14Ogos2020

Agenda Daily

MB Perak kecewa Ipoh masih kotor

Isu kekotoran dengan sampah sarap di Bandaraya Ipoh sekali lagi mendapat perhatian Menteri Besar Perak Dato Seri Dr.Zambry Abd Kadir.

Ia adalah isu lama yang hingga kini nampaknya masih sukar ditanggani. Isu kekotoran adalah berpunca dari sikap warga bandaraya yang tidak prihatin.
 
Bukannya MB mengambil sikap acuh tak acuh mengatasinya malah ada beberapa kali sejak mula memegang jawatan ini pada 2009, isu ini ditimbulkan beliau. Selain mengenai kelemahan pentadbiran Majlis Bandaraya Ipoh (dan PBT lain), juga sikap warga Ipoh sebagai penyumbang kepada suasana tidak selesa ini.

Sekali lagi isu sama cuba diketengahkan Dr.Zambry ketika beliau turun padang meninjau-ninjau persekitaran bandaraya Ipoh Ahad lepas,bermula 8.00 pagi.

Tindakan beliau yang kemudian terpanggil mengulas isu ini bukannya berasaskan laporan atau feed back daripada para pegawai bahkan ia melihat keadaan kekotoran ini dari dekat.

Bukan itu sahaja, beliau mengambil inisiatif memegang penyapu bersama-sama kakitangan MBI  membersihkan sampahsarap yang ditinggalkan. Tentulah ia perbuatan MB itu bukan sahaja diperhatikan juga diperkatakan lebih-lebih lagi oleh pihak media.

Untuk rekod inisiatifnya turut mendapat bantuan pekerja-pekerja am dataran.

Datuk Bandar Ipoh Datuk Harun Rawi mengiringi Menteri Besar dalam program pagi itu, begitu juga sekumpulan wartawan tempatan. Kita tidak tahu perasaan Datuk Bandar tetapi yang  jelas ia bukan sesuatu yang boleh membuatnya tersenyum.

Bagi media, program pagi Ahad itu agak mengejutkan kerana seperti biasa mereka menerima itinari MB melalui SMS yang dikirim Pengarah Media di pejabat MB, Haji  Nizam Isa. Ia sekadar memaklumkan ”Menteri Besar akan mengadakan lawatan mengejut di sekitar bandaraya.”

Petugas media seperti wartawan dan jurugambar pula diminta berkumpul di kediaman Menteri Besar seawal pada jam 8.15 pagi sebelum mereka berkonvoi mengikut rombongan Dr.Zambry.

Program kali ini lebih-lebih lagi meninjau “kekotoran” yang berlaku seperti menunaikan janji  Dr.Zambry ketika berdepan kakitangan kerajaan pada hari Khamis lepas.

Mesej sama terkandung dalam Executive Talk dan Perutusan Tahun Baru 2015 beliau  bertajuk 'Menuju Matlamat' yang turut dihadiri para pegawai dan kakitangan  kerajaan dimana beliau menggariskan 12 fokus utama.

Antara fokus beliau termasuklah:
1. Menyelesaikan masalah banjir.
2. Majlis Bandaraya dan pihak berkuasa tempatan (PBT) menumpukan kepada lima isu asas iaitu rumput, sampah, longkang, lanskap dan lampu jalan.
3. Melaksanakan pendekatan 3P (padang, perasaan, penyelesaian).
4. Mengisi segera kekosongan jawatan di jabatan dan agensi kerajaan.
5. Semakan kualiti kerja projek-projek infrastruktur.
6. Persiapan Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK11).
7. Memastikan manifesto Barisan Nasional dilaksanakan.
8. Pengurangan jenayah.
9. Gejala dan ancaman dadah.
10. Kesihatan rakyat.
11. Usaha menambah hasil negeri.

Dalam ucapannya Dr.Zambry meminta PBT (termasuk Majlis Bandaraya Ipoh) mengambil perhatian serius terhadap jalan-jalan berlopak dan membaikinya dalam tempoh 24 jam kerana ia boleh menyebabkan bahaya kepada pengguna, khususnya penunggang motosikal.

Sementara itu ketika turun padang meninjau sendiri ke beberapa tempat di Bandaraya Ipoh termasuklah Dataran MBI dan Dataran KTM (Keretapi Api), Dr.Zambry mengeluh resah. Keciwa melihat persekitaran yang kotor.

Wajahnya sudah tidak lagi kaya dengan senyuman. Topi yang dipakai selain menutup pancaran cahaya  matahari, juga gagal menutup rasa ketidak-gembiraan melihat suasana bandaraya Ipoh, salah sebuah bandar terbesar di semenanjung Malaysia selepas KL dan Georgetown.

Ia secara tidak langsung menjejas dan mencalar imejnya selaku CEO negeri.

Kekeciwaan itu kemudian diluahkan, dengan disaksikan Datuk Bandar dan para pegawai kanan kerajaan, kepada media yang sudahpun bersedia untuk mengutip setiap patah perkataan.

Pihak media tidak terkejut kenyataan Dr.Zambry kerana bagi petugas media keadaan kotor dengan longgokan sampah sarap, rumput tidak dipotong di Bandaraya Ipoh bukanlah suatu yang baru. Sudah banyak yang dilaporkan melalui media masing-masing.

Datuk Bandar baru yang menggantikan Roshidi Hashim (bersara tahun lalu) seperti  gagal memperbaiki imej  Bandaraya Ipoh. Kekeciwaan warga bandaraya Ipoh dijawab melalui kenyataan Dr.Zambry.

Dalam kenyataan media, Dr.Zambry mahu kesedaran sivik kalangan warga bandaraya dipertingkatkan. Ini katanya bagi memastikan bandaraya warisan itu terus menjadi salah satu lambang pembangunan negeri Perak.

Menteri Besar sedih  tahap kebersihan dan penyelenggaraan khususnya di sekitar lokasi bersejarah dan pusat-pusat rekreasi. Maknanya di kawasan tumpuan pelancung ini tidak diberi perhatian.

"Keadaan di sekitar Ipoh memang amat menyedihkan, lihat sahaja sampah-sarap dan bekas-bekas makanan yang ditinggalkan oleh masyarakat, ini satu perkara yang amat memalukan buat negeri Perak.

"Sebagai contoh, stesen keretapi KTM ini merupakan salah satu pintu masuk dan gateway kepada negeri Perak, bayangkan perasaan pelancong atau sesiapa sahaja yang turun dan melihat sampah yang berselerak di Dataran MBI ini.

Beliau mahu rakyat bekerjasama mengekalkan kebersihan setempat serta memelihara keindahan di bandar Ipoh seperti lukisan mural, deretan Memory Lane dan kedai-kedai lama yang mewujudkan suasana nostalgia kepada yang menggemarinya.

Dalam peringatan sama Dr.Zambry berkata MBI  memberikan peluang rakyat untuk berniaga di tapak berdekatan namun masih ada peniaga yang menjalankan perniagaan gerai mereka di sekitar kawasan rekreasi tersebut dengan secara tidak bertanggungjawab.

"Mereka ini tidak ada permit perniagaan yang sah, jadi mereka tidak sepatutnya mula berniaga. Atas sebab perikemanusiaan kami biarkan sahaja perkara ini berlaku kerana kami faham mereka pun niaga tak lama, 4-5 jam sahaja.

"Tapi janganlah menjadi peniaga yang tidak berdisiplin, begitu juga dengan pengunjung yang datang haruslah menjaga kebersihan kerana siapa lagi nak jaga Perak kalau bukan kita sendiri?," tambahnya.

Beliau juga berpesan agar tugu-tugu dan bangunan bersejarah diberi peliharaan dari semasa ke semasa.

Ini termasuklah lampu-lampu jalan juga perlu diberikan perhatian dan diselenggara sebaiknya kerana pencahayaan amat mustahak dalam mengurangkan risiko kemalangan.

Untuk rekod, beberapa hari sebelum itu, Dr.Zambry yang turun padang ke Segari (dekat Manjung) mengingatkan pihak yang diberi tanggungjawab untuk melaksanakan atau memberi kelulusan kepada sesuatu projek di negeri Perak haruslah memikul amanah yang dipertanggungjawabkan.

 “Apabila sesebuah projek itu dilaksanakan, kita mahu ia disiapkan pada jangka waktu  ditetapkan.

“Tidak perlu dilewatkan atau sengaja dilewatkan dengan alasan serta faktor-faktor tertentu.

“Saya dapati ada satu projek besar berkaitan kepentingan rakyat yang telah pun diluluskan tetapi masih belum dilaksanakan lagi.Pelbagai alasan diberi dan sudah tiga tahun projek itu terbengkalai begitu sahaja,”ujarnya.

Nampaknya 2015 sudahpun memberi gambaran Dr.Zambry yang sudah jadi MB sejak 2009 akan sekali lagi turun padang memantau masalah rakyat. Beliau sendiri tentu sahaja tidak mampu menyelesaikan semua masalah berbangkit jika usahanya tidak disokong wakil-wakil rakyat serta kakitangan kerajaan.-27/1/2015

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 419  tetamu dalam talian