22November2019

Agenda Daily

Kisah Menteri Besar...

Profesyen Menteri Besar (MB) sering tidak terlepas dari diteropong atau dipantau seperti mana rakyat melihat kuman melalui mikroskop. Lazimnya tokoh-tokoh penting ini dikait dengan pelbagai tuduhan liar yang tidak berasas.

Mereka dipersalahkan dan dihukum terlebih dulu sebelum muncul fakta kes.

Selain negeri seperti Selangor , MB yang dari negeri kecil tidak terlepas pandang. Gara-gara masalah membabitkan kolam renang di sukan SUKMA tempoh hari, tempiasnya turut terkena MBnya. Soalnya apa kaitan dengan Azlan Man kerana ia bidang kuasa JKR serta kontraktor yang bertanggungjawab?

 Setakat ini yang dilihat teruk kena belasah ialah Khalid Ibrahim dan ia pun bukanlah sesuatu yang mengejutkan mengambil kira keupayaannya mentadbir Selangor. Ini disebabkan Selangor selaku negeri penting dalam persekutuan dimana MBnya tidak mampu buat salah. Sebab itu Anwar Ibrahim mahu mengambil alih jawatan Khalid jika bukan kerana keputusan mahkamah tinggi yang tidak memihaknya tempoh hari.

Kes Khalid agak kelasik kerana ia satu-satunya MB yang mewakili PKR serta sebelum ini adalah orang kuat UMNO Selangor. Berbanding Khalid, tokoh jauh lebih layak bagi jawatan berprestij itu iaitu Azmin Ali dipinggirkan semata-mata kerana bimbang akan pengaruhnya dalam PKR.

Khalid pernah dilihat tertidor serta rambutnyapun macam tak terurus perlu menimbang kedudukannya. Ia memberi gambaran yang negatif.

MB Kelantan yang dulu, walau tak banyak buat sesuatu yang signifikan untuk pembangunan negeri itu jauh lebih bernasib baik dari penggantinya.

Rakyat mahukan ulama berbanding teknokrat. Bagi mereka kemajuan tidak harus diukur dengan berapa tingginya bangunan atau banyaknya rumah rakyat.

Justeru isu pembangunan atau salah laku seperti pernah didedahkan mengenai pembabitan tokoh DAP dari luar dalam isu tanah di negeri itu bukan isu pokok yang perlu diberi perhatian.

 Keadaan Ahmad Said di Terengganu lain pula cerita nya sebaik selesai PRU ke13 pada 5 Mei lalu. Beliau yang digugurkan dan digantikan dengan Ahmad Razif Abdul Rahman, ADUN Seberang Takir gara-gara prestasi BN dalam pilihanraya lalu terus diperbualkan. BN terselamat dari tewas pada PAS kerana kelebihan dua kerusi.

 Kedudukan di Pahang dan Negeri Sembilan terus jadi perhatian kerana sebelumnya terdapat spekulasi mereka bakal diganti. Melaka pula, sejak Idris Harun dilantik sebagai KM menggantikan Ali Rustam tidak ada masalah. Pilihan Najib dalam hal ini dilihat bijak serta menepati ramalan rakyat.

 Sedang semua negeri dibayangi pelbagai masalah tiga MB yang secara relatifnya dari segi umur masih muda menjadi perhatian umum. Yang dimaksudkan ialah Mukhriz Mahathir (Kedah), Khaled Nordin (Johor) dan Dr.Zambry Abd Kadir (Perak).

 Khaled baru saja terbabit dalam kontroversi apabila kerajaannya meluluskan rang undang-undang Lembaga Perumahan dan Hartanah Johor ( LPHJ). Ia memberi kuasa pada Sultan Johor dalam hal berhubung perumahan dan tanah di negeri itu. Namun Majlis DiRaja Johor dalam kenyataan menyangkal Tuanku akan campurtangan dalam hal ehwal pentadbiran seperti digembar gembur media pembangkang.

Khaled ada sebab untuk menyokong penglibatan Sultan Johor kerana Johor memerlukan pemantauan tentang pemilikan hartanah dan juga rumah-rumah. Selama ini orang asing selain membolot kekayaan di Johor serta menjadikan negeri ini sebahagian dari padang permainan dalam dunia korporat.

Jika para pegawai kanan boleh mereka beli kita yakin dengan kemasukan pihak Istana, keadilan dapat ditegakkan. Bukankah ini yang rakyat mahukan?

 Khaled memilih menyokong penglibatan Istana dari mengambil pendekatan menentang Sultan Johor. Ini bukan bererti dia membodek Tuanku seperti mereka yang melakukan kerana kemaruk darjah gelaran dan sebagainya.

Matlamat Khaled ialah mahu satu reformasi yang bakal menguntungkan rakyat Johor.

 Di Kedah, kedudukan Mukhriz jauh lebih selamat. Dia bukan saja diterima baik oleh UMNO dan PAS begitu juga rakyat atas pagar. PAS Kedah gagal pertahan kerajaan yang dimenangi pada 2008. Kerana factor Mukhrizlah maka dalam pilihanraya lalu, BN Kedah menang.

 Dari segi publisiti Mukhriz, barangkali kerana faktor bapanya Tun Mahathir, mendahului lain-lain MB. Dasar media elektronik yang meminggir beberapa MB gagal mengenai Mukhriz. Melalui laporan media berkenaan MB Kedah itu menikmati popularity. Bagaimanapun tempoh setahun belum cukup

untuk kita membuat penilaian. Cuma yang pasti sokongan rakyat pada Mukhriz pada tahap luar biasa.. Kalau ia senyum pada kita bermakna dia benar-benar ikhlas. Jika dia menegur kita bererti dia mahu mendengar pandangan bukannya mahu mencari mileage politik.

 Laluan Dr.Zambry tidak seperti Mukhriz kerana tokoh ini sentiasa dibayangi krisis kejatuhan kerajaan PR yang berusia 11 bulan pada 2009. Sejak awal pentadbirannya, tidak ada kata-kata baik kedengaran. Ia dituduh terlibat menjatuhkan kerajaan PR secara tidak demokratik.Dalam sidang DUN Perakpun ada wakil DAP secara terbuka menyebut “kerajaan haram . . .rampasan kuasa.”

Soal tiga bekas ADUN mereka berpaling tadah kerana hilang kepercayaan pada MB ketika itu langsung tidak diterima.

 Justeru sejak mula lagi bukanlah kerja mudah menarik semula sokongan pengundi Melayu serta yang atas pagar. Selain berbekal ijazah PhD dari University Cornell, Dr.Zambry kena bersikap terbuka dan mengenepikan hidup esklusif. Kritikan harus dihadapi dengan senyuman. Pembelaan diri pula melalui program turun padang serta menemui rakyat. Masuk ke dapur rakyat, meredah belantara serta menaiki bot tambang dibuat berulang kali.

 Beliau memilih tidor diberanda masjid serta makan dan minum menggunakan pinggan kertas. Ia memulakan program turun padang dan menemui rakyat sejak 2009 sehinggalah sekarang. Ia bukanlah MB yang menghabiskan masa dipejabat semata-mata mempengerusikan mesyuarat di bilik berhawa dingin atau ke padang golf untuk bermain golf.

 Dr.Zambry seorang yang praktikal serta tidak bersikap konvensyenal dan memilih mengenepikan protocol dengan mengutamakan rakyat dari kelompok kecil. Kalau ada pemimpin UMNO bahagian yang tidak senang dengan sikapnya ia dimengertikan. Ia tidak wujudkan kroni serta memilih bulu dalam pentadbirannya.

 Kita telah melihat bagaimana pada ketika tidak ada sesiapa menjangka BN Perak mampu mengekalkan pemerintahan dalam PRU ke13 atau dengan lain kata “write off” UMNO Perak, dia membuktikan mereka silap.

 Ada puak yang tidak senang potensinya menuduh Dr.Zambry tidak membantu serta hilang semasa PRK Teluk Intan manakala terpaksa beliau itu diambil alih tokoh-tokoh lain. Kumpulan ini atau mereka ini terlepas pandang beberapa hari sebelum pembuangan undi pada 31 Mei, Almarhum Sultan Azlan gering sebelum mangkat. MB terpaksa naik turun ke KL serta hadir dalam program tahlil di Istana Bukit Chandan sebelum boleh turun ke Teluk Intan.

Jarak KL ke Ipoh bukanya dekat. Lagipun urusan mengenai lstana bukan boleh “diswasta”kan begitu saja. MBlah yang harus berurusan serta bertanggungjawab.

Protokol ini difahami semua MB termasuklah PM Najib Razaki.Sebab itu kita lihat kadangkala apabila MB tiba di Teluk Intan pada waktu malam, pada waktu sama orang lain sudah nyenyak tidor.

 Seperti disebut tadi tiga MB ini adalah harapan rakyat. Maknanya mereka tidak akan kekal selama-lama di negeri masing-masing sebagai MB. Ini sangat difahami oleh sesiapa saja termasuklah Dr.Zambry sendiri. Selain ia satu tugas bersifat mencabar, ia juga bersifat sementara menunggu giliran dibawa pula ke pusat pula untuk jawatan jauh lebih signifikan. Tiga MB ini adalah pelapis yang dipersiapkan supaya suatu masa nanti bila berlaku “peralihan kuasa” ia dapat berjalan dengan baik dan terurus.

 Dalam konteks ini media elektronik sepertiTV3 tidak harus dibayangi agenda peribadi. Mukhriz, Dr.Zambry serta juga Khaled perlu diberi pendedahan jauh lebih signifikan. Dalam keadaan kita ketandusan tokoh-tokoh berwibawa, mereka adalah harapan rakyat.

Kerana jika kita tidak prihatin dan tidak bersedia dari sekarang serta cuba menjatuhkan mereka menggunapakai seribu kaedah jahat, kita bimbang keputusan PRU ke14 merugikan semua dan tidak memihak pada BN. Bagi mereka yang terlupa kita timbul semula peristiwa TV3 membelasah Khir Toyo saban malam melalui laporan negative sebelum PRU 2008. Akibatnya BN tewas dengan teruk di Selangor. Ini adalah pengajaran yang tidak harus dilupakan semua pihak.

Sementara sama ada mereka boleh dianggap seperti putera mahkota  yang dipersiapkan untuk proses “peralihan kuasa” suatu masa nanti ia banyak bergantung pada ahli-ahli parti dan rakyat. Samalah juga sama ada mereka berjaya melalui dugaan politik ia adalah takdir yang ditentulah llahi serta tercatat di loh mahfuz. Sebagai orang politik, mereka hanya merancang tetapi ditangan ahli-ahli UMNO dan rakyatlah sama ada peluang bergelar tokoh besar menepati ramalan.-13/6/2014- OLEH YUSOF HARUN

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 293  tetamu dalam talian