21September2020

Agenda Daily

Bomoh Siam, Mi Siam…dan terkini selamat datang ‘politik ala-Siam’

redxBARU ‘Bomoh siam’, ‘mi siam’ bukanlah sesuatu yang asing bagi generasi lama rakyat Malaysia, khususnya orang Melayu. 
 
Sebelum berlakunya ‘kebangkitan Islam’ lewat 1970-an, 1980-an dan seterusnya dan sebelum wujudnya peralatan berteknologi tinggi yang sekaligus mengubah cara berfikir generasi baru terhadap apa jua masalah hidup, bukanlah sesuatu yang pelik sekiranya seseorang individu menggunakan perkhidmatan bomoh untuk menyelesaikan masalahnya.

Walaupun terdapat juga mereka yang bergelar dukun, pawang  serta juga tukang urut selain daripada bomoh, paling top sudah tentulah mereka yang dikategorikan sebagai bomoh siam. Pendek kata tidak ada lagi mereka yang lebih handal dalam selok belok perbomohan ini selain daripada bomoh siam.

Kalau nak cari mambang, nak perbetulkan rumahtangga yang sudah menunjukkan tanda-tanda akan berlakunya porak peranda, nak ubatkan suami yang dah gilakan perempuan lain, sakit pening, anda tidak perlu melayari internet seperti hari ini.

ikon-yusof 

Apa yang perlu dilakukan carilah orang yang pandai jengok-jengok ke Golok, Narathiwat atau Takbai.  Di sana ada sahaja orang yang boleh mengubatkan setiap jenis penyakit batin, zahir atau apa sahaja penyakit sosial yang diketahui manusia.

Bukan itu sahaja, malah kepada rakyat Malaysia di zaman itu, apa sahaja yang baik dan hebat semuanya berasal dari Thailand yang dulunya disebut sebagai Siam sahaja. 

Bukan sahaja kucing Siam dikatakan lebih cantik berbanding kucing tempatan yang sesetengahnya menyebut sebagai kucing kurap,  tetapi mee hoon goreng yang dibungkus dengan daun pisang dan sedap dimakan dinamakan sebagai ‘mee siam’.  Menurut siempunya cerita, adapun mee siam ini rasanya lebih lazat dari mee mamak yang hari ini boleh didapati di merata Malaysia.

Begitulah hebatnya  apa sahaja yang berasal dari Siam sehingga bomohnya dianggap berkemampuan menyebabkan berlakunya  sesuatu keajaiban.

Walaupun kebanyakan rakyat Malaysia dari dulu hingga sekarang tak kisah hendak bertanya mengapa atau ada apa dengan istilah ‘per-Siam-an’ ini, tetapi bagi sesetengah yang suka bertanya, jawapannya mungkin di satu ketika dulu beberapa buah negeri di negara ini adalah di bawah naungan Siam. 

Setidak-tidaknya Gerik serta kawasan hingga ke Lenggong dan warganya hari ini hampir menjadi sebahagian dari wilayah Siam jika tidak kerana kebijaksanaan seorang pentadbir ingeris yang berjaya memindahkan batu sempadan yang memisahkan kedua-dua negara tetangga itu.

Kerana kita bercakap pasal sejarah ingin disebut di sini walaupun bukanlah macam penjajahan Inggeris terhadap Tanah Melayu, tetapi negeri-negeri ini diwajibkan membayar upeti atau bunga emas setiap tahun kepada Raja Siam. Begitulah gahnya raja mereka ketika itu.

Di zaman moden, persepsi Siam yang sudah bergelar Thailand di kalangan rakyat Malaysia telah banyak berubah.  Pada satu zaman yang lebih kontemporer (mungkin masih berlaku sehingga hari ini),  mereka yang ke Thailand, terutamanya ke Hat Yai bukan lagi dengan tujuan mencari bomoh Siam untuk memulihkan rumahtangga dan sebagainya tetapi kerana tujuan lain. 

Ada juga ahli-ahli parti politik tertentu yang ke sini di atas sebab ‘lawatan sambil belajar’ walaupun agak kabur apakah yang mahu dipelajari oleh mereka di Hat Yai.  Tentu sekali tidak mengenai nama kota atau pekan itu yang bermaksud buah nangka.

Pada zaman lain pula, Siam atau Thailand mengingatkan kita tentang bintang bola sepak seperti Piyapong Pue-on yang pernah beraksi untuk pasukan bola sepak Pahang atau tekong sepak takraw lagenda Pakdee dengan servis kudanya.

Tapi nampaknya apa yang kekal di sepanjang zaman tentang Siam ialah keadaan politiknya yang tidak pernah sunyi  dengan pelbagai kemelut.  Kalau ikut sejarah, Siamlah satu-satunya negara di Asia Tenggara yang tidak pernah dijajah oleh mana-mana kuasa Barat. 

Bermula pada tahun 1932, satu kumpulan telah memulakan revolusi yang akhirnya mengakhiri sistem raja mutlak dan digantikan dengan sistem raja berperlembagaan.  Bagi kumpulan ini dan seterusnya rakyat Thailand yang dihasutkan agar menyokong sistem pemerintahan tentera dan perkhidmatan awam ini serta corak pemerintahan politik seperti ini disangka bakal berkekalan selama-lamanya.

Tapi ia nyata bukan sahaja tidak berkekalan malah menyaksikan Thailand boleh dicatatkan dalam buku Guinness’ Book of Records sebagai negara berdaulat yang paling banyak mengubah pemimpin dan sistem pemerintahan.

Sejak tahun 1932 sehinggalah 1973, Thailand menyaksikan perlantikan 10 orang tokoh selaku Perdana Menteri menerusi 33 kali perubahan kerajaan dan sistem pemerintahan, yang mana kebanyakannya adalah pemerintahan tentera dan sesekali pemerintahan demokrasi.

Bermula tahun 1973 itu, politik Thailand  menyaksikan lebih banyak demonstrasi jalanan yang dipimpin oleh pemimpin masyarakat, puak, malah parti politik tertentu. 

Pantang sahaja Perdana Menterinya melakukan kesilapan, ada sahaja golongan yang akan menghasut rakyat Thailand agar membawa rasa ketidakpuasan hati mereka ke jalan-jalan raya.


Justeru bermula pada tahun 1973 itu, sehinggalah hari ini, Thailand merekodkan lagi perlantikan sebanyak 22 orang lagi tokoh untuk mengisi jawatan Perdana Menteri menerusi 38 kali perubahan kerajaan.  Antara mereka yang memegang jawatan untuk kali kedua akibat dari demonstrasi yang dilakukan oleh rakyat negara berikut.

Terakhir sudah tentulah Yingluck Shinawatra, adik perempuan Takshin (bekas PM Thai) yang telah memenangi jawatan tersebut menerusi majoriti kerusi yang dimenangi oleh partinya dalam pilihanraya umum yang baru berakhir beberapa minggu terdahulu. 

Namun, seperti yang lazim terjadi sebelum ini, pemerintahan seseorang Perdana Menteri atau penguasaan sesebuah parti politik tidak lama.  Ramai yakin masanya tidak begitu lama apabila rakyat yang sudah biasa dengan budaya berdemonstrasi ini akan sekali lagi berarak di jalan raya bagi menuntut perubahan selanjutnya.

Ini bermakna dalam tempoh 78 tahun Thailand telah mengalami perubahan kerajaan sebanyak 71 kali dan melantik seramai 32 orang tokoh sebagai Perdana Menteri. Sebagai perbandingan Malaysia yang telah merdeka selama 54 tahun baru mempunyai 6 orang Perdana Menteri.

Justeru kita tidak perlu melihat jauh betapa politik jalanan serta demonstrasi besar-besaran sehingga menumbangkan sesebuah kerajaan bukanlah jalan terbaik bagi mengubah kerajaan.  Sebaliknya ia mungkin membawa padah lebih besar sebagaimana yang dialami oleh Thailand.

Era bomoh siam sudah lama berakhir.  Mee siam juga sudah hampir pupus.  Apakah hari ini rakyat Malaysia hendak dibawa oleh kumpulan tertentu agar menerima ‘politik siam’ pula? - OLEH YUSOF HARUN
 

 
 

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 304  tetamu dalam talian