21September2020

Agenda Daily

Malaysia terjejas perang dagang Amerika - China

Malaysia akan menerima kesan perang perdagangan antara Amerika Syarikat dan China pada jangka panjang, menurut Majlis Penasihat Perniagaan Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (ABAC).

Pengerusi Kumpulan Kerja Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana ABAC, Datuk Rohana Mahmood berkata, Malaysia, sebuah negara dengan perdagangan menyumbang 78 peratus kepada Keluaran Dalam Negara, akan merasai kesannya jika pertikaian perdagangan itu berlanjutan.

"Kita tidak menerima kesannya secara cepat, namun kajian menunjukkan negara seperti Malaysia, Korea Selatan dan Singapura akan terjejas sekiranya perang perdagangan itu berterusan untuk beberapa tempoh," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat ketiga ABAC bagi 2018 Khamis.

Beliau berkata Malaysia, sebagai sebahagian rantaian bekalan nilai utama dunia, boleh berperanan dalam mencari penyelesaian untuk mengurangkan kesan perang perdagangan itu.

"Kita perlu mencari penyelesaiannya (kesan perang perdagangan). Kadang-kala, negara kecil mempunyai peranan untuk dilaksanakan," katanya.

Rohana berkata, perang perdagangan antara dua ekonomi terbesar dunia itu tidak akan memberi manfaat kepada mana-mana pihak.

"Pengenaan tarif adalah bertentangan dengan keyakinan kita terhadap perdagangan bebas, adil dan terbuka. Idea keseluruhan APEC (Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik) adalah kita tidak mahu sebarang sekatan dan kita berharap untuk mempunyai sistem yang adil," katanya.

Isu berkaitan perang perdagangan juga dibangkitkan oleh anggota ABAC semasa mesyuarat tiga hari itu yang berakhir hari ini, malah input mesyuarat tersebut akan dibentangkan semasa mesyuarat APEC di Papua New Guinea pada November depan yang menghimpunkan pemimpin 21 negara anggota APEC.

"Kami mahu membawa mesej bahawa perang perdagangan ini tidak akan menguntungkan mana-mana pihak dalam ASEAN dan rantau Asia-Pasifik," katanya.

Beliau berkata, walaupun APEC merupakan kerjasama tidak terikat, negara anggotanya perlu bekerjasama untuk mencari penyelesaian terbaik ke arah merealisasikan kawasan perdagangan bebas, adil dan terbuka.

ABAC, yang ditubuhkan oleh pemimpin ekonomi APEC pada 1995 sebagai kumpulan utama perniagaan dalam forum itu, mengadakan mesyuarat empat kali setahun sebagai persediaan bagi pembentangan syor-syor di mesyuarat tahunan pemimpin APEC.-27/7/2018

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 573  tetamu dalam talian