19November2019

Agenda Daily

Muktamar PAS: Selamatkah Haji Hadi sebagai Presiden PAS?

Presiden PAS Datuk Seri Haji Hadi Awang tidak boleh dijatuhkan dengan mudah walaupun itulah kehendak UMNO. Ini terbukti dalam setiap kali pilihanraya, tokoh PAS itu yang dicabar calon UMNO sering menang. Hanya sekali Hadi tewas di kerusi Parlimen Marang yang kini diwakilinya.

Hadi merupakan tokoh PAS paling karismatik selepas Datuk Asri Haji Muda dan Datuk Fadzil Noor. Sejak 2002, beliau yang mengambil alih teraju kepimpinan dari Almarhum Fadzil Noor menjadi selebriti baru buat PAS.

Rakyat tentu tak boleh lupa Amanat Hadi yang menjadi sandaran ahli-ahli PAS diseluruh negara. Ia ibarat Karl Marx buat pengikut komunis di barat yang taksub dengan Das Kapital.

Walaupun dari segi realiti, amanatnya itu menyebabkan perpecahan ketara dalam masyarakat, penyokongnya berdiri teguh dibelakangnya. Bagi ahli-ahli PAS, mereka akhirnya menemui tokoh yang paling berani mendepani UMNO.

Bukankah zaman Hadi PAS mula berbaik-baik dengan DAP dan PKR. Berbaik dengan PKR kita boleh faham kerana Hadi pernah menjadi pengikut Anwar Ibrahim ketika bersama-sama dalam ABIM. Tetapi dengan DAP, ia satu keberanian luar biasa.

Satu dunia kritik tindakan PAS menjalin hubungan dengan DAP namun Hadi dan PAS anggap pengkritiknya tak faham. Yang lebih ketara puak ini menganggap DAP lebih baik dari UMNO. PAS sanggup buat pelbagai perkara termasuk berlembut dengan DAP berhubung isu hudud, isu kalimah Allah dan sebagainya.

Tetapi kehendak Allah membuktikan sebaliknya malah PAS dan pengikutnya terpaksa akur. Rupa-rupanya zaman berbulan madu bagi Hadi dan PAS ada tempoh had. Bulan tak selamanya bersinar penuh. Kadangkala kita dapat melihat gerhana bulan ataupun gerhana matahari.

Sejak hampir tiga minggu lalu Hadi yang selama ini dilihat umum sebagai tokoh lemah tiba-tiba membuat U-turn. Gelaran U-turn dikait sebagai sikap berdolak dalih.

Namun bagi pengikutnya Hadi bukannya U-turn tetapi sebaliknya sudah jemu dengan politiking rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat yang asyik membulinya.

Kalau selama ini kehendak Anwar, Lim Kit Siang dan Lim Guan Eng diikutnya kerana mahu menjaga perpaduan dalam gabungan itu, hal itu sudah menjadi sejarah pahit.

Isunya apabila Hadi secara terbuka mengkritik PKR sebagai punca krisis di Selangor. Malah Anwar sendiri gagal menjadikan isterinya, Wan Azizah sebagai Menteri Besar Selangor kerana dibantah PAS. Sebabnya Hadi menganggap Wan Azizah seorang pemimpin yang banyak kelemahan.        

Sejak itu kita lihat Hadi dikritik sakan oleh budak-budak Anwar serta DAP. Dia juga tidak terkecuali dari kritikan rakan-rakan dalam PAS yang pro Anwar.

Penubuhan PasMa dan program yang mereka buat seolah-olah memperlihat persiapan untuk mengantikan PAS dalam PR. Bukan itu saja PasMa turut mengkritik Haji Hadi dalam roadshow yang dianjurkan.

Dari 18 hingga 20 September ini PAS akan mengadakan muktamar di Johor. Persoalan yang timbul apa rancangan puak PasMa sama ada membiarkan Hadi kekal presiden ataupun mengambil pendekatan lain?

Mampukah Hadi mendepani badai yang kian membantai kepimpinan parti yang diwarisi dari Almarhum Ustaz Fadzil Noor pada 2002 berikutan kematian anak jati Kedah itu?.

Atau apa yang berlaku kepada Almarhum Asri Muda kira-kira 32 tahun lalu berulang semula? Kalau Asri berdepan serangan serta cacian semasa berlangsung muktamar, nasib Hadi boleh saja sama.

Asri melalui fasa sedih dalam karier politiknya apabila beliau bukan saja dimalukan malah dijatuhkan semasa muktamar parti berlangsung di Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur . Dengan berat hati beliau kemudian mengumumkan pengunduran serta meninggalkan parti yang diperjuangkan sejak sebelum merdeka lagi.

Malah sejak sebelum muktamar lagi kedengaran angin perubahan bertiup mahukan perubahan diperingkat tertinggi.Maknanya Asri sudahpun menduga kedudukannya tidak lagi selamat. Puak pro ulama sudah merancang satu kudeta secara senyap.

Kekalahan PAS di Kelantan selepas Mageran ditarik semula adalah sebab dia dikritik. Dia dilihat sebagai penyebabnya. Konon kekalahan itu berpunca kelemahan berhubung kepimpinannya.

Saya juga masih ingat ura-ura Asri dan rakan-rakan hendak membawa Presiden ABIM ketika itu,Anwar Ibrahim masuk PAS. Rundingan dengan Anwar akhirnya gagal membuahkan sesuatu positif. Dengar cerita Anwar mahu terus menjadi Presiden tanpa duduk diposisi nombor dua.

Mungkin sekira Anwar sertai PAS serta menyokong Asri skrip drama politiknya agak berlainan. Asri mungkin tidak berdepan kritikan seperti yang berlaku. Tapi semua ini sejarah pahit buat PAS.

Ketika mengulas kejadian yang menimpanya, Asri sangat keciwa. Beliau tidak menduga muktamar yang sepatut venue perwakilan memperjuangkan nasib ahli dan parti bertukar menjadi medan cacian. Puak pro Iran yang lantang melaungkan kalimah “marakbar Asri” atau bermaksud mampuslah Asri. Lebih perit lagi apabila ucapan dasarnya tidak diterima oleh muktamar. Ini tidak pernah berlaku dalam PAS sebelum ini.

Sejak bergelar politikus Asri adalah ibarat superstar yang berjaya menarik orang ramai menghadiri ceramah PAS. Ia memang memukau macam Sukarno di Indonesia. Kalau dikira jualan tiket, ia sering “sold-out”.

Pernah sekali rakannya melihat dari jumlah orang ramai hadir dipentas ceramahnya meluahkan keyakinan bahawa peluang PAS untuk berkuasa sangatlah cerah.

Nik Nazmi Nik Ahmad, Ketua AMK PKR sekarang pada 2007 menulis: Bapa saya sering bercerita bagaimana apabila Asri menyampaikan ceramah, orang ramai akan berduyun-duyun mengikutinya.

Sejarah tidak menipu ia adalah panduan dan peringatan . Apa yang dihadapi Asri 32 lalu kini menimpa Hadi.   Zaman bulan madu buat Hadi sejak memimpin PAS mengambil alih dari Almarhum Fadzil Noor sudah lama berakhir.

Dulu Hadi menikmati sokongan padu, kini tidak lagi. Ini dijelaskan anak Nik Aziz, Nik Abduh melalui entri Facebooknya : "Kini sudah berbeda dari dulu. Kini, TGNA (Nik Aziz),THHH (Hzdi), TGHD(Haron Din) di satu pihak, manakala pihak kedua yang dulunya mereka letak TGNA bersama mereka, kini tak boleh lagi.”

Kritikan terhadap Hadi berpusat dari keengganan PAS menyokong PKR menabalkan presidennya Wan Azizah sebagai MB Selangor menggantikan Tan Sri Khalid Ibrahim. Hadi dilihat berdolak dalik serta sering membuat U-turn dengan sikap tidak konsisten.Itu komen penentangnya.

Kepada persoalan mengapa PAS menolak Wan Azizah, Hadi berkata: "Kalau daripada awal lagi dia tidak ada kebolehan untuk jawab soalan di Parlimen, untuk soal di Parlimen, soal dalam Dewan Negeri, nak berdialog dengan lawan dalam Dewan Negeri pun tak boleh, macam mana nak jadi pemimpin? Ini tak boleh.”

Dalam isu Kalimah Allah dan hukum hudud tajaan PAS, DAP hanya mengkritik dasar PAS bukannya pemimpinnya. Kali ini DAP melepaskan geram secara terbuka dengan menggelar Hadi dan puak ulama menolak Wan Azizah sebagai “these nutty and hududy elements ...”

Yang ketara DAP menganjurkan ahli-ahlinya agar tidak keciwa dengan PAS kerana mereka masih ada pemimpin seperti Mat Sabu dan beberapa lagi tokoh liberal.

Kini ia bukan satu klise bahawa rancangan mengulingkan Hadi tak ubah satu sandiwara. Ia juga tak benar sekadar ibarat ribut dalam cawan kopi. Ia sudah menjelma menjadi badai besar serta kelihatan jauh lebih serius dari waktu Asri digulingkan.

Atas kertas Haji Hadi dan puaknya menguasai PAS. Kalangan akar umbi nampaknya sanggup tenggelam dan timbul bersama-sama. Telah kelihatan Nik Aziz dan PAS Pusat dan Dewan Ulama menyokong kepimpinan Haji Hadi.

Hakikatnya bagaimanapun ia tidak dikongsi mereka yang mahukan perubahan. Soalnya mampukah Haji Hadi melawan arus atau menjadi mangsa korban seperti yang menimpa Almarhum Asri Haji Muda, 32 tahun lalu iaitu pada 23 Oktober, 1982? - 16/9/2014-OLEH YUSOF HARUN

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 280  tetamu dalam talian