20November2019

Agenda Daily

MCA Perak sudah kembali pulih

ikon-yusofharun150xxKalau kenyataan Setiausaha Agong MCA Dato’ Seri Kong Cho Ha diambil kira pengundi- pengundi Cina di Perak akan menyokong BN khususnya calon-calon MCA semula dalam PRU ke13 kelak.

Bayangan ini dibuat berasaskan sokongan dari NGO-NGO Cina kepada MCA Perak sejak kebelakangan dan trend ini semakin berkembang.

Barangkali beliau yang juga Menteri Pengangkutan merangkap ahli parlimen Lumut melihat sokongan semula itu berasaskan program Isnin membabitkan 23 pertubuhan OKU seluruh Perak.

Dalam majlis itu beliau menyampaikan bantuan kewangan,menjelang sambutan tahun baru Cina tidak lama lagi, hasil derma dari Magnum bernilai RM69,000 kepada pertubuhan-pertubuhan berkenaan.

Ketika ditemui pihak media, Cho Ha tidak menafikan MCA Perak sangat positif untuk merampas kembali kerusi-kerusi yang tewas kepada pembangkang dalam PRU ke12 lalu.

Beliau tidak menolak kemungkinan MCA negeri memperbaiki prestasinya dalam pilihanraya umum kali ini.

“Kita lihat program komuniti anjuran MCA negeri ini kini mendapat kerjasama baik daripada NGO-NGO Cina dan ini satu petanda baik bahawa parti itu sudahpun diterima semula oleh masyarakat Cina”katanya.

Prestasi MCA Perak dalam PRU ke12 adalah yang paling buruk apabila parti itu menang tiga kerusi parlimen (Kampar,Tanjung Malim dan Lumut) dan bagi kerusi DUN, ia hanya menang satu kerusi (Chenderiang) tapi tewas 15 kawasan.

Kini berbanding MIC, MCA mempunyai seorang anggota EXCO, Dato’ Dr.Mah Hang Soon yang dipertanggungjawabkan portfolio Kerajaan Tempatan.

Menteri Pengangkutan memberitahu MCA sedang menilai calon-calon yang bakal bertanding dengan mengambil kira latarbelakang dan suara akar umbi.

``MCA akan pastikan calon-calon ini memenuhi kriteria yang ditetapkan oleh pucuk pimpinan sambil pada masa sama mengambilkira kehendak pengundi,’’ katanya.

Usaha menarik sokongan pengundi-pengundi Cina kepada BN Perak khususnya MCA negeri dimulakan Menteri Besar Dato’ Seri Dr. Zambry Abd Kadir sebaik dilantik ke jawatan itu apabila BN kembali menguasai kerajaan negeri setelah 11 bulan diperintah
Pakatan Rakyat.

Kini Dr.Zambry dilihat tokoh yang sangat popular di kalangan masyarakat Cina kerana pendekatan “popular” yang diambil.

Sebagai contoh Menteri Besar tidak meminggirkan masyarakat Cina dalam hal-hal pembangunan.

Kampung-kampung baru Cina mendapat bantuan kerajaan melalui pelbagai projek infrastruktur serta juga bantuan berupa peruntukan kewangan dan kelulusan tanah-tanah kepada sekolah-sekolah Cina.

Namun persoalan yang Cho Ha tidak mampu jawab ialah apakah Lembah Kinta yang didiami 80 peratus pengundi-pengundi Cina akan memberi kejutan kepada DAP.

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, DAP menjadi parti pilihan masyarakat Cina di Lembah Kinta.

Prestasi BN dalam Pilihanraya 2004 adalah yang terbaik tapi dari 24 kerusi parlimen ditandingi di Perak, DAP memperoleh tiga membabitkan Lembah Kinta ( Ipoh Timur, Ipoh Barat dan Batu Gajah) dan tiga DUN—Pasir Pinji, Jelapang dan Menglembu.

Lim Kit Siang menang di Ipoh Timur dalam PRU ke12 dengan majoriti 21,942 undi setelah memperoleh 37, 364 undi berbanding Liew Mun Hon (BN), 15,422.

Dalam pilihanraya sebelumnya, majoriti Kit Siang hanya 9,774 undi.

Untuk rekod, 81 peratus pengundi di Ipoh Timur adalah berbangsa Cina.

Dalam PRU ke12, DAP Perak mendapat 6 kerusi parlimen dari tujuh yang dipertandingkan manakala bagi DUN, mereka membolot 18 (kini 16 setelah dua ADUNnya menjadi ahli bebas).

Menyedari demografi politik Perak yang unik, Perdana Menteri Dato’ Seri Najib Razak dilihat memberi keutamaan kepada pelbagai projek dan program bertaraf kebangsaan.

Salah satu program yang bakal menarik perhatian masyarakat Cina ialah Perak dipilih sebagai venue (Padang Astaka, Sitiawan) sambutan tahun baru cina peringkat kebangsaan pada 28 Januari ini.

Setiausaha Agong MCA menjangkakan 100,000 bakal menghadirinya termasuklah Sultan Perak dan Najib sendiri.-11/1/2012

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 244  tetamu dalam talian