24September2020

Agenda Daily

Batik: Mengapa perlekeh budaya sendiri?

Dalam tahun 1970-an, pakaian batik terutama bagi kaum lelaki seolah-olah menjadi sinonim dengan perwatakan belia. Berlatarbelakangkan penyebaran awalan budaya pop Barat berimejkan pakaian kemeja-t, jaket kulit dan jeans, maka imej sopan yang dipaparkan menerusi kemeja batik dan dipadankan dengan seluar panjang putih atau hitam agak terasing cukup berlawan dengan jiwa muda dan remaja di zaman itu.

Persepsi am terhadap sipemakai batik ialah kononnya dia seorang belia yang tidak mengikuti perubahan zaman, rendah martabat dan ‘tak rugged’.

Begitupun pada waktu itu perusahan batik bukanlah sesuatu yang baru di negara ini. Namun ia belumlah lagi boleh dikategorikan sebagai satu industri. Kebanyakan perusahan batik terhad kepada perniagaan kecil-kecilan dan sederhana yang lazimnya dijalankan di perkarangan rumah ataupun di kilang kecil yang merupakan perniagaan keluarga.

Sesuai dengan imejnya sebagai pakaian tradisional, pembikinan batik juga adalah sesuatu yang bersifat turun-temurun di mana ilmu mencorakkan kain putih sehingga menjadi kain bermotifkan corak yang dapat diklasifikasikan sebagai ‘batik’ diperturunkan dari satu generasi kepada satu generasi.

Hari ini, peredaran masa dan perkembangan pelbagai teknologi dalam bidang kimia, tekstil; penemuan kaedah rekabentuk baru dalam penghasilan batik serta peningkatan pendidikan dalam pengurusan pernigaaan dan pemasaran moden telah menukarkan status batik Malaysia dari sekadar sebuah industri kampung kepada sebuah industri busana yang menembusi pasaran antarabangsa.

Malah sinonim belia tahun 1970-an juga sudah lama berlalu. Pada akhir 1980-an, batik tulisan-tangan yang dihasilkan dengan melakar lilin cair secara langsung ke atas kain putih eksklusif seperti kain sutera Habotai, sutera tulin China dan Crepe de Chin dan mewarnakan motif dan tanahnya (latarbelakang) dengan berus mula diperkenalkan dan melahirkan rasa berkeyakinan tinggi kepada sipemakainya kerana ia setanding dengan pakaian designer yang diimport dari Itali dan negara Eropah yang lainnya.

Namun demikian pakaian batik yang dihasilkan secara tradisional iaitu dengan menerap lilin cair dari acuan yang telah terbentuk ke atas kain putih lebih murah seperti kain kapas, rayon, dan poplin dan merendamkannya ke dalam kimia pencelup warna tetap mendapat sambutan bukan sahaja oleh pengguna di Malaysia tetapi juga di luar negara.

Justeru, ternyata kain batik sudah tidak lagi sekadar buat penyapu air mata ataupun pakaian seragam untuk belia kita dan bukan lagi pakaian untuk memeriahkan pesta pantai setiap kali muncul selepas musim tengkujuh. Malah kain batik sarong yang satu ketika dulu lebih banyak dipakai oleh suri rumah untuk mencuci pakaian dan membuat kerja lasak di rumah atau dipakai oleh para nelayan di Pantai Timur ketika menjemur ikan dan membaiki jala dan sampan kini mudah sahaja dilihat diperagakan oleh wanita pejabat termasuk di ibu negara. Mereka mempelbagaikan kain batik sarong seperti itu dengan pelbagai fesyen dan baju.

 

Hari ini budaya memakai baju batik ke majlis perkahwinan dan ke pejabat serta fesyen keluaran pereka tempatan dari batik sinonim dengan fesyen dan pakaian orang Melayu dan rakyat Malaysia. Begitu juga dengan kakitangan kerajaan yang turut mengenakan pakaian batik pada setiap hari Khamis. Hal seperti ini tidak sedikitpun mengurangkan kecinaan ataupun kehinduan mereka.

Baju batik kini bukanlah lagi baju khas untuk orang Melayu kerana rakyat Malaysia sudah menerima batik sebagai salah satu fesyen dan fabrik nasional. Batik kini adalah pakaian kebangsaan dan karyawan kraf kita kini sudah boleh mendabik dada kerana perjuangan mereka selama berabad lamanya sudah membuahkan hasil.

Saya agak hairan mengapa ada orang suka memperlekeh budaya sendiri dan pakaian hasil keluaran tempatan. Batik adalah budaya yang asal usulnya sukar untuk ditentukan seperti mana sukarnya untuk kita tentukan asal usul pelbagai barangan lain yang kita gunakan dalam kehidupan seharian.

Bagi pembaca buku-buku sejarah lama mereka tentu kagum bahawa batik adalah satu fabrik yang motifnya kaya dengan pelbagai kesenian tempatan.

Sebagai contoh Laksamana Hang Nadim, seperti yang terdapat ceritanya di dalam buku Sejarah Melayu, pernah belayar ke India untuk mencari dan membeli kira-kira 140 kain batik dengan bermotifkan 40 bunga tetapi pencarian itu menemui kegagalan.

Kerana takut dimurkai Sultan kerana hal-hal begini di zaman itu boleh membuatkan kepala serta tubuh badan menjadi makanan pedang, Hang Nadim berusaha membuat sendiri kain pesanan istana. Malangnya kapal yang membawa beliau serta kain-kain batik untuk pulang ke Melaka karam dipukul gelombang. Hanya empat helai saja berjaya diselamat dan dibawa pulang.

Tetapi tahukah kita bahawa batik bukanlah milik orang Melayu saja. Kira-kira 2,000 tahun lalu, batik sudahpun dikenali di seantero dunia. Mengikut catatan sejarah, batik di negeri China bermula pada tahun 581-618 Masehi semasa pemerintahan Dinasti Sui dan batik sutera yang terkenal ketika itu motifnya adalah gambar-gambar pokok serta pepohonan, binatang serta peniup seruling.

Di India serta juga di Afrika dan Java, batik turut membuka perhatian warganya tetapi, seperti di China, motif batik di negara berkenaan mengikut motif ciptaan pelukis tempatan.

Jika kita tidak kagum dengan industri batik tempatan, penjajah Belanda yang menakluki Indonesia ketika itu telah, pada tahun 1835, membawa balik ke negara mereka karyawan batik tempatan untuk membolehkan rakyat Belanda mempelajari seni pembikinan batik.

Berdasarkan catatan sejarah ini, tentulah ada sesuatu yang dirasakan cukup indah mengenai kain batik sehingga seni pembikinannya diusahakan untuk dieksport oleh kaum penjajah ini.

Beauty is in the eye of the beholder .” Menyedari falsafah inilah kita harus berjiwa besar untuk membeli dan menggunakan hasil kesenian dan pembikinan kita sendiri walaupun ada orang yang mempertikaikan mutunya atau cuba merendah-rendahkan kualitinya dengan membuat perbandingan yang tidak setara.

Kita mungkin kaya dan hidup supermewah namun sebagai orang Melayu dan warga Malaysia, kita seharusnya menjadi role model dalam usaha mempromosikan lagi batik. Harapan kita biar suatu masa nanti batik kita menaklukki dunia seperti mana Zhang Toi dan Jimmy Choo.

Bagi orang di Kelantan, Terengganu dan Pahang, industri batik adalah satu industri yang telah berjaya menjadikan mereka usahawan serta karyawan batik. Berpuluh tahun lamanya periuk nasi mereka bergantung kepada industri ini. Malah pengunjung dari Pantai Barat seperti orang dari Kuala Lumpur ataupun Ipoh akan pergi ke Pantai Timur untuk mencari pelbagai jenis kain dan pakaian batik untuk dijadikan busana.

Justeru, sama ada kita orang politik ataupun penulis apatah lagi pemimpin, kita hendaklah membantu mereka menjadikan produk batik kita sampai ke tahap antarbangsa.-16/2/2011

Salah satu cara kita boleh menyokong industri ini ialah dengan meningkatkan penggunakan kita ke atas pelbagai produk dan pakaian berasaskan batik dan kain batik. Jika kita sanggup melakukan perkara yang tidak langsung sukar ini, akan tiba masanya pakaian dari gedung batik kita akan dipaparkan di majalah seperti Vogue dan diperagakan di pameran couture Paris.-16/2/2011

- Yusof Harun ialah bekas wartawan kanan beberapa penerbitan.Beliau giat menulis buku kebelakangan ini.

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 399  tetamu dalam talian