19November2019

Agenda Daily

Bravo . . . Pemukiman di Kerian lebih berjaya

Untuk tujuan kenyataan media Menteri Besar Perak merumuskan bahawa Pemukiman di Kerian yang berakhir Sabtu lalu berjaya mencapai matlamat. Dengan lain erti kata program julung-julung kali di kawasan itu membuahkan hasil yang positif.

Maka tidak hairan dalam pertemuan dengan para pemberita yang membuat liputan di akhir program itu, Dato Seri Dr.Zambry Abd Kadir begitu tenang dan tidak langsung menyembunyikan perasaan.

Tersenyum dan seronok dengan pertanyaan dari media. Masalah pilihanraya kecil parlimen Kuala Kangsar dimana satu cabaran baru bakal menanti sebaik dilantik pengarah PRK sedikitpun tidak menganggu.

Kita tertarik dengan pengunaan perkataan “berjaya” yang diungkapnya merujuk kepada kejayaan program di Kerian. Perkataan berjaya di sini dipilih agar dilihat tidak “over” dalam memuji dirinya.

Dalam dunia orang Melayu, memuji atau mengambil kredit bukan budaya kita lebih-lebih lagi diucapkannya sendiri. Namun hakikatnya bagi penduduk setempat program berkenaan jauh dari berjaya —ia sangat berjaya.

Berjaya di sini dilihat dalam konteks program pemukiman ini berjaya menyelesaikan masalah tertunggak. Dan yang ketara tentulah peluang rakyat di kawasan berkenaan bertemu dengan Dr.Zambry dari dekat.

Dengan Menteri Besar turun padang serta dibantu para Exco dan pegawai-pegawai kanan dan juga penglibatan agensi-agensi kerajaan, Kerian seperti berpesta. Penduduk di sini mengambil peluang berinteraksi dengan tokoh-tokoh penting negeri.

Mereka turut meramaikan setiap majlis yang dianjur. Ceramah Dato’ Ustaz Kazim Elias, yang turut dihadiri Dr.Zambry pada hari kedua satu rekod baru. Kira-kira 10,000 orang hadir mendengar ceramahnya.

Begitu juga program qiamullail yang dihadiri Menteri Besar mengamit 800 orang hadirbersama-sama. Hingga ada orang berkata suasananya macam sembahyang fardu Jumaat.
Program diadakan di Masjid Parit Tok Ngah, Mukim Bagan Tiang, awal pagi Jumaat.

Untuk rekod majlis bermula 3.30 pagi. Ia didahului berzikir beramai-ramai, diikuti dengan solat taubat, tahajud, hajat dan diakhiri dengan solat Subuh.

Selesai solat subuh, Dr Zambry menyampaikan sumbangan Yayasan Bina Upaya Darul Ridzuan (YBU) kepada lebih 200 pelajar Sek Men Agama Bantuan Kerajaan Al - Falah.
Ia turut bersarapan dengan mereka di pekarangan masjid. Program di Bagan Serai pula menunjukkan kerajaan tidak melupai jasa tokoh-tokoh terdahulu apabila Menteri Besar bersetuju nama Dewan Serbaguna Bagan Serai ditukar kepada Dewan Dato’ Zainal Abidin Zin.

Kos pembinaan dewan ini sebanyak RM4.5 juta. Kata Dr.Zambry lagi, ia sebagai mengenang jasa bakti yang dicurahkan oleh bekas Ahli Parlimen Bagan Serai itu kepada
rakyat di kawasan Parlimen berkenaan.

Bagi penggemar sukan, mereka boleh berbangga apabila dua lagi lorong balapan di Kompleks Stadium ditambah menjadikannya lapan lorong. Ia bakal digunakan untuk sukan
olahraga.

Golongan muda atau belia tidak dilupakan. Bagi menambahtajamkan lagi daya intelelek mereka, turut disediakan program membaca. Begitu juga kanak-kanak istimewa didekati
oleh isteri Menteri Besar Datin Seri Saripah Zulkifli dan BAIDURI dalam progaram khas.

Kerajaan begitu prihatin dengan nasib rakyat sejak dari katil hospital hingga ke liang lahat. Bagi tujuan keagamaan, satu lori tiga tan diperkenalkan untuk kegiatan solat dan aneka lagi. Projek MBInc.

Pendek kata 116 program yang diatur sentiasa dibanjiri penduduk yang rata-rata terujadengan dasar pro aktif kerajaan dalam mendekati permasalahan mereka.

Komen Dr.Zambry di akhir program menceritakan segala-gala. Katanya program ini mencapai matlamat dan objektifnya dalam konteks menyelami denyut nadi rakyat akar umbi.

Walaupun dari segi lojik akal bukan semua berjaya didekati dan turut sama menghadiri program- program ini namun hakikatnya “tidak ada sesiapa yang terpinggir” atau
dipinggirkan semata-mata kerana fahaman politik.

Siakp mereka memang dijangkakan lebih-lebih lagi kumpulan ini dilihat berada di pihak pembangkang. Biasalah kalau mereka enggan bersama-sama kerajaan kerana takut

“termakan budi . .. . . .!”

Bagi Menteri Besar masalah rakyat bukan peribadi atau milik mana-mana pihak secara eksklusif. Adalah menjadi tanggungjawab kerajaan yang memerintah dan beliau sebagai
Menteri Besar membantu.

Kesan program membuktikan tidak berlaku amalan plilih kasih semata-mata kerana fahaman politik. Bahkan dilihat Dr.Zambry tidak takut untuk tidak popular apabila mengambil sikap membuat tegoran.

Sebagai contoh, kekotoran stesyen KTM Parit Buntar yang sering digunakan penduduk dan keluarga mereka serta pelancung diulas. Dalam lawatan mengejut ke stesyen berkenaan, Dr.Zambry meluahkan rasa keciwa melihat keadaan di situ. Terdapat tahi burung bersepah serta tahap penyelengaraannya.

Beliau meminta KTM mengambil perhatian. Kepada bos KTM diajukan permasalahan ini melalui panggilan telefon dan meminta beliau bertindak.

Kita harus ingat,Parit Buntar adalah salah satu pintu masuk ke Kerian selain pengunaan lebuh raya utara selatan. Bagi pelancung menggunakan KTM, tentu sekali keadaan di stesyen ini bukan suatu pengalaman yang manis.

Sukan memang dekat di hati rakyat lebih-lebih lagi bagi anak-anak muda. Lebih menghiborkan mereka dapat melihat Menteri Besar turun padang beraksi. Tokoh kesayangan mereka ini bukan semata-mata memanaskan kerusi empuk di pejabat juga seorang berbakat dalam sukan bolasepak.

Sebelum tamat program pemukiman di Kerian, pasukan bolasepak Menteri Besar mengadakan perlawanan dengan Kelab Rekreasi dan Suktan Ipoh (SRCC). Pasukan MB
menang berrgaya menumpaskan SRCC 4-0.

Pasukan MB mencatat satu lagi rekod tidak pernah tewas ketika menentang SRCC, sebuah kelab yang dianggotai pemain-pemain muda. Dari segi usia, Pasukan MB dibarisi pemain berusia lebih 45 tahun.

Gol pertama oleh Chee Wan Hoe pada minit ke-17 sebelum “pele Pangkor” menyumbat, satu lagi gol, tiga minit kemudian. Turut mencipta gol ialah Datuk Azhar Ahmad dan Tok Ar.

Kita tidak perlu mengulas isu pemukiman lima hari ini secara “over “ biarlah kita kutip komen Dr.Zambry mengenainya. Katanya sebanyak 116 program diatur menerusi penglibatannya secara langsung, ahli-ahli exco kerajaan dan juga jabatan-jabatan kerajaan melalui ketua jabatan negeri, kesemuanya berada di lapangan.

“Kita telah dengar permasalahan mereka, kita lihat sendiri masalah mereka, fahami mereka, lihat bagaimana kita boleh membantu mereka,” katanya.

Katanya lagi, pemukiman itu juga telah membenarkan kerajaan negeri melihat, menilai dan menerima permasalahan rakyat di daerah itu secara peribadi.

“Kita pantau dari segi apa yang telah dijanjikan kepada rakyat, demikian juga beberapa projek diluluskan di sini, kita lihat statusnya. Saya telah tanya kepada jabatan-jabatan berkenaan sekiranya terdapat projek yang dikatakan terlewat.

“Umpamanya projek Parit Haji Wahab berkenaan perumahan rakyat, kenapa berkali-kali lewat contohnya. Ini semua kita pantau semula demi rakyat di daerah ini kerana itu objektif sebenar pemukiman ini,” katanya.

Menurut Menteri Besar lagi, segala aduan rakyat yang diterima juga akan diambil tindakan. “Masalah yang tidak boleh diselesaikan segera, akan dibawa untuk dibincangkan pada peringkat negeri dan Persekutuan.

“Permohonan untuk membina keperluan asas akan dibawa ke mesyuarat bagi mencari peruntukan dan kemukakan di peringkat kerajaan Persekutuan,” katanya.-25/5/2016

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 1382  tetamu dalam talian