17Oktober2019

Lynas jadi 'tragedi' jika gagal beroperasi... - Australia

Kegagalan kilang memproses nadir bumi, Lynas Corporation Ltd (Lynas) untuk beroperasi di Pahang mungkin menjadi satu “tragedi” memandangkan kilang itu merupakan pelaburan perintis bagi negara Australia di Malaysia.

Pesuruhjaya Tinggi Australia di Malaysia, Andrew Goledzinowski berkata ini secara langsung akan menyebabkan syarikat-syarikat gergasi Australia lain yang berminat untuk melabur di negara ini membatalkan hasrat mereka.

“Lynas amat penting buat kami kerana ia memberi manfaat kepada kedua-dua belah pihak sama ada Australia mahupun Malaysia.

“Oleh itu, kami mahu memastikan ia dapat terus berkembang dan mencipta banyak peluang pekerjaan sekali gus menarik lebih banyak syarikat gergasi Australia lain datang melabur di sini.

“Jika operasi kilang Lynas ini gagal, berita ini pasti tersebar ke seluruh Australia dan pastinya syarikat-syarikat besar yang pada mulanya berminat tidak lagi mahu membuat pelaburan di negara ini,” katanya pada sidang media di sini kelmarin.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri majlis minum teh bersama kakitangan Lynas dan penduduk setempat.

Hadir sama pada majlis itu ialah Ketua Pegawai Eksekutif Lynas, Amanda Lacaze dan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beserah, Andansura Rabu.

Goledzinowski berkata kajian tentang operasi Lynas jika mahu dilakukan selepas ini juga perlu berdasarkan fakta dan bukti serta tidak dibuat atas kepentingan politik mahupun mengikut emosi.

“Saya rasakan Lynas tidak perlu lagi disiasat kerana ia sudah beroperasi selama enam tahun dengan mengikut peraturan ditetapkan sebagaimana kilang-kilang lain.

“Namun jika kerajaan Malaysia mahu melakukan kajian itu hak mereka tetapi kami berharap ia melalui proses awam agar hasilnya diketahui orang awam khususnya masyarakat setempat.

“Saya turut percaya Lynas mampu untuk berkomunikasi dengan pihak kerajaan Malaysia dalam menyelesaikan masalah sisa buangan kilang pada masa hadapan,” katanya.                                               

Sementara itu, Andansura berkata adalah tidak mudah bagi pihak kerajaan untuk sewenang-wenangnya menutup kilang Lynas kecuali berlaku pelanggaran undang-undang.                                                       

Beliau juga berpendapat tiada lagi keperluan untuk melakukan kajian tentang operasi kilang Lynas tetapi tumpuan harus diberikan dari aspek sisa buangan dan impak kepada alam sekitar.

“Walaupun kini kerajaan pusat sudah bertukar, kita masih mengikut peraturan yang ditetapkan dari segi penguatkuasaan operasi dan melindungi alam sekitar.                                                              

 “Dalam lawatan saya baru-baru ini saya lihat begitu banyak sisa buangan dan jika dibiarkan ia pasti memberi kesan kepada persekitaran.                 

“Tapi difahamkan bahan buangan itu boleh digunapakai menjadi baja untuk aktiviti pertanian jadi semestinya ia memberi sesuatu yang positif kepada semua pihak,” katanya.-19/9/2018

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 244  tetamu dalam talian