16November2019

Agenda Daily

Aura PM pengaruhi gelombang kebangkitan rakyat di Perak

ikon-yusofharun150xxPembangkang di Negeri Perak kini gabra serta berdepan sindrom gentar melihat kebangkitan rakyat menyokong Barisan Nasional.

Suatu yang tidak mereka jangka ialah program BN melimpah ruah dengan orang ramai tanpa mengira sama ada hari itu panas terik ataupun hujan turun mencurah-curah.

Aura Perdana Menteri serta timbalannya telah mencetuskan gelombang baru yang membantu BN Perak memenangi semula hati rakyat.

Dato’ Seri Najib Razak menyedari lawatannya ke Perak berjaya mengubah persepsi rakyat tentang program transformasi ekonomi jauh mengatasi janji pembangkang melalui model buku jingga.

Tan Sri Muhyiddin Yassin setelah melihat tahap sokongan rakyat yakin BN Perak bakal meraih kemenangan besar jauh mengatasi kerusi-kerusi yang dimiliki sekarang dalam PRU ke13 kelak.

Menyedari mereka seperti terperangkap, pembangkang mengguna helah dengan dakwaan bahawa lawatan Najib dan Muhyiddin ke negeri ini kerana “Perak diambang ketenatan.”

Kedatangan kedua-dua tokoh itu sebagai usaha terakhir  menyelamatkan Perak dari jatuh semula ke tangan mereka.

Mereka mengitar semula komen Anwar Ibrahim di Gopeng baru-baru ini yang yakin Pakatan Rakyat bakal merebut semula Perak dari BN.

Tetapi bagi Menteri Besar Dato’ Seri Dr.Zambry Abd Kadir lawatan Perdana Menteri dan timbalannya ke Perak juga disusuli dengan lawatan kerja ke semua negeri lain.

“Bukan PM dan timbalannya datangke Perak saja . . .kedua-duanya juga menjelajah ke semua negeri-negeri di Malaysia termasuklah Sabah dan Sarawak”katanya menangkis tohmah pembangkang.

Sekaligus menolak andaian pembangkang Perak “tenat” lalu memaksa kedua-dua tokoh utama negara itu datang membantu BN negeri ini.

Momentum yang dijana hasil lawatan Perdana Menteri bermula lawatan Najib dan Muhyiddin tahun lepas lagi.
Perdana Menteri sendiri memilih “menyerang” kubu-kubu pembangkang seperti Sitiawan dan Taiping selain Ipoh, Bukit Gantang, Parit Buntar dan juga Sungai Siput.

Perdana Menteri tidak memilih kawasan atau kubu BN yang menjaminkan kehadiran “crowd” yang besar.

Najib mencabar pembangkang di kawasan mereka. Najib buktikan dia sanggup berkokok di kubu pembangkang yang dibayangi pengaruh parti itu.


Perdana Menteri dan isteri mencetus satu fenomena baru apabila berkunjung ke Ipoh tahun lalu menghadiri majlis aidil fitri di Taman Soon Choon sebelum menaiki sebuah  bas ke Sungai Siput.

Tersindir dengan gambar Najib dan rombongan menggunakan perkhidmatan bas untuk menghadiri program rakyat, blog-blog pro pembangkang menampilkan gambar Nik Aziz Nik Mat juga menaiki bas.

Dalam perjalanan kira-kira 50 km jaraknya dari bandaraya Ipoh, Perdana Menteri  diiringi Menteri Besar  melihat pembangunan yang dinikmati rakyat.

Semasa di Lasah, Sungai Siput, Perdana Menteri dan isteri meraikan kira-kira 5,000 orang termasuk masyarakat orang asli dan juga penduduk tempatan dalam program hari raya.

“Menteri Besar dengan nada gembira memberitahu orang ramai bahawa “Perdana Menteri telah datang ke Sungai Siput dengan membawa Murtabak Pekan” untuk dinikmati oleh mereka semua.

Disetiap program Perdana Menteri, tema lawatan dijelaskan kedatangannya “mendengar masalah rakyat dan mencari jalan penyelesaian.”


Pada 13 Januari lalu Najib dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor menghadiri majlis jamuan makan malam dan perasmian pemukiman wakil-wakil rakyat BN atau BNBBC di Jalan Simpang, Taiping.

Keesokannya Najib dan Rosmah bersama ribuan warga Taiping melakukan senaman dalam program Senaman 1 Malaysia di padang Esplanade Taiping sebelum bersarapan dengan orang ramai di Casual Market.

Perdana Menteri berkejar ke Padang Bandaran di Parit Buntar untuk merasmikan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan 2011.

Program hari itu membawa Najib menunaikan solat zohor berjemaah di Masjid Tinggi, Bagan Serai dan kemudian menghadiri majlis jamuan tengahhari bersama-sana rakyat tempatan.

Sebelum berlepas pulang petang itu, Perdana Menteri menghadiri majlis bersama rakyat dalam parlimen Larut di Padang Awam, Felda Ijok.

Ribuan orang menunggu dan membanjiri tapak program untuk bertemu Perdana Menteri dan mendengar penjelasannya mengenai pelbagai isu termasuklah dakwaan pembangkang bahawa “Felda muflis.”

Sejak peralihan kuasa dari PR kepada BN  bermula awal tahun 2009, BN pada masa ini menikmati gelombang memihak kepada mereka

Pembangkang mendakwa rakyat di upah untuk menghadiri perayaan tahun baru Cina di Sitiawan—kubu kuat DAP—yang mana kira-kira 60,000 orang menghadirinya.

Mereka tidak hairan “crowd”nya  sebesar itu. Mereka mencanang ke merata tempat bahawa di masa akan datang jumlah rakyat yang datang akan berkurangan.

Dakwaan mereka terbukti meleset apabila kunjungan Perdana Menteri ke Ipoh pada 18 Februari juga dibanjiri kira-kira 60,000 orang.

Najib merasmikan RTC di Gopeng.

Hujan hari itu turun dengan lebat sehingga menjejaskan keadaan trafik di sekitar tapak RTC namun orang ramai tanpa menghiraukan keadaan cuaca mengerumuni pusat berkenaan.

Pada sebelah malam Perdana Menteri menghadiri Majlis Perhimpunan Rakyat parlimen Pasir Salak dan pelancaran Permodalan Felcra Berhad di Changkat Lada, Kampung Gajah.

EXCO kerajaan negeri Dato’ Zainol Fadzi Paharudin menganggarkan 70,000 orang hadir. “Makanan semuanya habis . . .termasuklah makanan tambahan.”

“Orang Pasir Salak mencatat rekod dengan memberi penghargaan kepada Perdana Menteri selaku tetamu istimewa malam itu . . .kita buktikan kepada pembangkang Perdana Menteri sentiasa mendapat sokongan rakyat” katanya.

Bagi wartawan Peraknews yang turut membuat laputan “crowd” malam itu boleh dikatakan melebihi 100,000.

Beliau sendiri tidak pernah melihat lautan manusia yang begitu ramai pada mana-mana program sebelum ini.

Perdana Menteri disaksikan Dr. Zambry dan Pengerusi Felcra Bhd. Datuk Haji Tajuddin Rahman melancarkan Permodalan Felcra Bhd dengan dana pelaburan permulaan RM100 juta.

Najib juga menyampaikan surat hak milik kepada 10 orang wakil Felcra Bhd yang mewakili 250 peserta.

 Muhyiddin ketika melawat Perak sebelum akhir tahun lalu menghadiri perayaan Depavali peringkat kebangsaan di Little India,Ipoh yang dihadiri kira-kira 8,000 orang.

Muhyiddin juga melihat sendiri kira-kira 8,000 orang menghadiri Konvensyen UMNO Perak di Dewan Jubli Perak Kuala Kangsar  Ahad lalu.

Kagum dengan “crowd” terdiri dari pemimpin-pemimpin peringkat akar umbi, Timbalan Presiden UMNO itu yakin “BN Perak sudah bersedia menghadpai PRU ke13 . . .malah yakin BN boleh menang besar.”

Seminggu sebelum itu, Muhyiddin juga ke Ipoh bagi menghadiri program dialog dengan warga pendidik peringkat negeri di sebuah hotel terkemuka.

Petang itu beliau dan Menteri Besar menghadiri program bersama rakyat di Sekolah Menengah Kampung Bahagia, Teluk Intan—‘crowd’nya sekitar 20,000 orang.

Dalam ucapannya, Timbalan Perdana Menteri tersenyum sinis kerana pembangkang mendakwa RM500 ditawarkan melalui  BR1M atau Bantuan Rakyat 1Malaysia sebagai “rasuah dari kerajaan.”

Katanya Pas menganggap wang itu tidak halal…kalau begitu tak usahlah ambil sebab pemimpin mereka kata ia rasuah…ada yang kata ‘celah gigi’ sahaja, tapi tak mengapa. Ini bantuan yang kita berikan, kita bantu untuk kurangkan beban rakyat.”
Muhyiddin meluluskan peruntukan RM27 juta bagi pembinaan sebuah sekolah menengah di Kampung Bahagia dan juga beberapa projek naik taraf di daerah Hilir Perak.
Justeru apa yang dibimbangkan pembangkang sudahpun menjadi nyata bahawa gelombang sokongan rakyat terhadap BN seperti air deras yang mengalir ke segenap ceruk di Perak tanpa mampu disekat.

Lemparan fitnah dan memburuk-burukkan kepimpinan negara dan negeri melalui ceramah-ceramah mega bertujuan menarik sokongan gagal menyekat kebangkitan rakyat---rakyat sudah kembali  bersama-sama BN semula.-12/3/2012

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 871  tetamu dalam talian