21September2020

Agenda Daily

Palestin berperang lagi...

Selepas tujuh jam yang 'mendebarkan dan menggila', Genting Gaza kembali sunyi daripada serangan bom namun orang awam di wilayah Palestin dan Israel tetap bimbang perang baharu antara kedua-dua pihak kembali tercetus.

Kematian seorang askar Israel yang ditembak 'sniper' dipercayai pejuang Palestin semasa tunjuk perasaan yang menyaksikan pengeboman besar-besaran tentera rejim de­ngan tiga orang anggota Hamas terbunuh manakala berpuluh sasaran pergerakan itu dibedil.

Selepas proses pengantaraan secara tidak langsung oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Mesir, satu gencatan senjata berkuat kuasa malam kelmarin, namun langkah itu tetap membuatkan penduduk di Gaza dan Israel kekal bimbang akan konflik terbaharu antara rejim Zionis dan Hamas.

“Perang akan datang, saya tahu tentera rejim melakukan serangan untuk membuka laluan bagi mewujudkan pangkalan mereka,” kata seorang penduduk dari Deir al-Balah di tengah Gaza, Somaya Rabaya, 21.

Sumber kanan Hamas yang enggan dikenali berkata, ketika perjanjian gencatan senjata termasuk menamatkan serangan roket dan mortar, perkara itu tidak menyentuh Hamas daripada menghentikan apa yang digelar media Israel sebagai ‘la­yang-layang ganas’.

Sepanjang tempoh bantahan di sempadan, penduduk muda Palestin di Gaza meletakkan bom api pada layang-layang dan belon serta menerbangkannya ke sempadan yang sebahagian besarnya tertutup, mengakibatkan ratusan kebakaran.

Kawasan tanah di sekitar komuniti di sebelah Israel me­nyaksikan kerosakan besar akibat kebakaran dicetuskan bom api tersebut.

Seorang penduduk Israel, Ofir Libstein, 44, berkata, masih tiada kebakaran berlaku berhampiran rumahnya di Kfar Aza semalam namun dia bimbang insiden itu akan berlaku semula.

Peningkatan keganasan menyebabkan penduduk Israel berhampiran Gaza berlindung ke dalam pusat perlindungan bom sejak beberapa minggu lalu akibat roket dan mortar dilancarkan oleh pejuang Palestin.

Ahli politik Israel mengancam tindak balas lebih tegas ke atas dalang yang melepaskan bom api itu sejak beberapa hari lalu dengan tentera rejim menyasar sekumpulan lelaki muda di sempadan.

“Pagi ini, tentera rejim mengebom pos pemantau Hamas berhampiran Gaza. Saya bimbang mereka menyasar kami dengan peluru berpandu,” kata seorang remaja, Wissam, 17.

Wissam bersama sejumlah remaja lain memasang layang-layang dengan botol kecil diesel sambil berlindung di sebalik benteng pasir, bimbang ditembak tentera rejim.

Dalam pada itu, sebahagian besar kawasan sempadan ke­dua-dua wilayah berada dalam keadaan tenang semalam, namun bantahan dan pertembu­ngan berbulan kembali memuncak kelmarin.

Sekurang-kurangnya 149 penduduk Palestin terbunuh sejak 30 Mac lalu.

Dalam perkembangan ber­kaitan, Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres menggesa Israel dan Palestin mengelakkan satu lagi konflik berdarah selepas peningkatan keganasan yang meragut lima nyawa kelmarin.

“Saya amat bimbang tentang bahaya peningkatan keganasan di Gaza dan selatan Israel. Adalah penting bagi semua pihak supaya menahan diri daripada terjebak dalam satu lagi konflik memudaratkan,” katanya.

Dalam perkembangan ber­kaitan, Mesir mendakwa undang-undang baharu Israel yang memberikan etnik Yahudi hak penentuan di wilayah itu melemahkan peluang perdamaian Asia Barat dan hak pelarian Palestin untuk kembali ke tanah air mereka.

“Mesir mengumumkan penolakannya terhadap undang-undang diluluskan Knesset Israel berkaitan ‘sebuah negara untuk rakyat Yahudi’ kerana kesannya yang mengabdikan konsep pembahagian penjajahan dan perkauman.

“Ini melemahkan peluang mencapai perdamaian dan kea­dilan serta penyelesaian komprehensif untuk isu Palestin,” kata Kementerian Luar Mesir dalam satu kenyataan.-23/7/2018

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 352  tetamu dalam talian