19November2019

Agenda Daily

Ahli kurang yakin dengan Hadi sebabkan PAS dilanda perpecahan

PAS kini berdepan cabaran paling kritikal. Sekiranya ia gagal menangani cabaran ini dengan secara berkesan, parti itu dijangka berdepan perpecahan pada skala jauh lebih besar.

Kita sebenarnya bercakap mengenai sebilangan kecil ahli, disokong pihak luar jauh lebih besar, cuba mewujudkan suasana kurang yakin kepada kepimpinan Haji Hadi Awang selaku Presiden PAS.

Walaupun  lontaran ide tidak rasmi ke arah itu namun ia tidak dizahirkan dengan berani. Ia masih ditahap berselindung tetapi hakikatnya  begitulah. Matlamat mereka cukup jelas cuma sebagai orang bijaksana mereka masih berdolak dalih konon masih sayangkan PAS.

Pihak yang kecewa dengan Presiden PAS itu bukan kerana ahli parlimen Marang itu ilmu agamanya kurang atau beliau tidak karismatik. Banyak hal mengenainya yang orang ambil sambil lewa.
Ini mungkin kerana watak semula jadinya. Pelat tuturnya masih kuat bunyi Terengganunya.Sembahyang orang macam Haji Hadipun lain sikit kerana ia dilaksanakan dengan penuh kekhusukan. Dan yang jelas ia menolak fahaman syiah.

Sejak berusia 10 tahun lagi, beliau faham dan mengamal ilmu agama serta batasan-batasan tertentu. Pendek kata dalam semua aspek hidup, dia berpandu pada agama bukan sekadar hukum  akal semata-mata. Walau tahaluf siyasi membolehkan kerjasama politik PAS dan dua rakan dalam PR, ia harus ikut hukum. PAS tidak boleh ikut DAP yang jelas menolak hudud serta mahukan pengunaan kalimah Allah buat puak Kristian.

Haji Hadi tidak menggabungkan Islam dengan fahaman liberalisme. Ia jelas menolak liberalisme atau pluralisme. Kerana baginya kaedah yang bercanggah dengan hukum adalah haram. Seluruh ahli PAS  berpegang pada konsep ini. Mereka faham risiko di akhirat kelak.

Bagi mereka yang sekadar mengaji di Mara, atau lepasan Universiti Malaya jurusan bahasa pula, tentu sukar menerima pemikiran dan stail Haji Hadi. Samalah jika berlaku sebaliknya.

Dalam kes calon MB Selangor jelas sikap tidak kematangan puak ini. Haji Hadi tidak mencalonkan wakil rakyat UMNO sebagai MB  yang baru. Ia menyokong calon dari PKR cuma bukannya Wan Azizah Wan Ismail. Bagi PAS, Azmin Ali adalah pilihan jauh lebih tepat.

Bahkan tidak ada beza antara Azmin  atau Wan Azizah  kerana kedua-duanya merupakan penyokong kuat  Anwar. Siapapun MB, dasar kerajaan PR ditentukan  terlebih dahulu melalui perundingan meja bulat.

Oleh kerana PAS menolak Wan Azizah maka PKR  boleh memilih alternatif lain. Tak timbul soal PKR ketandusan calon. Sebaliknya keputusan Sultan Selangor memilih Azmin tentu memalukan PKR sendiri. Mereka yang dulu menentang Azmin  terpaksa menjilat ludah semula.

Isu yang cuba dibentang di sini bukan mengenai Azmin atau PR tetapi lebih kepada krisis dalam PAS dan peranan presidennya. Ini kerana sejak isu calon MB Selangor, Haji Hadi dan PAS sudah tidak lagi popular di mata regu-regunya. Sindiran tajam boleh dibaca hampir setiap hari dalam pelbagai  media.

Nasib baik ada anak Nik Aziz, Nik Abduh dan  Nasrudin Hassan   sebagai hulubalang Haji Hadi. Mereka tidak segan mendepani parasit dalam PAS serta regu yang mereka lihat mula mengkhianati perjuangan parti lslam itu. Jelas usaha mereka semata-mata mempertahankan presiden parti.

PAS sejak dulu dilihat bersih dari anai-anai politik. Ia berbedza dengan UMNO yang pernah berkrisis kerana faktor sama. Belum pernah berlaku Presiden PAS seperti Almarhum Ustaz Fadzil Noor  berdepan cabaran dari dalam.  Bagi mereka, Haji Hadi dan Almarhum Fadzil kalaupun bukan seorang wali, mereka boleh dianggap setaraf.

Tetapi itu semua sejarah lapuk. Hari ini Haji Hadi tak sunyi dari dikritik. Ia dibuat secara terbuka dan terancang serta disokong puak luar yang mahu PAS dipimpin oleh tokoh baru.

Kemunculan PasMa, sebuah NGO yang menyokong PR membimbangkan kepimpinan PAS. Bukannya  PAS tidak lagi menyokong PR tetapi sokongan dibuat PasMa lebih releven. NGO ini seperti dipersiap sebagai alternatif pada PAS.

Justeru kalaulah terdapat nada dalam PasMa yang mahukan Haji Hadi digantikan, ini boleh difahami. Suara seumpama ini menyebabkan PAS diambang sebuah lagi ujian terbesar.

PasMa bukanlah parti politik, juga bukan ahli kelab penyokong BN. Ia hanya digerak dan dipimpin oleh ahli-ahli PAS. Terdapat juga tuduhan NGO ini adalah macam ADIL, yang dilahirkan  Anwar dulu.

Terdapat juga andaian PasMa bakal menggantikan PAS sebagai regu baru dalam PR. Hakikatnya PasMa jauh lebih releven pada DAP. Sudahpun ada tanda-tanda positif kalangan mereka.

PasMa bukanlah  calang-calang NGO. Ia kelihatan atas kertas sebagai NGO yang menyokong pengekalan PAS dalam PR. Saiznya sahaja kecil jika dibanding dengan PAS. Setakat ini masih berstatus NGO tapi bila-bila masa boleh bertukar status.

Melihat PasMa sebagai satu ancaman baru pada PAS, Majlis Syura Ulamanya ada nasihat: “Kami memantau dengan penuh prihatin beberapa tindak tanduk mutakhir ini yang dilihat boleh memecah belah ahli-ahli PAS seperti yang dilakukan oleh sebuah NGO yang dinamakan Pasma.

“Selaras dengan peringatan Presiden PAS  dalam penggulungan Muktamar PAS 2014 yang lalu supaya tidak berlaku adanya jemaah dalam jemaah dan parti dalam parti, maka Majlis Syura Ulama memberi nasihat kepada ahli-ahli Pas supaya tidak melibatkan diri dalam sebarang aktiviti PasMa,” katanya.

Bagi kita, Haji Hadi ibarat doktor yang berdepan pesakit yang memerlukan rawatan untuk penyakit kencing manis. Dalam tangannya  keputusan memotong bahagian yang rosak seperti kaki atau anggota lain bagi tujuann itu. Tuan Guru perlu mengorbankan watak sederhananya jika mahu melihat PAS kekal releven tanpa berterusan menjadi boneka mana-mana pihak.-20/1/2014 OLEH YUSOF HARUN

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 843  tetamu dalam talian