14Ogos2020

Agenda Daily

Kisah Dr.Zambry yang tidur di masjid

zambrytidorxxSejak, mungkin sebulan atau kurang lalu, banyak diperkatakan secara khusus tentang beberapa orang pemimpin UMNO yang sama ada mempertahankan jawatan atau mengesahkan diri untuk bertanding jawatan Naib Presiden parti.

Terlalu banyak sangat diperkatakan tentang mereka ini sehinggakan umum amnya dan orang UMNO sendiri khususnya terlupa masih ada lagi beberapa nama yang cukup layak, berkemampuan dan memiliki potensi besar memimpin UMNO dan kerajaan di masa depan.

Bagi pemilihan kali ini (19 Oktober lalu), UMNO yang begitu tertekan dengan kritik tentang kerelevanan UMNO mengambil langkah bijak apabila menukar sistem pemilihan tradisional kepada sistem pemilihan baru.  Diperkukuhkan lagi dengan peraturan berkempen baru, dan walaupun mengambil masa hampir lima tahun untuk melakukan reformasi ini, namun umum merasakan masih ada ruang untuk diperbaiki.  

Antara perubahan baru yang sepatutnya dilakukan oleh UMNO ialah menggunakan media mereka bagi memperkenalkan pemimpin negeri yang berkaliber untuk dijadikan pemimpin induk parti dan kerajaan secara memberikan liputan meluas di peringkat nasional.

Secara tradisionalnya, calun Naib Presiden, dalam kempen menjelang pemilihan memilih, secara langsung atau tidak mempromosikan diri masing-masing dan berusaha mempengaruhi perwakilan ke persidangan untuk memilih mereka.  

Kini, walaupun amalan berkempen secara terbuka telah dimansuhkan, tetapi amalan mempromosi diri sendiri sama ada secara langsung atau menggunakan psikologi undur masih berjalan.  Oleh itu, reformasi pemilihan yang dibuat oleh UMNO untuk memperkukuhkan parti, mengembalikan keyakinan orang Melayu dan muncul semula sebuah parti dihormati umum agak tidak lengkap apabila terdapat beberapa orang pemimpin yang sepatutnya turut bertanding tetapi tidak menawarkan diri atau tidak diberikan pencalonan kerana kurang pendedahan dan bukan tergolong  daripada golongan pemimpin yang suka mempromosi diri.

 Antara pemimpin bersikal profail rendah yang dapat kita kenal pasti ialah Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.  Mudah sahaja untuk sesiapa menganggap jawatan MB diberikan kepada beliau di atas dulang perak.  Namun hal serupa ini benar untuk perlantikan hampir semua MB UMNO.

 Umum sedia mengetahui keadaan mengelilingi perlantikan Dr. Zambry selaku MB Perak pada 2009.  Berdepan dengan pelbagai tekanan dari Pembangkang, penyokong dan mereka yang bersimpati terhadap tragedy yang berlaku ke atas kerajaan Pakatan Rakyat, ramai menyangka perlantikan Dr. Zambry adalah tradisional.              

Begitupun, bertentangan dengan sangkaan umum, Dr. Zambry berjaya memperlihatkan kekuatan mental luar biasa sama ada di luar mahupun di dalam Dewan Negeri yang hampir separuh keahliannya adalah Pembangkang yang telah hilang kerajaan negeri.

Pembangkang mempermodalkan dakwaan kononnya Perak bakal muflis dalam tempoh enam bulan kerana selain ketidakupayaan Dr.Zambry yang tiada pengalaman sebagai MB, pelabor asing pula akan hilang keyakinan berasaskan krisis politik ketika itu.

Namun isu ini akhirnya berkubur tanpa bernesan apabila di bawah MB baru ini, Perak mencatatkan pertumbuhan KDNK sebanyak 7.1%. Dalam lain perkataan mengatasi pertumbuhan nasional sebanyak 5.6%.

Jika diukur bagaimana sekalipun, ia adalah satu kejayaan bersifat fenomenal.  Bertolak kepada suasana ekonomi global tidak begitu sihat dan berdasarkan kepada angka pertubuhan tahun-tahun sebelumnya, ia memberi isyarat betapa kepimpinan Perak sedang memasuki era baru.  Dalam lain perkataan, bagi Dr. Zambri kerja didulukan dan politik dikemudiankan.

Bagi seorang berijazah Doktor Falsafah dan dwi-Sarjana mudah sahaja bagi Dr. Zambry bermain ‘narcissism’ – memuji kehebatan diri sendiri , mempromosi diri dan menagih pujian dari rakyat Perak.  Tapi, itu bukan kesnya.  Sebaliknya, ke sana ke mari beliau menjelajah setiap pelusuk negeri Perak untuk melakukan pelbagai perkara bagi mempertingkatkan ekonomi tempatan dan sekaligus memperbaiki keadaan dan taraf hidup rakyat.

Dr. Zambry tidak bercakap tentang ekonomi dan kehidupan rakyat ala-imaginasi kerusi malas, tetapi turun padang, bergaul dan makan apa yang rakyat makan dalam keadaan paling tidak formal dalam hampir kesemua majlis beliau bersama rakyat.  Hal seperti inilah yang menyebabkan ada pemerhati politik melihat imej Tun Razak dalam diri Dr. Zambry.  

Mungkin ada kebenarannya.  Bezanya Allahyarham Tun Razak yang juga terkenal dengan sifat ‘workhorse’ beliau tidak pernah ke peringkat hingga tidur berbantalkan tangan di koridor masjid.

Ada juga cakap-cakap mengatakan Dr. Zambry berbuat demikian kerana mahu melihat dirinya sebagai ‘indispensible’ atau tidak boleh digantikan dengan orang lain.  Tetapi ini pendapat meleset. kerana ada usaha mahu membawa beliau ke pusat. Ini kerana setelah dikaji dan dihalusi tidak mungkin ada tokoh lain dapat menentang arus Pembangkang Perak yang sedang berjuang hidup mati untuk mendapatkan kembali kuasa seperti pada PRU12.

Dalam keadaan keyakinan tinggi pembangkang serta disokong pula oleh media meraka, tentulah sukar untuk sesiapa sahaja dalam BN untuk membawa pulang kemenangan landslide di Perak.  Malah untuk menang pun ada yang melihatnya sebagai 50-50.  Namun, Dr. Zambry mencatatkan kemenangan bergaya 31-28 memperbaiki imej kalah  28-31 pada 2008.

Begitupun, di sebalik semua ini dan untuk rekod, Dr.Zambry tidak termasuk dalam senarai calon-calon bertanding mana-mana jawatan Majlis Tertinggi. Ini menghalangnya dengan sendiri merebut peluang menjadi pemimpin pelapis. Peluangnya bertanding jawatan lebih tinggi dalam MT seperti Naib Presiden tiga tahun lagi lebih terhalang jika Presiden UMNO tidak melantiknya menganggotai MT. Ini tercatat dalam perlembagaan iaitu calon MT saja layak bertanding Naib Presiden.

Sebenarnya soal sama ada beliau berkeinginan memegang jawatan lebih tinggi dalam parti atau tidak, bukanlah persoalannya.  Sekiranya seseorang itu terbukti memiliki kebolehan luar biasa dalam kepimpinan politik, keutuhan minda yang tak mudah diacah oleh musuh serta daya keintektualan mantap yang terbukti,  pucuk pimpinan tertinggi yang mewakili parti serta ahli-ahli UMNO perlu melakukan sesuatu untuk mengeketengahkan pemimpin seperti Dr. Zambry ke persada politik nasional melalui penyiapan sebagai pemimpin pelapis.

Dulu, UMNO mengharapkan pemimpin menawarkan diri mereka untuk bertanding dan ramai yang berbuat demikian walaupun sebahagian besarnya tidak layak.  Akibatnya UMNO tidak lagi menjadi sebuah parti nasional yang kuat seperti dulu.  Justeru formula dan kaedah reformasi yang dilakukan dalam UMNO haruslah juga mengambil kira hal ini. Jika tidak pemimpin berkaliber bukan sahaja ditinggalkan oleh pemimpin tidak berkaliber tetapi bernasib baik, tetapi parti dan kerajaan turut kerugian khidmat pemimpin seperti ini.-21/10/2013- OLEH YUSOF HARUN

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 413  tetamu dalam talian