25September2020

Agenda Daily

Jangan tertipu dengan ungkapan Bahasa Jiwa Bangsa

ikon-yusofharun150xxNampaknya sejak dulu lagi apabila ada sahaja menteri, khususnya Menteri Pendidikan atau Pelajaran mengumumkan sesuatu tentang peri pentingnya mempelajari dan memahirkan diri dengan bahasa Inggeris, maka niat baik menteri berkenaan akan dianggap tidak baik.

Bukan itu sahaja, malah segala golongan yang kononnya pencinta bahasa Kebangsaan, aktivis bahasa Melayu dan kaum pembangkang dari pelbagai keturunan tidak kira Melayu, Cina, India atau apa sahaja akan melancarkan serangan bertubi-tubi tanpa adanya peluang genjatan senjata.

Bagaimanapun, di sebalik kebecokan dan riuh-rendah golongan yang membantah apa sahaja mengenai pemerkasaan bahasa Inggeris yang keluar dari mulut menteri, tidak ada sesiapapun yang dapat mengukur sejauh mana keikhlasan dalam kononnya memperjuangkan bahasa ibunda itu.

Seperti yang kita tahu, adakalanya, pendekatan yang diambil  oleh aktivis dan pembangkang adalah dua kali lima sahaja.  Masing-masing mahu mencari populariti. 

Aktivis biasanya mahu mendapat perhatian golongan tertentu dalam masyarakat atau adakalanya kerana mahu mempamerkan betapa seseorang itu layak memegang sesuatu jawatan penting dalam sesebuah organisasi.

Dan bagi pembangkang, apa sahaja isu yang boleh menimbulkan prasangka di hati rakyat dan dapat dimodalkan untuk menagih simpati dari mereka akan digunakan.

Oleh itu berlatarbelakangkan pengemisan populariti dan simpati seperti ini, terutama dalam pertembungan kepentingan bahasa Melayu dan bahasa Inggeris ini,  maka tidak hairanlah jika sesetengah pihak menyindir malahan mengkritik dan  mempertikai penggunaan bahasa Inggeris berbanding kerana kononnya mahukan bahasa Melayu digunakan seratus peratus dalam semua urusan rasmi dan tidak rasmi.
   
Baru-baru ini Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran Tan Sri Muhyiddin Yassin di kritik malah dikecam kerana mengeluarkan kenyataan tentang rancangan kementeriannya untuk memperkasakan bahasa Inggeris di sekolah-sekolah.
   
Sebagai Menteri  Pelajaran, sebagai seorang pemimpin tertinggi UMNO dan sebagai seorang Melayu, Muhyiddin lebih arif dengan apa yang dilakukan.  Tentulah sesuatu yang tidak masuk akal sekiranya Menteri Pelajaran dirasuah agar meluluskan satu korikolum baru sekolah rendah dan menengah yang memberikan penekanan istimewa terhadap bahasa Inggeris.
   
Lebih jelas lagi, apa yang dilakukan oleh beliau bukanlah untuk mendapatkan populariti tetapi sebaliknya mengambil risiko dikritik dan dikecam.  Namun sebagai seorang yang telah biasa dengan permainan puak-puak ini,   Muhyuddin pula tidak hirau diri dikritik dan bahkan masih juga menggunakan bahasa Inggeris semasa di luar negara, begitu juga di dalam sidang akhbar.
   
Tapi dalam pada itu jangan pula kita kagum kerana ada menteri dari kalangan bukan Melayu atau orang luar bertutur dalam bahasa Melayu jika sekiranya bahasa itu digunakan semata-mata seperti kata pepatah, ada udang di sebalik batu. Usahlah kita keji atau mengata malah menghina pula kerana orang seperti Mahyuddin sesekali bercakap “gomen.”
        
Tidak jatuh martabat seseorang atau bangsa yang menggunakan bahasa Inggeris sebagaimana mana tidak naiknya maruah kalau kita sekadar menggunakan bahasa Melayu ketika bertutur dengan pemandu teksi di Beijing ataupun di Bombai walaupun ia ibarat itik bercakap dengan ayam.
   
Matlamat menggunakan bahasa ialah agar pertuturan dan percakapan kita difahami dan bukan sebaliknya. Jurujual yang kita temui akan kita layan jika ia mengunakan bahasa yang kita fahami manakala jurujual yang melawat  ke kampung dan  desa terpencil serta dikawasan yang ditakrif miskin, tentu memilih bahasa yang paling sesuai untuk difahami oleh penduduk agar apa yang dijelaskan tentang barangan yang dipasarkan mudah difahami.
   
Dengan lain kata, jika jurujual itu  menggunakan bahasa ingeris untuk menjual barang-barangnya katakan di Geliga, Kemaman atau Memali dan Kampung Weng, ia akan pulang dengan barang-barangnya tidak berjual.
           
Sesetengah pihak bersikap hipokrit apabila dikhalayak ramai bercakap akan peri pentingnya bahasa Melayu dan mereka dilihat sebagai turut menjuruterai usaha mendaulatkannya tetapi  bila pulang ke rumah, mereka masih menonton dokumentari berbahasa Inggeris serta program TV dari Hollywood. Saya percaya ramai orang yang dalam kategori ini mengucapkan “hai darling”kepada isteri atau isteri-isteri.
           
Kita bukannya menentang  mereka yang memperjuangkan bahasa malah, saya sendiri merasakan bahasa Melayu harus diutamakan, tapi jangan kita jadi hiokrit bila kita enggan menerima dan menganggap mereka yang bertutur dalam bahasa Inggeris lebih-lebih lagi pemimpin Melayu sebagai tidak patriotik.
         
Ini membawa cerita bagaimana seorang pemuda Melayu yang bekerja dengan sebuah syarikat telekomunikasi milik bukan Melayu berhadapan dengan masalah bertutur didalam bahasa penjajah itu meskipun nahu dan laras bahasa Inggerisnya lebih baik dari ramai pelajar di IPT masakini.  Ini kerana sewaktu di bangku sekolah hingga memasuki universiti dia asyik didera dan dibuli serta disindir kerana bertutur didalam bahasa Inggeris . 
          
Barangkali kerana jiwanya tertekan maka  dia melupakan saja usaha bertutur dalam bahasa Inggeris itu.  Hari ini dia menghadapi dilema kompleks rendah diri bila  berdepan dengan pegawai serta rakan-rakanya yang bertutur dalam bahasa Inggeris kerana penguasaannya ke atas bahasa tersebut sudah kian berkarat.
   
Kita perlu akur sementara bahasa Melayu adalah bahasa paling utama di negara kita, bahasa Inggeris pula adalah merupakan bahasa komunikasi paling utama dalam dunia.  Justeru kalau kita sekadar mahu menjadi katak di bawah tempurung, maka kita boleh terus bertutur dalam satu bahasa tunggal dan tak perlu belajar dan berlatih untuk memperbaiki bahasa Inggeris.
   
Tapi sekiranya kita mahu mengangkat diri ke taraf global, maka tidak ada jalan lain melainkan kita berusaha dengan apa cara sekalipun bagi menguasai bahasa tersebut. 
   
Baru-baru ini saya telah ke Singapura.  Di negara pulau itu saya melihat betapa fasihnya kebanyakan orang Melayu berbahasa Inggeris. Tetapi dalam waktu yang sama mereka juga petah bertutur dalam bahasa Melayu.   Walaupun saya mendokong ungkapan Bahasa Jiwa Bangsa tetapi saya tidak nampak bagaimana orang Melayu Singapura telah hilang ke-Melayuannya hanya kerana mereka bertutur bahasa Inggeris.
   
Untuk mengangkat darjat dan mertabat kita ke tahap lebih tinggi, kita harus berusaha menjadi orang yang boleh bertutur dalam beberapa bahasa. Kalau masyarakat Cina dan India di negara kita mahir dalam tiga bahasa, mengapa kita harus mahir satu bahasa sahaja. 
   
Justeru sementara kita mahu mendaulatkan bahasa Melayu, dan sementara kita percaya akan ungkapan Bahasa Jiwa Bangsa, kita tak perlu tertipu dengan ungkapan tersebut sehingga menjadi manusia yang mono-lingual sahaja.  Ini sesungguhnya adalah satu tragedi kepada sebuah bangsa.-19/5/2011

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 424  tetamu dalam talian