21September2020

Agenda Daily

Mat Sabu Perdana Menteri ketujuh?

ikon-yusofharun150xxBIAR bagaimana selesapun sekalipun Anwar Ibrahim bersyok sendiri dengan merasakan dialah paling layak menduduki kerusi Perdana  Menteri jika Pakatan Rakyat  memerintah, namun hakikat sebenarnya ia masih berbalam di awang-awangan.

Walaupun masih ada peminat setia Anwar menganggap dia adalah de facto Prime Minister namun beberapa halangan kini bukan saja sudah menunggu malah sudahpun menjadi penghalang. Bak kata orang, ia bukan lagi batu loncatan kepada Pak Sheikh tetapi kini sudah bertukar menjadi batu hempapan.

Maka kerana itu, dan tidak seperti satu ketika dulu, semakin ramai pemimpin Pakatan Rakyat dari PAS dan DAP sudah mula meragui sekiranya Anwar adalah the best among the worsts.

Waktu itu bolehlah. Dunia, terutama negara beragenda terhadap Malaysia merasakan Anwarlah de facto Prime Minister.  Namun hari ini, di lihat dari pelbagai aspek dan sudut Anwar sendiri mendapati dirinya sukar untuk meyakinkan dunia tentang hal tersebut.  Dalam lain perkataan keyakinan sebelum 2008 itu semakin pudar ibarat lampu kian  kehabisan minyak.

Ketika itu, dunia Barat yang telah terpukau dengan “good PR man” serta imej Mr.Renaissance telah memberi ruang untuk beliau bergerak. Tentu ramai masih belum lupa bagaimana pemerintah Malaysia berdepan dengan gelombang kempen dari Barat yang sentiasa berusaha mencemuh negara kerana mahu memberi ruang dan menonjolkan imej ‘larger than life’ untuk Anwar.

Niat mereka tentu sekali untuk melihat “kuda pilihan” mereka mengambil alih teraju pemerintahan. Namun Barat terlupa, walaupun mereka ada rancangan, Allah juga memiliki rancanganNya dan rancangan Tuhan Azzawajalla itu lebih hebat dan mengatasi segala rancangan manusia.

Anwar dulu sudah tidak seperti Anwar hari ini.  Berbanding dengan Datuk Zaid Ibrahim, juga bekas pemimpin UMNO yang telah bersama Anwar untuk tempoh singkat, Zaid tampak masih ada idealisme malahan sanggup hilang kerjaya dan kedudukan serta masa depan politik semata-mata memperjuangkan idealismenya.

Anwar pula, di sebalik rioh rendah politik mutakhir ini kini seolah-olah tercungap  lemas dalam kolam politik ciptaanya serta amat memerlukan talian hayat bagi memastikan impianya untuk ke Putrajaya tidak tenggelam ke dalam pasir di dasar kolam.

Seperti lazimnya pembangkang tidak berani memberikan gambaran tentang siapa bakal menerajui negara ini andai kata mereka memenangi Pilihanraya Umum ke-13 kelak. Begitu juga dengan barisan kabinet bayangan yang sehingga sekarang masih membayangkan seolah-olah tersimpan dalam kabinet bilik stor angan-angan mereka.

Kegagalan menamakan shadow cabinet ini mengecewakan pengikut Pakatan dan mengakibatkan orang lain tertawa dan tidak lagi menganggap Pakatan Rakyat  serius apatah lagi satu  force-to-be-reckoned-with atau tenaga politik baru yang perlu dihormati.

Sejak 1998, pembangkang mewar-warkan kepada umum  bahawa bakal Perdana Menteri adalah Anwar. Karisma bekas Presiden ABIM itu serta imej yang dipaparkan sebagai mangsa politik kotor Dr.Mahathir Mohamed (Tun) berjaya meraih simpati umum. Pusingan pertama berpihak kepada Anwar. Malah jika dilihat PKR dari dekat, asas perjuangan mereka serta matlamat penubuhannya ialah memperjuangkan Anwar agar ia bebas dan berpeluang menjadi Perdana Menteri. Atau dengan lain kata, pembangkang memberi gambaran Anwar adalah mangsa kezaliman kerajaan.

Anwar menderita secara fisikal dan mental akibat hukuman penjara namun faktor matanya yang lebam itu menaikkan geraf politiknya sehingga hampir merebahkan Dr.Mahathir di arena sendiri. PKR didaftarkan dengan memakai lambang mata lebam Anwar bagi memperlihatkan perjuangannya semata-mata mahu membebaskan Anwar. Sejauh ini belum ada lagi parti politik di dunia ini ditubuhkan semata-mata kerana pemimpin.

Kerana matanya yang lebam itulah satu dunia awal-awal lagi menuduh Dr.Mahathir adalah orang yang bertanggungjawab.

Hari ini walaupun kes serta pegawai kanan polis yang menyebabkan mata Anwar lebam, rakyat pada umumnya masih sukar menerima hakikat Dr.Mahathir tidak bersalah. Dr.Mahathir terpaksa mempertahanan diri dari terus didakwa perancang utama menjatuhkan Anwar dari UMNO seperti yang dilihat didalam bukunya The Doctor in the House.

Selepas Pilihanraya Umum ke-12 dan kepemimpin Pak Lah sudah ditolak sehingga seakan-akan melemahkan UMNO, Anwar berusaha merapatkan dirinya ke pintu kuasa. Namun melalui apa yang disebut sebagai projek 16 September, bukan saja ia gagal, tembelangnya pula terbongkar dan Anwar dilihat begitu kemaruk untuk berkuasa walau terpaksa menggunakan pintu belakang.

Pusingan keduapun gagal dan kini memasuki pusingan ketiga dan dilihat sebagai final round. Jika Anwar gagal juga menjadi Perdana Menteri, maka sudah sampai masanya dia kirim salam sahaja kepada para pak guard di Putrajaya.

Justeru jika Presiden PAS Haji Hadi Awang awal-awal lagi sudah menolak jawatan Perdana Menteri, ia sudah tentu dapat diterjemahkan sebagai ada kaitan dengan memberikan peluang terakhir ini kepada Anwar.

Kenyataan Hadi tentu melukakan hati pengikut dan ahli-ahli parti namun Presiden PAS itu sedar, ia tidak berkaliber dan tidak ada karisma untuk menjadi pemimpin nombor satu negara. Bagaimana mahu memimpin Malaysia sedangkan memimpin Terengganu pun huru-hara. Memimpin sebuah negara seperti Malaysia bukan macam menjadi imam masjid. Memimpin sebuah negara bukan sekadar pandai bercakap tentang agama. Tetapi ia memerlukan pengalaman, kaliber, karisma, pengetahuan dan sikap yang bertoleransi.

Dalam keadaan peluang Anwar semakin tipis dan Hadi pula awal-awal sudah mengangkat bendera putih dengan mengumumkan kepada rakyat Malaysia ketidaksanggupan beliau menjadi PM, ada juga kepala yang memusing menghala Mursyidul Am PAS.

Memang benar Datuk Nik Aziz Nik Mat adalah Menteri Besar Kelantan selama sekian banyak tahun. Tapi apakah Kelantan lebih maju di tangan beliau dan PAS berbanding ketika BN memerintah dulu. Lagipun dalam keadaan kesihatan beliau dan usia yang agak lanjut, amat kecil kebarangkalian beliau akan bertanding kerusi Parlimen pada pilihanraya umum akan datang. Malah umum sudah mengandaikan beliau tidak akan bertanding kerusi DUN kerana mahu bersara dari politik.

Oleh itu, kira punya kira akhirnya nampaknya macam Anwar paling layak. Tetapi

Hadi tentu arif b ahawa peluang Anwar untuk menjadi Perdana Menteri tidaklah secerah beberapa tahun lalu.

Dua kes liwat serta satu kes pula membabitkan video seks boleh menjejaskan peluangnya menjadi PM ke7. Bukanlah kita ingin mendahului Tuhan namun boleh dikatakan hampir satu dunia menolak tokoh yang dianggap bermoral rendah. Melainkan jika rakyat Malaysia tidak mengambil kira isu moral serta pendapat dunia, Anwar bolehlah mencuba nasib sekali lagi. Tetapi soalnya mengapa Hadi menolak jawatan ini , mengapa tidak cadangkan nama lain sebagai gantinya untuk menjadi PM jika PR menang?.

Sementara kita menunggu jawapan Hadi,bagi DAP, mereka tentu menyedari bahawa mereka tidak berpeluang menjadi Perdana Menteri. Lim Kit Siang ataupun anakya Lim Guan Eng sekadar boleh bermimpi tetapi realitinya, jawatan Perdana Menteri dikhaskan kepada orang Melayu.

Namun menyedari hakikat ini serta mengambil kira kedudukan masyarakat Cina, pemimpin anak beranak ini akan berbuat apa saja untuk memastikan PR boleh mengalahkan BN. Dari segi karisma,  Kit Siang sudahpun dapat melihat dirinya menjadi timbalan perdana menteri yang baru. Malah jika kerusi yang DAP miliki mengatasi PAS dan PKR maka parti itu boleh meminta jawatan yang lebih penting.

Begitupun para pemerhati berpendapat DAP lebih berminat melihat Presiden PKR Wan Azizah Wan Ismail menjadi Perdana Menteri dari membiarkan jawatan itu diisikan oleh PAS.

Hubungan istimewa dengan Nik Aziz bukan bererti DAP mahukan Pak Nik menjadi Perdana Menteri. Namun muktamar ke-57 yang baru selesai memberi ruang kepada PAS untuk mencalonkan calon lain sebagai Perdana Menteri. Dalam keadaan Hadi sudah awal-awal lagi surrender, nampaknya calon alternatif ialah Mohamad Sabu, Timbalan Presiden PAS yang baru.

Ayuh Abang Mat. Orang kata tuah ayam dapat dilihat tuah manusia siapa tahu. Kini peluang menjadi PM sangatlah cerah. Tapi hati-hati, jangan pula peluang ini disia-siakan begitu sahaja kerana mahu menjadi hero politik demonstrasi jalanan lagi. -16/6/2011

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 566  tetamu dalam talian