21September2020

Agenda Daily

Kerajaan kaji semula DEB, NEM... ikut aspirasi PH

Selamat tinggal dasar melindungi dan memperkasa ekonomi Bumiputera yang selama ini menjadi agenda utama kerajaan BN selepas Tragedi 13 Mei.

Ini kerana kerajaan PH akan meneliti semula dasar-dasar utama negara termasuk Dasar Ekonomi Baru (DEB) dan Model Ekonomi Baru (NEM) bagi melihat sama ada dasar itu masih relevan.

Menurut Kementerian Hal Ehwal Ekonomi, ia juga selaras dengan aspirasi Malaysia baharu dalam memastikan pertumbuhan ekonomi negara mampan serta dapat menjamin pengagihan yang adil.

Susulan itu, kementerian berkenaan menjelaskan bahawa dasar baharu yang lebih responsif kepada aspirasi rakyat akan digubal berdasarkan keperluan dan hala tuju pembangunan sosioekonomi negara.

Kementerian itu berkata demikian dalam jawapan bertulis kepada soalan William Leong Jee Keen (PH-Selayang) di Dewan Rakyat, yang bertanya mengenai Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia ke-11 (RMK11), sama ada kerajaan akan mengkaji semula dasar-dasar utama dan rancangan pembangunan ekonomi yang ada seperti DEB dan NEM.

Menurut jawapan yang diedarkan kepada pemberita di Parlimen hari ini, kementerian itu menyatakan susulan perubahan kerajaan pada 10 Mei lalu selepas Pilihan Raya Umum ke-14, penyediaan dokumen KSP RMK11 telah dijajarkan semula dengan hala tuju baharu dan aspirasi kerajaan Pakatan Harapan.

"Penjajaran ini amat perlu bagi memastikan hala tuju baharu diambil kira dalam perancangan serta strategi pembangunan bagi tempoh 2018-2020.

"Penjajaran ini juga penting bagi menjamin segala usaha kerajaan, benar-benar membawa hasil atau memberi faedah kepada rakyat tanpa berlakunya ketirisan, penyelewengan, salah guna kuasa dan sebagainya," menurut kementerian itu.

DEB diperkenalkan pada 1970 dengan strategi serampang dua mata iaitu untuk membasmi kemiskinan dan menyusun semula masyarakat bagi memperbetulkan ketidakseimbangan ekonomi.

NEM pula diumumkan bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 2010, yang bertujuan menjadi dasar bagi menganjak kedudukan ekonomi negara daripada berpendapatan sederhana tinggi kepada pendapatan tinggi.-24/7/2018

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 316  tetamu dalam talian