16November2019

Agenda Daily

Jangan biarkan Perak tenggelam

ikon-yusofharun150xxSetelah beberapa kali mengalami beberapa kali ‘false start’ bermula dari lewat tahun lalu,  akhirnya Pembangkang terpaksa juga menghadapi realiti pahit pilihanraya umum tidak boleh tidak akan berlangsung.

Kalau menurut persepsi perang psikologi yang cuba digambarkan, Pembangkang seolah-olah begitu yakin mereka akan kononnya menyapu bersih kebanyakan kerusi Parlimen dan DUN, termasuk kembali berkuasa di Perak sebagaimana selepas pilihanraya umum lalu.  Namun, apa yang berlaku adalah sebaliknya. 

Ia sebenarnya  kembali kepada hakikat betapa minda dan jiwa mereka begitu kuat dikongkong dengan pendekatan tidak lain dari membangkang yang sudah menjadi darah daging Pembangkang (termasuk juga pemimpin-pemimpin kecilan BN dan UMNO yang telah ke sebelah sana).  Kerana seronok sangat dengan membangkang, akhirnya satu kerjapun tak dapat dilaksanakan. 

Tentu ramai masih ingat ketika  Pakatan Rakyat berjaya membentuk kerajaan negeri Perak selepas PRU-12, tahun 2008, sudah terbayang di ruangan mata pengundi dan penyokong mereka, bagaimana kerajaan baru itu akan menjadikan Perak sebagai sebuah utopia dalam sekelip mata.

Dalam keghairahan itu, mereka terlupa betapa selama 51 tahun BN telah memastikan rakyat negeri itu mendapat perlindungan secukupnya dari badan pentadbiran negeri yang diterajui bermula dengan Perikatan – UMNO, MCA, MIC sebaik sahaja negara mendapatkan kemerdekaan dari British.

Sejak PRU pertama selepas Merdeka, diadakan pada 1959, Perak terus menerus diperintah oleh BN (dikenali sebagai Perikatan sebelum PRU-ke 4, 1974) tanpa sebarang masalah.

Orang Melayu memahami UMNO menerusi BN akan terus memperjuangkan nasib mereka, begitu juga dengan orang Cina yang merasa cukup selesa bersama MCA dan rakyat berketurunan India yang dapat menerima MIC sebagai wadah pembela nasib mereka.

Walaupun BN diasaskan sebagai sebuah parti yang mewakili setiap kaum, tetapi soal perkauman dan pertelagahan kaum, baik secara hakiki atau yang dirasakan menerusi political undercurrent, atau arus bahawan politik adalah amat minima.

Walaupun ada kalanya seolah-olah Perak dibumbui stigma gangsterisme Kumpulan Ghee Hin dan Hai San, tetapi orang Melayu Perak tidak pernah melihat ini sebagai satu pertembungan budaya antara mereka dengan kaum Cina.  Begitu juga sebaliknya.
 
Lebih penting, sejak Merdeka lagi, masyarakat Cina Perak melihat BN dan MCA sebagai entiti politik yang ikhlas untuk memperjuangkan kedudukan mereka di Tanah Melayu yang agak terumbang ambing terutama sekali ketika mana pentadbir British mahu menghadkan jumlah kerakyatan mereka kepada sesuatu angka dan mencadangkan selebihnya kembali ke China.

Apabila British menarik balik keputusan tersebut dan mengizinkan semua yang berada di Tanah Melayu ketika itu menjadi warganegara, Perikatan pula menjamin keputusan itu berkekalan dan dilindungi oleh mereka menerusi setiap undang-undang yang sama ada digubal di Parlimen mahu pun di DUN-DUN.

Apa yang mencacatkan persefahaman ini adalah hasutan Parti Komunis Malaya yang bercita-cita mahu menjadikan Tanah Melayu/Malaysia sebagai sebuah negara Marxist.

Namun majoriti kaum Cina ketika itu menolak fahaman ini dan mahu membalas budi dengan menumpahkan segala taat setia mereka kepada negara ini.  Mereka melihat keikhlasan MCA sebagai pejuang nasib mereka apabila Tun Tan Siew Sin tidak akur kepada segala ancaman bunuh termasuk percubaan membunuh beliau dalam satu majlis di Perak kerana menjadi penghalang kepada mimpi dan skim PKM.

Atas sebab ini, di sebalik dasar agresif yang dilakukan oleh PKM, hanya segelintir sahaja orang Cina yang mengikuti atau menyokong mereka di Perak, yang lain sanggup di tempatkan semula di kampung-kampung baru yang diwujudkan bagi melindungi mereka.

Sebenarnya kedudukan politik antara-kaum di Perak, seperti juga di negeri-negeri yang terdapat ramai penduduk Cina, sejak Merdeka adalah stabil sehinggalah terdapatnya elemen lain yang menghasut mereka agar berpaling tadah kepada BN.

Ia dimulakan oleh DAP pada PRU-3, 1969.  Walaupun bertopengkan parti pelbagai-kaum, DAP memperkenalkan perjuangan politik yang semata-mata berasaskan ciri cauvinistik kaum.  Justeru hari ini, sekiranya terdapat loophole di mana-mana terhadap keharmonian antara kaum di negara ini, maka ia tidak lain dan tidak bukan berpunca dari DAP.

 Pengajaran daripada Tragedi 13 Mei 1969 merumuskan perjuangan berasaskan perkauman yang keterlaluan bukan sahaja mengundang padah tetapi merugikan semua pihak. 

Hari ini sementara pemimpin veteran DAP sudah boleh dikatakan dewasa sedikit tentang politik Malaysia dan tidak lagi menjadikan sentiman kaum ini sebagai modal utama mereka, nampaknya pemimpin baru di peringkat negeri, seperti sesetengah pemimpin DAP Perak ini masih terbawa-bawa dengan nostalgia 1969.

Tidaklah dapat dipastikan mengapakah mereka mengamalkan ciri politik kuno ini.  Ada pendapat mengatakan mereka merasakan itulah sahaja caranya untuk mendapatkan sokongan dari pengundi Cina.  Namun tidak kurang pula merasakan politik yang diamalkan, misalnya oleh Setiausaha DAP Negeri Perak adalah  politik kebudak-budakkan dan politik gaduh-gaduh atau cari gaduh

Politik ini bukannya perkara yang kita boleh emosional sangat.  Tidak mana handalnya seseorang ahli politik kalau kerjanya cuma nak label itu dan ini – black metalliclah, menggunakan perkataan bersifat maki hamum dan sebagainya.  Selain daripada bahasa yang digunakan menunjukkan bangsa keturunan, ia juga mempamerkan sifat kebudak-budakkan, tidak berobjektif dan paling penting seolah-olah mementingkan diri dan beberapa kerat pengikut untuk tujuan yang jauh tersasau dari matlamat politik dan pembentukan kerajaan yang sebenarnya.

Dalam lain perkataan sementara BN mahu membawa Perak ke satu era baru yang lebih jauh terkedepan. DAP pula gostan ke belakang seolah-olah kembali ke zaman kegemilangan bijih timah dengan kumpulan-kumpulan gelapnya.

Ada juga memberikan pandangan tidak setiap orang yang memiliki sesuatu kelayakan seperti peguam dan sebagainya sebenarnya memiliki minda politik dalam erti kata sebenarnya.  Malah, ada yang cukup ekstrim dengan mengatakan betapa ahli politik yang cuba mencari pengaruh dengan melabelkan orang lain dengan sesuatu label dan menggunakan perkataan yang besifat maki hamun adalah orang tidak bertamadun dan tidak dapat mengangkat dirinya supaya menjadi setidak-tidaknya sedikit bertamadun seperti orang lain.

Barangkali hanya media pembangkang di Malaysia dan media luar terutamanya media Barat yang merasakan ciri politik ini tidak merbahaya, tidak merugikan semua pihak dan sanggup memberikan tabik hormat kepada pemimpin DAP seperti Ngeh dan Ngah. 

 Bagi pembangkang, lebih ramai berangan-angan mahu bergelar YB dan memanfaatkan segala peluang yang ada walaupun sekiranya mereka terpaksa menyalahgunakan kuasa politik.  Tetapi bagi Barat, mereka sudah tentulah seronok melihat sebuah lagi negara di Asia Tenggara menjadi porak peranda. 

Justeru apabila Pakatan Rakyat mengambil alih kerajaan negeri Perak selepas PRU-13 itu, tidak ada apanya yang dilihat sebagai baru atau bersifat utopian.  Walaupun pada dasarnya mereka memiliki kuasa untuk melakukan perubahan, tetapi tidak satu apapun yang berubah di Perak. Sebaliknya, walaupun kempen PRU-12 telah selesai, mereka terus menghentam kerajaan BN terdahulu.

Ada peribahasa Melayu berbunyi, ‘tidak pandai menari dikatakan tanah tinggi rendah’.  Inilah yang sebenarnya berlaku.  Di tangan Dato’ Seri Nizar Jamaluddin,  rakyat Perak, termasuk mereka yang mengundi Pakatan mula merasakan ibarat tekong bot nelayan persisir pantai tiba-tiba diberikan tugas menjadi kapten sebuah kapal tangki minyak yang menyeberangi lautan.

Pada mulanya tampak seperti ia boleh dikendalikan.  Bukankah BN juga selalu melantik muka baru sebagai Menteri Besar untuk negeri utama.  Namun mereka yang menyokong atau mengangkat jari dengan penuh ghairah ke atas Nizar terlupa bahawa muka baru yang dilantik oleh BN selaku MB mendapat sokongan penuh dari pemimpin-pemimpin lain dalam BN yang mempunyai pengalaman yang cukup dalam politik, pentadbiran, perundangan dan apa sahaja berkenaan perjalanan sebuah kerajaan sedangkan Nizar hanya dibantu oleh mereka yang tidak berpengalaman dan malah tidak pernah seumur hidup menjadi wakil rakyat.

Maka jadilah kapal Perak sebagai sebuah kapal yang diketuai oleh nakhoda yang tak layak dari segi pengalaman dan dibantu oleh mereka yang tidak pernah belayar.  Oleh itu, sambil menyalahkan itu dan ini tentang kapten dan anak kapal lama, dalam waktu yang sama mengambil apa sahaja barang yang disukai dalam kapal untuk pemilikan peribadi atau puak-puak tertentu.

Kerakusan inilah yang membuatkan beberapa anak kapal lain hilang kepercayaan terhadap kepten, pembantu (tidak rasmi) kepten serta segelintir orang kanan pembantu kepten dan akhirnya meninggalkan kapal.

BN sebenarnya tidak perlu mengusulkan kepada Sultan Perak hasrat untuk mengambil semula Perak menerusi peruntukan undang-undang yang sedia terpakai.  BN tahu hal ini hanya akan mengundang implikasi.  Tetapi disebabkan dalam masa yang begitu singkat pemerintahan Pakatan Rakyat, banyak porak peranda yang telah dilakukan berbanding dengan manfaat untuk rakyat seperti dijanjikan, maka sebagai sebuah institusi politik yang bertanggungjawab, sebagai sebuah badan yang dianggotai oleh ramai kepten-kepten serta anak-anak kapal yang cukup berpengalaman, maka mereka tidak ada pilihan lain melainkan menyelamatkan kapal Perak dari prospek akan tenggelam pada bila-bila masa.

 Hari ini setelah BN mentadbirkan semula Perak, segala-galanya semakin pulih seperti sediakala.  Walaupun baru, Dato’ Seri Dr. Zambry Abd Kadir, yang dibantu dan mempunyai akses kepada pengalaman BN mengendalikan kerajaan negeri dan Persekutuan sejak Merdeka telah mempamerkan sedikit sebanyak kemajuan untuk Perak dan rakyatnya.  Malah perhubungan antara kaum juga mula memperlihatkan keutuhan seperti di zaman Perikatan dan kemudiannya BN memeritah Perak.

 Kata orang, jauhari juga mengenal manikam.  Tapi kalau bukan jauhari yang menangani manikam, maka tunggulah saatnya di mana habis semua manikam yang bukan miliknya di kebas.

Hari ini pembangkang di Perak tidak ada apa-apa lagi yang dapat ditawarkan kecuali label melabel pemimpin BN berserta dengan perkataan maki hamun yang ditujukan kepada Menteri Besar. 

Apakah pemimpin seperti ini yang dimahukan oleh rakyat Perak?  Apakah dengan label melabel ini akan memberikan sebarang manfaat kepada negeri dan rakyat?  Bagaimana pula risiko yang terpaksa dihadapi oleh rakyat Perak sekiranya negeri ini dipimpin dan dibantu kepimpinannya oleh mereka yang hanya pandai bercakap tetapi tidak memiliki pengalaman sama sekali?

Tidak ada siapa yang sempurna.  BN juga tak lekang dari membuat kesilapan.  Namun dari semua segi ia jauh lebih sempurna dari Pakatan.  Benarlah, apa yang dimaksudkan oleh sebuah ungkapan Inggeris, ‘a known devil is better than an unknown angel’.  -13/8/2012
   

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 278  tetamu dalam talian