22November2019

Agenda Daily

Faktor wow di Pulau Pangkor

Pulau Pangkor yang terletak di Perak sudah banyak bertukar wajah. Ia tidak lagi “sleepy and hollow” serta tidor  dengan dibuai  lambaian pohon-pohon kelapa.

Kita juga dapati Pulau Pangkor hari ini berdepan proses transformasi yang drastik  melalui perancangan dibuat Dato Seri  Dr. Zambry Abd Kadir, sejak menjadi  ADUN Pangkor dan Menteri Besar Perak. Faktor ini yang menyebabkan ada “wow” di pulau berkenaan.

Kalau sekadar wakil rakyat biasa Pangkor mungkin macam dulu-dulu juga. Macamlah Pulau Langkawi, ia membangun kerana faktor Dr.Mahathir. Kalau bukan berjawatan Perdana Menteri, rasanya payah Dr.Mahathir hendak menjadikan pulau lagenda itu macam yang kita lihat hari ini.

Bukan tujuan nak memperlekeh Perlis tetapi hakikatnya begitu. Kerana tidak ada tokoh penting berjawatan penting, kekallah imej  Perlis seperti hari ini. Nasib baik ada mempelam harumanis yang menjadi kegilaan orang ramai pada masa ini. Dapatlah ia menarik kedatangan pelancung.

Bagi Dr.Zambry, dengan wawasan serta berbekalkan pengalaman yang ada, beliau memberi nilai tambah kepada pulau berkeluasan 2,200 hektar itu. Pendek kata hari ini, orang Pangkor tak lagi malu nak mengaku asal usul mereka.

Bercakap dalam konteks sumbangan ADUN Pangkor itu, agak malang ada perkara yang terlepas pandang. Ia bukan mengenai orang luar tetapi penduduk di pulau itu sendiri. Setengahnya bukan saja tidak menghargai apa yang beliau sudah buat sebaliknya mengambil sikap menentang.

Dalam PRU ke13 lalu sebagai satu contoh, walau menang besar dan disahkan bakal kekal menjawat jawatan MB ia tidak menjanjikan kemenangan mutlak. Terdapat sebilangan pengundi-pengundi Cina di kawasan DUNnya memilih memberi undi kepada pihak lawan.

Benar, dalam system demokrasi adalah menjadi hak sesiapa untuk mengundi atau menentang si polan atau si anu. Tetapi tidakkah mereka juga harus mempunyai pertimbangan waras sebelum membuat penentuan.

Lebih menyedihkan  di kawasan peti undi majority pengundi cina, undi  Dr.Zambry  dikatakan merosot, seolah-olah pencabarnya Saifullah Zulkifly (dari PKR) jauh lebih berkeupayaan.
Ia memberi gambaran beliau gagal membawa sebarang perubahan kepada Pangkor.

Mari lihat rekodnya. Dalam PRU ke12 (2008) Dr.Zambry yang ketika itu masih memegang jawatan EXCO kerajaan negeri memperoleh 10,906 atau undi majoritinya ialah sebanyak 5,669 majoriti.
Ketika bergelar YAB MB iaitu PRU ke13, undi majoritynya sebanyak 5,124. Dia memungut 12,291 undi  berbanding pencabarnya 7,167 undi. Tidak banyak beza antara keputusan diperolehi pada 2008 dengan lima tahun kemudian.

Tanpa mengambil kira scenario ini, Dr.Zambry masih memberi keutamaan kepada pembangunan di Pangkor.  Kalau ada tokoh yang merajuk dengan situasi ini beliau sebaliknya. Ia sedikitpun tidak mematahkan semangatnya  memberi perkhidmatan kepada warga Pangkor tanpa mengira fahaman politik.

Untuk rekod juga, Pangkor muncul telah sebagai satu-satu pulau di sebelah pantai barat semenanjung mencapai taraf ala-ala Pulau Langkawi.

Sedang tarikan pelancung ke Pangkor  memberangsangkan, pelbagai produk disediakan kerajaan bagi menyokong indastri ini.

Bukan itu sahaja, indastri  perkhidmatan feri-feri membuahkan keuntungan buat pengusahanya. Cerita soal harga tiket mahal atau servis tidak memuaskan adalah perkara lapuk. Hari ini, feri-feri yang ada sangat efisyen dan berada pada kedudukan terbaik.

Kemudian, sikap pelancung dulu dan sekarang. Dahulu  kalau adapun daya tarikan,tentulah di tepian pantai, untuk bermandi manda. Atau membeli ikan-ikan bilis atau ikan-ikan dan udang kering.

Hari ini banyak produk pelancungan disediakan. Bagi kumpulan yang aktif, ada aktiviti udara. Begitu juga bagi mereka yang gemar melihat alam semulajadi seperti flora dan fauna serta  hutan tropika, bukit-bukau dan laut.
Kelihatan juga pelancung menghabiskan sehari suntuk di Pulau Giam untuk bersnorkeling. Ini belum lagi aktiviti berkayak,menaiki jet ski atau  bot-pisang.

Selain dari itu, Pangkor dikenali dengan anjuran festival bertaraf dunia.  Terbaru tentulah festival puisi dan lagu pangkor. Ia  berjaya  berjaya menghimpun penulis dan karyawan dari seluruh negara. Ia sekaligus menaikkan martabat pulau ini dipersada antarabangsa sebagai sebuah pulau serba serbi.

Seperti disebut tadi, aktiviti menangkap ikan bilis menggunakan bot telah lama dilakukan oleh nelayan. Perusahaan ikan bilis menjadi sumber pendapatan penting. Bahkan ikan bilis bermata biru menjadi kegilaan orang tempatan serta orang luar. Aktiviti  memancing turut meletakan Pangkor sebagai destinasi deep sea fishing yang terkenal.

Hari ini juga, penduduk tempatan teruja  dengan kesan sejarahnya. Apa tidaknya, Pangkor sangat kaya dengan sejarah silam. Salah satu produk yang menjadi tarikan  ialah  Kota Belanda (Dutch Fort) dan Batu Bersurat(Historical Rock).

Asalnya ia sebuah  kubu dibina dengan tujuan utama menghalang serangan dari orang-orang melayu. Bagi Belanda,  kubu ini “state of the art” ketika itu sebagai satu-satunya penghalang serangan berkenaan. Kubu ini dibina  kurun ke-17 oleh Syarikat Hindia Timur Belanda.

Hari ini kita bisa melihat satu replica  bagi memperingati kesan sejarah pahit itu. Untuk rekod, Kota Belanda atau Kota Dindingj, mengambil sempena nama Sungai Dinding.

Seperkara yang masih menjadi kenangan penduduk tempatan ialah peristiwa yang berlaku pada  1690 apabila Panglima Kulup dan orang-orangnya menyerang kubu Belanda mengakibatkan  semua orang Belanda yang berada di dalam kubu berkenaan terkorban.

Selepas Belanda, peristiwa terbesar yang mengubah struktur geo-politik dan pentadbiran di Perak ialah Perjanjian Pangkor pada 20 Februari 1874, antara Inggeris dengan Raja Abdullah Sultan Jaafar. Ia secara rasmi membuka pintu kepada campur tangan dan penjajahan British lebih 100 tahun di bumi ini.

Walaupun Pangkor mempunyai wakil rakyat bertaraf Menteri Besar, namun hakikatnya bukan semua permohonan  diberi lampu hijau oleh kerajaan pusat. Kita percaya jika ia disokong penuh, tidak mustahil Pangkor menjadi satu lagi “ Pulau Langkawi.”

Kita sebenarnya merujuk permohonan kerajaan negeri  menjadikan pulau ini kawasan bebas cukai atau juga dikenali pulau “free tax”  namun setakat ini ia kelihatan dingin. Dr.Zambrypun tidak lagi bercakap mengenai isu ini lagi. Barangkali sedikit keciwa.

Tetapi ditengah-tengah kekalutan yang berlaku penduduk Pangkor boleh menarik nafas lega. Unit Perancang Ekonomi Putrajaya atau EPU  bersetuju mengambil Pulau Pangkor sebagai kampung angkat. Ini disahkan Dr. Zambry sendiri.

Untuk tujuan itu, satu rombongan diketuai Menteri di JPM, Datuk Seri Abdul Wahid Omar bakal ke Pulau Pangkor. (Ketika rencana ini ditulis, rombongan dari EPU sudahpun berada di Pangkor). "Telah lama saya pujuk mereka akhirnya mereka setuju datang ke Pangkor dan mereka akui Pangkor perlukan bantuan”kata Dr. Zambry.

"Mereka nak jadikan Pangkor ini anak angkat, minggu depan seramai 700 orang dari EPU bersama keluarga dan Wahid Omar sendiri akan datang."

Berita baiknya masih agak jauh namun hakikatnya, sejak Dr Zambry dilantik menjadi Menteri Besarlah, ada hasrat di pihak  kerajaan pusat membantu. Menteri Besar sendiri tidak tahu tahap pembangunan yang bakal dibawa  tetapi sepotong ayatnya dipetik boleh memberi makna tersendiri:"Kampung angkat ini maknanya mereka akan bawa pelbagai perancangan ke pulau ini.

Tapi apa pun saya tidak mahu ceritakan apa perancangan itu, kerana masa masih panjang, cukup setakat ini."-25/8/2015

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 245  tetamu dalam talian