22September2019

Mastura bukan calon terdesak...

Tidak ada kejutan bilamana Timbalan Perdana Menteri Dato Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan nama Datin Mastura Mohd Yazid sebagai calon Barisan Nasional (BN) dalam Pilihanraya Kecil Kuala Kangsar bulan depan.
 
 
Bahkan beberapa hari sebelum itu lagi nama Mastura bermain disetiap bibir penduduk tempatan.
 
 
Ia diibarat sudah terang lagi bersuluh.
 
 
Sehingga bila tiba pada masa namanya mahu diumumkan dan berdasarkan ucapan Zahid sebelum membuat pengumuman, kira-kira 2,000 orang yang hadir di Command Center, Safari Resort iaitu markas utama BN, sudah dapat meneka.
 
 
Tepukan serta jeritan seperti dalam mana-mana majlis politik berkumandang mengiringi pengumuman Timbalan Perdana Menteri yang kini menjalankan tugas Timbalan Presiden UMNO itu . . . segala-gala adalah sejarah baru selepas itu.
 
 
Bagi Zahid,walau siapa calon sekalipun ia adalah calon pilihan Presiden UMNO Dato Seri Najib Razak setelah mengadakan perbincangan dengan pelbagai peringkat dan pimpinan negeri. Dalam konteks inilah semua ahli UMNO perlu memberikan sokongan bagi memenangi calon BN itu.
 
 
Kenyataan Zahid sebelum itu juga seolah-olah dapat meneka ada pihak yang tidak bersetuju dengan keputusan calon pucuk pimpinan. Secara bergurau Timbalan Perdana Menteri berkata,”kalau Kamil tidak dipilih,janganlah berkecil hati . . . begitu juga dengan mantan Ketua
 
bahagian . . . ‘Ia dilihat merujuk kepada dua calon popular yang turut disenarai pendek—Mohamed Kamil Shafie (Pemangku Ketua bahagian dan ADUN Manong);dan Datuk Ramli Zahari.
 
 
Kepada mereka yang pada mula membantah pencalonan Mastura kerana mereka merujuk kepada isu edah yang Mastura harus hormati selepas kematian suaminya Datuk Wan Khairil dalam nahas helicopter sebulan yang lalu hal sama berlaku.
 
 
Bahkan kepada Perdana Menteri,hal kebimbangan ini turut disuarakan kerana risiko yang mendatang bakal menghalang kemaraan jentera BN. Bukankah kata mereka BN tidak perlu mencari masalah baru dengan pencalonan Mastura—buat apa cari masalah jika tidak ada apa-apa
 
masalah.
 
 
Namun hakikatnya Najib perlu juga mendengar suara akar umbi lebih-lebih lagi suara rakyat di Kuala Kangsar. Suara rakyat adalah jauh lebih signifikan berbanding satu dua suara protes.
 
 
Begitu juga bangkangan melalui satu dua tulisan dalam media arus perdana serta beberapa blog yang mengaku pro kerajaan.
 
 
Berlainan dengan persepsi penduduk tempatan.Bagi mereka Mastura walau masih dalam edah adalah lambang wanita moden , bertaraf professional dalam kerjaya serta isteri yang baik. Beliau tidak harus diketepikan semata-mata kerana factor edah. Ada jalan keluar seperti dicadangkan
 
tokoh seperti antaranya Fathul Bari dan Mufti Perak.
 
 
Begitu juga bukan baru bagi penduduk di kawasan ini menyaksikan seorang wanita memimpin dan menjadi wakil rakyat Kuala Kangsar seperti Rafidah Aziz,yang menjadi ahli parlimen hampir 20 tahun.
 
 
Mastura pula bukan orang baru,bukan juga muka baru berbanding calon PAS, Ketua Muslimat Pas Perak, Dr Najihatussalehah Ahmad. Untuk rekod,Calon PAS bukan orang tempatan (orang Pasir Salak), begitu juga seperti dikitar semula apabila
 
pernah bertanding dan tewas di beberapa kawasan seperti Parit.
 
 
Sebagai isteri Allahyarham Wan Khairil,Mastura macam belangkas yang ikut dalam setiap program suaminya sejak Allahyaham masih menjadi ADUN Chandan lagi. Peta dan parlimen Kuala Kangsar macam dibelakang tapak tangannya.
 
 
Hasilnya apabila suaminya maut dalam nahas ngeri itu ia muncul seperti Jackie Keneddy, mengambil alih tugas yang pernah dijalankan suami serta azam mahu meneruskan tugas suami yang belum selesa. Ini disambut baik rakyat.
 
 
Lantas Mastura, yang berasal dari Jelebu, Negeri Sembilan serta anak bekas anggota EXCO kerajaan itu adalah pilihan rakyat Kuala Kangsar untuk menjadi wakil rakyat mereka.
 
 
Soal edah ia adalah soal hukum bukan yang harus dipandang ringan. Selama 4 bulan 10 hari,beliau harus patuh kepada beberapa ketetapan seperti disebutkan dalam al Quran (Al Baqarah 2:234) membawa maksud:” Dan orang-orang yang meninggal dunia di antara kamu, sedang
 
mereka meninggalkan isteri-isteri hendaklah isteri-isteri itu menahan diri mereka (beridah) selama empat bulan sepuluh hari.
 
 
Kemudian satu lagi peringatan seperti terkandung dalam sepotong hadis, dari Ummu Athiyyah RA, sabda Rasululah SAW:Dari Ummu 'Athiyyah RA, sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda:"Tidak dibenarkan bagi seorang wanita untuk berkabung atas kematian seseorang lebih daripada
 
3 hari kecuali atas kematian suaminya iaitu selama 4 bulan 10 hari. (Selama tempoh itu) Dia tidak boleh memakai pakaian yang beraneka warna kecuali jika pakaian itu kain putih dan coraknya sekadar garis-garis (belang) (sejenis kain buatan Yaman pada zaman Nabi), dia juga tidak boleh
 
memakai celak dan tidak pula boleh berwangi-wangian melainkan ketika dia bersih (daripada haid). (Adapun ketika haid) maka (diperbolehkan) dia mengenakan sedikit wangian dengan cebisan kapas/kain (untuk menghilangkan bau tidak enak pada kemaluannya)." [HR al-Bukhari &
 
Muslim]
 
 
Tetapi ini tidak bererti beliau tidak boleh bertanding hanya tidak boleh berkempen sepanjang menjadi calon BN. Berkempen boleh dilakukan jentera BN, begitu juga anak lelakinya boleh menjadi wakil dan jurucakapnya. Hal begini bukan sesuatu aneh atau merugikan BN kerana
 
 
sebelum ini terdapat beberapa orang tokoh yang “ditahan dalam penjara”juga boleh bertanding dan memenangi jawatan yang dipertandingkan.
 
 
Seperti dalam kes Allahyarham Datuk Harun Idris, mantan Menteri Besar Selangor yang terpilih sebagai Naib Presiden UMNO walaupun ketika itu masih berada dalam penjara. Begitu juga dengan kes P.Waythamoorty, yang menang dalam PRU ke13 semasa masih menjalani tahanan
 
ISA.
 
 
Kita tertarik ulasan seorang “ulama” yang juga EXCO Pemuda UMNO Dr.Fathul Bari Mat Jahya yang berpendapat:”…. . biarlah anak beliau menjadi pengganti beliau untuk berkempen sepanjang tempoh pilihanraya. Kehendak agama WAJIB didahulukan dari kehendak manusia.
 
 
Saya amat yakin umat Islam mampu memahami situasi ini dengan baik. Dan saya berharap kepada pengundi-pengundi non-muslim juga memahami sensitiviti hukum yang telah diputuskan dalam agama kami.”
 
 
Kesimpulannya ialah Mastura adalah calon terbaik dipertaruhkan Barisan Nasional bukan kerana situasi terdesak seperti dakwa penentang kerajaan. Seperti diulas oleh Mufti Perak, ia hanya harus patuh kepada soal dan hukum edah tetapi tidak salah menjadi calon dalam PRK Kuala
 
Kangsar. Itu sahaja.-30/5/2016 - OLEH YUSOF HARUN
 
 
 
 
 
PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 771  tetamu dalam talian