  betapa beliau lebih peka dari Pope di Vatican City mengenai isu membabitkan agama Kristian di Perak,  Ngeh menyelar Dr Zambry dan cuba menggambarkan MB sebagai seorang anti-gereja pula.

Dalam tweet terbarunya mengenai hal ini, Ngeh menulis: “BN Zambrygovt going to seize & auction off Chung Hwa Church of Christ, Sitiawan on 28 Sept for non paym of Rm12,632 assessm rate (cukaipintu).”

Sebagai wakil rakyat, Ngeh tidak harus memainkan sentimen agama jika ia tidak ada fakta. Jalan terbaik bagi menyelesaikan masalah ialah merujuk kepada Majlis Daerah Manjung untuk jawapan.

Untuk rekod, gereja yang dimaksudkan Ngeh itu berdaftar di atas tanah berstatus pertanian. Ngeh perlu periksa rekod pejabat tanah untuk maklumat lanjut. Dasar kerajaan negeri mengecualikan rumah-rumah ibadat dari membayar cukai pintu dengan syarat mematuhi status premis. Gereja ini  terletak diatas tanah berdaftar tapak pertanian sejak 2000. Soal kerajaan negeri tidak mempertimbangkan cukai tertunggak  merupakan urusan gereja dengan Majlis Daerah Manjung. Ramai lagi pemilik premis di negeri ini yang berhutang dengan majlis daerah yang  berisiko untuk disita premis mereka  jika tidak melangsaikan hutang.

Bayangkan rakyat biasa terpaksa berdepan risiko premis disita kerana tertunggak membayar cukai pintu sedang gereja yang terletak di tapak pertanian  mahu dikecualikan. Apakah ini demokrasi yang Ngeh maksudkan?

Bagi mereka yang menggunakan otak dalam urusan percukaian, mereka bertanya mengapa Ngeh selama 11 bulan menjadi exco kanan tidak cuba menyelesaikan masalah ini tetapi kini cuba menjadi”hero” pula apabila sudah partinya kehilangan kuasa?
 

Kenyataan tweetnya dan cerita seperti ini dari Ngeh sudah boleh diagak oleh ramai.  Justeru, apabila pihak berkuasa kerajaan tempatan mengeluarkan notis untuk menyita  gereja berkenaan  kerana gagal menjelaskan cukai tertunggak sebanyakRM12,632  sejak 2000, maka Ngeh tanpa fikir panjang mencipta isu politik dari prosidur biasa pentadbiran negeri ini.

Nampaknya pengundi kawasan DUN Setiawan telah tersilap memilih wakil rakyat mereka.  Ngeh bukan sahaja gagal memberikan sumbangan bermakna sebagai seorang wakil rakyat, tetapi seolah-lah kurang faham undang-undang.  Lebih buruk dari itu perbuatannya sendiri telah menyebabkan ramai yang menganggapnya sebagai anti-Islam.  Dan terkini, dan paling parah, seolah-olah melaga-lagakan di antara orang Islam dan orang Kristian di negara ini.

Melihat dari semua ini, nampaknya tidak ada beza di antara Ngeh Koo Ham dengan Sam Bacille.  Bezanya Sam Bacille mengarah filem, dan Ngeh pula adalah seorang badut politik.-24/9/2012

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 276  tetamu dalam talian