16November2019

Agenda Daily

Menjelang PRU ke 13, Azizan dan PAS Kedah diambang bulan Gerhana

azizan513BARU - Masa depan PAS Kedah tidak banyak bergantung pada kedudukan Datuk Seri Azizan Abd Razak sebagai Menteri Besar. Makna lain ialah PAS ada banyak pelapis yang boleh dipertimbangkan mengisi sebarang kekosongan.

Namun bagi pengundi di Kedah, mereka lebih selesa jika Azizan dikekalkan sebagai calon dan dilantik semula mengemudi negeri yang terkenal sebagai jelapang padi.

Sebab itu PAS pusat yang menyedari PAS negeri itu bergolak tidak mengambil tindakan pada Azizan kerana takut berlaku backlash ataupun tindak balas rakyat.

Dasar kerajaan PAS dibawah Azizan turut tidak disenangi parti-parti bukan Melayu di dalam Pakatan Rakyat.

Dengan pelbagai cabaran yang dihadapi PAS dan Azizan sejak 2008 sebaik memenangi PRU ke12, ia kini diilihat macam bulan gerhana politik Kedah.

Isu baru yang mencetus perbualan rakyat Azizan mengenai Azizan ialah isu pembalakan berleluasa di kawasan tadahan air dekat Pedu.

Sabtu lalu kira-kira 10,000 golongan muda berhimpun di Charok Batang Padi dekat Padang Terap memprotes tindakan kerajaan Kedah. Hampir kesemua peserta memakai baju berwarna merah sebagai simbolik kebangkitan gelombang merah.

Mereka datang menaiki lebih 2,000 buah motosikal,675 kereta dan 58 buah bas. Pelbagai sepanduk dapat dilihat antaranya Selamatkan Kedah, Jom Pakat Kalih, MBKena Bertanggungjawab dan sebagainya.

Semua ini sebahagian dari tanda-tanda bahawa zaman Azizan sebagai Menteri Besar dan PAS selaku parti pemerintah berada dihujung jalan manakala rakyat Kedah pula bakal memasuki era baru.

Justeru bagi Barisan Nasional (BN) Kedah peluang merampas semula negeri itu kini sangat cerah.

Namun dalam sorak sorai penyokong PAS, terdapat suara kebimbangan stail politik Azizan boleh menjadi tsunami politik buat PAS Kedah. Kebimbangan ini dirasakan PAS pusat.

Kerana stailnya yang sukar dibaca, PAS pusat cuba tidak mencampuri urusan PAS Kedah. Biarpun Azizan berdepan kritikan ahli-ahli yang tidak senang cara dia memberi muka pada BN, yang penting ialah kemenangan.

Setelah hampir 5 tahun mentadbir negeri, krisis PAS Kedah dilihat bukan lagi sekadar ombak dalam cawan kopi. Semuanya bermula dengan isu rombakan dalam EXCO negeri yang mahu dibuatnya.

Krisis itu hampir menamatkan karier politiknya. Ia selamat kerana PAS pusat khusus Presiden PAS berdiri teguh dan memberinya sokongan. Ini faktor setiakawan antara Hadi Awang dan Azizan.

Sebagai persiapan mengekalkan pemerintahan dan kedudukannya di Kedah, Azizan kini menumpukan perhatian di kawasan DUNnya, Sungai Limau. Masa depannya sebagai MB bergantung kepada kemenangan di situ. Kalah dalam PRU ke13 bererti Kedah bakal mempunyai MB baru jika Pakatan Rakyat menang di negeri itu.

Kalau BN pula yang menang, bukan saja Azizan, malah calon-calon PAS lainpun berputih mata.Mereka yang menikmati kuasa tentu takut berdepan sindrom hilang kuasa pula macam di Perak.

Kedudukan PAS dan Azizan di Kedah tak sama macam 2008. Ketika itu boleh dikatakan UMNO dan BN mengalami masalah dalaman kronik yang gagal diselesaikan sehingga berlabuhnya PRU ke12.

Isu-isu seperti kedudukan MB UMNO yang “sakit” tapi merasakan dirinya sihat serta lain-lain isu sampingan menjadi bahan jenaka. Kritikan pedas mantan Perdana Menteri Tun Dr.Mahathir Mohamed terhadap kepimpinan Pak Lah banyak membantu PAS.

Bukanlah rahsia pemimpin UMNO seperti Tan Sri Sanusi Junid yang sakan mengkritik kepimpinan Pak Lah juga menjadi penyumbang kepada kekalahan UMNO di Kedah.

Para pemerhati politik melihat dengan nada bimbang kemerosotan pengaruh UMNO di Kedah sebelum PRU ke12 lagi. Malah secara terbuka Hadi Awang berpendapat sedikit sokongan dari masyarakat Cina membolehkan PAS menguasai Kedah.

Terbukti bacaan sifir politik Hadi tepat berasaskan keputusan 2008 serta trend pengundian pengundi Cina di Kedah.

Sebagai contoh parlimen Alor Setar yang mempunyai 58,957 pengundi menyaksikan dua calon bertanding—Gooi Hsiao Leung (PKR) dan Chor Chee Heung (BN).

Calon BN menang dengan kelebihan hanya184 undi berbanding pada tahun 2004, calon BN yang sama memperoleh 14,515 undi majoriti.

Di kawasan Alor Setar, pengundi Cina berjumlah 33 peratus dari 58,957 keseluruhan pengundi.

Secara kasar kita lihat trend pengundian dikalangan pengundi Cina menjadi penyebab BN tewas di Kedah sehingga kawasan seperti Alor Setarpun BN menang dengan undi terlalu kecil.

Untuk rekod, kita dapati dari 36 kerusi, BN menang 14 berbanding ,PAS, 16 kerusi manakala DAP, 1; Bebas, 1; dan PKR 4 kerusi.

Kedudukan kawasan Parlimen juga menyaksikan PR menguasai 11 kerusi dari 15 yang ada. BN peroleh setakat 4 kerusi. Kerusi Langkawi yang dimenangi BN sejak 1957 kekal milik UMNO apabila calonnya, Datuk Bakar Taib menang besar.

Bagi sesiapa yang mendalami congak politik Kedah, kemenangan PAS bukan bererti PAS Kedah kuat dan hebat. Kekalahan kerajaan BN kerana UMNO lemah serta berada dalam berpecah belah.

Sebab itu kita lihat apabila Azizan menjadi pentadbir, kekurangan pengalaman dari segi pentadbiran menyumbang kepada kelemahan PAS.

Kerajaan BN sebelumnya tidak berdepan masalah sebegini.

Kini Azizan berdepan dengan realiti. Dulu sebagai pembangkang, setiap apa yang BN buat dikritik sehingga “kalau lembu matipun UMNO yang salah.”

Bukankah Ghengis Khan pernah berkata:untuk menakluki sesebuah negara dengan menunggang kuda memang mudah tapi apabila turun dari kuda dan membina negara adalah sesuatu yang amat-amat sukar.”

Dalam medan perang, kubu merupakan kawasan paling penting untuk diberi kawalan. Azizan sedar jika ia tidak jaga Sungai Limau dengan baik, kawasan itu boleh saja menjadi milik BN pula.

Azizan berhempas pulas mahu memastikan Sungai Limau kekal kubunya manakala parlimen Jerai pula kubu baru PAS.

Dalam PRU ke12, calon PAS Firdaus Jaafar menjadi “giant killer”apabila menewaskan Datuk Paduka Badruddin Amiruddin dengan kelebihan undi 2,299.

Firdaus memperoleh 26,510 undi berbanding Badruddin, 24,211 undi. Untuk rekod Parlimen Jerai mempunyai 14 peratus pengundi berbangsa Cina.

Azizan menang dengan selesa di Sungai Limau dengan majority sebanyak 3,212. Dua lagi DUN dalam dalam parlimen Jerai, Gurun dan Guar Chempedak, bagaimanapun dimenangi BN.

DUN Guar Chempedak dimenangi Ku Abd Rahman Ku Ismail dengan mengalahkan calon PAS,Mohamad Ismail dengan majority 1,759.
Di DUN Gurun, calon BN, Leong Yong Kong menewaskan kalai Vanan (PKR) dengan kelebihan undi, 1,554.

Seperti disebut diawal tadi Jerlun membuka pintu kepada Datuk Mukhrij Mahathir setelah namanya ditolak oleh UMNO bahagian Kubang Pasu dan Langkawi.

Mukhriz, putera ketiga dari lima beradik, mempertahankan maruah UMNO Kedah dan Jerlun apabila memenangi kawasan parlimen itu dengan majoriti 2,205 undi. Mukhriz memperoleh 19,424 undi berbanding calon PAS, Idris Ahmad, 17,219.

Bagaimanapun calon BN, di Ayer Hitam,,Othman Aziz, tidak bernasib apabila kalah pada PAS, Ghani Ahmad (10,652 undi) dengan majority kecil, 506.

Rakannya di Kota Siputih, Abu Hasan Sarif memulihkan semangat UMNO apabila menang dengan kelebihan 496 undi berbanding majoriti diperolehinya pada 2004, 1,573 undi.

Mukhriz pada mula bukanlah pilihan UMNO Langkawi walaupun bapanya mempunyai pengaruh besar di situ. Bagaimanapun menjelang hari penamaan calon, Langkawi bersetuju menerima Mukhrij tapi sudah terlewat.

Dalam PRU ke12, calon favorite, Datuk Bakar Taib menang dengan memperoleh 13,762 undi mengalahkan calon PAS,Wan Salleh Wan Isa, 8,792. Majoritinya ialah 4,970 berbanding pada 2004 ialah 10,772 undi.

Dua DUN dalam parlimen Langkawi, Kuah dan Air Hangat, kekal milik BN. Bagi Kuah, calonnya, Datuk Nawawi Ahmad menang dengan memungut 6,660 undi berbanding Hasrul Muhaimin Hasbi dari PKR, 3,336.

Nawawi memperoleh kelebihan 3,324 undi kali ini berbeza 6,175 undi yang diperolehi pada 2004.

BN juga menang di Air Hangat apabila calon baru Mohd Rawi Hamid mengalahkan calon PAS, Zubir Ahmad dengan kelebihan 1,135 undi. Dalam PRU ke11, calon BN, Datuk Hassan Bulat menang dengan majorti 2,803.

Keputusan yang mengejutkan dipihak UMNO berlaku ketika mana UMNO berdepan krisis dalaman serta krisis membabitkan Dr.Mahathir dan Pak Lah.

Azizan sedar dengan UMNO Kedah tiada lagi krisis dalaman, peluang PAS semakin tipis. Sesuatu harus dibuat bagi memperkukuhkan kedudukan parti itu di mata rakyat.

Kini tumpuan Azizan ialah menyediakan jentera PAS selain menyenaraikan calon-calon yang boleh menang. Kalaulah dia saja yang menang tak berguna juga kalau PAS kalah di Kedah.

Tak lama dulu Azizan memaklumkan berita baik pada ahli-ahli bahawa“PAS Kedah telah siap menyenaraikan calon-calonnya bagi pilihanraya umum ke13.”

Beliau bagaimanapun tak upaya nak umum sekarang sehingga mendapat restu pihak pusat.

Tentu saja sama ada beliau akan bertanding menjadi perhatian. Selain dari itu bagaimana pula puak yang dilihat menentangnya dulu sama ada nama mereka juga akan tersenarai?

Apapun Azizan masih “raja” di Kedah dan pemimpin PAS kawasan yang mengidamkan status YB kena sokong dan ikut cakapnya. Kalau masih nak lawan towkei, pendeklah rezeki.

Mengenai kedudukannya kekal ataupun tidak,Azizan secara sinis berkata keputusannya untuk mempertahankan DUN Sungai Limau bergantung kepada keadaan.

"Tengok la keadaan...kalau rakyat minta dan pusat pun calonkan, dan saya kuat lagi, saya akan terus bertanding. Kalau Nik Aziz (Mursyidul Am Pas) nak tanding, sayapun nak tanding juga," katanya menambah dalam politik tidak kira tua atau muda kerana politik adalah cita-cita, strategi dan perancangan.

Minggu lalu Azizan mengejutkan pengkritiknya apabila turut menghadiri program anjuran kerajaan pusat “My Beautiful Malaysia” peringkat negeri Kedah yang dilancarkan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Chor Chee Heung, di Taman Rekreasi Gunung Keriang. Dalam program itu Azizan juga kelihatan mesra dengan Pengerusi BN negeri Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah.

Tindakan Azizan menghadiri program kerajaan BN seperti diduga dikritik sakan penyokongnya termasuk dengan kasar oleh seorang pelajar pro pembangkang menyifatkannya “sial bin celaka.”

Rumusannya PAS tak boleh bermesra dengan UMNO atau BN kerana ia sebagai satu dasar parti. PAS tak mahu dicemburui DAP mengenai hal-hal kecil seperti ini.

Bagi Menteri Besar Kedah, ia melihat isu ini secara positif. Harapannya ialah agar isu ini “tidak dipolitikkan kerana ia isu sejagat.”

“Itu pemikiran cetek, saya sokong program gotong-royong itu, bukan sokong perjuangan parti politik selaku penganjur program itu,” katanya sambil menambah amalan gotong royong perdana seperti itu sudah lama diamalkan di Kedah.

“Polisi kerajaan negeri itu sama dengan agenda program anjuran Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, ia bukan satu kesalahan. Lagi pun saya hadir sebagai ketua kerajaan setelah dijemput oleh penganjur,” katanya.

Katanya kerajaan PR sudah mendahului kerajaan BN dalam memperkenalkan program seumpama itu kerana program gotong-royong adalah sebahagian dasar kerajaan yang diperkenalkan pada 2008.

“Saya sekadar mahu menggalakkan belia dan masyarakat sertai program gotong royong kerana banyak manfaatnya. Saya cuma menggalakkan usaha baik seperti itu di Kedah,” katanya.

Kritikan terbaru terhadap Azizan mengingatkan kita kepada satu lagi krisis yang lebih besar beberapa bulan lalu. Krisis itu gara-gara Azizan nak merombak kedudukan EXCO yang pada mula dibantah keras.

Krisis itu memaksa PAS pusat campurtangan. Azizan sering berdepan krisis dalaman kerana stail politik yang tidak disenangi rakan-rakan parti.

Akhirnya isu ini mati begitu saja ekoran dua EXCO yang menarik diri bersetuju menerima tawaran berkhidmat dalam kerajaan negeri.

Walaupun isu ini dilihat sudah selesai namun diperingkat akar umbi ia masih panas. Telah ada kumpulan yang mengusahakan agar Azizan digantikan.

Malah kalau PAS kekalkan Azizan, puak ini mahu Azizan kalah di Sungai Limau bagi membolehkan calon lain mengambil alih jawatan Menteri Besar.

Tentu saja nama Datuk Phahrolrazi Zawawi, anggota EXCO dan pemimpin kanan PAS negeri sering dikaitkan dalam setiap krisis melibatkan Azizan. Ini kerana beliau merupakan calon yang menolak perlantikan EXCO tempoh hari sehingga mencetuskan krisis.

Di tengah-tengah kemelut ini, Phahrolrazi cuba mententeramkan keadaan berkata“Saya andaikan ada pihak mahu memporak-perandakan semula PAS Kedah setelah krisis Exco selesai Mac lalu. Laporan portal berkenaan mungkin sengaja dibuat untuk cetuskan kekacauan dalam PAS Kedah,.”

“Isu ini sudah selesai apabila saya dan Dr Ismail terima semula jawatan EXCO dan menyertai kerajaan untuk terajui Kedah. Ini bermakna kami memberi sokongan penuh terhadap Kerajaan Negeri dan kepimpinan Azizan. Jika tidak, macam mana nak duduk dalam barisan EXCO, ini disiplin yang perlu ada pada setiap EXCO,”katanya.

Mengenai soal masa depan Azizan sebagai MB dan Pesuruhjaya PAS, beliau berkata perkara itu bawah bidang kuasa PAS Pusat.

“Kedudukan Azizan sebagai Menteri Besar atau Pesuruhjaya PAS Negeri ditentukan PAS Pusat. PAS Kedah tidak boleh campur tangan,” katanya.

Bagaimana pun, Phahrolrazi berkata, sekiranya ada pemimpin PAS Kedah yang mahu Azizan digantikan, mereka perlu membuat cadangan terus kepada PAS Pusat untuk dibincangkan, bukannya PAS negeri.

PAS Kedah setakat ini membuktikan ia tidak mudah tunduk pada DAP walaupun mereka tidor sebantal. Pendek kata, bila berdepan dengan DAP, PAS Kedah ada prinsip.

Sebagai contoh dalam kes bekalan air ke Pulau Pinang, isu ini walaupun sudah berpanjangan setahun masih tidak ada tanda-tanda bakal selesai. Mungkinkah isu air mentah ini akan selesai jika Azizan bukan lagi MB Kedah?

Setakat ini kerajaan Pulau Pinang menolak membayar pengambilan air mentah dari Sungai Muda atas sebab yang termaktub dalam Riparian Right. Kedah dikatakan tiada hak mendapatkan bayaran air kerana saluran air yang digunakan adalah semula jadi.

Bagaimanapun Phahrolrazi, EXCO bertanggungjawab tetap menuntut Pulau Pinang membuat pembayaran. Kedah bercadang mengenakan harga 3 sen/m3 ke atas bekalan air mentah ke pulau itu. Namun sehingga kini tiada respon dari kerajaan Lim Guan Eng.

Azizan juga tentu tak lupa bagaimana bekas pensyarah undang-undang UIA Aziz Bari membidasnya mengenai perlaksanaan AUKU di kolej KUIN membabitkan beberapa pelajar “didenda.”

Kerana Menteri Besar Kedah itu tetap dengan tindakan terhadap para pelajar KUIN, Aziz menganjurkan Azizan masuk saja BN kerana BN adalah pro AUKU.

Bukan itu saja, Aziz  juga meminta Pakatan Rakyat ambil tindakan terhadap Azizan kerana PR memberi jaminan memansuhkan AUKU seperti termaktub dalam Buku Jingga.

Imej kerajaan Azizan juga tercalar di mata rakyat apabila projek Kedah Agro dikritik sakan kerana gagal mencapai prestasi cemerlang seperti di zaman BN.

Hari ini Kedah Agro yang konon diPASkan bagi menunjukan keupayaan pentadbiran kerajaan PAS tak lebih indah khabar dari rupa.

Kedah Agro diusahakan dizaman BN, tapi kini biasalah, PAS merasakan ia projeknya. Di zaman BN, ia menyumbang keuntungan RM40juta kepada syarikat tapi sekarang, ia kerugian.

Kita tak nak mengulas lebih lanjut tapi bagi pembaca yang berminat, elok dapatkan laporan audit mengenai perkara ini. Audit bermula Sep 2011 hingga Okt. 2011, mendapati prestasinya tak memuaskan. Ia untung 2008, kemudian kerugian dua tahun berturut-turut.

Dengan pelbagai masalah yang melanda Kedah nampaknya peluang BN dan UMNO kembali menguasai negeri dengan jolokan jelapang padi semakin cerah. Jika Azizan nak selamat, betullah seperti kata bekas pensyarah undang-undang itu “elok Azizan masuk BN . . .. “- OLEH YUSOF HARUN  - 12/2/2013

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 280  tetamu dalam talian