23September2020

Agenda Daily

Jangan marah kalau AS sukakan Anwar

ikon-yusofharun150xxUntuk tempoh yang agak panjang, tidak ada kuasa malah tidak ada sesiapa mampu menandingi Amerika Syarikat(AS)  selaku kuasa besar yang terlibat dalam mencatur hal ehwal dunia.


 Kuasa dan peranannya bukan setakat menguasai PBB serta dasar-dasar yang bakal diambil badan dunia itu, bahkan kemampuan sebenarnya jauh melebihi situasi sebenar.


Lihat saja negara-negara yang berseteru dengan AS atau negara-negara sekutu yang dilindunginya. 

Sejarah memperlihatkan betapa mereka yang menjadi musuh Amerika berdepan dengan permasalahan berlanjutan serta pemimpin mereka berdepan dengan masalah digulingkan melalui cara yang demokratik ataupun sebaliknya.


Walaubagaimanapun, bagi negara yang menjadi negara tajaan dan kesayangan AS, seperti Israel, negara itu  mempunyai imuniti untuk berbuat apa saja. Israel tidak berdepan dengan kecaman ataupun “retaliation” walau terbabit dalam pembunuhan rakyat Palestin serta penderaan warga Palestin yang menyokong perjuangan membebaskan negara berkenaan dari cengkaman zionis.


Aung San Suu Kyi, pemimpin hak asasi Myanmar (bekas Setiausaha Agong National League for Democracy)  tidak bernasib baik kerana dirampas hak untuk menjadi Perdana Menteri negara itu apabila junta tentera yang memerintah menafikan haknya dan rejim itu kemudian menahannya selaku tahanan rumah selama 15 tahun dan dibebaskan pada 13 November tahun lalu. 

Amerika yang mahu membebaskan Suu Kyi terpaksa  berdepan dengan kemarahan rejim junta.  Malah “Paman Sam” itu cuba mempengaruhi  banyak negara agar memboikot rejim berkenaan.


Usaha Amerika untuk mempengaruhi negara-negara Asean gagal kerana Asean menganggap masalah Myanmar sebagai masalah dalaman dan  harus diselesaikan secara rundingan. Asean mahu Myanmar diberi sedikit masa agar masalahnya dengan  Suu Kyi dapat dileraikan.

Tidak berapa lama lagi Hollywood akan menerbitkan filem mengenainya di mana wataknya di bawa oleh Michael Yeoh, bekas gadis James Bond dari Ipoh. Amerika mungkin gagal diperingkat awal untuk mempengaruhi dunia memboikiot Myanmar atau memusuhi rejim junta negara itu tetapi Hollywood mungkin mampu mengalih persepsi dunia.


 Bagi Amerika Suu Kyi adalah seperti anak didiknya seperti mana Datuk Seri Anwar Ibrahim. Untuk rekod, Anwar berjaya menukar watak dari imej “ultra Muslim” yang dibenci Amerika kepada liberal Muslim, satu konsep yang sangat disenangi Amerika sejajar dengan dasar pecah dan perintah yang menjadi amalan Paman Sam itu.


Sejak peristiwa “mata lebam” kira-kira 12 tahun silam, Amerika mengambil sepenuh perhatian terhadap permasalahan yang menimpa Anwar. Lantas tuduhan bahawa Anwar lebih condong kepada Barat daripada negara-negara lslam sukar ditepis.

Anwar tentu tidak peduli tomahan ini kerana yang penting, jika Amerka berdiri seteguh di belakangnya, peluang dia untuk ke Putrajaya lebih cerah dan mungkin tidak terhalang.


Berdasarkan senario ini dan sebagaimana dilaporkan media Barat, kita dapati Amerika  menunggangi Anwar dalam membentuk Islam menurut kemahuannya. Sebagai contoh, Hillary Clinton hampir menemui Anwar sewaktu kunjungan rasmi ke Malaysia beberapa bulan lalu. Pertemuan itu tentu menaikkan saham Anwar di mata dunia khususnya bagi rakyat Malaysia terutama bagi mereka yang menentang kerajaan Barisan Nasional. 

Malang bagi Anwar “date” itu tidak jadi setelah Clinton dinasihatkan oleh pembuat dasar di Whitehouse supaya mengkaji semula “hubungan Amerika dengan Anwar”. Ini adalah ekoran kenyataan Anwar yang menyinggung masyarakat Yahudi di sana serta sikapnya yang dilihat bermain politik dari benar-benar memperjuangkan apa yang diperjuangkan.


 Walaubagaimana persepsi umum tentang Anwar kini, suatu hakikat yang diakui ialah Anwar tetap menjadi idola Amerika seperti mana Suu Kyi kepada Amerika.  Sebabnya mudah, AS mahu kepentingannya dilindungi serta dasar-dasarnya tidak dibantah dan negara ikut  melaksananya. Ini dapat dilihat dengan jelas kenyataan terbuka Duta Amerika di sini, Paul W.Jones, selepas menemui Menteri Besar Kelantan di Kota Bharu pada 29 April lalu.

Beliau menggakui menerima arahan  Hillary Clinton, Setiausaha Negara yang melawat Malaysia tempoh hari supaya mengikuti dengan rapat perbicaraan kes Anwar Ibrahim yang didakwa meliwat Mohd Saiful Bukhari Azlan.”Kami percaya cara kes ini dikendalikan boleh meningkatkan keyakinan terhadap perundangan di Malaysia dari aspek ketelusan dan keterbukaannya,” katanya. 


Di sinilah kita berharap Wikileaks dapat memberikan versinya seandainya Amerika benar-benar berlaku adil dalam kes ini ataupun Amerika tidak dapat mengelak dari mencampuri serta menjadi “penasihat” kepada Anwar seperti mana yang berlaku di beberapa negara.


Soalan ini kita tanyakan kerana Bank Dunia didalam laporannya telah mengkritik Malaysia kerana dasar membantu bumiputra menyebabkan berlaku “brain drain” dan kurang kemasukan pelaburan asing langsung (FDI)ke negara ini. “Saya rasa laporan itu kurang tepat tapi daripada segi “brain drain” itu, memang kita dah kenal pasti sebagai salah satu daripada masalah yang perlu dicari penyelesaian” jawab Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ketika mengulas isu ini.

Malahan selain dari tenaga professional khususnya orang Cina yang enggan pulang semula ke negara ini setelah tamat pengajian,  mereka juga enggan pulang kerana lebih senang dengan iklim kehidupan Barat.


Bagi kita yang berfikiran terbuka tentu hairan Bank Dunia yang dikuasai oleh Amerika begitu prihatin tentang ekonomi Malaysia berbanding dengan ekonomi negara-negara di benua Afrika atau di Greece dan juga di Latin Amerika. Yang perlu ditolong dan dibantu ialah penghuni di Afrika, bukannya mengkritik dasar DEB yang berjaya memakmurkan penduduk Malaysia khususnya orang Melayu dan bumiputra.


Tetapi kita faham selagi Anwar menjadi idola mereka, selagi itu Malaysia berdepan dengan  kritikan serta campurtan dari luar. Hosni Mubarak adalah idola Amerika tetapi akhirnya bekas presiden Mesir itu terpinggir dari takhta serta hidup  berdepan maut.

Muammar Ghadafi, pernah dilihat cuba mendekati Amerika dan kerana dasar  berbaik-baik dengan Amerika, Ghadafi dan Libya terselamat dari percaturan politik. Tetapi Ghadafi kini diambang maut politik setelah didesak dan diasak oleh rakyatnya agar melepaskan jawatan Presiden.


 Hari-hari yang dilalui Anwar seperti ada persamaan dengan hari-hari yang dilalui Suu Kyi. Cuma Suu Kyi tetap di hati Amerika manakala Anwar yang  berdepan dengan senario politik yang paling mencabar berhubung kes video lucah yang mana dia dituduh terbabit sudah melihat kesan campurtangan Amerika.

Jika laporan akhbar Wall Street Journal boleh dijadikan satu congak politik, laporan yang ditulis itu  mungkin ada menunjukan petanda. Laporan itu menyebut bahawa jika video seks yang diheboh-heboh itu bukan membabitkan dirinya, saham politik Anwar boleh naik lebih mendadak melebehi parameter sebelumnya. Apapun dunia sedang menanti laporan PDRM. 

Jika apa yang dinafikan oleh Anwar, juga menerusi roadshownya adalah tidak benar, sanggupkah Wall Street Journal menjilat air ludahnya sendiri?- 10/5/2011

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 358  tetamu dalam talian