22September2019

Rakyat dikenakan cukai dua kali melalui SST - Najib

Datuk Seri Najib Tun Razak mendakwa Menteri Kewangan, Lim Guan Eng tidak bercakap benar apabila mengatakan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) hanya dibayar pengilang dan bukan pengguna.

Menurutnya, ramai tidak menyedari SST adalah dua jenis cukai berbeza (cukai jualan dan cukai perkhidmatan) yang memerlukan dua akta berbeza diluluskan dalam Parlimen sedangkan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) hanya melibatkan satu akta.

“Saya lihat ketam, udang, sotong, kerang dan lala kini dikenakan cukai jualan 10 peratus. Pelbagai jenis perencah, sos, beberapa jenis daging dan ikan, daging burger, sosej, keju dan mentega turut dikenakan cukai jualan antara lima dan 10 peratus.

Saya juga lihat pelbagai jenis minuman dikenakan cukai jualan termasuk jus buah dikenakan cukai lima peratus, soda 10  peratus dan air mineral 10 peratus.

“Maka, apabila restoran dan isi rumah membeli bahan mentah seperti udang, ketam dan kerang, mereka sudah membayar cukai jualan 10 peratus yang perlu ditanggung oleh pengilang atau pengeluar,” katanya dalam catatan tersebut.

Tambah Najib, restoran dan isu rumah tidak akan melihat jumlah yang dibayar tetapi terpaksa membayar harga tinggi dan situasi lebih buruk berlaku apabila pengguna membeli makanan tersebut di restoran (yang mengenakan SST).

“Apabila mereka menyediakan hidangan itu (yang dikenakan SST) bersama minuman dalam botol yang mempunyai cukai jualan, mereka juga akan mengenakan tambahan enam peratus bagi cukai perkhidmatan yang dipaparkan pada resit pelanggan.

“Untuk itu, pelanggan restoran dikenakan cukai dua kali, cukai perkhidmatan enam peratus yang dapat dilihat pada bil dan cukai jualan ke atas makanan dan minuman disediakan namun tidak dipaparkan pada resit,” ujarnya.

Tambahnya, beliau dan beberapa pihak lain pernah memberi amaran bahawa SST adalah satu sistem percukaian bertindih yang berbeza dengan GST pada kadar enam peratus yang hanya dicaj sekali.

Justeru, beliau menggesa kerajaan mengeluarkan semua makanan segar, minuman dan bahan penyediaan makanan dari dikenakan cukai untuk mengelak berlaku cukai berganda di restoran dan untuk mengelak dari menghukum golongan B40.

“Orang dari golongan B40 juga makan ikan masin, udang, kerang dan ketam. Biarpun untuk dimasak dirumah ataupun di restoran, ia tidak patut dikenakan cukai jualan seperti yang dikecualikan di bawah GST dahulu,” katanya.-3/9/2018

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 800  tetamu dalam talian