24September2020

Agenda Daily

Bersih 2.0 patut gunakan Chlorox

Membaca hujah pelbagai pihak fasal isu perhimpunan haram yang akan diadakan oleh Bersih 2.0 menyebabkan saya tergelak sendirian.ikon-yusofharun150xx

Mujurlah saya berseorangan.  Kalau ada isteri saya di rumah tentu dia kata saya sudah menjadi kurang siuman.  Tapi saya belumlah lagi menjadi seperti itu.  Namun, sama ada anda suka atau tidak, membaca hujah-hujah pembangkang mengenai pelbagai isu sama ada yang direka cipta oleh mereka sendiri atau yang dipadankan dari sesuatu keputusan kerajaan tetapi dipersembahkan sebagai isu oleh puak-puak ini boleh menyebabkan rakyat menjadi keliru dan kadang-kadang bertindak kurang siuman.

Ambil sahaja isu demonstrasi Bersih 2.0 yang kini  riuh rendah dipertahankan oleh mereka yang terlibat menganjur, mempromosi dan seterusnya menyokong perhimpunan ini.

Pertama yang kelakar ialah cara puak ini menamakan kumpulannya sebagai Bersih (Versi 2.0). Macam perisian komputer pulak.  Ada Anti-Virus 1.0, Anti-Virus 2.0 dan seterusnya.  Tidak mustahil Bersih 1.0 sudah dijangkiti banyak virus maka diterbikan edisi terbaru dengan dinamakan sebagai Bersih 2.0.

Itu fasal yang pertamalah.  Yang kedua pulak, kononnya  puak Bersih ini memperjuangkan pilihanraya yang bersih dan adil.  Inilah yang lagi kelakar.  Sejak bila pula pilihanraya di negara ini tidak dilakukan dengan bersih dan adil.

Cuba kita lihat apa yang berlaku dalam pilihanraya.  Mula-mula yang layak disuruh mendaftarkan diri agar menjadi pengundi yang berdaftar dan seterusnya layak mengundi.  Nama mereka tersenarai dalam daftar pemilih atas kehendak diri mereka sendiri dan bukannya Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia (SPR) memandai-mandai menyenaraikan nama mereka.

Jumlah pengundi yang layak pula adalah dalam kiraan tujuh lapan juta  orang.  Menangani jumlah sebesar ini bukanlah mudah walaupun dengan bantuan komputer.  Sebab itu sekali-sekala timbul masalah, pengundi berdaftar di kawasan lain tetapi datang mengundi di kawasan lain.  Atau terdapat seorang dua pengundi yang telah meninggal dunia beberapa tahun lalu, malah puluhan tahun lalu masih tersenarai sebagai pengundi.

Ini kesilapan biasa.  Lainlah kalau ada tujuh juta  pengundi, tiga juta daripadanya telah meninggal dunia tetapi nama masih terdapat dalam daftar memililh dan mereka yang telah meninggal dunia ini turut keluar mengundi dalam sesuatu pilihanraya.  Kalau macam ini barulah boleh dikatakan negara mengamalkan pilihanraya yang kotor dan tidak adil.

Begitu juga dengan cara peti undi dipindahkan dan kertas undi di kira.  Semuanya disaksikan dan diperiksa sendiri oleh wakil dari semua parti.  Maknanya kalau ada 8 peti undi yang dibawa dari pusat pembuangan undi dengan bermeteri maka jumlah dan peti yang sama juga diterima dipusat pengiraan undi.  Belum ada lagi kejadian di mana di pusat mengundi dimuatkan 8 peti undi tetapi setiba di pusat pengiraan jumlahnya menjadi 18 atau 80.

Mengenai kononnya media tak adil sebagaimana yang diuar-uarkan oleh Bersih dan juga pembangkang, kerajaan sepatutnya mengharamkan sahaja semua bentuk media mereka termasuk di Internet (dengan menggunakan perundangan tertentu) supaya suara mereka tidak langsung dapat disampaikan kepada rakyat dan pengundi.  Baru betul kerajaan tak adil namanya.  Tapi apakah hal ini pernah berlaku. 

Memang benar parti kerajaan menggunakan ruang yang banyak dalam akhbar arus perdana untuk mempromosikan parti mereka, tapi apa kurangnya dengan parti pembangkang.  Kalau di waktu kempen misalnya, akhbar Harakah sebagai contoh, boleh sahaja paparkan gambar muka penuh  Dato’Haji Hadi Awang dari muka depan hinggalah muka belakang.  Dalam edisi lain boleh gunakan gambar Dato’ Nik Aziz pula.  Dan dalam versi lagi satu pula cetak Negara Kebajikan dan manifesto PAS dengan menggunakan fon bersaiz  120 point pada setiap halaman termasuk di muka depan.  Tak ada siapa yang nak larang pun.

Bila sebut tentang Haji Hadi, teringat pula Presiden PAS in baru keluar kenyataan menyuruh semua anggota atau ahli PAS datang ke Kuala Lumpur pada 9 Julai nanti untuk sama-sama menyokong perhimpuan yang dianjurkan oleh Bersih 2.0 sendiri. Saya terpaksalah mengulang-ngulangkan sebutan 2.0 ini kerana kalau cakap Bersih pula nanti ada pembaca yang ingat saya bercakap tentang versi yang sudah dikorupkan oleh sang virus.

Kata Haji Hadi dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di Kuala Lumpur hari ini (23 Jun 2011), “"Semua negara demokrasi yang maju di dunia ini tidak menghalang perhimpunan aman yang diadakan oleh rakyatnya. "

Betullah tu macam yang dihujahkan oleh Presiden PAS ini.  Tapi itu negara maju di mana mereka faham demokrasi, di mana tidak ada pemimpin parti lain terus serta merta menghapuskan tol atau memasuki bilik Menteri Besar dengan tidak beretika sebaik sahaja keputusan pilihanraya diumumkan dan walaupun belum lagi mengangkat sumpah jawatan.  Begitulah majunya otak mereka.  Tak payah sebut ‘sabar itu separuh dari iman’ kerana mereka bersabar sehinggalah mengangkat sumpah jawatan Menteri Besar atau Presiden atau Perdana Menteri.

Lagipun di negara kita ini otak orang, biasanya yang menjadi  Pak Turut dalam sesuatu perhimpunan bukanlah maju sangat sebagaimana otak orang di negara maju.  Mudah sahaja mereka ini bertindak ke atas sebarang provokasi sehingga boleh mencetuskan huru-hara awam.  Cuba baca sejarah Tragedi 13 Mei 1969 macam mana perayaan yang diberikan permit oleh polis kononnya untuk meraikan kemenangan parti  DAP, Pekemas dan Gerakan di Selangor, akhirnya menjadi sejarah hitam di negara ini.

Rakyat Malaysia yang berhaluan kiri ini lain sikit dari rakyat negara maju sebagaimana yang disebut oleh Haji Hadi dalam kenyataannya itu.  Mereka cukup emosional dan mudah bertindak liar.  Tak percaya tengok apa jadi dengan perhimpunan haram Reformasi yang mahu mereformasikan keputusan memecat Anwar Ibrahim dari kerajaan dulu.  Sikit punya kecoh.  Dan kalau polis tidak bertindak, tentu suasana boleh bertukar menjadi macam 13 Mei 1969.

Sebab itu selepas peristiwa ini, kerajaan meminda undang-undang tentang perhimpunan.  Kalau ada lebih daripada sekian banyak orang yang berkumpul di sesuatu tempat maka itu sudah boleh dianggap haram dan boleh ditangkap oleh polis.

Ada juga kutu yang menghujahkan mengapa polis tidak sahaja memberikan permit untuk demonstrasi yang mahu dianjurkan oleh Bersih 2.0 ini.  Nak bagi permit memang boleh.  Tapi siapa dia Bersih 2.0 ini? Kalau sekadar parti politik, polis sudah banyak kali dan selalu memberikan permit untuk mereka mengadakan ceramah.  Tetapi Bersih ini bukan sebuah parti politik.  Ia hanya sebuah NGO.  Biasanya kalau ada NGO beriya-iya sangat mahu memajukan sesuatu isu dengan cara ini, maka lazimnya ada udang di sebalik batu.

Cuba kita lihat siapa di belakang perancang  Bersih 2.0 ini.  Jawatankuasa induk mereka adalah terdiri daripada Dato’ Ambiga Sreenevasan (Pengerusi), Andrew Khoo, Arumugam K., Dr Farouk Musa, Haris Ibrahim, Liau Kok Fah, Maria Chin Abdullah, Richard Y W Yeoh, Dr Toh Kin Woon, Dr Wong Chin Huat, Datuk Yeo Yang Poh, Zaid Kamaruddin, Dr Subramaniam Pillay and Arul Prakkash.

Mereka ini ibarat kuda-kuda  masyarakat yang sudah tidak dikehendaki menyertai perlumbaan lagi.  Dalam lain perkataan kuda-kuda yang sudah tidak laku.  Jadi inilah satu cara mereka mengiklan dan mempromosi nama agar dapat di terima oleh masyarakat umum atau badan ikhtisas tertentu dan sebagainya seperti satu ketika dulu.

Apalah yang mereka faham tentang demokrasi, tentang mekanisme pilihanraya di Malaysia melainkan sebagaimana yang disuap atau difeed oleh imaginasi dan persepsi mereka sendiri.  Mungkin seorang dua daripada mereka faham dan yang lain diperkudakan sebagaimana mereka memperkudakan pemimpin dan ahli parti politik Melayu dan juga bukan Melayu agar mempercayai bahawa apa yang mereka lakukan itu mempunyai niat suci dan murni.

Betulkah suci sangat?  Kalau suci, tubuhkan saja parti politik dan lawan BN menerusi pilihanraya.  Kalau menang, maka itu bolehlah dikira suci.

PAS, Parti Keadilan Rakyat dan DAP menang banyak kerusi DUN dalam pilihanraya umum lalu sehingga berjaya  menububkan kerajaan negeri.  Kalau sekiranya pilihanraya umum di negara ini dijalan dengan tidak bersih dan kotor, maka maknanya Kerajaan Negeri Kelantan, Kerajaan  Negeri Kedah, Kerajaan Negeri Selangor dan juga Kerajaan Negeri Pulau Pinang adalah juga kerajaan kotor yang perlu dibersihkan.

Bukan itu sahaja, malah kalau betul-betul kotor sebagaimana yang hendak dibersihkan oleh Bersih 2.0, maka awal-awal lagi sudah tidak wujud kerajaan negeri yang disebut itu.

Inilah maksud saya cerita kelakar Bersih 2.0 dengan niat mereka yang suci murni itu. Mungkin Dato’ Ambiga kena beli lebih banyak Breeze.  Kalau nak pakai Chlorox pun lagi okay.

Nota Kaki:Oh seperkara lagi, jika geng Bersih nak sangat berdemonstrasi, saya nak cadangkan mereka membuatnya di mana-mana stadium yang ada,bukannya di kawasan lalu lalang di ibukota. Itu boleh merbahayakan nyawa orang awam. Mereka boleh pilih Stadium Bukit Jalil  kalau nak kumpul 80,000 orang ataupun di Shah Alam, juga mungkin boleh tempatkan 80,000 dan kalau mahu  stadium lain, boleh juga ke Pulau Pinang ataupun Alor Setar. Tak ada masalah bagi Polis mengeluarkan permit, kalau sukar dapatkan permit cari dan mintalah bantuan Presiden Perkasa Datuk Ibrahim Ali , saya gerenti dia sentiasa sanggup.-26/6/2011
   

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 416  tetamu dalam talian