20Julai2019

Rakyat tiada pendapatan tambahan untuk berbelanja - RGM

Rakyat Malaysia didapati tidak memanfaatkan tempoh cukai barang dan perkhidmatan (GST) berkadar sifar sepanjang bulan lalu kerana tidak mempunyai pendapatan tambahan untuk berbuat demikian.

Pengarah Urusan Retail Group Malaysia (RGM) Tan Hai Hsin berkata, ini kerana sektor runcit untuk tempoh April hingga Jun 2018 adalah 65 peratus lebih rendah daripada unjuran pemain industri dengan kadar pertumbuhan hanya 2.1 peratus berbanding 4.9 peratus suku sama tahun sebelumnya.

“Sepanjang Jun, cukai barang dan perkhidmatan (GST) dikurangkan dari enam peratus kepada sifar dan situasi ini sepatutnya membawa hasil jualan luar biasa untuk banyak peruncit.

“Walau bagaimanapun, pengguna Malaysia tidak berbelanja dengan banyak kerana mereka tidak mempunyai pendapatan tambahan untuk berbuat demikian,” katanya dalam satu kenyataan.

Hai Hsin sebelum ini berkata, sektor runcit dijangka merekodkan peningkatan dalam tempoh GST berkadar sifar disokong oleh a tahap keyakinan pengguna yang bertambah baik selepas Pilihan Raya Umum (PRU) Mei lalu.

Namun sasaran tersebut meleset sama sekali selepas prestasi jualan bagi semua subsektor runcit pada suku kedua 2018 didapati bercampur-campur.

“Tidak semua subsektor runcit mendapat manfaat daripada peluang yang jarang berlaku ini. Semua subsektor runcit tidak memenuhi kadar pertumbuhan yang diunjurkan oleh Persatuan Peruncit Malaysia (MRA) pada bulan Jun 2018,” katanya.

Beliau berkata, subsektor pasar raya dan kedai serbaneka merekodkan pertum­buhan 3.8 peratus ba­gi suku kedua tahun ini berbanding 2.6 peratus suku sama tahun sebelumnya.

Sebaliknya, subsektor kedai serbaneka merosot sebanyak 4.2 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu.

“Subsektor pasar raya dan pasar raya besar merekodkan penurunan paling ketara iaitu sebanyak -7.9 peratus berban­ding -3.8 peratus tempoh sama tahun sebelumnya,” katanya.

Berdasarkan prestasi kurang memberangsangkan itu, Hai Hsin berkata, Retail Group Malaysia mengambil langkah bagi menyemak semula kadar pertumbuhan jualan runcit bagi industri peruncitan Malaysia 2018 daripada 5.3 peratus kepada 4.1 peratus.

Bagi bulan September pula, kebanyakan peruncit dijangka mengekalkan harga barangan bagi menarik perhatian pembeli sekaligus memacu pertumbuhan jualan.-17/9/2018

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 309  tetamu dalam talian