19November2019

Agenda Daily

Apa jadi kalau Anwar kalah di Permatang Pauh...?

anwar-renyihxxxKalau berkunjung ke Pulau Pinang jangan sesekali lupa untuk singgah menjamu selera sama ada makan nasi kandar atau laksa janggus di Balik Pulau. Nasi Kandar yang beraneka lauk pauk dan adunan kuah-karinya yang kaw-kaw tak perlu diperkenalkan.

Tetapi  bagi pengemar laksa, saya syorkan mereka cuba berkunjung ke Balik Pulau untuk menikmati kelazatan laksa janggus. Saya kurang pasti sama ada nama “laksa janggus itu” sinonim dengan pokok janggus berdekatan ataupun perisanya datang dari daun/pucuk  janggus yang disebatikan dengan kuah laksa.

Bagi pengemar makanan, dua makanan ini adalah “ikon” Pulau Pinang namun orang politik melihat dari aspek yang satu lagi. Tokoh yang dianggap berjaya melekat di  hati mereka dan ikon masyarakat pulau mutiara itu tentulah tak lain dari Sdr. Anwar Ibrahim (kini dipanggil Datuk Seri).

Sama ada orang yang ditemui duduk di Batu Maung ataupun mereka yang membina kehidupan sejak zaman persekolahan di Butterworth apatah lagi di Permatang Pauh, Anwar adalah seorang ikon.

Dulu pengaruh Anwar kalau ibarat sebatang pokok ia tinggi dan rendang serta berbuah lebat. Ramai menumpang teduh kerana dia bukan saja “very powerful man”, dia juga bakal Perdana Menteri Malaysia selepas Dr.Mahathir. Semua orang tahu Dr. Mahathir mempersiapkannya sebagai pengantinya sejak awal lagi. Musa Hitampun tahu, begitu juga Tengku Razaleigh.

Kita tentu faham tugas sebagai Menteri Kewangan (merangkap Timbalan Perdana Menteri) yang mana projek-projek mega, pengagihan saham dan sebagainya termasuk dalam bidang kuasa Kementerian Kewangan. Tipulah kalau menterinya tak tahu siapa yang dapat dan mengapa orang-orang tertentu boleh perolehi saham ataupun projek mewah.

Dan kalau menteri mempunyai kenalan dan dikelilingi oleh taikun seperti Tan Sri Vincent Tan, Ananda Krishnan, Arumugam,towkei Genting dan sebagainya, ia biasa. Sebab itulah ramai kawan-kawan secara sinis berkata sejak jadi Menteri Kewangan, rakan-rakan Pak Sheikh bukan lagi budak-budak ABIM.

 Sebenarnya cerita yang menarik minat kita bukan nasi kandar ataupun laksa tanjung atau mana-mana laksa di pulau itu. Yang kita maksudkan ialah parlimen Permatang Pauh. Kawasan ini dilihat ibarat “ibu segala kawasan” kerana calon yang bertanding ialah Anwar Ibrahim. Dan lawannyapun bukanlah calang-calang calon melainkan bekas Ketua Pemuda Pas negeri dan seorang tokoh korporat iaitu Dr.Haji Mazlan Ismail.

Sebagai maklumat tambahan, sejak 1982 lagi, kawasan ini adalah kubu Anwar setelah pertama kali dipilih sebagai calon BN. Nasib Anwar baik kerana sebaik menjadi ahli UMNO, dia diberi peluang menjadi calon BN di Permatang Pauh.

Anwar tidak perlu aktif diperingkat UMNO bahagian sama ada menjadi Ketua pemuda bahagian terlebih dulu ataupun Setiausahanya. Ini kerana Dr.Mahathir Mohamed yang mengkagumi kepimpinan Anwar membawa dia masuk ikut pintu belakang. Siapa berani menghalang Dr.Mahathir ketika itu. Kalau tak percaya tanyalah  Musa Hitam ataupun Tengku Razaleigh Hamzah.

Permatang Pauh jika dilihat dari segi sejarahnya adalah kubu UMNO. Kawasan itu dimenangi calon-calon Perikatan/BN sejak 1969 kecuali pada 1978, calon BN, Ariffin Daud tewas pada calon Pas, Zabidi Ali.

Pada pilihanraya 1969, calon Perikatan Md Noor Bakar menang, diikuti dengan kemenangan oleh Ariffin Daud dalam pilihanraya berikut.

Kemunculan Anwar pada 1982 sebagai calon BN seperti mengukuhkan Permatang Pauh sebagai kubu mutlak UMNO. Anwar menang mengalahkan Zabidi Ali dengan kelebihan undi, 14,352. Anwar menang  lagi pada pilihanraya 1986 mengalahkan Mat Sabu dengan kelebihan 10,479 undi; 1990, Anwar kalahkan Mahfuz Omar, majority 16,150 dan pada 1995, Anwar menang lagi dengan mengalahkan calon DAP, Rahman Manap dengan undi majorti 23,515.

 Bila Anwar dipecat dari UMNO pada 1998, isterinya Wan Azizah Wan Ismail dicalonkan PKR menggantinya. Wan Azizah menang dalam pilihanraya 1999 mengalahkan calon BN, Dr. Ibrahim Saad, dengan kelebihan 9,077 undi. Wan Azizah mengulangi kemenangan dua kali lagi, 2004 dan 2008, mengalahkan Datuk Pirdaus Ismail, dengan kelebihan 590 undi dan 13,388 undi. Sebaik Anwar dibolehkan bertanding, isterinya mengosongkan kerusi memberi laluan dan dalam pilihanraya kecil (2008), Anwar kembali mewakili Permatang Pauh menang mengalahkan Arif Shah dengan 15,671 undi. Anwar mendapat 31,195 undi berbanding Arif, 15,524.

Justeru sejarah Permatang Pauh yang berliku-liku dan dikuasai Anwar dan keluarganya  menjadi macam “sdn bhd” buat Anwar, ini sangat dimengertikan kerana sejak 1982 dia atau isterinya tak pernah kalah.

Kita lihat semula kemasukan Anwar pada 1982 ke dalam UMNO. Penyertaannya  memang memberi satu political mileage pada parti keramat ini. Pada masa itu bukan saja UMNO yang berminat menarik tokoh muda ini menjadi ahlinya,  PAS sebagai pencabar utama UMNO juga mengintai peluang yang sama.

Sebelum Anwar jadi ahli UMNO secara rasmi, dia merupakan pemimpin gerakan belia dan pada masa sama menjadi Presiden ABIM. Pertubuhan belia ini dilihat lebih rapat dengan Pas dari UMNO. Ramai ahli ABIM menjadi calon PAS dalam pilihanraya berbanding calon UMNO. Ada hubungan simbiotik antara kedua-duanya.

Dan agak ironi, sejarah seperti menyokong  bahawa Anwar merupakan seorang dari beberapa tokoh sebagai  pengasas ABIM. Hal ini kemudian dinafikan Tan Sri Sanusi Junid kerana mengikutnya, beliau sebenarnya adalah pengasas, bukan Anwar. Beliau digulingkan dari ABIM kerana ketika itu bertugas di sebuah bank.

Sesiapa dari kalangan ABIM menyertai UMNO ia akan berdepan ancaman serta kemarahan yang amat sangat dari ABIM dan juga PAS. Seolah-olah masuk UMNO seperti menyertai pasukan bolasepak Israel—haram hukumnya.

Kemasukan Anwar menyebabkan ABIM terbahagi dua—ada team A dan team B. Setengah dalam PAS yang taksub dengan Anwar mengambil jalan pintas—berhenti dari Pas dan kembali menyokong UMNO. Angkanya tidaklah besar dan langsung tidak menggusarkan parti itu.

Seperkara yang perlu disebutkan ialah Hadi Awang pernah mengeluarkan fatwa tentang kemasukan Anwar dalam UMNO. Tak perlu diulang apa yang didedahkan Dr.Sidek Baba tapi cukup menggerunkan bukan saja Anwar malah budak-budak yang menyokong Anwar.

Tapi tentulah itu semua sejarah lapuk. Kini kerana Anwar sertai PKR dan PAS pula sudah bergabung dalam Pakatan Rakyat, isu fatwa Anwar dah dilupakan. Kini bos Hadi dalam Pakatan ialah Anwar. Sebab itu Hadi terpaksa tunduk pada kehendak Anwar dari ikut kehendak ahli-ahli PAS. Kita tentu ingat bagaimana Hadi dipaksa “membaca” kenyataan mengenai kalimah Allah boleh digunakan oleh bukan muslim dalam kitab bible versi bahasa Melayu yang dipersetujui DAP, PKR dan Hadi. Bagaimanapun apa yang Hadi terlupa ialah dia tak boleh perlekeh  Majlis Shura PAS.

Majlis itu terdiri dari ulamak tersohor dan mempunyai ilmu tersendiri. Mereka membantah dan  tak setuju dengan Anwar dan pendirian Presiden PAS itu. Kepada  Dap mereka mengatakan bahawa kalimah Allah adalah hak mutlak umat lslam dan haram  hukumnya bagi puak bukan lslam menggunapakai kalimah Allah. Timbalan Murshsidul Amnya Datuk Haron Din berkata dia sanggup mati mempertahankan kalimah Allah. Dengan itu PAS tidak bersetuju dengan pendirian Hadi ataupun Anwar. Kalau ikut prinsip, Hadi terpaksa melepaskan jawatan kerana mengheret PAS dalam kontroversi ini tapi biasalah, dia lebih sayangkan jawatan dari prinsip.

Menjelang 5 Mei, Anwar sudahpun merasai bahang pilihanraya. Dia mungkin ingat dia boleh menang dengan mudah. Calon BN biasanya sama ada Arif atau Pirdaus, (papagomo tak jadi) yang baginya ibarat meratah ulam. Langsung tak menggerunkan.

Kemunculan Dr.Mazlan sebagai calon BN  benar-benar menguji kemampuan Anwar sebagai calon mempertahankan kerusi Permatang Pauh. Untuk rekod, Dr.Mazlan bukanlah calang-calang calon. Ia adalah bekas pengarah jentera pilihanraya Pas Pulau Pinang 1999-2004. Dia juga anak tempatan yang mempunyai “extended family” yang besar di situ. Dan hubungan dengan budak-budak PAS masih berterusan walaupun dia menyertai UMNO.

Selain ceramah dari Dr.Mazlan, rakan-rakan Anwar juga berceramah membantu calon BN itu. Mereka terdiri dari Dr.Sidek Baba dan lain-lain mendedahkan tembelang Anwar yang dijaga dengan baik selama berdekad lamanya. Umum kini mula sedar selama lebih 20 tahun mereka terpedaya dengan imej “janggut sejemput” Pak Sheikh. Anwar dulu dan sekarang ibarat malam dan siang—sangat asing buat mereka.

Dr.Sidek secara terbuka mendedahkan pelbagai perkara. Rumusannya setelah kajian mendalam dan temubual 50 rakan-rakan, dia menyimpulkan Anwar tak layak jadi Perdana Menteri. Isu moral yang membelenggunya menyebabkan selain tidak lagi releven, Anwar seorang yang merbahaya kepada negara jika dia jadi Perdana Menteri.

Sedang Anwar dibelasah depan belakang oleh rakan-rakan yang pernah bersama-sama dalam ABIM dan PKR, budak-budak PAS mula merasakan peluang mereka menjadikan Hadi sebagai Perdana Menteri kini semakin cerah.

Mereka mengandaikan jika Anwar kalah di Permatang Pauh dalam pilihanraya umum ini bererti peluang bekas tokoh ABIM itu menjadi Perdana Menteri sangat tipis. Oleh kerana tidak ada calon yang lebih layak maka calon alternative tentulah dikalangan PAS. Ini kerana dalam PKR, hanya Azmin Ali yang dilihat senior tapi tidaklah ke tahap dilantik menjadi Perdana Menteri. Dan WanAzizah pula tidak layak kerana tidak bertanding  dalam PRU ke13. Hadilah calon tunggal yang tinggal dipilih dan dilantik menjadi Perdana Menteri ke7. Bagaimanapun Hadi hanya boleh ke Putrajaya jika Anwar tewas, kalau Anwar dan PR menang maka hak itu milik Anwar.

Sama ada penyokong Pas akan menggunapakai formula ini hanya masa yang menentukan. Menjelang PRU ke13,Anwar tentu sedar segala kemungkinan boleh berlaku. Masa depannya bergantung pada sokongan PAS. Jika PAS kantoi dan tidak memberinya undi maka ini bererti laluan ke Putrajaya semakin sukar dan hampir mustahil.

Sedang Anwar berteka teki, Dr.Mazlan muncul sebagai calon favorit rakyat. Imej bersih dan berbekalkan pengalaman di sector korporat, Dr.Mazlan adalah pilihan rakyat. Setiap strategi yang dibuat lebih dari membuahkan hasil yang positif.

Harapannya agar pengundi muslim di Permatang Pauh melakukan solat istikarah sebelum mengundi 5 Mei, memilih antara dia ataupun Anwar, sudahpun menjadi perbualan rakyat. Nampaknya apa yang ditakuti Ketua Pembangakng itu sehingga nak lari ke Perak (tanding di Tambun lawan Husni)  hampir menjadi kenyataan.

Kita lihat sama ada Permatang Pauh akan menjadi satu lagi pusara politik tokoh kontrovesi dari Ceruk Tok Kon ini -OLEH YUSOF HARUN-1/5/2013.

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 269  tetamu dalam talian