14November2019

Agenda Daily

Bila Nik Aziz potong stim

ikon-yusofharun150xxBARU Sedang pemimpin, ahli dan penyokong parti pembangkang bukan-Melayu, terutama DAP mengalu-alukan setiap kenyataan Mursyidul Am PAS, YAB Datuk Nik Aziz Nik Mat tentang apa berkaitan isu membabitkan Islam, yang mana kadangkala kenyataan berkenaan seolah-olah bercanggah dengan Islam atau setidak-tidaknya mengelirukan orang Islam sendiri, Menteri Besar Kelantan itu tiba-tiba potong stim apabila melahirkan hasrat partinya PAS melaksanakan hukum hudud sekiranya Pakatan Rakyat berjaya menguasai kerajaan Persekutuan dalam pilihanraya umum yang akan diadakan bila-bila masa dari sekarang.

Nik Aziz bukan orang baru dalam politik.  Dari pengalamannya menjadi Ahli Parlimen dan puluhan tahun menjadi Menteri Besar, beliau terkenal kerana membuat sesuatu kenyataan secara bold dan tanpa mengira implikasinya terhadap, baik rakan seperjuangan ataupun musuh politik.

Justeru apabila beliau tiba-tiba menghidupkan semula gagasan pelaksanaan hudud yang sudah terpadam dari senarai isu-isu semasa politik Malaysia, ia mengakibatkan seolah-olah rakan dalam Pakatan Rakyat dalam keadaan ‘caught with the pants down’.

Tengah syok-syok mereka menyokong apa sahaja yang disarankan oleh PAS, tiba-tiba bab hukuman potongan tangan ini cukup mengerikan.  Malah sudah ada pemimpin DAP yang mahu meletakkan jawatan dari menganggotai Jawatankuasa Pusat sekiranya parti tersebut menyokong pelaksanaan hudud.

Begitupun, Nik Mat telah mengukuhkan kedudukan PAS di Kelantan menjelang Pilihanraya Umum ke13 dengan kenyataannya berhubung perlaksanaan hukum hudud itu.
Selama hampir 21 tahun menjadi Menteri Besar, Nik Aziz sering diuji dengan pelbagai jerangkap samar yang dipasang musuh politik namun dalam setiap pilihanraya, PAS menang.

Tidak ada kena dengan “karamah” yang konon dimiliki Nik Aziz menyebabkan rakyat Kelantan taksub dan mengekalkan PAS sebagai pilihan utama. Sokongan rakyat pada PAS Kelantan khususnya kepada Nik Aziz ialah perwatakan tokoh PAS ini. Media PAS serta orang-orang di sekelilingnya memperlihatkan Nik Aziz sebagai pemimpin biasa yang ada elemen-elemen “alim.”

Bacalah buku-buku mengenainya, Nik Aziz dilihat sebagai hidup secara sederhana, tidak meninggi diri serta masih mengadakan kuliah subuh di masjid berdekatan kediamannya. Malah ia juga digambarkan sebagai orang tua yang tidak cerewet serta tidak mementingkan protocol dalam urusan harian. Untuk bertemunya semudah menunggu kuliah subuh. Jumpa dan cakaplah masalah, sama ada masalah itu  boleh diberi jalan penyelesaian, itu soal kedua.

Selain dari dikekalkan oleh perwakilan PAS sebagai ulamak bertaraf “ayatollah”, dengan kedudukan sebagai Muryidul Am PAS itu, Nik Aziz juga kekal sebagai Menteri Besar Kelantan. Malah pernah ada ura-ura, jawatan Menteri Besar Kelantan bakal diisikan dengan calon baru. Sehingga kini cerita itu sekadar cakap-cakap di kedai kopi. Tidak ada tanda-tanda malah tidak nampak Nik Aziz bakal dipencenkan dari jawatan kerajaan dalam jangka waku terdepat.

Kedudukan Nik Aziz di Kelantan hampir menyamai peranan mantan Perdana Menteri Tun Dr.Mahathir Mohamed diperingkat nasional khususnya peranan di belakang tabir dalam UMNO. Dengan tidak ada jawatan rasmi, setiap kali Dr.Mahathir bersuara, suaranya pasti diberi perhatian. Pendek kata jika syornya diketepikan, pihak media akan berusaha menjadikan peringatan serta syor mantan Perdana Menteri itu satu dari beberapa arahan penting.

Kelantan di bawah Nik Aziz bukan tidak ada cacat cela. Rintihan rakyat sering kedengaran. Isu air serta isu pembangunan di tanah-tanah tinggi seperti pembalakan yang tidak mengambil kira faktor alam sekitar serta pengagihan kawasan balak kepada sebuah syarikat luar dan berbagai faktor lain menyumbang kepada kemerosotan popularitinya. Namun di kalangan ahli-ahli PAS negeri, pengaruh Nik Aziz sikitpun tidak terjejas. Mereka tetap sayangkan tokoh itu. Rakyat khususnya mereka di atas pagar juga tetap menyokongnya. Kata-kata yang sering kita dengar ialah biar tidak ada pembangunan di Kelantan asal ada budupun cukup.

Isu hudud walaupun ia adalah isu yang dikitar semula menjelang setiap pilihanraya sejak 21 tahun lalu, ia adalah isu yang dekat dengan hati rakyat khususnya rakyat Kelantan. Isunya dikitar semula dengan harapan rakyat Kelantan tidak lari kepada UMNO yang dilihat belum bersedia untuk melaksanakan undang-undang hudud.

Jika kita membuka cakra minda kita luas sedikit kita dapati Nik Aziz telah memudahkan UMNO dan Barisan Nasional untuk mengekalkan kuasa dalam pilihanraya umum ke13.

Kenyataannya tentang rancangan PAS ingin melaksanakan hudud telah menimbulkan kemarahan yang teramat dipihak DAP—sekutu PAS dalam PR. Karpal Singh yang terkenal dengan kenyataan keras dan  kenyataan “over my dead body” jika PAS mahu negara Islam sekali lagi membuat kenyataan terbuka. Serentak dengan itu DAP sebagai reaksi dan tindakbalas, akan meletakan jawatan beramai-ramai jika  Nik Aziz tetap dengan rancangannya.

Nik Aziz diperlekehkan Karpal sebagai orang tua yang meminta perhatian serta berbagai kritikan yang dipalitkan.  Di pihak PAS yang melihat kritikan DAP sebagai unsur penodaan agama kerana tidak faham dengan perjuangan parti itu dalam konteks melaksanakan undang-undang lslam serta menegakkan negara lslam.

Nik Aziz selama ini nampak lebih rapat dengan DAP dari Hadi Awang menyedari kenyataannya boleh meretakkan hubungan baik kedua-dua parti itu. Soalnya mengapa Nik Aziz sanggup kehilangan atau sanggup mengambil risiko dengan memainkan sekali lagi isu hudud ini?

Kelantan sudah 21 tahun di bawah PAS. Sudah nampak tanda-tanda Kelantan bakal berpihak kepada UMNO pula dalam pilihanraya umum akan datang walhal tanda-tanda PR bakal merampas Putrajaya masih jauh dari kenyataan. Banyak isu yang melingkari PR khususnya Anwar Ibrahim yang menyebaban rakyat yang memihak PAS semakin keliru.

PAS pula menyedari hakikat bahawa mereka kini sudah menjadi faktor penentu dalam pilihanraya bagi negeri seperti Selangor, Pulau Pinang, Perak, Negeri Sembilan malahan tanpa undi dan sokongan PAS, DAP tidak mungkin boleh menguasai negeri-negeri ini. Silap perhitungan, Pulau Pinang yang kini di bawah telunjuk DAP bakal beralih kepada BN pula jika pengundi-pengundi PAS tidak memberikan sokongan.

Di Perak, DAP menang 18 kerusi didalam pilihanraya umum 2008, PAS cuma 6 namun DAP memperlihatkan ia adalah “kuasa sebenar” di Perak membelakangkan PAS dalam banyak hal. Malah 11 bulan memerintah Perak,  rakyat menyedari Nizar Jamaludin selaku Menteri Besar sekadar boneka, DAPlah yang memegang kuasa veto. Kerajaan PR memperlihatkan kerajaan cina berbanding kerajaan BN sebuah kerajaan Melayu. UMNO menang 28 kerusi manakala selebihnya kerusi disandang bukan melayu berbanding PR dimana DAP saja 18 kerusi, PKR, 7 (empat adun cina), dan PAS, 6.  

Gambarannya kerajaan PR ialah kerajaan didominasi cina berbanding kerajaan BN yang mana didominasi melayu. Maka isu BN mengalahkan kerajaan cina menjadi isu yang dipalu oleh masyarakat cina Perak disegenap rantau.

Nik Aziz menyedari DAP kini lebih  beruntung dari PAS kerana MCA dan Gerakan nampaknya tidak lagi sekuat dulu. Masyarakat Cina di Malaysia kini memberikan sokongan kepada DAP agar ia muncul menguasai negeri seperti Melaka, NegeriSembilan, Perak, Selangor dan Johor. PAS pun sedar parti itu sekadar digunakan sebagai alat untuk membolehkan DAP merampas kuasa. Contohnya di negeri yang dikuasai DAP, PAS langsung tidak mampu bersuara. Hassan Ali gagal melaksanakan dasar PAS kerana sering ditentang wakil-wakil DAP. Isu arak dan murtad di Selangor memperlihatkan EXCO agama(Hassan) seperti dalam keadaan tangan terikat. Khalid nampaknya lebih takut kepada tiga EXCO DAP.

Semua orang sedar betapa congak mudah politik Pakatan Rakyat ialah betapa DAP memerlukan PAS untuk berkuasa di Perak kerana tanpa PAS, DAP sedar ia sekadar memasang angan-angan. Nizar mungkin menyedari bahawa dia bukanlah pilihan DAP untuk menjadi Menteri Besar Perak selepas Piliharaya Umum ke13 kerana DAP kini sudahpun ada calon Melayu dalam perkiraan. Dan DAP dijangka dapat mengekalkan kerusi-kerusi yang dimenangi dalam pilihanraya umum lalu melainkan PAS Perak melakukan sesuatu untuk menghalangnya.

Sebab itu, DAP  Perak dalam kenyataan tidak kisah undang-undang apa PAS nak buat asalkan ia adil kepada semua. Soalnya bolehkah PAS Perak percayakan kenyataan DAP sedangkan disatu pihak, DAP awal-wal lagi sudah memperlekehkan “ayatollah” mereka. Mungkin Nizar boleh terima tetapi ramai ahli-ahli PAS di kampung-kampung sudah mula memikir semula hubungan PAS dan DAP.

Tidak keterlaluan jika kita katakan ada persamaan watak Nik Aziz dan seorang watak dalam filem klasik Hindustan ‘Sangam.’ Bagi mengelak dari meruntuhkan rumah tangga sahabat baiknya serta pada masa sama tidak mahu melihat bekas kekasihnya menderita, hero mengambil keputusan menembak dirinya sendiri lalu mati.

Nik Aziz tidak mati dan tidak menembak dirinya tetapi kenyataannya mengenai hudud memberi ruang serta peluang kepada pengundi Melayu tidak lagi menyokong DAP. Tembelang DAP terbuka luas. Ia bukan parti yang orang Melayu boleh  bergantung harapan malah sahlah DAP tidak akan membenarkan wujudnya negara berlandaskan lslam dari hukumnya.

Kenyataan Nik Aziz dilihat macam Trojan Horse bertujuan menghalang DAP dari menguasai sebanyak negeri yang boleh melalui kerjasama dengan PAS. Barangkali juga Nik  Aziz  sudah nampak DAP tidak ikhlas dalam menjalinkan hubungan dengan parti lslam itu tetapi sekadar mempraktikkan fahaman “Machiavelli”— matlamat menghalalkan cara.

Sejak 2008, melalui persefahaman yang dianjurkan Anwar Ibrahim, PAS telah mengorbankan idealisme serta ukhwah dengan “orang-orang Melayu” lain semata-mata kerana mahu menjaga hati DAP. PAS juga menukar dasar seperti menukar kain lampin, agar kerjasama dengan DAP dapat diperkukuhkan. Yang rugi tentulah PAS dan yang lebih rugi juga ialah orang-orang Melayu. Kerana tamakkan kuasa, ada segelintir puak dalam PAS yang lebih sayangkan Karpal dan Kit Siang dari Haji Hadi mahupun Nik Aziz, semata-mata kerana percaya Putrajaya dipercayai sudah berada dalam jangkauan.     

Pengorbanan Nik Aziz ialah menghalang kemaraan DAP dengan rancangan asal PAS membentuk negara lslam serta melaksanakan hukum hudud. Biar bagaimana persepsi rakyat terhadap Nik Aziz, rakyat Kelantan tentu saja akan melakukan sesuatu yang bijak dalam konteks Pilihanraya  Umum ke13. Malah sekaranglah masanya  kerajaan perpaduan yang pernah dicetuskan oleh Hadi Awang difikir semula. Mungkin Kelantan mengorak langkah pertama ke arah itu sebelum negeri-negeri lain ikut dengan sendirinya.

Nampaknya akan terbantutlah kereta api jalinan Pakatan Rakyat apabila tiba-tiba Nik Aziz mengambil langkah nekad dengan memotong ‘steam’ yang sedang hangat membakar semangat mereka.-7/10/2011

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 1124  tetamu dalam talian