MB Perak kenang bekas Presiden India Abdul Kalam
- Terakhir dikemaskini: 03 November 2015
- By YUSOF HARUN
Mantan Presiden India ke11 Allahyarham Dr.A.P.J.Abdul Kalam mencatat sejarah penting buat umat lslam di negara itu apabila dilantik secara rasmi menjadi presiden negara itu bermula dari tahun 2002 hingga 2007.
Dengan dilihat seorang yang zuhud, Allahyarham meninggalkan satu legasi sehingga tokoh-tokoh yang ada di negara itu (serta di negara lain) merasai sukar menuruti jejaknya sama ada dalam bidang politik ataupun kehidupan seharian. Ia mengingatkan mereka kepada Mahatma Ghandi.
India mempunyai kira-kira 172 juta penduduk beragama lslam (atau 11 peratus) dari 1 billion orang. Negara itu juga merupakan negara ketiga mempunyai jumlah penduduk lslam yang ramai selepas Indonesia dan Pakistan.
Semasa menjadi presiden beliau tidak berpeluang berkunjung ke Malaysia. Begitu juga impian untuk menjejakkan kaki ke Perak juga tidak kesampaian hanya sekadar menjadi kenangan buat ramai.
Menteri Besar Perak Dato Seri Dr.Zambry Abd Kadir yang mengkagumi kepimpinan serta wawasan dan sifat-sifa zuhud Allahyarham hampir berpeluang bertemu tokoh itu di Ipoh. Allahyarham Avul Pakir Jainulabdeen Abdul Kalam atau APJ Abdul Kalam yang lahir pada 15 Oktober,1931 di Rameswaram, Tamil Nadu meninggal dunia pada 27 Julai, 2015 kerana diserang penyakit jantung—beliau berusia 83 tahun.
Seperti disebut tadi ramai rakyat Malaysia terlepas pandang lahirnya seorang insan beragama lslam memimpin 1 billion warganya. Sebab itu barangkali perlantikannya pada 2002 ke jawatan penting dan berpristij itu tidak disambut perasaan gah. Ini barangkali pada ketika itu iaitu sejak 2004, politik Malaysia mula bergolak secara senyap.
Rakyat kita khusus yang beragama lslam lebih obsess dengan suasana politik dalaman sehingga apa yang berlaku di luar sana kita membiarkan sahaja ia berlalu pergi.
Ketidakstabilan politik kita ketika itu adalah gara-gara mantan PM kita yang tidak senang dengan calon penggantinya serta mengambil pendekatan mengkritik tokoh berkenaan secara terbuka. Salah satu factor perkelahian mereka ialah tuduhan PM ketika itu memberi “muka” kepada menantunya , yang kini seorang menteri, dalam kerajaan dan politik.
Yang lebih menyedihkan ialah umat lslam di Malaysia begitu taksub dengan permasalahan local sehingga mereka kurang mengambil berat perkembangan semasa termasuklah apa yang berlaku sebagai contoh di India dan Palestin. Sikap suka “menyibuk” dalam perbalahan politik seperti ini merugikan semua pihak— kita tidak memberi kepedulian pada banyak benda.
Setahun selepas Allahyarham Abdul Kalam meninggal dunia, Perak melakar sejarah apabila buat julung-julung kali memperingatinya melalui setem kenang-kenangan. Itupun usahanya adalah inisiatif yang dirintis Dewan Perniagaan India Perak (PICC). Usaha ini satu-satunya di dunia.
Apa yang menarik mengenai usaha PICC ialah mereka bercadang menjemput Allahyarham Abdul Kalam ke Perak sebagai mengenang jasanya khusus dalam dunia pendidikan. Usaha mereka mendapat sokongan dan dorongan kuat dari Dr.Zambry Abd Kadir.
Projek penting PICC bermula apabila wakil mereka berkunjung ke New Delhi pada 9 Jan. 2014 untuk menemui Allahyarham Abdul Kalam di kediamannya. Dalam perbincangan itu, Allahyarham bersetuju untuk datang ke Perak tetapi meminta tempoh lawatan diatur selepas bulan Julai 2015 kerana kesibukan masa. Bagaimanapun takdir mendahului rancangannya apabila Allahyarham telah menghembuskan nafas terakhir pada 27 Julai 2015.
Jika PICC berjaya membawa Allahyarham ke Perak, mereka bercadang menggumpul 5,000 pelajar India bagi mendengar ucapannya. Ia tentu motivasi dan mengenai bidang pendidikan—subjek yang paling dekat dihatinya. Mereka turut merancang majlis high tea yang bakal sama dihadiri Menteri Besar serta para pembesar negeri lain.
Pada tahun 2002, Allahyarham Abdul Kalam terpilih untuk menjadi presiden India menggantikan K. R. Narayanan. Selama menjadi Presiden, Allahyarham dikenal sebagai Presiden Rakyat. Beliau bersetuju menimbangkan (20 Jun, 2007) “re-eletion” jawatan presiden “ . . . asalkan ada kepastian tentang kemenangan dalam pemilihan umum presiden pada tahun 2007.” Kemudian beliau memutuskan sebaliknya.
Sekadar satu catatan, Allahyarham dianggap tokoh ilmuwan paling tersohor . Beliau dianugerah dengan ijazah doktor kehormat oleh lebih 30 universiti. Selain dari itu memperoleh penghargaan tertinggi, Padma Bhushan (1981) dan Padma Vibhushan (1990) dan Bharat Ratna (1997).
Beliau juga telah menghasilkan 42 buah buku antaranya termasuklah Wing of Fire, My Journey, Guiding Souls, You are born to blossom, dan banyak lagi. Buku-bukunya diterjemah ke pelbagai bahasa.
Dalam karyanya yang menarik perhatian umum bertajuk India 2020:A vision for the New Millenium
Allahyarham Abdul Kalam menulis bahawa menjelang 2020, India akan menjadi “knowledge of super power’” atau kuasa ilmu dunia.
Seperkara yang menarik mengenai pertemuan PICC dengan Allahyarham ialah beliau mahu dipanggil “cikgu” sepanjang masa.
Beliau yang hidup susah mendapat pendidikan di Institut Teknologi Madras sebelum berkhidmat di Jabatan Pertahanan Negara itu. Beliau dilihat sebagai tokoh utama dalam bidang memajukan teknologi nukelar khusus membabitkan pembuatan bom nukelar. Ujian dilakukan pada 1998 membuahkan hasil sehingga rakyat negaranya menganggap ia hero nasional dan pada masa sama mengggelarnya “missile man of India.”
Selain dari itu, jasanya yang lain termasuklah sumbangan signifikan dalam mengembangkan satelit pertama India Launch Vehicle (SLV-III). Beliau bertanggungjawab mengembangkan Indigenous Guided Missiles di Defence Research dan Development Organisation sebagai Ketuanya. Jolokan “missile man” India diberi berasas peranannya dalam menjayakan ujian nuklear Pokhran-II pada 1998. Ia merupakan ujian nuklear pertama India sejak 1974.
Seperti disebut tadi, usaha membawa Allahyarham Abdul Kalam ke Perak turut disokong Dr.Zambry. Menteri Besar bagaimanapun tidak berpeluang menemui Allahyarham semasa Abdul Kalam masih hidup tetapi kemudian berpeluang melancarkan setem kenang-kenangan mantan Presiden India itu di Dewan Bandaran Ipoh minggu lepas sebagai memperingati jasanya pada dunia.
Dalam ucapannya,Dr Zambry menyifatkan Allahyarham Abdul Kalam seorang manusia yang cukup istimewa, berilmu dengan memberi harapan kepada dunia untuk hidup dalam suasana aman dan makmur.
Mengenai majlis ini, Menteri Besar menambah “ia bagi mengenang seorang tokoh legenda India yang juga merupakan tokoh lagenda dunia.” Katanya Allahyarham adalah merupakan seorang pencetus cita-cita kepada golongan muda di mana idea-ideanya amat berfaedah dan berguna untuk dihayati oleh golongan itu.
''Allahyarham Dr. Abdul Kalam menceritakan tentang cita-cita, di mana-mana sahaja beliau bercerita tentang cita-cita malah tumpuannya ialah kepada generasi muda sebab itu beliau cukup selesa apabila menyampaikan ucapannya kepada golongan muda," katanya.
Kehebatan Allahyarham Abdul Kalam diringkaskan dengan berkata “beliau adalah pemimpin contoh . . . . apabila meninggal dunia beliau hanya meninggalkan sepasang kasut, jam tangan, tiga helai sut, empat helai baju dan sebanyak 2,500 buku.
Menurut TV India, Allahyarham meninggalkan:
1 3 pasang seluar
2) 6 helai kemeja
3) 3 helai sut (baju kot)
4) 1 jam tangan
5) Koleksi 2500 buah buku
6) Tiada TV, aircond atau kereta
7) Sebuah flet di kota Bangalore yang didermakan kepada kelompok saintis suatu masa dulu.
8) tiada baki wang dalam akaun bank peribadi)
“Manusia ini dianggap sangat istimewa yang ternama dan beliau meninggal ketika sedang menyampaikan ilmu di atas pentas . . . .ia diserang sakit jantung,” kata Dr.Zambry lagi.
Yang ralatnya ialah anak tukang bot ini dan membesar dengan menjual surat khabar sebagai sumber menyambung pengajian tinggi, menyukai ilmu dan yakin pada generasi muda. Tetapi hari ini masyarakat di Ipoh tidak berpeluang mendengarnya berbicara. Bagaimanapun ramai dari warga India di India masih ingat pesanannya tentang seseorang itu harus mempunyai impian kerana katanya “you’ve to dream before your dream can come true.”
Presiden PICC, Encik K. Seven Munusamy pula dalam ucapan meminta generasi muda supaya menghayati kisah perjalanan hidup Dr Abdul Kalam. Golongan muda katanya harus berani tampil menghadapi cabaran dengan berfikiran terbuka bagi mencapai impian untuk menjadi manusia yang berjaya dalam hidup mereka.-3/11/2015