19November2019

Agenda Daily

MCA ugut UMNO... kita putus jika jalin kerjasama dengan PAS

MCA mengancam untuk memutuskan hubungan dengan Umno sekiranya ia mengikat kerjasama dengan PAS tanpa terlebih dulu membincangkannya dengan parti itu.

Timbalan Presiden MCA, Datu Seri Wee Ka Siong berkata, Umno atau presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, tidak boleh membuat keputusan satu pihak mewakili Barisan Nasional (BN).

Bekas menteri itu berkata, gabungan politik itu sentiasa cuba mendapatkan konsensus dalam kalangan parti komponennya, dengan menambah nasib BN tidak bergantung “di tangan Umno semata-mata”.

“Jika mereka tidak iltizam pada semangat saling menghormati sesama parti komponen seperti sepatutnya, tetapi terus berpakat dengan PAS tanpa berbincang lebih dahulu dengan MCA, maka MCA tidak akan teragak-agak untuk memutuskan hubungan dengan Umno,” katanya di laman Facebook beliau.

Katanya, kerjasama antara 2 parti itu tidak akan bermakna apa-apa sekiranya masing-masing mempunyai prinsip berbeza.

Ahli Parlimen Air Hitam itu memberi respons terhadap laporan yang memetik Zahid sebagai berkata bahawa Umno akan “mempertahankan” PAS sebagai sekutu politiknya yang baru.

Zahid dilaporkan berkata demikian dalam satu pertemuan dengan pemimpin parti Islam itu.

Wee mengingatkan Zahid bahawa tidak ada masa depan untuk “jalan politik mono-etnik” dan memberi amaran bahawa keputusan beliau untuk bekerjasama dengan PAS akan menyaksikan BN berkubur.

MCA katanya, akan mencari jalan sendiri kerana mereka tidak boleh “dengan jujur berjalan bersamanya (Zahid) di atas jalan kemusnahan ini”.

“Kita hanya boleh mengucapkan selamat maju jaya kepada Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi jika beliau bertegas untuk berpakat dengan PAS.”

Wee sebelum ini mengisytiharkan untuk bertanding jawatan tertinggi MCA selepas presiden parti itu, Datuk Seri Liow Tiong Lai mengambil tanggungjawab ke atas pencapaian buruk MCA dalam pilihan raya umum 9 Mei lepas dan memaklumkan tidak akan mempertahankan jawatan dalam pemilihan parti itu yang dijadualkan bulan depan.-29/10/2018

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 1292  tetamu dalam talian