14Ogos2020

Agenda Daily

Nazri prihatin isu Victoria Bridge. . . .. .bakal jadi Warisan Kebangsaan

Penduduk di Kuala Kangsar akhirnya boleh tidor dengan nyenyak apabila kerajaan pusat bersetuju mengazetkan Victoria Bridge (jambatan besi) yang sudah berusia 118 tahun sebagai salah satu warisan negara (mengikut akta Warisan Kebangsaan).

Dengan demikian jambatan yang selama ini berdiri dengan tidak diberi perhatian rasmi kini bakal “dipagari undang-undang” serta pada masa sama diberi pengiktirafan paling tinggi.

Ia akan menjadi sama penting seperti menara condong Teluk Intan juga di Perak.

Sejak 2002 jambatan ini tidak lagi digunakan berikutan pembinaan Jambatan Iskandar yang jaraknya 2 meter bagi laluan kereta api ke sebelah utara tanahair.

Jambatan ini sangat signifikan bagi penduduk tempatan kerana selain mengandungi nilai-nilai sejarah lampau, ia merupakan salah satu jambatan tertua di negara ini jauh lebih tua dari jambatan River Kwai di Thailand.

Bagi yang belum menjejakkan kaki atau melihat sendiri, jambatan ini adalah  mirip dengan sebuah jambatan paling popular di Thailand iaitu jambatan River Kwai yang pernah dijadikan filem Hollywood (The Bridge on the River Kwai).

Satu lagi jambatan yang menggunakan nama sama di Kanada ialah Victoria Bridge, atau nama asalnya, Victoria Jubilee Bridge Kanada merentangi Sungai St.Lawrence. Jambatan ini yang direkabentuk Robert Stephenson (masih digunakan hari ini) dibina lebih awal lagi iaitu siap digunakan  pada 1859. Panjangnya 3km atau 1.9 batu.

Yang ironinya kedua-dua jambatan ini saling tak tumpah ibarat jambatan berkembar.  

Berbanding dengan jambatan ini, jambatan di Thailand menjadi popular apabila diangkat ke layar perak. Lebih-lebih lagi ia mengisahkan mengenai trajedi pembinaan landasan kereta api ke Burma yang mengorbankan ratusan nyawa ketika perang dunia ke2.

Dari segi arkitekurnya, ia samasekali tidak menghairankan kerana pengaruh inggeris di rantau ini pada masa itu menyebabkan ada banyak persamaan dari segi  struktur bangunan atau jambatan.

Pihak penjajah melalui helah ini mahu menjajah minda rakyat Asia bahawa seni reka Inggeris adalah jauh lebih hebat dari mana-mana seni reka bentuk oleh orang tempatan.

Bagi Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamad Nazri Abdul Aziz yang mengumumkan rancangan kerajaan pusat ini  dalam satu sidang media di Kuala Kangsar Ahad berkata “kerana jambatan (Victoria Bridge) ini ada keunikan tersendiri”.

Beliau berada di bandar diraja ini sempena Majlis Ulang tahun Victoria Bridge.

Bagi penduduk di sini, jambatan ini amat bersejarah kerana selain dibina sebelum Negara mencapai kemerdekaan pada 1957, ia telah dirasmikan oleh Sultan Perak ketika itu iaitu Almarhum Sultan Idris Shah 1.

Hari ini dengan pelbagai perkembangan, mereka bimbang jika berlaku elemen-elemen vandalisme menyebabkan jambatan  bersejarah ini menjadi mangsa mereka yang tidak bertanggungjawab.  Mereka mahu kerajaan pusat memberi perhatian.

 Victoria Bridge yang dibina oleh Perak Government Railway pada 1897 (siap 1900)   dipadankan dari  nama Queen Victoria, merupakan jambatan tertua yang merentangi Sungai Perak menghubungkan Seberang Karai dengan bandar Kuala Kangsar. Untuk rekod, jurutera terlibat dan bertanggungjawab dalam pembinaanya terdiri dari G.W.Fryer dan C.R. Hanson. (zaman itu jurutera juga bertindak sebagai arkitek).
.

Nazri ketika mengulas mengenai jambatan ini  berpendapat keunikan dan sejarah jambatan rel keretapi yang dibina pada 1900 oleh pihak British itu perlu menerima pengiktirafan tersebut dan dijadikan produk pelancongan negara.

“Langkah ini diambil supaya kita boleh ambil alih hak penjagaanya. Supaya kita dapat menjaga hak warisan ini untuk kepentingan generasi akan datang selain memelihara daripada vandalism,” katanya.

Selepas pelbagai dokumen diberestkan, Victoria Bridge akan ditukarkan hak kepada Jabatan Warisan Negara untuk dipelihara sebaik sahaja proses pewartaan jambatan itu selesai dalam masa terdekat.

 “Kita telah pun mendapat kelulusan daripada kerajaan negeri dari segi perwartaan dan selainnya adalah prosedur yang akan kita lakukan secepat mungkin dan akan kita istiharkan,” katanya.

Untuk rekod, jambatan ini mempunyai sejarah kenangan tersendiri. Selain dirasmikan Almarhum  Sultan Idris Shah I, turut sama merasmikan secara bersama ialah Sir Frank Swettenham. Pendek kata bagi Inggeris ia juga satu sejarah penting.  Sebab itu  juga Sir John Pickersgill Rodger, pemangku Residen British  Perak turut hadir.

Sewaktu Jepun hendak  menawan Tanah Melayu, mereka telah mengebom jambatan ini hingga dikatakan terputus dua. Namun strukturnya masih bertahan hingga ke hari ini. Ia telah melalui penambahbaikan dari masa ke semasa. Dan dari segi struktur, jambatan ini adalah seperti Jambatan Pulau Pinang suatu masa dulu.  Ianya gah ke seluruh tanahair.

Selain menggunapakai besi, jambatan ini  mempunyai enam  tiang  dibuat dari batu bata merah.

Sepintas lalu, jambatan Victoria Bridge hanya popular kalangan penduduk tempatan. Orang luar kurang ambil maklum. Mungkin dengan peristiharan ini, lebih banyak publisiti diperolehi menjadikan jambatan ini sepadan dengan  jambatan River Kwai.

Sepintas lalu rakan yang pernah menaiki Eastern & Oriental Express ke Thailand dari Singapura (12 hari) masih mengingati apabila dibawa melihat jambatan River Kwai dan sekitar sungai. (terdahulu mereka juga melawat bandar Kuala Kangsar melihat pokok getah tertua, menjamu mata di muzium diraja, galeri Sultan Azlan dan sebagainya).

Mereka dibekal informasi   mengenai sejarah jambatan Kwai River. Mereka turut dibawa menaiki cruise boat di sungai kwai melintasi bawah jambatan berkenaan. Mereka juga diberitahu cerita-cerita sedih mengenainya membabitkan POW (atau prisoner of war) yang dipaksa Jepun membinanya.

Untuk rekod juga, filem The Bridge on the River Kwai dibikin  pada 1957 mengenai perang dunia kedua,yang diarah oleh pengarah David Lean, berasaskan nobel Le Pont de la Rivière Kwai (1952) karya Pierre Boulle. Filem ini memenangi anugerah Filem Terbaik pada 1997 selain turut memperoleh tujuh anugerah akademi.
 

Filem ini dibintangi pelakun tersohor, William Holden, Jack Hawkins, Alec Guinness and Sessue Hayakawa. Agak melucukan filem ini dibikin di Sri Lanka yang mana, jambatan dalam filem berkenaan terletak di satu kawasan berdekatan Kitulgala.

Minat ditunjuk kerajaan pusat  mengenai signifikannya Victoria Bridge  bermula tahun lalu iaitu pada 12 Januari, 2014 apabila pihak media (dan bloggers) dibawa oleh Kementerian Pelancungan menyertai program Voluntarism Victoria Bridge Green Day 1Malaysia Clean 1Malaysia Green Program  di seberang pekan karai,Sungai Perak, yang dirasmikan Nazri. Kira-kira 5,000 orang hadir termasuk 200 pelancung asing.

Langkah kerajaan pusat berkait rapat perlantikkan Nazri selaku Menteri Pelancungan. Ini kerana Nazri pernah aktif dalam UMNO bahagian Kuala Kangsar sebelum bepindah ke bahagian baru, Padang Rengas.

Sebagai ahli parlimen pernah mewakili Lenggong dan kini, Padang Rengas,  keprihatinan Nazri turut sama tertumpah ke kawasan Hulu Perak (khusus Kuala Kangsar).  

Untuk rekod, pekan Karai merupakan sebuah pekan kecil. Ia saling tak tumpah sebuah pekan koboi  tetapi kerana popularity Victoria Bridge, namanya kini sudah menjadi bahan bualan.

Ketika pihak penganjur mengadakan program tersebut, turut dihadiri Nazri, pelbagai program menyusuli seperti  Sukan Air Tradisional, Pertunjukkan Motorcross, Hadrah, Demo Meriam Buluh, Absailing di tengah Victoria Bridge, persembahan Homeguard serta gotong royong. Mereka dijamu masakan tempatan. Ikan pekasam goeng turut menjadi menu hidangan.

Bagi media khusus jurufoto, gambar yang paling terkesan tentulah Victoria Bridge.

Menurut Nazri (kenyataan tahun lalu)  Victoria Bridge sudah berusia kira-kira 113 tahun itu perlu pelihara kerana ianya mempunyai nilai sejarah yang cukup berharga.“Kita sudah ada bangunan berusia 100 tahun dan kita belum tentu mampu menunggu 100 tahun lagi untuk menjadikan bangunan itu bersejarah,” katanya.

Nazri juga prihatin tentang nasib jambatan tertua ini: lantas dianjurkan agar “kerosakan pada Victoria Bridge itu perlu diperbaiki supaya ianya terpelihara dengan baik dan sempurna.”

“Penduduk di kawasan Seberang Karai begitu arif dengan sejarah jambatan ini dan kawasan sekitarnya juga perlu dijaga.”

Nota kaki: Definisi (Akta Warisan Kebangsaan 2005 (Akta 645)

'Warisan' membawa pengertian generik Warisan Kebangsaan, tapak, objek dan warisan kebudayaan di bawah air sama ada disenaraikan atau tidak dalam Daftar

'Butiran Warisan'  ertinya apa-apa Warisan Kebangsaan , tapak, warisan, objek warisan, atau warisan kebudayaan di bawah air yang disenaraikan dalam Daftar

'Tapak Warisan' ertinya sesuatu tapak yang ditetapkan sebagai tapak warisan di bawah syeksen 24 '

'Warisan Kebangsaan' ertinya mana-mana tapak warisan, objek warisan, warisan kebudayaan di bawah air atau mana-mana orang hidup yang diisytiharkan sebagai Warisan Kebangsaan di bawah seksyen 67

'Objek' termasuklah mana-mana benda purba boleh alih, warisan kebudayaan ketara, warisan kebudayaan tidak ketara, dan objek bersejarah tetapi tidak termasuk harta karun

'Daftar' ertinya Daftar Warisan Kebangsaan yang diwujudkan dan disenggarakan di bawah seksyen 23 yang mengandungi suatu senarai butiran warisan.
Secara ringkasnya, objektifnya begini:

Bertanggungjawab menyelidik, merekod,mendokumentasi dan mendaftarkan Butiran  Warisan Negara serta melaksanakan penguatkuasaan Akta Warisan Kebangsaan 2005 bagi melindungi dan memulihara Warisan Negara.-3/6/2015

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 287  tetamu dalam talian