19November2019

Agenda Daily

Bolehkah Mukhriz diterima Naib Presiden?

mukrizmahathirKira-kira setahun sebelum PRU ke13, saya secara positif meramalkan bahawa BN boleh menawan semula Kedah  dari Pas jika sekiranya mereka mencalonkan  Mukhriz Mahathir sebagai calon MB Kedah. Ini kerana ketika tulisan tersebut tersiar di akhbar ini, suasana politik UMNO Kedah agak gawat kerana ramai memasang angan-angan sama.

Penyakit nak jadi MB  ini bukan saja di  Kedah malah turut berjangkit ke beberapa negeri lain seperti Selangor, Perak  dan Terengganu.
 
Melalui langkah bijak  Najib Razak, Pengerusi BN, menamakan Mukhriz  sebagai calon MB Kedah telah membuah hasil buat BN negeri itu. Kedah yang dikenali sebagai Jelapang Padi berjaya ditawan semula apabila BN memperoleh 21 kerusi berbanding Pas,15.

Dengan sendiri sebaik BN diisytihar menang Mukhriz diberikan mandat menggalas jawatan MB ke-11 mengambil alih tugas tersebut daripada mantannya Azizan Razak.

Kini setelah lebih 100 hari menjadi MB, umum melihat Mukhriz bukan saja lulus malah berjaya menjalankan tugas itu dengan cemerlang berbanding penyandangnya.

Kalau kita masih ingat Mukhriz sebelum ini tidak diberi cukup pendedahan sewaktu bapanya masih menjadi PM. Seperti diketahui ramai Dr.Mahathir Mohamed tidak mengamalkan neopotisme sehingga perkataan  dinasti  dalam parti sesuatu dibencinya.

Selain  turut bermain dalam paya politik Pergerakan Pemuda UMNO secara “lone ranger” Mukhriz pada masa sama menceburi dunia perniagaan. Bagi Mahathir, anak-anaknya boleh berniaga dengan syarat mereka tak boleh menggunakan pejabat PM atau namanya untuk tujuan berkenaan.

Namun Mukhriz serta adik beradiknya  tidak boleh elak dari turut terpalit dalam tohmahan  konon kejayaan mereka adalah kerana amalan kronisme serta neopotisme. Hal ini pernah timbul dalam perhimpunan agong UMNO semasa Anwar Ibrahim masih menjadi tokoh nombor dua parti dan kerajaan. Bagaimanpun, umum kini melihat ia sebagai usaha menangguk di air keruh sekaligus memburukkan imej Dr. M.
 
Apabila Dr.M bersara selepas 23 tahun menjadi PM pada 2003 ia membuka dimensi baru buat Mukhriz mencuba nasib dalam belantara politik kebangsaan secara lebih agresif. Dengan berakhirnya era  Hishamuddin Hussein  sebagai  Ketua  Pemuda, ahli-ahli sayap UMNO itu terpaksa memilih ketua baru antara menantu Pak Lah, iaitu KJ, anak Dr.M ataupun  Khir Toyo, MB Selangor. KJ menang mengatasi dua lagi pencabarnya dengan mendapat 304 undi. KJ yang dilihat the rising star dalam UMNO dikatakan mahu menjadi PM menjelang hari lahir ke 40 tahun—sesuatu yang tak mustahil ketika itu.

Pada masa KJ menikmati zaman honeymoon kesan pengaruh bapa mertuanya, Mukhriz terpaksa berdepan cabaran paling getir dalam politik ekoran   krisis bapanya dengan Pak Lah. Walaupun Mukhriz sendiri tidak terlibat secara langsung dalam perang mulut di antara Dr. M dan Pak Lah, tetapi selaku anak mantan PM, namanya turut terpalit.

Mukhriz melihat bapanya jauh lebih penting dari kepentingan politik peribadi. Mukhriz sanggup tenggelam dalam gelora politik ciptaan manusia  dari  membiar bapanya lemas sendirian.

Sebaik Najib mengambil alih jawatan Pak Lah dalam UMNO dan kerajaan kedudukan politik Mukhriz yang kecut dan layu ibarat diberi suntikan viagara. Melalui jawatan timbalan menteri MITI, Mukhriz membuktikan perlantikan itu bukannya ibarat mencanai kaca menjadikan ia permata. Sebaliknya Mukhriz membuktikan dirinya adalah sebutir permata dari Kedah.

Pendedahan kepada tugas menarik pelabur asing dan korporat yang diberikan bossnya Mustapha Mohamed. Dengan berbekalkan elemen genetik  dalam sekelip mata sahaja bintang politiknya menjadi cerah.

Pada PRU-13,  5 Mei lalu, Mukhriz dibawa pulang ke Kedah sebagai calon BN  di DUN Air Hitam. Laluannya mudah apabila mengalahkan calon Pas, Ghani Ahmad dengan keputusan, 13,165 berbanding 11,024 atau majority 2,141 undi. Berbanding dulu  Mukhriz tidak diterima sebagai calon di Langkawi, kini bukan saja penduduk  pulau itu memujanya, beliau adalah harapan masa depan orang-orang Kedah.

Minggu sebelum ini nama Mukhriz melonjak ibarat kapal Apollo ke ruang angkasa apabila dalam tinjauan ataupun pungutan suara oleh sebuah blog bagi jawatan Naib Presiden, dia muncul teratas. Yang ironinya pungutan suara itu meletakan Mukhriz mengatasi  Hishamuddin di tempat terakhir manakala Zahid Hamidi dan Ali Rustam berada dalam kelompok tiga teratas. Mukhriz memperoleh 85 peratus undi atau 1,383 undi dari jumlah 1,621, Zahid, 968 (59peratus) dan Ali,815 atau (50 peratus.)

Sementara Mukhriz seperti ramai lagi tokoh-tokoh yang nak bertanding jawatan dalam pemilihan menunggu  21 September ini, sudah ada desakan meminta dia menerimanya. Alasan  yang digunakan ialah jika dia menang dia boleh saja memintas KJ yang dilihat bakal menang sebagai Ketua Pemuda. Dengan berada dalam senarai   lima teratas dalam UMNO maka peluang Mukhriz menjadi  seperti Najib dan Tun Razak, mewarisi kerusi PM daripada bapa dikatakan terbuka.

Apapun sehingga kini, Mukhriz masih belum membuat keputusan.  Komennya (petikan): "Saya tahu mengenai blog ini tapi saya tak boleh buat keputusan hanya kepada berita daripada blog.

Saya kena pertimbangkan pelbagai perkara sebelum saya buat keputusan… Saya ingat itu satu tanggungjawab yang penting dan berat untuk saya pikul, jadi apa yang saya perlu lakukan selepas ini ialah saya kena ambil kira perkara ini… 

Saya tak mahu rakyat Kedah atau ahli UMNO Kedah merasakan bahawa sekiranya saya pegang jawatan yang tinggi di peringkat nasional, ia akan menjejaskan keupayaan saya untuk berkhidmat di Kedah, saya kena cari satu imbangan antara tanggungjawab ini."

Justeru tentu sekali, kita terpaksa tunggu dan lihat.  Mukhriz mungkin hanya mahu ‘menguji air’ menerusi kenyataannya.  Tetapi, jika sebaliknya dan beliau menerima pencalonan,  maka rasanya tidak terlalu sukar untuk beliau mendapatkan undi dan sokongan bagi meletakkan dirinya selaku di antara lima orang terpenting dalam UMNO.-11/9/2013

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 234  tetamu dalam talian