14November2019

Agenda Daily

Nga Jangan Kotorkan Sungai Perak

ikon-yusofharun150xxSungai Perak sepanjang 400km masih belum lesu menyimpan pelbagai sejarah. 

Jika sungai itu sendiri adalah ibarat sejarah, maka permulaannya di Hulu Perak, tempat di mana Hang Tuah mencampakkan kerisnya ke dalam sungai tersebut masih lagi jernih airnya.  Barangkali air di Beting Beras Basah berdekatan Bagan Datoh sedikit berkeladak disebabkan pemendapan pasir justeru merakamkan mantera klasik Sultan Muzaffar Shah I ibni Almarhum Sultan Mahmud Shah , keturunan Kesultanan Melayu Melaka, tatkala diutus ke Perak bagi memulakan kerajaan bersultan Perak, ratusan tahun sebelum kumpulan kongsi gelap Ghee Hin dan Hai San mempaliti budaya kehidupan orang Melayu Perak ke dalam buku sejarah.

Hari ini air Sungai Perak bukan sahaja berkeladak di sana sini tetapi turut dicemari dan dikotori dengan pelbagai najis dan sampah politik, yang sepatutnya tidak terdapat di sini andaikata British tidak menipu pemimpin Melayu era pra-kemerdekaan dengan jus soli.

Itulah sejarahnya.  Kita tidak boleh membersihkan Sungai Perak seperti sediakala, seperti sebelum termeterinya Perjanjian Pangkor dan sebelum pentadbir British mengimport masuk kargo manusia untuk diperhambakan oleh mereka sebagai buruh di lombong bijih timah dan di ladang getah.  Itu adalah amat mustahil untuk dilakukan.

Namun kita boleh hidup dan belajar membuat pelarasan dengan, bukan sahaja dengan cara hormat-menghormati di antara satu kaum dengan yang lain, tetapi juga menyedari asal-usul kita dan tidak bertindak seperti kaduk naik junjung.

Tidak mengapa sekiranya mereka yang tidak ada kena mengena dengan pemerintahan dan pentadbiran politik negara ini menjadi wakil rakyat untuk turut sama menyumbangkan idea dan buah fikiran bagaimana kita boleh memperbaiki lagi urusan pentadbiran negeri demi kebaikan dan kesejahteraan bersama. 

Tetapi kalau kebaikan dan keikhlasan orang Melayu dalam memberikan peluang untuk sama-sama memberikan idea dan pendapat disalah-mengertikan sebagai cara untuk akhirnya menjadi penguasa utama negeri ini, maka hal seperti itu bukan sahaja tidak boleh diterima oleh orang Melayu, tetapi hanya akan mengeruhkan lagi sungai sejarah Perak yang telah dikeruhkan sejak Perjanjian Pangkor.

Justeru, kita tidak pasti sama ada  Nga Kor Ming (ADUN Pantai Remis) sedar betapa hitam metalik bukanlah mengenai air sungai ataupun warna air kopi o, tetapi adalah mengenai rakyat negeri Perak yang  merupakan sebuah melting pot atau kawah besar yang didiami kaum dari pelbagai latarbelakang dan warna kulit.  Setiap kaum punyai sejarah tersendiri serta masing-masing dengan identiti dan kepelbagaian dan kepercayaan berpaksikan sejarah  pahit dijajah atau diimport sebagai kargo manusia oleh Inggeris beratus tahun silam. Bagaimanapun, satu-satunya hakikat yang tidak boleh diubah ialah betapa negeri ini asasnya adalah negeri Melayu dan ini diperkukuhkan oleh fakta betapa Sultan Melayu memerintah sejak berkurun lagi.

Oleh itu suka atau tidak, siapa sekalipun kita, perlulah kita menghormati penduduk asal negeri ini dan bukannya menggunakan peluang yang telah diberikan oleh orang Melayu untuk menduduki DUN dan mempunyai kedudukan rasmi politik untuk menggunakan perkataan celupar, biadap dan menunjukkan belang sebagai kaduk naik junjung.

Apa yang dipamerkan oleh Nga, sama ada di DUN Perak ataupun sebagai seorang ahli tokoh awam atau public figure ialah betapa pendidikan seseorang itu tidak semestinya membolehkan seseorang itu dihormati.  Mungkin Nga tak pernah belajar sivik semasa di bangku sekolah.  Mungkin juga dia tak tahu apakah dia maksud ‘sivik’ dalam sebuah negara bermasyarakat majmuk seperti Malaysia kerana pemikiran dia diorientasikan oleh perkauman sempit DAP.

Persidangan DUN Perak sering melihat Nga membahas sesuatu isu dengan lontaran kata-kata serta andaian yang  berbaur perkauman. Namun ia kebal dari sebarang tindakan kerana dia sedar kata-kata diucap di DUN tak boleh di bawa ke mahkamah melainkan ia diucap semula di luar dewan.

Di mahkamah pun Nga faham sebagai peguam, pertuturan ketika berhujah di depan hakim dimulakan dengan berpakaian terlebih dulu sebelum peguam berkenaan memperlihatkan hujah. Maknanya peguam lelaki diwajib memakai kemeja putih manakala kot hitam, tak boleh berwarna kelabu atau merah. Cuba pakai baju merah, saya pasti hakim yang mengendalikan kes hari itu akan menghumban peguam berkenaan dari kamarnya.

Manakala dalam DUN pula bergantung kepada speaker sama ada nak ambil tindakan atau melepaskan dengan permohonan maaf. Bagi speaker yang tak makan saman, lazimnya wakil-wakil rakyat dikasari dengan kata-kata amaran agar mematuhi peraturan mesyuarat sepanjang masa.
 
Nga ketika berbahas di DUN Perak baru-baru ini dan sewaktu majlis dipengerusikan oleh Timbalan Speaker (bekas ADUN DAP), Nga dipetik berkata,”. . .ini  tuan yang dipertua ke katak? Saya tak faham.” Apabila didesak menarik balik kata-kata itu Nga yang enggan berbuat demikian berkata lagi,  “Tuan yang dipertua, ini bukan katak, ini pelacur politik.”

Tentulah dia perasan dia telah mengatakan sesuatu yang pada hematnya mempunyai keintelektualan politik.  Tetapi hakikat sebenarnya, selain dari biadap, ia hanya menunjukkan betapa Nga sebenarnya cukup naïf tentang politik.  Seorang ahli politik tidak akan melacurkan kedudukannya sebagai seorang yang dipilih oleh rakyat dengan membiarkan mulutnya menuturkan perkataan-perkataan yang amat jijik, kotor dan ibarat najis seperti itu.  Dalam bahasa harian, seolah-olah, ‘tahi keluar dari mulut Nga.’

Nga enggan tunduk dan memohon maaf seperti diminta timbalan speaker mengakibatkan dia dihalau keluar dari DUN.  Dan dalam bahasa harian, dan sebagai pengibaratan kata, ‘cuma anjing kurap sahaja dihalau dari tempat yang bersih.”

Isu ini rupa-rupanya adalah rentetan daripada isu di Kamunting 9 September lalu iaitu sebelum DUN Perak bersidang. Nga rupa-rupa dalam majlis tersebut yang dianjurkan PAS kawasan Kamunting (Nga juga ahli parlimen Taiping) dipetik berkata,
“Menteri Besar hitam metalik yang haram jadah masuk dari pintu belakang naik kapal selam dari Pangkor.” (Sebagai rekod, ahli-ahli PAS dan Timbalan Presidennya, turut tertawa.  Kesihan sungguh, pemimpin yang kononnya memperjuangkan kesucian Islam boleh membiarkan diri dipergunakan sebegitu rupa terhadap orang Islam lain.)

Menteri Besar dihina dengan ayat-ayat kesat dan manakala hal ini menimbulkan kontroversi, masyarakat berkulit gelap seperti orang Melayu, India serta juga masyarakat orang asli merasa penghinaan itu sebagai suatu yang tidak wajar dan perlu ditentang.

Penghinaan Nga juga selain dilihat  menghina Perak dan institusi kesultanan sebagai darul katun manakala Menteri Besar disebut ‘haram jadah.”
Kedua-dua frasa ini tenggelam kerana media nampak lebih terjurus kepada istilah hitam  metalik merujuk kepada warna kulit Menteri Besar.

Barangkali istilah darul kartun itu sesuai dalam kerangka minda orang seperti Nga dan DAP serta pemimpin PAS yang tanpa menyedari diri diperalatkan oleh DAP.  Ini kerana Nga, DAP dan PAS lah sebenarnya yang mewujudkan darul kartun ketika memerintah Perak untuk seketika selepas PRU-12 lalu.  Bukan sahaja wajah dan aksi mereka itu cukup sesuai dianimasikan dalam watak seperti Wile E. Coyote (sentiasa mengejar tapi tak dapat), tetapi cara mereka mentadbir juga adalah lebih kartun dari kartun sebenarnya.  Maka itulah sebabnya timbul idea untuk menggunakan istilah tersebut.

Selain dari hitam metalik dan darul katun, Nga juga memanggil Menteri Besar sebagai haram jadah. Dalam masyarakat Cina, perkataan ini tentu tidak mempunyai pengertian memalukan tapi bagi orang-orang Melayu, ia sangat mengaibkan. Mungkin sama dengan istilah bahasa China yang digunakan oleh kumpulan Ghee Hin dan Hai San bermula dengan perkataan ‘L’ dan ‘C’.  Tapi itu kumpulan gangster. Justeru tak mengapa.  Apakah Nga dan puak-puak DAP dan PAS mahu menggensterkan DUN Perak?

Orang PAS yang hadir di majlis itu harus faham perkataan yang diucapkan oleh seorang yang bukan muslim terhadap seorang muslim seperti menghina ini tidak harus dipertahankan. Lupakan kiblat politik atau fahaman serta latarbelakang kerana penghinaan dibuat oleh bukan muslim kepada seorang muslim bererti menghina lslam dan penganut-penganutnya.

Kalau bermain politikpun biarlah bertempat dan bukanya isu beginipun dijadikan bahan ejekan bukan lslam. PAS memperlihatkan isu-isu seperti ini tidak penting kerana ia ditujukan kepada orang-orang UMNO.

DAP cuba menjarakkan diri dari isu ini supaya orang ramai boleh  lupa kerana parti itu sangat berkehendakan orang seperti Nga dikekalkan dalam PRU ke13. Dengan itu jika ada pihak mahukan Nga digugurkan dari senarai calon-calon DAP, hal ini pasti tidak akan berlaku.

Lebih menghairankan ada tokoh DAP di Perak mempertahankan Nga dengan menyebut Nga tidak mengatakan Menteri Besar sebagai hitam metalik tapi merujuk kepada sebuah kereta yang berwarna hitam. Memang lucu tapi penutur itu cuba menegak benang basah agar Nga dapat kekal dalam DAP dan tidak dikenakan tindakan disiplin seperti yang dituntut oleh seorang pemimpin Melayunya . Dan dengan itu Nga boleh sekali lagi jadi calon DAP di Pantai Remis dan di Parlimen Taiping. 

Di sebabkan otak politik Nga yang macam gendangan pada tin kosong, sekadar bunyi sahaja dan tidak ada apa-apa yang dapat memberikan sumbangan baik kepada negeri Perak mahupun kerajaan Malaysia, malah bagi kaum Cina Perak sendiri yang takut dengan permainan api perkauman seperti ini, maka peluang Nga dikatakan cukup tipis. 

Bagi mereka, sudah terbukti kehadiran segelintir wakil rakyat DAP ini ibarat mengotorkan Sungai Perak dengan najis.  Dalam era kita semua mahu membersihkan alam sekitar demi kesejahteraan hidup rakyat dan hidup anak cucu kita, buat apa memilih orang yang kebolehannya hanyalah semata-mata membuat kotor dan mencemari sungai.-19/12/2011

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 1235  tetamu dalam talian